Friday, March 25, 2011

KEPENTINGAN HIJRAH NABI MUHAMMAD KE MADINAH




HIJRAH NABI MUHAMMAD S.A.W KE MADINAH: FAKTOR DAN KEPENTINGANNYA TERHADAP PENYEBARAN ISLAM

Oleh:

Hatika Binti Megat Jamil
Nor Asyikin Binti Saman
Nor Hashimah Binti Wasiuddin
Norhidayah Binti Zulkefli
ACS1112A

Disemak oleh:
Muhammad Yusri bin Yusof


PENGHARGAAN
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan rahmat taufik dan hidayahNya, kerja kursus CTU151 bertajuk “ Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah: Faktor dan kepentingannya terhadap penyebaran Islam ” berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam kesempatan ini, kami ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga kerja kursus ini berjaya disiapkan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh yang banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami.


PENDAHULUAN

Hijrah merupakan perkara sunat yang disarankan oleh Allah S.W.T kepada seluruh ummat Islam. Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. Pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam konteks tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Peristiwa hijrah orang Islam Makkah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 M. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Walaubagaimanapun, Umar Bin Al-Khattab telah berhijrah secara sendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya.


1.0 DEFINISI HIJRAH

1.1 BAHASA

Hijrah pada bahasa bermaksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaaan kepada keadaan yang lebih baik ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).

1.2 ISTILAH

Hijrah pada istilah ialah perpindahan Rasulullah S.A.W dan orang-orang Islam dari Makkah ke Madinah untuk menyebarkan Islam ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).

1.3 KONSEP

Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang lebih luas dan mendalam, iaitu perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan dan kejahatan. Hijrah juga boleh dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).
Orientalis Barat mentafsirkan hijrah secara negatif, iaitu sebagai suatu pelarian. Pendapat orientalis Barat ini boleh disangkal kerana konsep hijrah dalam Islam berbeza daripada konsep hijrah Barat dengan menggunakan empat hujah. Yang pertama, penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang Arab Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah Kedua. Yang kedua, ketibaan orang Islam Makkah ke Madinah juga telah disambut dengan rela dan meriahnya oleh orang Madinah. Yang ketiga, orang Islam Makkah diberikan tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin tentang keselamatan mereka oleh orang Arab Madinah. Akhirnya, Nabi Muhammad S.A.W pula telah dilantik sebagai pemimpin Madinah dan baginda diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madianah termasuk orang bukan Islam ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).
Penghijrahan yang berlaku pada hari ini sangat berbeza daripada penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah. Misalnya, pada hari ini, penghijrahan sesuatu kelompok manusia adalah akibat peperangan, dan mereka ini dianggap pelarian. Kehadiran pelarian ini di sesebuah negara adalah tidak diundang, malah mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).

2.0 PERISTIWA HIJRAH

2.1 SEBELUM HIJRAH

Tentangan terhadap Islam semakin hebat dan pelbagai usaha dari pihak Quraisy untuk menyekat dakwah Islam ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ). Musyrikin Makkah telah melakukan pelbagai usaha menghalang dakwah Rasulullah S.A.W antaranya, tawaran untuk bergilir-gilir melaksanakan agama masing-masing, menawarkan pangkat, harta dan wanita kepada Rasulullah S.A.W, mengenakan sekatan ekonomi terhadap orang Islam, Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib selama 3 tahun. Selain itu, mereka juga telah melakuka penyeksaan terhadap orang Islam dan membuat perancangan untuk membunuh Nabi ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada tahun 620 Masihi, beberapa orang Madinah telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W secara sulit. Pertemuan itu telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama. Perjanjian ini dibuat pada tahun 621 Masihi bersamaan tahun ke sebelas kerasulan Nabi. Antara isi kandungan perjanjian ini ialah tidak mensyirikkan Allah S.W.T, tidak membunuh anak, tidak membuat fitnah atau khianat, tidak mencuri, tidak berzina, serta tidak menderhaka kepada Rasulullah S.A.W ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun ke tiga belas kerasulan, termeterai Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat antara Rasulullah S.A.W dengan 37 orang lelaki dan 2 orang perempuan Madinah. Antara isi kandungan perjanjian tersebut, mereka haruslah menerima Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin dan berjanji mempertahankan Rasulullah. Kemudian, mereka juga berjanji untuk berjuang mempertahankan Islam dan membantu Rasulullah S.A.W serta orang Islam yang lain ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).

2.2 SEMASA HIJRAH

Sehari sebelum hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah, musyrikin Makkah telah berbincang bagi menghalang Nabi daripada berhijrah. Mereka telah bersetuju untuk membunuh Nabi S.A.W semasa baginda sedang tidur ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada malam penghijrahan, pemuda musyrikin Quraisy telah mengepung rumah Nabi untuk membunuh baginda tetapi Allah telah menurunkan wahyu bagi memberitahu Nabi tentang rancangan kafir Quraisy tersebut dan memerintahkan baginda agar berhijrah ke Madinah. Manakala, Saidina Ali telah diperintahkan oleh Nabi agar tidur di atas katil baginda dan Nabi telah berjaya keluar dari rumahnya lalu menuju ke rumah Abu Bakar untuk mengajaknya berhijrah ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Kemudian, Nabi bersama Abu Bakar keluar dari Makkah menuju ke Gua Thur dan bersembunyi di sana. Setelah 3 hari 2 malam di dalam Gua Thur, baginda meneruskan perjalanan ke Madinah dengan dibantu oleh Abdullah Bin Arqit. Setelah itu, baginda berhenti di Quba' selama 4 hari dan membina masjid pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Masjid Quba' ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ). Pada 2 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan ( 2 Julai 622 Masihi ), Rasulullah S.A.W bersama Abu Bakar telah selamat sampai di Madinah. Mereka berdua disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Madinah ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).

2.3 SELEPAS HIJRAH

Hijrah telah mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin. Hijrah juga telah menjurus kepada pembinaan masjid sebagai tempat ibadah dan lambang perpaduan umat Islam. Selain itu juga, beberapa perjanjian telah termeterai bersama golongan Yahudi di Madinah ( Naeem Siddiqi, 1985 ).


3.0 SEJARAH HIJRAH

3.1 HIJRAH PERTAMA: HABSHAH

Pada permulaannya, penghijrahan umat islam yang pertama ialah menuju ke negeri Habsyah. Rombongan ini terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita kemudian disusuli oleh rombongn berikutnya sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah Usman bin Affan beserta isteri beliau Ruqayyah,Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ja’far bin Abu Talib dan lain-lain. Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian tahun 615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut ke Habsyah. Beliau tetap tinggal di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke Habsyah supaya meminta Raja Habsyah menolak kedatangan kaum muslimim tetapi baginda bersikap bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak sahaja akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah diperkenankan oleh raja dan tuntutan Quraisy ditolak ( Faisal Ismail, 1984 ).

3.2 HIJRAH KEDUA: TAIF

Seterusnya, baginda berhijrah ke Taif untuk mendapat dorongan dan sokongan dari Khabilah Tsaqif terhadap musuh-musuh islam Makkah. Beliau menggunakan tutur kata yang baik dan sikap yang penuh dengan hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif dan mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam. Namun begitu ajakan baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pamuda tersebut malah mereka menolaknya dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu. Baginda tabah menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya. Baginda terpaksa kembali ke Makkah dan terus menuju ke Baitullah lalu beliau Tawaf dan sujud berdoa semoga Allah mengampuni kaumnya ( Faisal Ismail et.all, 1984 ).

3.3 HIJRAH KETIGA: MADINAH

Penghijrahan yang terakhir baginda ke Madinah pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini berlaku secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah dan telah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Namun, Umar bin al-Khattab telah berhijrah secara bersendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya ( Nik Hassan Shuhaimi bin Nik Abdul Rahman et.all, 2006 ).

4.0 SEBAB DAN TUJUAN HIJRAH

Dakwah Islamiah telah disebarkan di Makkah lebih kurang 13 tahun.Pelbagai rintangan telah dihadapi oleh nabi Muhammad S.A.W dalam masa tersebut. Untuk meneruskan dakwah Islamiah, nabi Muhammad S.A.W telah mangambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah.
Terdapat beberapa faktor berlakunya hijrah ke Madinah. Faktor utama penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah adalah disebabkan perintah Allah menerusi wahyu. Maka dalam wahyu ini Allah telah menyatakan niat dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W dan Allah telah memerintahkan baginda agar segera berhijrah. Perintah ini yang berasas ayat Al-Quran, iaitu surah Al-Anfal yang telah mempercepatkan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke kota Madinah. Dengan perlindungan Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W dan sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq selamat sampai ke Madinah.
Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman daripada orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam di Makkah. Walaubagaimanapun, penghijrahan itu bukan bererti orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut tetapi ini merupakan strategi Nabi Muhammad S.A.W untuk mengembangkan Islam. Bagi baginda, suasana aman di tempat baru akan memudahkan lagi penyampaian dakwah islamiah. Selain itu, hijrah juga membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan.
Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah adalah disebabkan jemputan masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi pelbagai konflik.pada ketika itu suku Aus dan Kharaj di Madinah sering bertelagah sesame sendiri dan ekonomi mereka pula dikuasai oleh golongan Yahudi. Oleh itu, golongan Arab Madinah memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad S.A.W untuk mengetuai kepimpinan di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W juga diperlukan untuk mendamaikan masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan ( Muhd Yusof bin Ibrahim et.all, 2006 ).

5.0 KEPENTINGAN HIJRAH

Hijrah mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu
( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Sempena hijrah, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga menunjukkkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita
( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).


KESIMPULAN

Berdasarkan topik yang dibincangkan iaitu berkenaan hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah, kami dapat simpulkan bahawa hijrah yang dilakukan oleh baginda mendatangkan banyak kesan samada dari segi kebaikan atau keburukan walaupun baginda dan sahabat menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Penghijrahan yang telah baginda lakukan ada yang disokong oleh orang sekelilingnya dan ada juga yang menbantah. Kekuatan dan kesabaran baginda telah membuahkan hasil apabila berjaya berhijrah ke Madinah dan menyampaikan wahyunya di negeri tersebut. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati melalui penghijrahan baginda. Antaranya, kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu. Seterusnya, kita juga harus bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu. Selain itu, kita juga hendaklah memberi keutamaan kepada agama dengan bersolat dan berdoa dalam apa jua yang kita lakukan.











RUJUKAN

Faizal Ismail, ( 1984 ), Sejarah Dan Kebudayaan Islam Dari Zaman Permulaan Hingga Zaman Khulafaurasyidin. Yogyakarta: CV Bina Usaha.

Muhd Bukhari Lubis, ( 1981 ), Sekitar Sejarah Dan Tamadun Islam. Bangi, Selangor:
Ustara Sendirian Berhad.

Naeem Siddiqi, ( 1985 ), Muhammad Pembina Umat. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Muhd Yusof Bin Ibrahim, Muhammad Bukhari Bin Ahmad, Rosnanaini Binti Sulaiman, ( 2006 ), Buku Teks Sejarah Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Zulkarnain Yunus, Muhammad Salam Kamil, Xpress PMR. Selangor Darul Ehsan: Sasbadi Sdn. Bhd.








PROSES KERJA KURSUS CTU 151

Pada kelas pertama, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan kami telah memilih tajuk “ Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah: Faktor Dan Kepentingannya Terhadap Penyebaran Islam ” untuk kerja kursus bagi kos Pemikiran Tamadun Islam ( CTU151 ). Sepanjang proses menyelesaikan kerja kursus ini, kami telah berjumpa dengan Ustaz Muhammad Yusri Bin Yusof @ Salleh sebanyak tiga kali. Pada pertemuan pertama yang bertarikh, 17 Januari 2011, kami telah diajar bagaimana untuk membuat draf bagi menyenangkan kerja kami. Kami juga mengemukakan bahan dan data yang telah kami diperolehi kepada beliau. Pada kali kedua iaitu pada 24 Januari 2011, kami telah menunjukkan kepada Ustaz Muhammad Yusri sebanyak 5 buah buku rujukan yang berkaitan dengan tajuk kerja kursus kami serta draf yang baru untuk semakan beliau. Kemudian, pada pertemuan terakhir, kami telah menghantar contoh kerja kursus kepada Ustaz Muhammad Yusri untuk semakan beliau pada tarikh 16 Februari 2011. Pada waktu hari kuliah seterusnya iaitu pada 21 Februari 2011, kami telah menghantar laporan kerja kursus, softcopy dan slide presentiation kepada Ustaz Muhammad Yusri.







PEMBAHAGIAN TUGASAN AHLI KUMPULAN

NOR ASYIKIN BINTI SAMAN
I. Saya ditugaskan sebagai ketua kumpulan.
II. Saya telah mencari definisi hijrah daripada buku yang bertajuk XPRESS PMR.
III. Seterusnya saya telah menaip beberapa subtopik seperti definisi.
IV. Saya juga telah mengedit segala ayat-ayat dan format yang telah ditetapkan oleh Ustaz Muhammad Yusri.

HATIKA BINTI MEGAT
I. Saya telah mencari kepentingan hijrah dan menaipnya.
II. Saya telah membawa sebuah buku yang bertajuk Buku Teks Sejarah Tingkatan 4.
III. Saya bersama Nor Hashimah telah mencetak laporan tugasan ini.

NOR HASHIMAH BINTI WASIUDDIN
I. Saya telah mencari faktor-faktor dan sebab-sebab hijrah serta menaipnya.
II. Saya telah membawa sebuah buku yang bertajuk Sekitar Sejarah Dan Tamadun Islam.
III. Saya bersama Hatika telah mencetak lapran tugasan ini.
NORHIDAYAH BINTI ZULKEFLI
I. Saya telah mencari sejarah hijrah dan telah menaipnya.
II. Saya telah merujuk kepada buku yang bertajuk Sejarah Dan Kebudayaan Islam Dari Zaman Permulaan Hingga Zaman Khulafaurasyidin dan Muhammad Pembina Ummat.
III. Saya telah menjilidkan laporan tugasan dengan menggunakan kaedah stapler and binding tape.















PENGAKUAN

Ahli kumpulan kami terdiri daripada:

I. Hatika Binti Megat Jamil
II. Nor Asyikin Binti Saman
III. Nor Hashimah Binti Wasiuddin
IV. Norhidayah Binti Zulkefli

Sesungguhnya kami mengaku bahawa kami tidak melakukan sebarang
“ cut and paste ” ataupun “ plagiat ” dalam proses menyediakan kerja kursus ini.







……………….. ……………….. ……………….. ……………….
( HATIKA ) ( ASYIKIN ) ( HASHIMAH ) ( HIDAYAH )





NAMA
NO PELAJAR
KUMPULAN
HATIKA BINTI MEGAT JAMIL
2010844954
ACS1112A
NOR ASYIKIN BINTI SAMAN
2010856326
ACS1112A
NOR HASHIMAH BINTI WASIUDDIN
2010839308
ACS1112A
NORHIDAYAH BINTI ZULKEFLI
2010878386
ACS1112A

Baca Selengkapnya......

Sumbangan Khalifah Umar al-Khattab



SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

Oleh:
Amira Binti Misdar
Erlia Nadia Binti Ab. Malek
Nor Atikah Binti Mohamad Johari
Ku Norfatin Binti Ku Amirudin

Disemak oleh:
Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh


PENGHARGAAN
Assalamualaikum w.b.t
Sejunjung penghargaan dan ucapan terima kasih buat semua yang terlibat dalam kerja menyiapkan tugasan ini. Pelbagai halangan dan dugaan yang ditempuh namun Alhamdulillah dengan berkat usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua ahli kumpulan, kami berjaya menyiapkan dan menghantar tugasan ini pada tarikh yang telah ditetapkan.
Ribuan terima kasih juga kepada Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh kerana telah banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang kerja menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa kepada rakan-rakan yang turut memberikan sedikit sebanyak ilmu dan maklumat tentang tugasan yang kami peroleh iaitu “Sumbangan Khalifah Umar Al-Khattab”.
Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada kedua ibu bapa kami yang sentiasa menyokong dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kami sepanjang kami menyiapkan tugasan ini.
Selain itu, kami ingin berterima kasih kepada pihak UiTM yang turut membantu dari segi pencarian maklumat di perpustakaan yang menggunakan sistem OPAC. Dengan adanya sistem ini, kami berasa mudah untuk mendapatkan buku yang berkaitan dengan “Khalifah Umar Al-Khattab”.
Akhir kata, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat sepanjang kami menyiapkan tugasan ini.



PROSES PENYEDIAAN

SUMBANGAN AHLI
Amira Binti Misdar
• Mencari bahan tugasan.
• Membuat kesimpulan untuk tugasan.
• Menaip daripada muka surat 1 hingga 7.
Erlia Nadia Binti Ab. Malek
• Mencari bahan tugasan.
• Membuat muka depan dan isi kandungan.
• Mengedit dan mencetak tugasan.
Nor Atikah Binti Mohamad Johari
• Mencari bahan tugasan.
• Membuat penghargaan.
• Menaip daripada muka surat 8 hingga 12.
Ku NorFatin Binti Ku Amirudin
• Mencari bahan tugasan.
• Membuat pendahuluan.
• Menaip daripada muka surat 13 hingga 16.

PENGAKUAN
Kami mengaku bahawa segala hasil tugasan ini dilakukan tanpa unsur plagiat. Selain itu, hasil tugasan ini adalah kerja tangan setiap ahli kumpulan dan tidak menggunakan cara cut & paste. Segala maklumat yang terkandung dalam hasil kajian ini telah diperoleh daripada sumber-sumber yang dipercayai. Jika pengakuan ini tidak benar, kami sedia menerima apa jua tindakan daripada ustaz.

Pengakuan daripada:
Amira Binti Misdar : __________________
Erlia Nadia Binti Ab. Malek : __________________
Nor Atikah Binti Mohamad Johari : __________________
Ku Norfatin Binti Ku Amirudin : __________________


1.0 PENDAHULUAN
Saidina Umar Al-Khattab merupakan Khalifah ke-2 pada zaman khulafa Ar-Rasyidin. Beliau terkenal sebagai seorang yang berani, warak, dan mempunyai sahsiah politik yang baik. Khalifah Umar dikenali sebagai Al-Farouk dan Amir al-Mukminin. Beliau juga merupakan sahabat baik Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau telah memerintah selama 10 tahun dari 13- 23H dan perlantikan sebagai khalifah telah dicalonkan oleh Abu Bakar dan dipersetujui oleh umat Islam. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau telah melakukan banyak pembaharuan dalam pentadbiran Islam dan perluasan wilayah Islam serta mengembangkan dakwah Islamiah. Selain itu, telah berlaku kegemilangan Islam terutama dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama. Khalifah Umar telah meninggal dunia pada 23H.


2.0 BIODATA KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB
Nama penuhnya ialah Umar bin Al-Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza bin Rabah bin Abdullah
bin Qarth bin Razah bin Adiy bin Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M dan berasal daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan
berkedudukan tinggi. Sewaktu kecil, beliau pernah mengembala kambing dan apabila dewasa
beliau berniaga dengan membawa barang dagangan berulang-alik ke Syam. Pada zaman
Jahiliah, beliau pernah menjadi pendamai ketika terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam berbicara, dan berterus terang ketika menyatakan fikiran, serta pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato dan juga seorang ahli gusti (Rosnani Rifin, 2007).
2.1 KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB DAN ISLAM
Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi Muhammad. Beliau
merupakan pemberi sumbangan yang sangat besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum itu beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Ramai orang Islam yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbang akan orang Quraisy yang selalu merancang untuk mengusir mereka. Setelah beliau memeluk Islam, ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak berasa curiga lagi untuk mengerjakan ibadat. Beliau digelar “Al-Faruq” yang bermaksud orang yang membezakan hak dan yang batil. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka buat pertama kali dalam sejarah Islam (Rosnani Rifin, 2007).
2.2 KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB DAN HIJRAH
Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara
bersembunyi, tetapi Khalifah Umar keluar secara terang-terangan bersama pedang di tangan. Beliau sedia untuk menghunus sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya keluar berhijrah. (Rosnani Rifin, 2007).
2.3 KEWAFATAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB
Ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil
para sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi menggantikan pentadbiran beliau sebagai khalifah. Khalifah Abu Bakar mencadangkan nama Saidina Umar untuk dicalonkan memegang jawatan tersebut dan seterusnya mendapat persetujuan dari
kalangan sahabat dan orang ramai(Rosnani Rifin, 2007).
Khalifah Umar wafat pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun iaitu setelah beliau memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Beliau wafat kerana ditikam oleh Abu Lu’luah yang berbangsa Parsi dan beragama Majusi.
Beliau dimakamkan di Madinah, berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w dan Khalifah Abu Bakar (Rosnani Rifin, 2007).



3.0 SUMBANGAN DALAM BIDANG PEMERINTAHAN
Dalam bidang pemerintahan, langkah pertama yang dilakukan oleh Khalifah Umar sebagai khalifah adalah meneruskan langkah yang telah ditempuh oleh Khalifah Abu Bakar iaitu dalam memperluaskan wilayah Islam ke luar Semenanjung Arab. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar, terjadinya perluasan kuasa Islam secara besar-besaran sehingga zaman ini dengan nama Futuhat al-Islamiyah (perluasan wilayah Islam). Pasukan Islam berjaya menduduki Syria, Iraq, Mesir, Palestin dan Parsi berturut-turut (Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam,2010).

3.1 PEMBAHAGIAN KAWASAN PEMERINTAHAN
Khalifah Umar telah berjasa dengan membentuk Majlis Permusyawaratan, Anggota Dewan, dan memisahkan lembaga pengadilan. Dia juga membahagikan wilayah Islam kepada lapan wilayah yang terdiri daripada beberapa daerah dan subdaerah. Lapan wilayah itu adalah Makkah, Madinah, Syria, Jazirah, Kufah, Basra, Mesir, dan Palestin. Setiap daerah, pegawai khusus diangkat selaku gabenor. Gaji mereka adalah mengikut aturan. Selain itu, pentadbiran percukaian juga diperkemaskan (Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam,2010).


4.0 SUMBANGAN DALAM BIDANG PENTADBIRAN
4.1 MEMBENTUK MAJLIS SYURA
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Majlis Syura terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am (Abdul Latip, 2010; Razlina Abd Rahman, 2005).
Antara anggota Majlis Syura Tertinggi ialah:
1. Uthman bin Affan
2. Ali bin Abi Talib
3. Zaid bin Tsabit
4. Abdul Rahman bin Auf
5. Saad bin Abi Waqas
6. Muaz bin Jabal
Sebarang perkara yang melibatkan masalah politik, keselamatan, dan sosial negara akan
dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Selain itu, Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara samada dalam soal pemerintahan dalaman mahupun soal pemerintahan hubungan luar (Abdul Latip, 2010; Razlina Abd Rahman, 2005).
Melalui sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa sahaja permasalahan yang berlaku dalam semua aspek. Beliau turut membuka peluang dan kebebasan seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan sebarang persoalan dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam sehingga beliau menggangap manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah (Abdul Latip, 2010; Razlina Abd Rahman, 2005).

4.2 MEMBAHAGIKAN WILAYAH-WILAYAH ISLAM
Islam telah berkembang luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru. Oleh itu, bagi menguruskan sesebuah negara ia memerlukan suatu pentadbiran. Melalui perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam dan beliau telah meletakkan beberapa orang pegawai di setiap wilayah tersebut untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada setiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran seperti Muawiyah bin Abu Sufian, Amru bin al-Ass, Mughirah bin Syu’bah dan Zaid bin Sumyah (Razlina Abd. Rahman,2005).
Sebelum seseorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka terlebih dahulu bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah
Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam (Razlina Abd. Rahman,2005).

4.3 MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN TANAH
Perluasan kuasa Islam telah menuntut Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan
terhadap sistem tanah. Misalnya di Mesir, Syria dan Iraq segala tanah awam menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam di negara itu. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai. Justeru, tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Hal ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan (Razlina Abd. Rahman, 2005).

5.0 SUMBANGAN DALAM BIDANG EKONOMI
5.1 MEMAJUKAN SISTEM PERTANIAN
Khalifah Umar Al-Khattab telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Selain itu, beliau telah membina Empangan Abu Musa di Iraq yang menyambungkan sungai Dujlah (Tigres) dan bandar Basrah (Sumbangan Saidina Umar, 2010).
Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang sihat dan berkualiti.
Rakyat turut digalakkan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan lagi hasil
pertanian. Sekiranya tidak terdapat hasil pertanian pada tanah dan tanah itu juga tidak dikerjakan, tanah tersebut akan ditarik balik (Sumbangan Saidina Umar, 2010).

5.2 MENAMBAHKAN PENDAPATAN

Untuk meningkatkan lagi pendapatan di sesebuah kawasan tersebut, Khalifah Umar juga telah memperkenalkan pelbagai jenis cukai. Bagi golongan Dzimmi, cukai jizyah yang dikenakan juga tidak memberatkan. Cukai kharaj pula dikenakan berdasarkan jenis tanaman dan kesuburan tanah. Kharaj sebanyak satu dirham dikenakan atas tanaman barli manakala untuk gandum, dikenakan cukai berjumlah 10 dirham (Siti Hajar Abdullah,2009).
Selain itu, Baitulmal juga telah didirikan oleh Khalifah Umar bagi mengawal aliran masuk pendapatan negara melalui sistem jizyah dan kharaj. Oleh sebab itu, beliau telah diberikan gelaran Amirul Mukminin atau Panglima Agung Mukmin (Siti Hajar Abdullah,2009).

6.0 SUMBANGAN DALAM BIDANG SOSIAL
6.1 MELAKUKAN POLISI BARU UNTUK GOLONGAN DZIMMI
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah satu kali Khalifah Umar memanggil sepuluh orang Dzimmi dari Kufah dan sepuluh orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan (Siti Hajar Abdullah,2009).
Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar dari negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam (Siti Hajar Abdullah,2009).
6.2 MENINGKATKAN TARAF KEDUDUKAN HAMBA
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang
baik. Golongan hamba tidak lagi dihina dan ditindas, malah mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecuali bagi mereka yang benar-benar menentang Islam dalam
peperangan. Khalifah Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak
boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan
hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka (Siti Hajar Abdullah, 2009).
Selain itu, taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Khalifah Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit (Siti Hajar Abdullah,2009).

6.3 MENGGALAKKAN KEGIATAN KEILMUAN DAN PEMBELAJARAN
Khalifah Umar telah melakukan pelbagai langkah untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan guru-guru dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Banyak sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi mengajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya, umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai usaha untuk menggalakkan mereka menghafal kandungan al-Quran (Siti Hajar Abdullah,2009).

7.0 SUMBANGAN DALAM BIDANG KESELAMATAN
7.1 MENGUATKAN SISTEM PERTAHANAN
Di bidang keselamatan dalam negeri, beliau telah menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau telah membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Beliau juga merupakan seorang pahlawan yang telah berjaya menundukkan Parsi dan Rom selain turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu, beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasaskan sistem pelajaran Islam demi meningkatkan sistem pertahanan Negara (sumbangan Saidina Umar,2010).

8.0 KESIMPULAN
Khalifah Umar Al-Khattab adalah profil seorang pemimpin yang berjaya, mujtahid (ahli ijtihad) yang ulung, dan sahabat Rasulullah s.a.w. yang sejati. Kejayaan dalam mengibarkan panji-panji Islam mengundang rasa iri dan dengki dalam hati musuh-musuhnya. Salah seorang musuhnya, Abu Lu’lu’ah, telah mengakhiri hidupnya dengan cara yang amat tragis. Dia menikam Khalifah Umar tatkala sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh. Beliau wafat pada usia 63 tahun setelah lebih kurang 10 tahun memegang amanah sebagai khalifah.

Sumbangan dan jasa Khalifah Umar al-Khattab adalah menyusun pentadbiran dan pembentukan syura. Selain itu, beliau menubuhkan beberapa jabatan seperti “dewan al-janad” dan “dewan al-jarah”. Khalifah Umar juga telah mengadakan peraturan tanah negara, menetapkan kalendar Islam bermula dari Hijrah Rasulullah s.a.w. dan menubuhkan pasukan polis dan tentera laut.

Khalifah Umar al-khattab yang merupakan khalifah yang kedua dalam kerajaan khulafa ar-Rasyidin telah memberi banyak sumbangan kepada umat islam dan seterusnya memberi teladan yang baik untuk dijadikan ikutan umat islam. Kegigihan dan perjuangan Khalifah Umar bin al Khattab di dalam menegakkan ajaran agama Islam telah memberi kesan yang mendalam pada kerajaan Islam pada masa itu. Kepimpinan beliau adalah berpandukan akidah yang benar dan sanggup berkorban bagi mempertahankan agama. Merealisasikan al-Quran terutama dalam akhlak dan penghidupan sehingga menjadi qudwah hasanah, iaitu contoh yang baik.



RUJUKAN

Rosnani Rifin.(2007).Masteri Memori Melalui Peta Minda.Selangor Darul Ehsan:PNI NEURON.
2http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=132&thread_id=17514
3http://abdullatip.blogspot.com/
4http://www.pts.com.my/index.php/buku/umar_al-khattab_reformis_dunia_islam
5Razlina Abd. Rahman.(2005).Bimbingan Skor,Intensif SPM,Pendidikan Islam.Selangor Darul Ehsan:PAN ASIA PUBLICATIONS SDN.BHD)
6Siti Hajar Abdullah.(2009).My Gred A,Pendidikan Islam Tingkatan 5.Selangor Darul Ehsan:INFO-DIDIK SDN.BHD)

Baca Selengkapnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template