KAEDAH FIQH DALAM PEMBANGUNAN PASARAN MODAL ISLAM DI MALAYSIA
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (Fiqh dan Usul) (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip Pendidikan (Pend. Islam & B.Arab) (I.P.G.I.K)
1.1 Pengertian Bahasa
Kaedah fiqh menurut pengertian bahasa ia mengandungi dua kalimah; kalimah pertama berasal daripada bahasa Arab iaitu qa’idah yang membawa maksud asas sesuatu dan asalnya. Manakala kalimah kedua ialah perkataan fiqhiyyah berasal daripada perkataan fiqh yang mana ia membawa maksud al-fahmu iaitu suatu kefahaman (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 1).
1.2 Pengertian Istilah
Para ulama’ mentakrifkan kaedah fiqh dengan pelbagai takrif namun para penyelidik mendapati bahawa ia mengandungi maksud yang sama namun diungkapkan dalam pelbagai susunan bahasa.Antara takrif yang kerap diutarakan dalam memahami kaedah fiqh ialah prinsip-prinsip fiqh yang bersifat umum dalam bentuk nas pendek yang berbentuk hukum umum yang sesuai dengan bahagian-bahagiannya (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 106).
Selain daripada itu, kaedah fiqh juga ditakrifkan sebagai asas-asas atau prinsip-prinsip fiqh yang bersifat menyeluruh dalam bentuk nas-nas dan teks-teks perundangan yang ringkas yang merangkumi hukum-hukum yang disyariatkan secara umum mengenai atau tentang perkara-perkara yang tergolong di dalam lingkungannya.
Sebahagian ulama’ pula mentakrifkan kaedah fiqh sebagai kaedah-kaedah hukum yang bersifat umum yang diambil daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang mana ia menjadi asas kepada kaedah-kaedah yang sekaligus dapat disesuaikan dengan banyak juziyyah atau cabang-cabang perbahasan dalam ilmu fiqh. Sebagai kesimpulannya, kaedah fiqh ialah suatu kaedah dalam undang-undang Islam yang disusun oleh para ulama’ untuk menjadi asas untuk memahami dan mengembangkan fiqh Islam tentang kaedah-kaedah hukum (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 107).
Dalam istilah undang-undang, kaedah fiqh ini dikenali sebagai principal. Keistimewaan kaedah fiqh ini ialah teksnya dibentuk dalam beberapa kalimah yang ringkas dan padat dalam bentuk lafaz yang umum, tetapi maknanya luas dan mencakupi cabang-cabang masalah yang terperinci. Walaubagaimanapun, kaedah fiqh tidak merangkumi semua masalah, dalam situasi tertentu kaedah fiqh ini tidak sesuai dipakai. Justeru itu, para ulama’ mentakrifkan kaedah fiqh ini sebagai kaedah yang bersifat majoriti atau aglabiyyah. Atas dasar itulah, para fuqaha’ tidak mengharuskan para hakim ketika membuat penghakiman bergantung atau berpegang sepenuhnya kepada kaedah-kaedah yang dinyatakan tanpa merujuk kepada nas lain yang bersifat khas atau ‘am yang mencakupi kes itu, ini kerana kaedah fiqh ini walaubagaimana bernilai dan diambil pakai dalam perlaksanaan hukum sekalipun, ia tetap mempunyai masalah-masalah yang dikecualikan. Dalam erti kata lain, kaedah fiqh ini mestilah disokong dengan nas-nas lain bagi menentukan sesuatu perkara itu, sama ada ia dibolehkan atau tidak (al-Dariy 1997: hlm.81).
1.3 Kedudukan Kaedah Fiqh dalam Perundangan Islam
Sungguhpun kaedah fiqh ini sifatnya tidak menyeluruh, namun ia tidak bererti akan mengurangkan nilai ilmiyahnya. Ini kerana terdapat di dalam kaedah-kaedah itu suatu gambaran-gambaran yang menarik berkaitan prinsip-prinsip fiqh yang umum yang membuka landasan-landasan prinsip itu daripada segi teorinya, seterusnya kaedah fiqh ini memantapkan hukum-hukum cabang yang amali dengan beberapa kaedah yang menjelaskan kesatuan al-manat (illah / sebab hukum) pada setiap kelompok hukum furu’ ini. Kaedah ini juga mengumpulkan hukum-hukum cabang di bawah satu kaedah walaupun berlainan tajuk dan babnya.
Kalau tidak wujud kaedah ini, maka hukum-hukum fiqh akan merupakan hukum-hukum furu’ yang terpisah-pisah dan kadang-kadang pada zahirnya boleh menimbulkan pertentangan antara satu sama lain tanpa dasar-dasar yang dipegang dalam pemikiran, yang menerangkan alasan-alasan konkrit, yang menentukan arah perundangan dan menyediakan cara-cara mengukur dan membandingkannya.
Oleh kerana itu, Imam al-Qarafi menyatakan dengan tegas dalam pendahuluan kitabnya, al-Furuq:
“Sesungguhnya syariat Muhammad s.a.w mengandungi usul dan furu’. Usul itu ada dua bahagian, pertama Usul al-Fiqh, kebanyakan perbahasannya ialah berkaitan dengan kaedah-kaedah hukum yang timbul daripada lafaz-lafaz seperti al-Amr yang menunjuk kepada wajib dan al-nahyu yang menunjuk ke atas larangan, lafaz-lafaz khusus dan umum dan yang berkaitan dengan demikian itu seperti nasakh dan mansukh serta tarjih. Sementara kedua pula ialah qawaid al-fiqhiyyah yang mempunyai hukum-hukum furu’ yang banyak. Kaedah-kaedah ini sangat penting dalam pengajian ilmu fiqh dan besar manfaatnya. Seorang faqih dapat diukur kemampuannya melalui sejauh mana penguasaannya ke atas qawaid fiqhiyyah ini, kerana dengan ini dia dapat memahami metodologi atau cara mengeluarkan fatwa. Sesiapa yang hanya merujuk kepada furu’ juziyyah sahaja tanpa berpandu kepada kaedah fiqh, pasti akan timbul pertentangan antara furu’ dan memerlukan dia menghafaz masalah-masalah furu’ secara terperinci yang terlalu banyak” (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 10).
1.4 Kepentingan Kaedah Fiqh
Para fuqaha’ menyenaraikan beberapa kaedah fiqh antaranya ialah:
1. Kaedah fiqh merupakan suatu ilmu yang penting sebagai panduan dan dasar untuk mengeluarkan hukum-hukum pecahan atau cabang.
2. Membantu untuk mengetahui hukum-hukum terperinci serta menjelaskan berkaitan fiqh Islam.
3. Pecahan dan cabang masalah fiqh akan dapat dikuasai dan diketahui melalui kaedah fiqh sahaja.
4. Ilmu kaedah fiqh menjadikan seseorang itu lebih faham terhadap penghayatan fiqh dan mampu menghbungkan dan mengeluarkan hukum-hukum dan mengetahui hukum daripada masalah-masalah yang tidak termaktub serta hukum masalah yang sentiasa wujud sepanjang masa.
5. Para fuqaha’ tidak perlu menghafal masalah-masalah fiqh yang banyak jumlahnya kerana masalah juz’iyyah tercangkup dalam kaedah-kaedah kulliyyah (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 14).
1.5 Kaedah Asas dan Pecahan dalam Kaedah Fiqh
Terdapat lima kaedah asas yang terdapat dalam penulisan-penulisan fuqaha’ silam. Daripada setiap lima kaedah asas ini dipecahkan menjadi kaedah kecil yang banyak. Disebabkan keterbatasan ruang perbahasan, penulisan ini hanya menyenaraikan lima kaedah asas dan beberapa kaedah pecahan sahaja. Lima kaedah asas itu ialah:
1. (الأمور بمقاصدها) yang bermaksud: segala urusan berdasarkan niat.
2. ( اليقين لا يزال بالشك) yang bermaksud: keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan.
3. ( المشقة تجلب التيسير) yang bermaksud: kesukaran memberi ruang kepada kemudahan.
4. ( الضرر يزال) yang bermaksud: kemudaratan mesti dihapuskan.
5. ( العادة محكمة) yang bermaksud: adat digunapakai dalam memutuskan hukum (dalam kes yang tiada hukum asal) (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 107).
Antara kaedah pecahan daripada kaedah asas yang pertama iaitu (الأمور بمقاصدها) ialah:
1. (عدم اشتراط النية في عبادة لا تكون عادة او لا تتلبس) iaitu tidak disyaratkan niat dalam mana-mana ibadah yang ia bukan jenis adat atau ia tidak akan ada kesamaran dengan yang lain.
2. (ما لا يشترط التعرض له جملة وتفصيلا اذا عينه وأخطأ لم يضر) iaitu sesuatu amalan yang tidak disyaratkan ta’arrud baginya sama ada secara ringkas mahupun terperinci, apabila dita’yinkan itu, maka ia tidak memudaratkan (tidak batal).
3. (الإشتغال بغير مقصود إعراض عن المقصود) iaitu melakukan apa yang tidak dimaksudkan bererti berpaling daripada yang dimaksudkan.
4. (النية في اليمين تخصص اللفظ العام ولا تعمم الخاص) iaitu niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan lafaz umum.
5. (مقاصد اللفظ علي نية اللافظ) iaitu sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37).
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( اليقين لا يزال بالشك) ialah:
1. (الأصل بقاء ما كان على ماكان ) iaitu asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya.
2. ( القديم يترك على قدمه) iaitu apa yang ada semenjak dulu dibiarkan atas kedahuluannya.
3. (الأصل براءة الذمة) iaitu asal seseorang adalah bebas daripada tanggungjawab.
4. (الأصل العدم) iaitu asal segala sesuatu ialah tiada.
5. (الأصل في الصفات أو الأمور العارضة العدم) iaitu asal pada sifat atau perkara baru mendatang ialah tiada.
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( المشقة تجلب التيسير) ialah:
1. (الأمر إذا ضاق إتسع) iaitu sesuatu perkara jika menjadi sempit (susah), hukumnya menjadi luas.
2. (الضرورات تبيح المحظورات) iaitu kemudaratan membolehkan tegahan.
3. (الضرورات تقدر بقدرها) iaitu perkara-perkara darurat ditentukan mengikut kadarnya.
4. (ما جاز لعذربطل بزواله) iaitu apa yang diharuskan kepada orang yang uzur terbatal dengan hilang keuzuran tersebut.
5. (الاضطرار لايبطل حق الغير) iaitu keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( الضرر يزال) ialah:
1. (الضرر لايزال بالضرر) iaitu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.
2. (الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف) iaitu kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan.
3. (يختار أهون الشرين) iaitu dipilih yang paling ringan antara dua keburukan.
4. (درء المفاسد مقدم علي جلب المصالح) iaitu membendung kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan
5. (الضرر يدفع بقدر الامكان) iaitu kemudaratan dibendung semungkin yang dapat.
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( العادة محكمة) ialah:
1. (كل ما شهد به العاده قضى به) iaitu apa yang telah diktiraf adat (sebagai harus atau haram) dihukum dengannya.
2. (انما تعتبر العادة إذا إطردت او غلبت) iaitu sesungguhnya adat yang diterima pakai ialah apabila ia berlaku berterusan atau secara kebiasaan.
3. (العلم بالرضا ينفي الحرمة) iaitu Pengetahuan dengan keredaan menafikan pengharaman.
4. (الحقيقة تترك بدلالة العادة) iaitu hakikat ditinggalkan dengan adanya petunjuk adat.
5. (الممتنع عادة كالممتنع حقيقة) iaitu perkara yang dilarang adat hukumnya diterima pakai (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37-44).
1.6 Aplikasi Semasa Kaedah Fiqh dalam Mu’amalat
Kajian ini telah menggunakan keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SS) sebagai rujukan utama dalam mendedahkan penggunaan kaedah fiqh yang telah digunapakai bagi mengharuskan instrumen-instrumen Pasaran Modal Islam di Malaysia. Penggunaan ini keputusan MPS SS berdasarkan kepada dua sebab; pertama, sukar untuk mencari penggunaan kaedah fiqh dalam pengharusan instrumen sama ada di Malaysia atau di dunia Islam yang lain kerana kaedah fiqh ini hanya akan digunakan sebagai sumber sokongan kepada pengharusan instrumen kerana sifat kaedah fiqh ialah aglabiyyah atau kaedah yang hanya terpakai secara majoriti dan bukan keseluruhan. Kedua, kajian ini mendapati bahawa sangat sukar untuk mendapat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah industri perbankan lain kerana kebiasaannya keputusan-keputusan ini adalah sulit dan tidak didedahkan kepada umum. Berlainan dengan keputusan MPS SS yang boleh didapati dalam bentuk buku dan kertas kerja yang diedarkan untuk tujuan kefahaman orang ramai.
1.6.1 Penggunaan Prinsip al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir, al-Amr Idha Daqa Ittasaʿa dan Ma ʿAmmat Baliyyatuh Khaffat Qadiyyatuh dalam persoalan ʿUmum Balwa
Keputusan
MPS SS, dalam mesyuarat kedua pada 21 Ogos 1996, ketika membincangkan isu ukur rujuk elemen haram dalam syarikat bercampur, telah memutuskan bahawa situasi ‘umum balwa perlu diambil kira dalam menentukan status syarikat bercampur.
Kemaafan Syarak Dalam Situasi Umum Balwa
Terdapat beberapa kaedah fikah yang memberi kemaafan kepada orang Islam bagi situasi ‘umum balwa. Tujuan kemaafan tersebut adalah untuk memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan aktiviti harian. Sekiranya kemudahan tidak diberi maka maslahat umum akan terjejas terutamanya dalam bidang ekonomi yang melibatkan penguasaan mal dan perdagangan serta pemantapan umat. Antara kaedah fikah yang menyentuh situasi ‘umum balwa adalah seperti berikut:
المشقة تجلب التيسير
Maksudnya: Kesusahan mengharuskan kemudahan
ما عمت بليته خفت قضيته
Maksudnya:
Sesuatu perkara yang dilarang berlaku secara meluas (dan sukar dielakkan) Syarak mengizinkan keringanan kepada yang terkena.
الأمر إذا ضاق اتسع
Maksudnya:
Sesuatu perkara apabila ada kesukaran maka Syarak mengizinkan kelapangan sebagai jalan keluar.
Imam al-Suyuti dalam menghuraikan kaedah fikah (المشقة تجلب التيسير), telah memasukkan perkara ‘umum balwa dalam perkara yang membolehkan prinsip “taisir” iaitu keringanan diaplikasikan. Ini bermakna jika sesuatu perkara dikategorikan sebagai ‘umum balwa, Syarak memberikan keringanan supaya tidak menimbulkan kesusahan kepada umat Islam (MPS SS 2002: hlm. 109 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Syarikat bercampur didefinisikan oleh MPS SS sebagai sebuah syarikat yang aktiviti utamanya terdiri daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga aktiviti sampingan yang haram tetapi nisbahnya kecil. Dalam mengharuskan syarikat bercampur dimasukkan dalam senarai Sekuriti Yang Diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, MPS SS memutuskan beberapa kaedah fiqh sebagai sumber sokongan kepada beberapa penghujahan lain seperti ʿurf, maslahah dan berasaskan kepada pandangan fuqaha’ silam dan semasa.
Kaedah Fiqh yang digunakan ialah al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir, al-Amr Idha Daqa Ittasaʿa dan Ma ʿAmmat Baliyyatuh Khaffat Qadiyyatuh . Kaedah-kaedah ini pada dasarnya mengandungi maksud yang hampir sama dan menyokong antara satu sama lain. Dalam kes syarikat bercampur yang aktiviti utamanya halal, MPS SS memutuskan beberapa kriteria dan ukur rujuk sebelum memasukkannya dalam senarai Lulus Syariah. Perlu disedari bahawa Pasaran Modal dan Kewangan Islam yang ada di Malaysia pada hari ini dibangunkan dalam kerangka Sistem Konvensional yang berasaskan riba yang telah menapak kukuh lebih daripada 500 tahun lalu. Sudah semestinya unsur-unsur riba, gharar, ghabn fahish dan beberapa lagi unsur yang diharamkan oleh Syariah wujud dan tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Berasaskan kepada situasi sedia ada, bagi memastikan perkembangan Pasaran Modal Islam Malaysia setanding dengan Pasaran Modal Konvensional yang sedia ada, MPS SS menyifatkannya perkara tersebut sebagai ʿumum balwa iaitu situasi yang tidak baik yang meluas yang terkena pada kebanyakan orang yang sukar untuk menghindarkan diri.
Justeru, kaedah-kaedah fiqh tersebut digunakan sebagai pengukuh kepada prinsip ʿumum balwa yang membuktikan bahawa Syariʿat Islam adalah Syariʿat yang bersifat anjal dan mudah yang tidak menyusahkan umatnya dalam kehidupan seharian. Tindakan MPS SS membolehkan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti Lulus Syariah adalah satu tindakan yang baik untuk terus mengembangkan lagi Pasaran Modal Islam dan seterusnya dapat meningkatkan pegangan ekuiti di kalangan bumiputera Islam dan menjana pertumbuhan ekonomi di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Dengan penguasaan ekonomi, umat Islam akan mampu meningkatkan pengamalan Islam di Malaysia (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 133 ).
1.6.2 Penggunaan Prinsip La Darar wa La Dirar dan al-Darar Yuzal sebagai Sumber Sokongan Pengharusan Taʿwid.
Keputusan
MPS SS dalam mesyuarat ke 20 pada 14 Julai 1999, telah bersetuju untuk mengharuskan pengenaan bayaran ta’widh (ganti rugi) atas kelewatan membayar balik sesuatu pembiayaan Islam.
Hujah Mengharuskan Ta’widh
Kaedah Perundangan Islam
Terdapat kaedah perundangan Islam yang menyentuh hal ini iaitu:
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya:
Tiada mudharat dan memudaratkan (dalam Islam)
Berdasarkan Kaedah ini, tindakan penghutang melewatkan bayaran adalah sesuatu yang memudaratkan pemiutang. Hal ini perlu dielakkan supaya urusniaga yang berjalan memenuhi prinsip istiqrar ta’amul iaitu kelancaran perjalanan pasaran. Ia disokong oleh kaedah perundangan Islam yang lain iaitu:
الضرر يزال
Maksudnya:
Sebarang kemudaratan hendaklah dihilangkan.
Dalam konteks perbincangan ini, kemudaratan yang ditanggung oleh pemiutang mesti dihilangkan dengan menyediakan pendekatan yang sesuai bagi menanggung kemudaratan yang dialami oleh pemiutang dan menggalakkan penghutang untuk menjelaskan bayaran mengikut jadual yang ditetapkan (MPS SS 2002: hlm. 111 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Dua kaedah fiqh iaitu La Darar wa La Dirar dan al-Darar Yuzal digunakan sebagai sumber ketiga selepas al-Sunnah dan al-Qiyas dalam pengharusan taʿwid. Kedua-dua kaedah ini memfokuskan kepada prinsip darar. Kaedah pertama menerangkan Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perkara yang boleh membawa mudarat dan memudaratkan orang lain. Kaedah kedua pula menyatakan bahawa kemudaratan mestilah dihilangkan selaras dengan matlamat Syariah yang mementingkan kemaslahatan hambanya.
Dalam konteks taʿwid, iaitu sejenis denda yang telah dipersetujui bersama oleh pihak yang melakukan akad sebagai ganti rugi yang layak dituntut oleh pemiutang akibat kegagalan atau kelewatan penghutang membayar balik hutangnya, darar atau kemudaratan pastinya wujud dengan kegagalan penghutang membayar balik hutang tepat pada masa perjanjian. Pihak pemiutang akan kehilangan peluang menggunakan dana yang dipinjam untuk melakukan pelaburan dan perniagaan lain. Dalam perniagaan dan pelaburan, aspek ketepatan masa cukup penting. Sesebuah syarikat mungkin akan kehilangan peluang pelaburan atau perniagaan akibat kelewatan melunaskan hutangnya. Justeru pengenaan denda seperti ini dapat menghilangkan kemudaratan yang ditanggung oleh pemiutang.
Selain itu, pengenaan taʿwid ini dapat menggalakkan pelunasan hutang mengikut jadual yang ditetapkan dan seterusnya dapat menjamin kelancaran Pasaran Modal Islam di Malaysia dan menggalakkan pengamal industri untuk terus memberikan pembiayaan berteraskan prinsip-prinsip Syariah kerana yakin dan optimis dengan pengawalseliaan yang baik Pasaran Modal Islam yang memastikan bahawa golongan pemiutang terhindar daripada kesusahan yang terhasil daripada penyertaan mereka dalam Pasaran Modal Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 136 ).
1.6.3 Penggunaan Prinsip La Yunkar Taghayyur Al-Ahkam Bi Taghayyur Al- Azman Sebagai Sumber Sokongan Dalam Rasional Mengharuskan Kemasukan Syarikat Bercampur Dalam Senarai Sekuriti Yang Diluluskan Syariah.
Perubahan Hukum kerana Perubahan Tabie Manusia
Perubahan suasana dan tempat memberi kesan besar kepada ketetapan hukum sepanjang masa. Ini kerana Islam merupakan agama yang sesuai untuk memenuhi keperluan manusia pada setiap masa dan tempat. Bagi memenuhi tuntutan tersebut maka berlakulah perubahan hukum. Ini kerana setiap hukum yang disyariatkan mempunyai tujuannya yang tersendiri bagi memenuhi tuntutan keadilan, maslahat dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan. Selain faktor masa, tempat dan suasana, perubahan hukum juga berkaitan dengan perubahan akhlak umat. Berdasarkan sejarah perundangan Islam, terdapat banyak hukum yang telah berubah kerana berlaku perubahan masa, tempat dan suasana. Dengan sebab itu perundangan Islam telah menyatakan satu kaedah fikah:
لاينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان
Maksudnya:
Tidak dinafikan perubahan hukum, disebabkan perubahan masa
Sungguhpun begitu, perubahan itu terhenti setakat hukum yang bersifat ijtihadi. Sesuatu hukum itu boleh berubah akibat berkurangnya sifat warak dan lemahnya pematuhan terhadap suruhan agama secara menyeluruh pada sesuatu tempat yang dikenali sebagai fasaduz zaman. Selain itu, hukum juga boleh bertukar dengan berlakunya perubahan sistem ekonomi atau dikenali sebagai asalib iqtisadiyyah kerana jika hukum tidak berubah selaras dengan keperluan semasa maka ia dianggap tidak praktikal lagi. Implikasinya, ini akan menjadikan Syariah itu seolah-olah statik dan jumud kerana tidak dapat menangani keperluan semasa, sedangkan menurut Imam al-Syatibi tiada yang sia-sia dalam Syariah (MPS SS 2002: hlm. 116 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Pada hakikatnya, penggunaan kaedah ini adalah sebagai lanjutan daripada perbahasan fuqaha’ silam berkaitan dengan syarikat mufawadah. MPS SS dalam kes syarikat bercampur dilihat menyokong pendapat fuqaha’ yang mengharuskan syarikat mufawadah. Dalam menyokong pendapat mengharuskan syarikat jenis ini, MPS SS mengemukakan kaedah La Yunkar Taghayyur al-Ahkam bi Taghayyur al-Azman sebagai sumber sokongan di samping sumber-sumber lain seperti ʿumum balwa, pendapat-pendapat fuqaha’ dan prinsip al-daruriyyah al-khamsah.
Kaedah ini dikemukakan bagi membuktikan bahawa hukum ijtihadi boleh berubah dengan berlalunya zaman. Dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang pendapat minoriti fuqaha’ yang tidak mengharuskan syarikat bercampur jika digunapakai akan menyebabkan pertumbuhan Pasaran Modal Islam terhalang. Ditambah pula dengan hukum tersebut terbina atas asas suasana dan realiti silam. Justeru, dengan mengemukakan kaedah ini dan beberapa sumber lagi, MPS SS mengharuskan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti Lulus Syariah (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 138 ).
1.6.4 Penggunaan Prinsip Al-Haram La Yuharrim Al-Halal Dalam Jawapan Terhadap Pandangan Yang Mempertikaikan Keharusan Syarikat Bercampur
Terdapat pihak yang mempertikaikan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai Lulus Syariah sedangkan ia bertentangan dengan kaedah (إذا اجتمع الحلال و الحرام غلب الحرام ) yang bermaksud sekiranya bercampur sesuatu yang halal dan haram, maka ia dihukumkan sebagai haram. Mereka beranggapan bahawa syarikat ini tidak sepatutnya dimasukkan sama sekali di dalam senarai sekuriti yang diluluskan Syariah.
Namun perlu difahami bahawa terdapat hujah-hujah yang kuat untuk menolak hujah tersebut seperti berikut:
i. Kelemahan kaedah (إذا اجتمع الحلال و غلب الحرام )
Kaedah yang disebutkan di atas juga dipertikaikan kesahihannya. Tidak dinafikan bahawa kaedah ini sesuai bagi kes-kes tertentu seperti percampuran sembelihan orang Islam dan Majusi, namun ia tidak sesuai untuk kes syarikat bercampur. Al-Suyuti menyebut bahawa kaedah tersebut adalah berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w:
ما اجتمع الحلال و الحرام إلا غلب الحرام الحلال
Maksudnya:
Apabila bercampur perkara halal dan haram maka perkara tersebut dihukumkan sebagai haram.
Namun ulama’ telah membahaskan status hadith ini. Menurut al-Hafiz Abu al-Fadl al-‘Iraqi, hadith ini tidak diketahui asalnya. Manakala al-Subki menukilkan daripada al-Bayhaqi, bahawa hadith tersebut diriwayatkan oleh Jabir al-Ja’fiy seorang yang bertaraf lemah dan telah meriwayatkan daripada al-Sya’biy daripada Ibn Masʿud dalam bentuk munqati’ (hadis yang terputus sanadnya).
ii. Wujudnya kaedah berlawanan
Terdapat kaedah berlawanan bagi kaedah tersebut yang disebutkan dalam al-Asybah pada akhir perbincangan kaedah إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام. Kaedah tersebut adalah الحرام لا يحرم الحلال yang bermaksud : “ perkara haram tidak mengharamkan yang halal”. Kaedah ini terbentuk berdasarkan hadis warid yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah dan al-Dar al-Qutni yang meriwayatkan daripada Ibn Majah (MPS SS 2002: hlm. 122 ).
Analisis Keputusan MPS SS
MPS SS dalam mengemukakan hujah kepada pihak yang mengemukakan kaedah fiqh Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram sebagai mempertikaikan tindakan MPS SS mengharuskan syarikat bercampur telah mengemukakan kaedah fiqh yang lain yang disifatkan oleh MPS SS bersandarkan hadis iaitu al-Haram La Yuharrim al-Halal. Kaedah Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram menurut MPS SS bersandarkan kepada hadis yang tidak jelas kesahihannya.
Justeru itu, MPS SS dalam soal ini lebih selesa menggunakan kaedah al-Haram La Yuharrim al-Halal. Ini kerana menurut MPS SS, kaedah ini berasaskan hadis warid yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah dan Dar al-Qutni yang diriwayatkan daripada Ibn ʿUmar. Hadis yang menjadi sandaran kaedah fiqh al-Haram La Yuharrim al-Halal ialah:
حدثنا يحي بن معلى بن منصور حدثنا اسحاق بن محمد الفروي حدثنا عبد الله بن عمر عن نافع ابن عمر أن النبى صلى الله عليه وسلم قال لا يحرم الحرام الحلال
Hadis ini jika ditinjau daripada sudut sanad diriwayatkan daripada perawi-perawi yang bertaraf thiqah iaitu Yahya bin Muʿlla bin Mansur (saduq sahib al-hadith), Ishaq bin Muhammad bin Ismaʿil bin ʿAbd Allah (saduq), Nafiʿ Mawla Ibn ʿUmar (thiqah sabit) dan Ibn ʿUmar (sahabah) kecuali ʿAbd. Allah bin ʿUmar yang berada dalam kategori daʿif. Walaupun begitu, banyak pendapat di kalangan ulama’ hadith berkaitan dengan taraf ʿAbd. Allah bin ʿUmar; al-Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa dia termasuk dalam kategori salih, Yaʿqub bin Shaybah menyatakannya dalam kategori thiqah sabit, Ibn ʿAdi dalam kategori saduq dan ʿAli bin al-Madinah dalam kategori daʿif.
Kesimpulannya, walaupun pada hakikatnya kedua-dua kaedah yang bersandarkan kepada hadith ini kelihatan bertentangan tetapi mengikut Ibn Subki kedua-dua kaedah tersebut tidak bertentangan kerana apa yang dimaksudkan dengan kaedah fiqh Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram, bukanlah mengharamkan yang halal tetapi sebagai langkah ihtiyat. Dalam hal ini, masih ada ruang yang luas untuk MPS SS sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan kelancaran Pasaran Modal Islam di Malaysia untuk menggunakan sumber-sumber yang lebih berautoriti daripada kaedah fiqh dalam mengharuskan syarikat bercampur. Oleh yang demikian, MPS SS telah memutuskan untuk mengharuskan syarikat bercampur bersandarkan kepada sumber-sumber lain seperti maslahah, ʿumum balwa, ʿurf, asalib iqtisadiyyah dan hak-hak orang Islam yang diiktiraf oleh Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 142 ).
1.6.5 Penggunaan Prinsip La Yaqaʿ Ism Al-Mal Illa ʿAla Ma Lahu Al-Qiymah Yubaʿ Biha Wa Yulzam Mutlifuh Sebagai Sumber Sokongan Dalam Mengharuskan Waran Panggilan
Prinsip Mal
Menurut sebahagian besar fuqaha’, sesuatu itu dapat diiktiraf sebagai mal apabila ia boleh dikuasai dan dimanfaatkan:
كل ما يمكن حيازته والانتفاع على وجه المعتاد
Mazhab Shafie turut menggariskan bentuk yang dapat diiktiraf sebagai harta bagi sesuatu perkara baru sebagai satu garis panduan umum. Prinsip ini menguatkan lagi pemberian status waran panggilan sebagai mal menurut perspektif perundangan Islam sebagaimana yang digariskan oleh Imam al-Suyuti:
لا يقع اسم المال إلا على ما له قيمة يباع بها ويلزم متلفه
Maksudnya: Sesuatu itu dikategorikan sebagai mal jika ia mempunyai nilai. Dengan sebab itu, ia dijual beli dan bayaran ganti rugi akan dikenakan kepada sesiapa yang merosakkannya (MPS SS 2002: hlm. 42).
Analisis Keputusan MPS SS
MPS SS dalam mengharuskan Waran Panggilan menggunakan beberapa sumber antaranya Qawl Sahabi, Pandangan fuqaha’ silam dan Prinsip haq mali selain daripada menggunakan kaedah fiqh yang berkaitan dengan teori harta yang digariskan oleh al-Suyuti iaitu La Yaqaʿ Ism al-Mal Illa ʿAla Ma Lahu al-Qiymah Yubaʿ Biha wa Yulzam Mutlifuh.
Daripada kaedah fiqh tersebut, kita dapati bahawa setiap sesuatu yang mempunyai nilai yang boleh dijual beli dan dikenakan bayaran ganti rugi boleh disifatkan sebagai harta. Pada dasarnya kaedah ini menjadi panduan bagi MPS SS untuk menetapkan sesuatu produk dan instrumen pasaran modal sama ada ia termasuk dalam kategori harta atau tidak. Oleh itu, ternyata Waran Panggilan mempunyai ciri-ciri yang digariskan oleh al-Suyuti dan juga memenuhi definisi yang digariskan oleh sebahagian besar fuqaha’ apabila ia boleh dikuasai dan dimanfaatkan. Antara ciri Waran Panggilan yang membuktikan bahawa ia bernilai dan bermanfaat ialah waran ini memberi pemegangnya hak untuk membeli sebilangan saham tertentu dalam syarikat pendasar dengan harga yang dipersetujui.
Manakala ciri yang menunjukkan bahawa Waran Panggilan ini boleh dijual beli ialah ia mempunyai harga guna hak iaitu apabila pemilik waran tersebut ingin menggunakan hak yang terkandung dalam waran tersebut ia perlu melunaskan bayaran tertentu (yang telah ditetapkan pada masa waran tersebut diterbitkan) sebelum beliau layak untuk membeli saham pendasar syarikat yang mengeluarkan waran tersebut. Bayaran yang dilunaskan itu menunjukkan bahawa waran panggilan juga memerlukan proses jual beli untuk memilikinya.
Kesimpulannya, tindakan MPS SS menggariskan teori harta menerusi kaedah fiqh yang digariskan oleh al-Suyuti memudahkan penentuan adakah sesuatu instrumen pasaran modal termasuk dalam kategori harta atau tidak. Ini kerana prinsip harta yang digariskan oleh al-Suyuti dilihat lebih merangkumi maksud harta dan bersifat menyeluruh(Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.145 ).
Rujukan
Md. Saleh bin Hj. Ahmad. 1998. Qawaid al-Fiqhiyyah. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2002. Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti:Kuala Lumpur.
Muhammad al-Ruki. 1998. Qawaid al-fiqh al-islami. Damshiq: Dar al-Qalam
Mohd Saleh bin Hj. Ahmad. 1999. Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
Ab. Latif bin Muda. 2000. Kaedah-kaedah Fiqh. Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise.
Muhammad Yusri bin Yusof. 2006. Aplikasi Usul dan Kaedah Fiqh dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia. Disertasi Sarjana. UKM: Bangi.
Tuesday, October 14, 2008
Kaedah Fiqh dalam Pasaran Modal Islam Malaysia
Monday, October 13, 2008
Krisis Ekonomi Dunia
Krisis Ekonomi Dari US ke UK : Ulasan & Perspektif Islam
Oleh :
al-Fadhil al-Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
B.A Usuluddin (U.M), M.A Syariah (Jordan)
Pensyarah UIAM
Dipetik dari:
http://www.zaharuddin.net/
Bencana krisis kewangan di USA telah merebak ke negara lain sedikit demi sedikit, jika ia tidak berjaya dipulih, sedikit lagi setiap kita akan merasai pedihnya.
Sekali lagi saya akan cuba menerangkan secara ringkas dan agak mudah apa yang berlaku kepada industri perbankan di United Kingdom dan lainnya. Saya akan cuba membawa ringkasan fakta disusuli beberapa pandangan Islam. Sekali lagi saya ingatkan bahawa ini hanyalah sebuah artikel ringkas yang ditulis untuk kefahaman pembaca bukan di bidang ekonomi dan kewangan. Diharap tulisan ini dapat serba sedikit mengisi kekosongan ulasan ilmuan Islam di Malaysia dan seluruh dunia berkaitan krisis ekonomi dunia terkini.
Ia ditulis secara mudah sekadar memberi pembaca gambaran dan kesan serta pandangan Islamterutama berkenaan pengambilalihan (nationalization) bank komersial, pemotongan interest rate dan lain-lain.
BAIL OUT : DARI AMERIKA KE UNITED KINGDOM
Jika sebelum ini saya telah menulis berkenaan bailout USD 700 billion yang diperuntukkan oleh kerajaan US untuk menyelamatkan beberapa buah bank dan institusi kewangan di USA.
Krisis kelihatan semakin merebak di US dan kini mula merebak ke United Kingdom dan beberapa buah negara lain.
Manakala situasi di USA semakin menjunam apabila sebuah bank konvesnional riba bernama Washington Mutual yang asetnya bernilai USD307 bilion terpaksa ‘gulung tikar', ia dijual kepada syarikat gergasi JP Morgan dengan harga USD 1.9 bilion sahaja. Semalam (9 Oktober 08) diwartakan Saham di Amerika jatuh lagi ke tahap yang benar-benar teruk.
Di UK pula, HBOS iaitu salah sebuah institusi kewangan riba yang terbesar turut jatuh terlungkup. Mereka dibeli oleh Lloyds TSB.
Jatuh itu maksudnya, sama ada dibeli oleh bank lain ataupun dibeli oleh kerajaan melalui proses bailout. Itulah yang dinamakan ‘nationalization'.
BAIL OUT OLEH UK
UK Prime Minister Gordon Brown mengumumkan peruntukan £50bn (USD 88bn) untuk memilik negara sebahagian daripada kepentingan ekuiti dalam lapan bank utama negara itu, yang antaranya ialah HBOS, Lloyds TSB, Standard Chartered, Abbey dan Nationwide Building Society.
Kerajaan UK juga, melalui Bank Of England dalam skim yang dinamakan "special liquidity scheme", menawarkan pinjaman jangka pendek sebanyak £200bn (USD 350bn) khas untuk memberi pinjaman kepada mana-mana bank yang memerlukan kecairan (tunai) segera untuk menyelesaikan masalah Mortgage Backed Securities (MBS) yang bermasalah terutamanya seperti Royal Bank of Scotland.
Selain itu, kerajaan UK juga menyediakan jaminan untuk setiap pinjaman jangka pendek dan sederhana untuk tempoh 3 tahun. Jaminan ini dianggarkan akan menelan kos sebanyak £250 billion.
Semua tiga cara kerajaan UK ini menjadikan jumlah bailout dari UK bernilai £ 500 billion.! Rujuk
Lagi institusi kewangan lain di UK yang bakal di jadikan milik kerajaan adalah Bradford & Bingley (B&B). Kerajaan akan mengambil kawalan ke atas beban pinjaman institusi berkenaan yang bernilai sebanyak £50 billion, manakala bahagian simpanan dan cawangannya yang bernilai £20 billion pula akan dibeli oleh sebuah syarikat Sepanyol
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN 'NATIONALIZATION'
Apabila bank-bank komersial di nasionalisasikan ini bermakna ia telah menjadi sebahagian daripada institusi kerajaan dan bukan lagi sebuah syarikat swasta.
Pihak yang berfahaman ‘sosialis' amat sukakan proses nasionalisasi ini, bagi mereka semua pengeluaran, pengagihan dan harta di dalam negara sepatutnya di miliki dan dipegang oleh kerajaan bagi pihak rakyat.
Sistem ekonomi Islam tidak sependapat dengan fahaman ekonomi sosialis yang terlalu ingin meng'kerajaan' segala-galanya.
Islam juga tidak bersetuju dengan cara ekonomi kapitalis yang terlalu membuka peluang begitu luas sehingga menjadikan untung sebagai fokus dan segala-galanya dalam dunia perniagaan dan kehidupan. Islam boleh dikatakan berada di pertengahan, ada perkara yang perlu di'kerajaan'kan dan ada yang tidak.
Islam juga membenarkan pencarian untung dalam dunia perniagaan namun ia mempunyai tanggungjawab dan limitasi seperti kewajiban zakat, kebajikan, berniaga dalam lunas yang halal dan pelbagai lagi. Limitasi moral dan nilai ini amat longgar dan hampir tiada dalam dunia ekonomi kapitalis.
Justeru, membiarkan semua bank komersial riba yang mengalami kerugian akibat kelemahan pengurusan dan ketamakan, lalu dibayar dengan sejumlah amat besar wang rakyatnya melalui proses 'nasionalisasi'. Ia tidaklah boleh diterima oleh Islam.
Hasil dari nasionalisasi ini adalah berikut :-
a- Harta dan aset ; harta dan asset bank atau syarikat tersebut sudah menjadi harta dan aset kerajaan.
b- Halatuju : Kerajaan berkuasa untuk menentukan halatuju bank yang telah diambil alih (jika peratusan pemilikkannya adalah terbesar), sebahagiannya berpendapat dengan demikian, ia lebih selamat berbanding swasta.
c- Kurang Risiko ; Ia lebih baik kerana kerajaan akan sentiasa berimbang dalam mengejar keuntungan berbanding swasta yang sentiasa ingin perbanyak untung serta lebih mengambil risiko.
d- Suasana Kerja Lebih Mudah ; Suasana pekerjaan lebih baik kerana amat jarang kerajaan membuang pekerja berbanding swasta yang sentiasa menagih prestasi tinggi.
e- Aset Utama dimiliki ; Aset berharga tinggi dan amat diperlukan (terutamanya key services) lebih selamat dari dijual kepada pihak asing, berbanding swasta yang sentiasa ingin menggandakan wang walaupun dengan menjualnya kepada pihak asing. Masalahnya, adakah perbankan komersial ini amat amat diperlukan?. Kerajaan masih boleh membantu peminjam melalui pelbagai cara lain.
Namun begitu kebanyakkan usahawan-usahawan yang wujud di dalam pasaran memandangnya sebagai satu tindakan yang boleh membawa negative kerana :-
1) Prestasi kerja akan menurun, demikian semua maklum akan tekanan kerja di bawah swasta dan kerajaan. Tahap kecekapan akan menurun, situasi selesa amat boleh membawa padah.
2) Kurangnya persaingan ; Menurut teori perniagaan, persaingan amat penting bagi mewujudkan pembangunan berkualiti.
3) Bertambah campurtangan politik ; Apabila sebuah syarikatr besar seperti bank komersial masuk dalam pemilikan kerajaan, campur tangan orang politik semakin mudah menyelinap dan akhirnya mewujudkan kelemahan keyakinan pelabur,
4) Menyuburkan sikap 'favoritism' dalam bisnes. Selepas ini sdudah tentu projek-projek besar kerajaan akan diberikan kepada syarikat di bawah naungannya atau yang unyai ikatan langsung dengannya. Hasilnya, syarikat swasta yang cekap kempunan dan kurang bisnes disebabkan asyik kalah tender dengan syarikat berkaitan kerajaan. Hal yang sama banyak berlaku di Malaysia.
5) Meningkatkan beban kerajaan yang telah sedia banyak ; Setiap hutang yang sedia ada dan pengurusannya kini di bawah tanggungjawab kerajaan.
6) Peluang pekerja semakin sukar ; Peluang para pekerja bank terbabit untuk naik atau naik gaji juga amat sukar apabila prose sini berlaku. Sebagaiman sukarnya kakitangan awam naik gaji dan pangkat, itu akan berlaku. Berbeza dengan swasta yang lebih responsif kepada kakitangan yang cemerlang dengan kepantasan peluang naik pangkat, gaji dan bonus. Ini bakal menyebabkan prestasi kerja menurun.
7) Kerajaan Hilang Fokus Kebajikan ; Semua hutang yang terhasil dan berbaki dari syarikat gergasi yang dinasionalisasi akan menjadi beban kerajaan. Ini bermakna ia menjadi beban semua rakyat. Tanpa pengurusan dan pendapatan yang baik, kerajaan akan menaikkan cukai. Bayangkan, bagaimana proses ini boleh beri kesan negatif kepada rakyat. Di United Kingdom, sudah tersebar analisa dari pelbagai pihak, PELBAGAI CUKAI AKAN DINAIKKAN akibat dari bail-out ini.!
Dalam Islam, nasionalisasi adalah amat diperlukan dalam sektor perkhidmatan utama seperti pengurusan air, makanan asasi seperti beras, eletrik, kesihatan dan lain-lain perkara asas bagi masyarakt. Ia penting bagi kerajaan mengawal harga dan kebajikan awam. Penswastaannya bakal membawa beban keapda rakyat ramai akibat harganya yang pasti meningkat kerana target sesebuah syarikat swasta adalah UNTUNG. Kerajaan tidak sewajarnya mempunyai target sebegitu sebagai sasaran utamanya.
Namun nasionalisasi dalam bidang komersial dan bisnes yang bukan TERDIRI DARI PERKARA asasi adalah tidak digalakkan di dalam Islam bagi mengawal hal negatif yang dinayatakan di atas.
ADAKAH BANK ANDA SELAMAT?
Cuba anda lihat saham bank anda di papan bursa saham, jika anda dapati sahamnya sedang jatuh dan terus jatuh, itu bukti kesannya semakin hampir dengan anda, termasuk juga saya.
Macam mana mengaitkan saham dengan masalah bank ?
Saya teringat seorang kenalan saya yang merupakan seorang jutawan melayu muslim yang hebat, founder kepada sebuah syarikat di papan utama bursa saham KL. Beliau pernah berkata apabila melihat screen naik turun harga saham:-
Apabila saham syarikatnya atau syarikat-syarikat yang dilaburinya naik dan turun,
"Bila naik sahaja, terus terasa kaya (walaupun itu baru merupakan untung atas kertas), namun apabila jatuh terasa demam dan miskin"
Secara mudah faham, harga saham itu menunjukkan nilai atau value sesebuah syarikat atau bank. Jika ia jatuh, bermakna nilai bank dan syarikat turut jatuh dan terkesan, dividen yang mampu diberikan kepada pelaburnya juga mengecut. Nilai bank itu mengecil dan keyakinan pelabur termasuk penyimpan juga pasti jatuh. Akhirnya, semakin ramai menjual sahamnya dan mengeluarkan simpanannya. Ini akan mengecilkan kemampuan bank ini untuk memperolehi tunai. Tanpa wang sebegini bank tidak mampu memberi pinjaman kepada pemohonan, tanpa pemberian pinjam, bank akan gagal memperolehi untung.
Keadaan ini boleh menyebabkan kegoncangan kepada pengurusan bank dan akhirnya pengurusan credit bank akan menjadi kurang yakin untuk memberikan pinjaman ( kerana wang mereka juga sudah mengecil), malah jika mereka beri sekalipun, nescaya akan dipilih pelanggan yang benar-benar kukuh sahaja.
Selain itu, kesan dari kejatuhan nilai saham sesebuah syarikat yang tersenarai juga adalah ;
'rating' yang diberikan kepada mereka oleh 'Rating Agency' akan turut akan jatuh, sebagai contoh pada 9 Oktober 2008, saham JP Morgan jatuh dan sekaligus menyebabkan agensi rating menyemak semula rating asalnya,
apa yang berlaku jika rating mereka jatuh?. Ini bermakna, setiap permohonan pinjaman kepada bank selepas ini akan dikenakan kadar faedah (interest) yang lebih tinggi. Itulah sifir perbankan, lagi berwibawa status kewangan anda, lagi murah anda boleh dapat, namun apabila anda jatuh wibawa, rate tinggi bakal menjelma.
Mengapa demikian?. kerana risiko yang ditanggung oleh bank lebih besar.
Apabila sesebuah bank bermasalah, semua pendeposit akan menghadapi masalah, contohnya salah sebuah bank yang terbesar di Iceland yang punyai banyak cawangan di UK jatuh lingkup. Dalam masa yang sama, pelbagai pihak kerajaan tempatan di UK dan polis menyimpan wang mereka dan melabur dalam bank tersebut, dianggarkan nilainya lebih £900 juta. Kini semua sektor awam yang terlibat sudah bimbang kerana terdapat kemungkinan wang mereka akan hangus bersama keruntuhan bank tersebut.
Laporan BBC menyebut :
So far more than 100 local authorities in England, Wales and Scotland have revealed that they have deposits worth £842.5m in total.
The figure is £946.8m when investments by police authorities and Transport for London are added.
Bayangkan jika jumlah sebesar itu hangus begitu sahaja. Berita Lanjut.
Justeru, mana-mana syarikat besar, unit saham amanah, sektor awam di Malaysia yang ada menyimpan wang dan melabur di bank-bank besar di luar negara. Masalah bakal sampai kepada mereka dan akhirnya sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.
‘CREDIT CRUNCH' : APA BENDA TU?
Pihak bank berbuat demikian kerana bimbang akan tahap kemampuan kecairan dan kewangan mereka. Apabila ini berlaku, pihak bank juga akan semakin kurang membuat inter bank money market (penjelasan : biasanya pihak bank akan bertukar-rukar pinjam dan memberi pinjaman riba secara jangka pendek antara satu sama lain, semuanya bertujuan untuk mendpaat untung atau menguruskan kewujudan aliran tunai bank masing-masing, inilah definisi mudah interbank money market),
Kelembapan interbank money market ini atas sebab kurang yakin mereka dengan keadaan tida menentu ekonomi dan bimbang kerugian, pihak bank hanya akan luluskan pinjaman atau pembiayaan dengan kos yang lebih tinggi dan penilaian yang lebih ketat. Ini yang dinamakan dinamakan ‘Credit Crunch' atau keruntuhan kredit, dan inilah yang sedang berlaku SEKARANG hampir di seluruh dunia bermula di USA dan merebak ke UK.
Antara sebab Kerajaan UK menyuntik berbillion pound tadi adalah juga dengan harapan agar pihak bank kembali melaksanakan kebiasaan interbank money market ini.
Pandangan Islam terhadap money market, kebanyakkan instrument yang wujud dalam money market ini adalah haram menurut ulama sedunia. Namun demikian dalam sistem perbankan Islam dan di Malaysia terutamanya, mereka mempunyai instrumen tersendiri dalam melaksanakan fungsi money market ini dan ia telah disahkan halal oleh Majlis Shariah Bank Negara Malaysia.
Kembali kepada isu ‘credit crunch'; kesan negatif dari credit crunch adalah semua industri pembuatan, perkilangan dan lain-lain industri perniagaan yang sentiasa memerlukan injeksi tunai akan terjejas kerana kesempitan tunai dan ‘cash flow' (aliran tunai) yang tidak stabil, ringkasnya, mereka akan kekeringan wang untuk operasi mereka.
Kesan selanjutnya adalah pembuangan pekerja dan tiada kenaikan gaji atau bonus. Kesan dari itu, pekerja dan orang ramai akan gagal membayar pinjaman perumahan, kereta, kad kredit mereka dan lain-lain hutang. Bank akan menderita akibat peratusan gagal bayar hutang meningkat dan memaksa sesebuah bank gulung tikar atau dibeli oleh kerajaan. Bank riba juga menderita apabila TELAH MENJANJIKAN interest kepada seluruh pelabur di fixed deposit mereka dan akaun-akaun mereka. Ini mempercepatkan lagi runtuhnya bank ini.
Lantaran dari itu, ia akan menjadi semakin tenat dan memberi kesan kepada seluruh bank-bank lain yang berurusan dengannya, tatkala itu terpaksalah ia diambil alih oleh kerajaan dalam proses bail-out.
Sekali lagi saya ulangi, apabila sesebuah bank komersial diambil alih oleh pihak kerajaan iaitu secara injeksi tunai melalui pembelian saham bank terbabit, ini dinamakan ‘nationalized'. Kebaikan dan kelemahannya telah saya sebutkan di atas.
Inilah yang berlaku kepada semua firma yang di cop ‘nationalized' dalam gambar rajah di bawah.
Pembuangan pekerja bukan sahaja akan berlaku dalam industri pembuatan malah juga akan dan telah berlaku dalam industri perbankan. Sebagai contoh UBS Switzerland bank telah membuang 2000 orang pekerjanya akibat dari kesan ini.
KADAR FAEDAH DIKURANG O.5 % & PANDANGAN ISLAM
Apa maksud ini?, keputusan telah dibuat negara-negara terbabit untuk mengurangkan kadar faedah (interest) sebanyak 0.5 %.
Dari sudut pandang ekonomi tulen, ia adalah satu langkah yang ada kebaikannya dalam menyelesaikan maslaah ekonomi semasa kini.
Hasil dari pengurangan ini mereka mengharapkan agar peminjam-peminjam mampu membayar hutang mereka kepada bank dengan lebih efisyen dan akhirnya akan mampu memulihkan masalah hutang tertunggak dan kekurangan aliran tunai bank.
Institusi kewangan di UK telah mengurangkan kadar dari 7% kepada 6.5%. Bank pusat China juga mengurangkan kadar riba sebanyak 0.27 % kepada 6.93%. Demikian juga tindakan oleh US Federal Reserve, European Central Bank (ECB), Bank of England, and the central banks of Canada, Sweden and Switzerland yang mana semua mereka membuat potongan riba secara kecemasan. Jepun tidak menurunkannya kerana dikatakan kadar yang sedia ada telah pun rendah.
Pakar mengatakan, jika lebih banyak bank pusat mengambil keputusan penurunan kadar faedah, ia lebih baik. Jika tidak ia hanya dilakukan oleh sesebuah bank pusat, ia sudah tentu akan menganggu nilai matawang negara berkenaan.
Pasaran sedang memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah bersama seperti menurunkan kadar faedah pada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Dunia di Washington pada Jumaat ini (10 Okt 2008).
Penurunan kadar faedah ini dijangka boleh memberikan sedikit kelegaan kepada peminjam hutang rumah yang semakin tenat. Kesannya, bayaran bulanan hutang rumah kepada bank akan berkurangan dari biasa. Jika di UK sebagai contoh, katalah anda sedang punyai hutang rumah sekitar GBP 150,000, maka bayaran hutang bulanan kepada bank dijanka berkurangan sedikit sebanyak GBP 47 sebulan.
Ketua Analisa ekonomi Antarabangsa di Capital berpendapat pemotongan ini hanya mampu memberikan kesan sementara untuk pemulihan keyakinan pelabur, namun ia belum mencukupi selagi tida diubah seluruh sistem ekonomi.
PANDANGAN ISLAM BERKENAAN 'INTEREST RATE CUT'
Jikalah ia sebuah Islamic Bank, proses memberikan diskaun atau melepaskan sebahagian beban daripada orang berhutang yang tidak punyai kemampuan adalah tepat dan amat baik. Ia bertepatan dengan firman Allah :-
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Dan sekiranya mereka (yang berhutang) itu berada di dalam kesukaran, kamu berilah mereka tangguh sehingga mereka senang, dan jika kamu bersedeqah (beri diskaun termasuk dalam sedeqah) itu adalah lebih baik" ( Al-Baqara : 280)
Namun dalam kes kadar faedah diturunkan ini, tiada banyak pujian boleh kita berikan juga kerana semuanya adalah riba riba riba. Sebagaimana saya tidak boleh memuji jiika harga rokok dan arak diturunkan, demikian juga saya tidak boleh memuji kadar riba diturunkan.
Kita hanya boleh memuji jika ia dibuang terus dan diganti dengan sistem tanpa riba.
Menurut pakar, walaupun kadar faedah bagi pinjaman perumahan diturunkan, pihak bank akan masih tertekan. Menurut hukum asalnya, dalam keadaan credit crunch, pihak bank sangat ingin menaikkan iinterest rate dan bukannay menurunkannya kerana setiap dollar, pound atau ringgit yang dipinjamkan kepada peminjam sepatutnya menghasilkan lebih banyak 'interest' disebabkan wang tunai yang sukar diperolehi.
Apabila tiada jalan lain untuk memulihkan keyakinan pasaran terhadap industri bank, mereka terpaksa dalam derita setuju dengan potongan kadar faedah.
Namun demikian, mereka pasti cuba menghasilkan untung dari sektor yang lain. Justeru, pakar ekonomi menjangkakan peminjam-peminjam dari sektor Indstri Kecil dan Sederhana dan semua pinjaman korporat akan ditekan dengan kadar faedah yang lebih tinggi. Yang turun adalah pinjaman perumahan dari orang ramai, pinjaman syarikat bagi perniagaan belum tentu lagi.
Kesannya adalah 'back to square one', iaitu perniagaan sukar mendapat kelulusan dan akhirnya memberi kesan kepada perkembangan industri dan pembuangan pekerja akan berlaku. Hari ini berita Wales, memaklumkan beribu-ribu pekerja sektor perbankan dan lain-lain mula dibuang kerja.
Saya juga tidak dapat nafikan, pemotongan ini beri sedikit kesan buruk kepad aperbankan Islam yang kebanyakkannya menggunakan 'fixed rate' disebabkan oleh aqad jual beli sama ada Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Murabahah yang mereka gunakan. Kecualilah jika mereka menggunakan produk BBA dengan kadar variable melalui sistem ibra' (rebate).
Produk pembiayan peruamahan yang menggunakan aqad Musharakah Mutanaqisah dan Ijarah Thumma Al-Bai tiada menghadapi sebarang masalah dalam isu potongan interest rate ini, mereka juga mampu menawarkan diskuan yang kompetetif buat pelanggannya. Semunya halal. InshaAllah.
LAIN-LAIN KESAN SECARA RINGKAS
Lain-lain kesan dari keadaan ekonomi yang runcing dan tidak menentu ini adalah :-
1) HARGA MINYAK
Dijangka akan jatuh kerana pasraan bimbang dan tida pasti samada pemrintaan minyak akan meingkat atau turun di musim kejautah ekonomi. Setakat 8 Oktober 2008, harga minyak telah jatuh lebih 40 % dari USD 150 kepada USD 87.15 per barrel. Ia adalah yang melegakan di musim krisis ekonomi.
2) KEJATUHAN PASARAN SAHAM SEDUNIA
Menurut fakta pada 7 Oktober 2008 :-
• Pasaran saham UK, FTSE 100 index jatuh 7.1% kepada 4,278.
• Germany's DAX index is trading down 6.1%.
• Singapore's main Straits Times Index closes 6.61%, or 143.94 points, lower at 2,033.61,
• Australia's All-Ords index closes down 228.1 points, or 4.96%, at 4,369.8, a day after rallying in response to a 1 percentage point interest rate cut by the central bank.
• Hong Kong's main Hang Seng index closes down 1,372.03 points, or 8.17%, at 15,431.73
• France's CAC 40 jatuh 8.18% to 3,426, tahap terendah sejak December 2003.
• Russia's Micex exchange announces it is suspending trading until Friday after the index drops more than 14% in the first half-hour of trading
• Japan's Nikkei 225 index ditutup pada 952.58 mata, or 9.4%, pada 9,203.32 - merupakan kejatuhan terbesar dalama sehari dalam tempoh 21 tahun. Perdana Menteri Jepun, Taro Aso berkata pada hari Rabu lalu pasaran saham Nikkei 225 jauth lebih 10% dan mengatakan "ia adalah diluar imiginasi kami", ia mendakwa terdapat kebimbangan luar biasa terhadap ekonomi negaranya.
• India : India's benchmark Sensex index sinks by 5.3% as fears of a global recession mount.
• Indonesia : Trading is suspended for a day on the Indonesia Stock Exchange due to "irregularities" after the benchmark JSX index sank 10.4%, or 168.1 points
• Malaysia ; Pada 7 Oktober 2008; Indeks komposit Malaysia jatuh 2.71% kepada 970.19 dengan 605 kaunter syarikat mengalami kerugian berbanding 117 yang beroleh untung
Namun pada 8 Oktober, setelah interest rate di potong 0.5 %, beberapa pasaran saham menunjukkan sedikit reaksi positif dengan beberapa kenaikan.
Kejatuhan ini akan beri kesan kepada semua orang-orang kaya yang punyai saham di bursa saham negara masing-masing. Mungkin ada si kaya yang bakal jatuh sakit jantung akibat kejatuhan nilai sahamnya.
Adapun orang kelas sederhana mungkin waktu terbaik buat mereka untuk membeli saham dengan harga murah dengan harapan dan analisa bahawa nilai saham itu akan naik semula inshaALlah dan keuntungan boleh diperoleh.
Bagi orang kurang bernasib baik dan miskin yang tidak punyai satu lot atau unit saham, mereka tidak merasa sebarang kerugian kecuali jika syarikat yang jatuh sahamnya itu terpaksa membuang pekerja. Tatkala itu, masalah besar akan dirasai.
3) HARGA DAN NILAI RUMAH JATUH
Masalah kewangan yang sedang kita bentangkan ini juga memberi kesan langsung kepada harga atau nilai rumah di UK, demikian juga di Amerika. Dilaporkan bahawa harga nilai rumah jatuh house 1.3% dalam bulan September.
Industri perbankan meramalkan kejatuhan nilai itu beerti kejatuhan nilai tahunan sebanyak 12.4%,
Penganalis di UK meramalkan nilai harga rumah akan jatuh ke paras maksimum iaitu 15% bulan depan.
Begitulah serba ringkas bagaimana merebaknya krisis ekonomi US yang sudah menjadi krisi ekonomi dunia. Demikian juga beberapa pandangan Islam yang sempat saya coretkan untuk pengetahuan pembaca.
Inflasi di UK juga bertambah meningkat, ia semakin membimbangkan.
Rajah : Inflasi di United Kingdom
4) HARGA EMAS NAIK
Harga emas turut menjadi bertambah baik kesan dari krisis, ia kerana nilai emas yang diyakini dapat bertahan dalam kejatuhan nilai matawang sesebuah negara terutama USD.
AKHIRNYA
Semoga ada manfaatnya artikel ini dalam usaha memberikan gambaran ringkas dan mudah tentang apa yang berlaku dan bagaimana perspektif Islam secara ringkas.
Harapan saya artikel ini mampu memberikan sedikit kelompongan ulasan dari ilmuan Islam berkenaan krisis ekonomi yang sedang terjadi di sekeliling kita.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
9 Oktober 2008
10 Syawwal 1429 H
Wales, United Kingdom
Friday, October 10, 2008
Pasaran Niaga Hadapan daripada Perspektif Syariah
*KONTRAK DERIVATIF: PENILAIAN DARIPADA PERSPEKTIF SYARIAH
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (I.P.G.I.K)
1.1 Sejarah Derivatif
Perniagaan berbentuk derivatif mempunyai sejarah yang agak lama di dunia. Petani-petani di zaman silam kerap memetrai kontrak dengan pemborong untuk menjual hasil pertanian mereka pada harga tertentu sebelum tanaman tersebut dihasilkan. Petani-petani tersebut melakukan demikian kerana takut harga tanaman mereka akan merosot pada masa hadapan. Sebaliknya pemborong bersetuju engan kontrak tersebut kerana bimbang harga komoditi yang diinginkan akan naik melambung pada masa hadapan. Justeru kedua-dua pihak berkepentingan dalam melakukan kontrak derivatif. Tujuan sebegini didefinisikan sebagai ‘lindung nilai’ bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sewajarnya daripada kontrak tersebut. Kontrak Derivatif ini berkembang daripada masa ke masa sehingga hari ini dengan penghasilan pelbagai instrumen yang terhasil daripada evolusi kontrak jenis ini sejak sekian lama (Nik Muhammad Ruslin bin Nik Jaafar 1998:hlm. 1).
1.2 Definisi Kontrak Derivatif
Kontrak Derivatif juga dikenali sebagai kontrak hadapan yang merupakan satu kontrak sah yag melibatkan penghantaran sesuatu aset dengan harga tertentu pada tempoh masa hadapan yang dipersetujui bersama oleh dua pihak yang melakukan kontrak. Asas kontrak ini ialah penghantaran pada masa hadapan dalam bentuk kuantiti dan kualiti yang telah ditetapkan mengikut piawaian yang tertentu. Oleh itu, pembeli tidak perlu khuatir tentang mutu dan kualiti aset yang dibelinya walaupun mereka belum lagi melihat aset berkenaan kerana dijamin oleh pihak berkuasa pasaran hadapan (Ismail Ibrahim 1994: hlm. 47).
Sungguhpun kontrak ini menyebut harga belian, pembeli tidak akan dibayar sehingga tarikh aset dihantar. Bagaimanapun kedua-dua pembeli dan penjual dikehendaki membuat deposit pada masa kontrak. Tujuan deposit adalah untuk melindungi kerugian yang mungkin akan ditanggung sekiranya salah seorang mengingkari kontrak.
Kontrak hadapan berbeza daripada kontrak tunai daripada beberapa segi: antaranya dalam pasaran tunai, penjual dan pembeli bertemu muka untuk membuat perundingan daripada segi kuantiti, mutu dan harga manakala dalam pasaran niaga hadapan, tiada perundingan secara langsung. Semua urusniaga dilakukan melalui broker.
Keduanya, dalam pasaran tunai pembayaran dilakukan secara tunai dan penghantaran dan pemindahan barang dibuat secara serta merta tetapi dalam pasaran niaga hadapan barangan akan dihantar pada tarikh yang ditetapkan pada masa hadapan mengikut piawaian yang ditetapkan dan dijamin oleh pihak berkuasa pasaran.
Ketiga, dalam pasaran tunai, kontrak boleh dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua pihak berbeza dengan kontrak niaga hadapan iaitu tidak berlaku pembatalan kontrak secara langsung, pembatalan hanya dibuat melalui penutupan kedudukan. Kedudukan belian diimbangkan dengan kedudukan jualan dan begitulah jika sebelum atau pada tarikh matang (Rosalan Haji Ali 1993: hlm. 16).
1.3 Objektif Kontrak Derivatif
Terdapat dua tujuan asas seseorang memasuki kontrak hadapan iaitu sama ada untuk tujuan spekulasi atau melindung nilai. Tujuan spekulasi dijalankan oleh spekulator. Mereka tidak mengeluar atau mengguna barang-barang yang didagang. Mereka hanya membeli dan menjual untuk mendapat keuntungan daripada turun naik harga. Sebagai contoh, jika spekulator menjangkakan harga sesuatu barang dalam pasaran semerta akan naik, spekulator akan membeli komoditi dalam pasaran ini, menyimpannya dan kemudiannya akan menjualkan semula apabila harga naik untuk mendapat untung. Melalui cara ini, mereka akan terpaksa membayar harga penuh barang berkenaan, menerima dan menyimpan barang ini dengan menanggung kos penyimpanan ( Cheah Kooi Guan & Loke Yiing Jia 2000: hlm. 228 ).
Sebenarnya, para spekulator mempunyai alternatif lain iaitu jika mereka menjangkakan harga akan naik, mereka memasuki kontrak membeli dalam pasaran hadapan dan menjualnya semula apabila harga benar-benar naik. Perbezaan harga belian dengan jualan merupakan keuntungan kepada mereka. Begitu juga jika mereka menjangkakan harga akan turun, para spekulator akan memasuki kontrak menjual dan kemudian membeli semula pada harga yang lebih rendah untuk mengimbangkan kedudukannya sebelum tarikh matang. Perbezaan harga jualan dengan belian juga merupakan keuntungan.
Sebagai medium spekulasi, kontrak hadapan memberi banyak kebaikan antaranya; pertama, urus niaganya agak mudah, tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi untuk memahami. Ia mudah bukan saja daripada segi membuat faedah tetapi urusniaga boleh dibuat dengan segera kerana sebut harga adalah serta merta dan agak menyeluruh. Kedua, keperluan modal adalah kecil. Para spekulator bukan sahaja boleh membeli dalam kontrak yang kecil tetapi juga tidak diperlukan membayar harga penuh kontrak. Para pedagang dibenarkan membayar sebahagian daripada harga kontrak misalnya kontrak minyak sawit pada februari 1992 ialah sebanyak 10 tan pada harga RM 950 setiap satu tan dan dikenakan bayaran margin sebanyak 10%. Maka margin yang perlu dibayar ialah RM 950 iaitu 10% daripada keseluruhan nilai komoditi tersebut iaitu RM 9500 = (RM 950 x 10 tan) (Nik Ruslin bin Nik Jaafar 1998: hlm. 7) .
Ketiga, Mempunyai kedudukan mudah cair yang tinggi bermakna para spekulator boleh masuk atau keluar pasaran dengan mudah. Kedudukan boleh diimbangkan sebelum atau pada tarikh kontrak tanpa membuat sebarang penghantaran atau penyerahan barang-barang secara fizikal.
Manakala tujuan lindungan nilai dijalankan oleh para pengeluar dan pengguna barang-barang yang didagangkan. Mereka membeli dan menjual dalam pasaran niaga hadapan untuk mengimbangkan risiko yang mungkin ditanggung akibat turun naik harga barang dalam pasaran semerta. Para pengguna dan pengeluar barangan boleh menjalankan tiga lindungan nilai bergantung kepada kedudukan mereka iaitu; pertama, lindungan nilai belian iaitu merupakan suatu kedudukan membeli kontrak masa hadapan bagi tujuan untuk melindungi pengguna daripada kenaikan harga pada masa hadapan. Urusniaga ini digunakan oleh pengguna barangan untuk tujuan pengeluaran. Contoh di bawah menerangkan bagaimana pengguna barangan dapat menjimatkan kos pengeluaran dengan memasuki kontrak belian pada masa hadapan (Cheah Kooi Guan & Loke Yiing Jia 2000: hlm. 229).
Katakan pengilang kabel memerlukan 100 000 1b dalam bulan Julai untuk memenuhi pesanan. Dia menjangkakan harga tembaga akan terus naik daripada 63 sen untuk 1b kepada 75 sen untuk 1b pada bulan Julai. Dia mempunyai tiga pilihan iaitu membeli sekarang dalam pasaran semerta dengan harga 63 sen untuk 1b. Keadaan ini akan terjadi dengan membayar harga penuh iaitu sebanyak RM 63 000 (100 000 x 63 sen) campur kos menyimpan katakan sebanyak 4 sen untuk 1b = (4 sen x 100 000 = RM 4000) dan kos faedah sebanyak 3 sen untuk 1b ( 3 sen x 100 000 = RM 3000). Jumlah kosnya ialah RM 63000 + RM 4000 + RM 3000 = RM 70 000.
Alternatif kedua pengilang menunggu hingga bulan Julai baru membeli pada harga 75 sen untuk 1b, tanpa kos menyimpan tetapi menanggung kos faedah 3 sen untuk 1b. Jumlah kosnya = RM 75 000 + RM 3000 = RM 70 000.
Alternatif ketiga adalah dengan membeli kontrak hadapan pada bulan januari dengan harga 63 sen untuk 1b tanpa kos penyimpanan tetapi menanggung kos faedah 3 sen untuk 1 b. Jumlah kosnya ialah RM 63 000 + RM 3000 = RM 66 000. Dengan demikian pengilang ini dapat menjimatkan kos pengeluaran sebanyak RM 4000 dan RM 12 000 berbanding dengan alternatif pertama dan kedua.
Jenis lindungan nilai kedua ialah lindungan nilai jualan ialah urus niaga yang melibatkan penjualan kontrak hadapan untuk mengelakkan kerugian akibat daripada kejatuhan harga pada masa hadapan. Urus niaga ini dijalankan oleh pengeluar barangan komoditi atau petani dan juga pemborong yang mengambil peranan sebagai penyimpan barang-barang pertanian. Misalnya pembekal gandum merasakan tindakan kerajaan mengimport gandum dengan banyak akan menyebabkan bekalan gandum dalam pasaran semerta bertambah dan seterusnya harga ganum akan turun dengan banyak pada masa hadapan. Untuk mengelakkan daripada risiko penurunan harga keluarannya, pengeluar atau pembekal gandum akan menjual dalam pasaran hadapan pada harga sekarang. Oleh itu, jika harga benar-benar turun, perkara ini tidak akan memberi kesan kepada pengeluar atau pembekal (Cheah Kooi Guan & Loke Yiing Jia 2000: hlm. 229).
Jenis lindungan nilai yang ketiga ialah lindungan nilai sempurna iaitu satu kedudukan dalam pasaran hadapan yang membolehkan seseorang itu melakukan pembelian dan penjualan pada masa yang sama dan pada harga yang sama. Turun naik harga masa depan tidak akan memberi kesan kepada pemegangnya kerana kedudukan ini memberi untung kosong.
1.4 Jenis-Jenis Kontrak Derivatif
Kontrak Hadapan terbahagi kepada dua kumpulan aset iaitu komoditi dan aset kewangan. Kontrak hadapan bagi aset kewangan pula dibahagikan kepada tiga jenis iaitu; pertama kontrak hadapan matawang asing, kedua kontrak hadapan indeks saham dan ketiga, kontrak hadapan kadar faedah (Ismail Ibrahim 1994: hlm. 53).
Kontrak hadapan komoditi ialah kontrak terhadap barang-barang komoditi. Secara amnya komoditi yang didagangkan terdiri daripada dua jenis keluaran pertama, keluaran pertanian seperti getah, minyak sawit, kacang soya, koko, kopi, gandum dan lain-lain. Kedua-dua barangan ini didagangkan dalam pasaran hadapan untuk mengelakkan daripada risiko turun naik harga yang tidak menentu dalam pasaran semerta akibat daripada permintaan dan penawaran yang tidak menentu.
Kontrak hadapan matawang asing pula mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kontrak hadapan komoditi. Kontrak ini melibatkan penghantaran pada masa hadapan yang tertentu. Matawang dipiawaikan daripada segi mutu dan kuantiti, manakala harga urusniaga dirundingkan oleh pihak yang terlibat. Satu contoh kontrak hadapan matawang asing adalah yang didagangkan di International Monetary Market di Chicago (Ismail Ibrahim 1994: hlm. 53).
Daripada segi penjelasan pula, kontrak matawang asing membenarkan penutupan kontrak dengan cara mengimbangkan kedudukan pada tarikh atau sebelum kontrak matang. Ini menunjukkan setiap kedudukan belian ditutupi dengan kedudukan jualan dan sebaliknya. Penghantaran sebenar perlu dilakukan bagi kontrak yang tidak diimbangi.
Manakala kontrak hadapan indeks saham merupakan satu komitmen pada bulan penghantaran untuk membeli dan menjual indeks saham pada nilai semasa untuk masa hadapan. Oleh sebab indeks saham mewakili portfolio pasaran saham maka dagangan hadapan saham menjadi dagangan portfolio pasaran saham.
Kontrak hadapan indeks saham berbeza dengan kontrak hadapan komoditi dan matawang asing daripada segi keperluan penghantaran. Tidak seperti kontak hadapan komoditi dan matawang asing yang perlu diselesaikan dengan penghantaran barang mengikut kualiti dan kuantiti tertentu pada tarikh sepanjang atau pendek diselesaikan dengan membayar atau menerima sejumlah wang yang sama dengan perbezaan yang terdapat pada indeks hadapan dan indeks yang ditutup di bursa saham (Ismail Ibrahim 1994: hlm. 54).
Jenis yang terakhir ialah kontrak hadapan kadar faedah yang melibatkan sekuriti yang berpendapatan tetap seperti bil, nota perbendaharaan dan juga bon kerajaan. Kontrak atau sekuriti yang berpendapatan tetap ini dinamakan sebagai kontrak hadapan kadar faedah kerana harganya dipengaruhi oleh kadar faedah semasa dan masa depan. Lebih khusus lagi, penentuan harga berkaitan dengan struktur jangka kadar faedah yang pula berkaitan dengan konsep kadar hadapan. Seperti kontrak hadapan komoditi, pembeli dan penjual kontrak hadapan kadar faedah tidak dimestikan untuk meneruskan kedudukannya hingga matang. Mereka boleh menutup kedudukan terbuka mereka dengan cara mengimbangkan kedudukan asal sebelum atau pada tarikh matang atau membuat penghantaran pembayaran bagi kontrak yang tidak diimbangkan (Ismail Ibrahim 1994: hlm. 55).
1.5 Derivatif daripada Perspektif Syariah
Pada masa kini terdapat dua pandangan berbeza di kalangan fuqaha berkaitan dengan urusniaga di bursa derivatif. Golongan pertama yang terdiri daripada golongan yang tidak mengharuskan urusniaga di bursa derivatif dan golongan kedua adalah terdiri daripada fuqaha’ semasa yang mengharuskannya.
Golongan pertama yang tidak mengharuskan pasaran niaga hadapan berpegang kepada beberapa hujah. Pertama, pasaran niaga hadapan mempunyai unsur-unsur judi yang diharamkan dalam syariah. Ini berdasarkan ketetapan ke atas peserta pasaran yang perlu meletakkan sejumlah deposit sebagai bayaran margin sebelum memulakan dagangan mereka dalam pasaran ini. Meletakkan deposit ini dianggap seolah-olah pertaruhan. Sebarang perbuatan yang melibatkan pertaruhan adalah diharamkan mengikut pandangan syariah berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 90.
Kedua, golongan ini berpandangan bahawa kontrak hadapan ini mengandungi gharar iaitu ketidakpastian. Kontrak dagangan ini dikaitkan dengan ketidakpastian memperolehi perkara yang dibeli dengan keuntungan yang bakal diperolehi. Dengan kata lain, seseorang yang melibatkan diri dalam pasaran ini dengan membeli atau menjual kontrak boleh jadi memperoleh keuntungan atau kerugian bergantung kepada turun naik harga kontrak tersebut. Oleh itu, kontrak ini dikategorikan sebagai gharar.
Ketiga, Wujud unsur-unsur spekulasi. Spekulasi merujuk kepada tindakan mengambil keuntungan daripada perbezaan harga yang berlaku akibat daripada perubahan penawaran dan permintaan. Justeru itu, menurut Chapra, pasaran hadapan yang membenarkan jualan pendek iaitu suatu bentuk spekulasi yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada aktiviti ekonomi. Elemen spekulasi dalam jualan pendek yang menyebabkan kontrak hadapan tidak diterima. Spekulasi boleh menyebabkan berlakunya gharar fahish atau yasir. Kelima, jika urusniaga hadapan melibatkan kontrak matawang perkara asas yang perlu diambil kira ialah memastikan tiada penangguhan penyerahan. Pertukaran matawang adalah tidak sah jika berlaku penangguhan (Chapra 1992: hlm. 22-25).
Selain daripada itu, terdapat beberapa sarjana kewangan Islam yang menyifatkan urusniaga ini haram, antaranya Mufti Taqi Usmani yang menyifatkan urusniaga future dan forward tidak dibenarkan dalam Islam berdasarkan: pertama, dalam prinsip syariah telah dinyatakan secara jelas bahawa jualan atau tidak boleh ditangguhkan ke masa hadapan. Dengan ini semua kontrak future dan forward adalah tidak sah menurut syariah. Kedua, kebanyakan urusniaga diakhiri dengan penyelesaian bagi perbezaan harga (untuk mendapatkan keuntungan dari perbezaan harga). Menurut beliau lagi, kontrak opsyen adalah janji untuk menjual atau membeli sesuatu pada harga yang spesifik dalam tempoh masa tertentu dan janji ini tidak boleh dikenakan sebarang bayaran sama ada dalam bentuk call option atau put option juga sama ada dalam bentuk komoditi, perak, emas dan matawang ( Muhammad Obaidullah 2000: hlm. 3).
Muhammad Akram Khan pula berpandangan bahawa pasaran hadapan adalah asing salam perundangan Islam kerana: pertama, ia melibatkan urusniaga tanpa pertukaran sebenar (penyerahan fizikal) kepada pembeli di mana ia dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Kedua, pasaran hadapan mempunyai unsur ketidakpastian kerana boleh berlaku perubahan gred, tempat serahan, kadar pertukaran yang dipersetujui malah tarikh tetap kontrak kerana ia boleh diselesaikan pada bila-bila masa sebelum tarikh matang. Urusniaga ini mempunyai unsur gharar yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Tambahan pula berlakunya penjelasan/pertukaran matawang bagi kedua-dua pihak ditangguhkan pada masa hadapan. Maka wujud gharar yang tinggi. Ketiga, wujudnya unsur spekulasi dan manipulasi menyebabkan hukumnya menjadi haram (Muhammad Akram Khan 1988: hlm. 31-35).
Golongan kedua fuqaha’ pula mengharuskan kontrak niaga hadapan tetapi terhad kepada kontrak hadapan minyak sawit mentah dan kontrak hadapan indeks komposit bagi saham yang lulus syariah. Antara hujah yang mengharuskan kontrak hadapan indeks komposit ialah pertama, Ta’wil berasaskan Hikmah Tashri’iyyah. Ta’wil (penafsiran) berasaskan hikmah tashri’iyyah (rahsia dan tujuan sesuatu hukum) adalah amat penting. Prof. Fathi Durayni menegaskan bahawa ta’wil yang berteraskan hikmah tashri’iyyah merupakan dalil yang lebih kukuh dan tepat kerana mujtahid menggunakan kefahamannya untuk mengaplikasi rahsia dan kehendak yang ingin dicapai oleh sesuatu nas dalam mengimplementasi sesuatu hukum. Menurutnya lagi, ini bukan bermakna kita lari daripada sesuatu dalil tetapi sebenarnya kita memahami apakah kehendak sebenar nas itu dan apa yang ingin dicapai oleh nas tersebut secara menyeluruh. Dalam konteks pasaran, jika dilihat dari sudut hikmah tashri’iyyah, secara khususnya kontrak niaga hadapan indeks saham akan memberi maslahat kepada peniaga (pelabur) dan juga kepada sistem ekonomi secara keseluruhannya kerana ia bertindak sebagai instrumen pelindung nilai (Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti 2002: hlm. 59-60).
Kedua, para fuqaha’ mengharuskan pasaran niaga hadapan indeks komposit berasaskan kepada ‘urf iaitu kebiasaan yang diiktiraf oleh masyarakat setempat dalam urusan harian mereka sama ada bersifat perbuatan atau perkataan. Dagangan kontrak niaga hadapan indeks komposit ialah suatu cara yang boleh digunakan oleh pengurus dana, penaja jamin dan peserta pasaran untuk memindahkan risiko harga pasaran. Secara prinsipnya ia merupakan ‘urf iqtisadi khas (adat kebiasaan khusus dalam aktiviti ekonomi) yang sahih iaitu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syariah. Perkara yang perlu diperbaiki ialah dari sudut komponen indeks yang mestilah terdiri daripada sekuriti yang indeks syariah.
Ketiga, instrumen ini ditakrifkan sebagai lulus syariah kerana pada dasarnya ciri kontrak pasaran hadapan ini tiada persamaan dengan judi, penipuan dan ketidakpastian. Isu ini adalah isu besar yang sering ditimbulkan oleh para fuqaha’ semasa namun begitu terdapat perbezaan ketara daripada perlaksanaannya. Jual beli indeks pada hakikatnya tidak sinonim dengan perjudian kerana tidak wujud persamaan daripada sudut kehilangan wang pertaruhan. Dalam perjudian pemainnya akan hilang kesemua wang pertaruhannya jika tekaannya meleset. Perkara ini tidak berlaku dalam dagangan indeks kerana jumlah mata indeks mempunyai nilainya sendiri. Apa yang berlaku adalah pelabur akan akan mengalami susutan atau pertambahan nilai bergantung kepada permintaan sekuriti dalam sejumlah saham yang menjadi komponen indeks berkenaan. Dagangan ini tidak melibatkan unsur pertaruhan. Selain daripada itu, kontrak ini juga bebas daripada unsur penipuan dan ketidaktentuan kerana diniagakan secara telus daripada segi harga dan kuantiti unit. Harga ditentukan oleh pasaran berdasarkan permintaan dan penawaran(Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti 2002: hlm. 62) .
Keempat, pasaran niaga hadapan indeks komposit ini juga menepati konsep mal seperti yang digariskan oleh fuqaha’. Al-Mal ialah sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh dijual beli di samping dikenakan gantirugi terhadap perosaknya. Berdasarkan kepada pentakrifan ini, status kontrak niaga hadapan sebagai mal adalah sesuatu yang tidak syak lagi. Ini kerana ia mempunyai nilai dalam tempoh tertentu dan didagangkan dalam pasarannya yang tersendiri. Ia juga menepati ciri-ciri hak maliy dalam Islam sebagai contoh dalam kes wang pendahuluan misalnya, hak maliy terhad sehingga tarikh luput iaitu jika ia tidak dimanfaatkan sebelum tarikh berkenaan hak itu tidak akan bernilai lagi. Begitu juga dalam kontrak niaga hadapan indeks komposit, ia mempunyai nilai sehingga tarikh matang kontrak, selepas itu, kontrak berkenaan tidak boleh didagangkan lagi. Walaupun begitu, pemegang kontrak berupaya memperoleh manfaat sekiranya harga belian beliau lebih rendah daripada harga jualan ketika penyelesaian kontrak dibuat pada atau sebelum tarikh matang.
Sebilangan fuqaha’ juga mengharuskan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah seperti yang dipraktiskan di Malaysia. Antara hujah yang digunakan ialah pertama, keraguan ditimbulkan terhadap instrumen ini berdasarkan ketetapan atas peserta pasaran yang perlu meletakkan sejumlah deposit sebagai bayaran margin sebelum memulakan urusniaga. Tindakan ini dianggap sebagai suatu pertaruhan yang diharamkan. Dalam soal ini, aktiviti dagangan sedemikian tidak termasuk dalam judi kerana peningkatan dan penyusutan nilai adalah disebabkan perubahan permintaan dalam pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah dan merupakan suatu fenomena yang lumrah dalam perniagaan. Adalah tidak tepat untuk menghukum nilai kontrak yang menyusut atau meningkat akibat perubahan permintaan dalam pasaran hadapan minyak sawit mentah sebagai suatu aktiviti judi. Ini adalah kerana aktiviti perjudian bergantung semata-mata kepada nasib dan tidak bergantung kepada permintaan dan penawaran (Dr. Mohd Daud Bakar 1998: hlm. 1).
Selain daripada itu, para fuqaha’ juga mempersoalkan adakah gharar yang ditafsirkan sebagai sesuatu yang tidak pasti wujud. Ini kerana kontrak hadapan minyak sawit mentah dikaitkan dengan ketidakpastian untuk memperoleh sesuatu yang dibeli dan keuntungan yang bakal diperolehi. Justeru, para fuqaha’ berpendapat bahawa perlu dibezakan antara ghalat dengan gharar. Fuqaha’ ini melihat ghalat daripada sudut istiqrar ta’ammul. Ia bermaksud peserta pasaran diberi kebebasan untuk berurusniaga secara normal, reda meredai serta saling percaya mempercayai antara satu sama lain dalam urusniaga yang dilakukan, bagi menjamin kelancaran perjalanan pasaran. Perkara yang perlu diambil kira yang boleh menyebabkan gangguan kelancaran pasaran ialah penipuan dan manipulasi. Manakala faktor ghalat yang melibatkan kesilapan pertimbangan individu (ghalat akid) tidak boleh dijadikan asas untuk membatalkan akad. Faktor yang boleh membatalkan akad ialah ghalat wadhih iaitu kesilapan yang berlakuadalah jelas akibat daripada penipuan.
Apabila kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah dilaksanakan, perkara seperti jumlah barangan, jenis, harga dan penyerahan telah dimaklumkan kepada peserta pasaran. Oleh itu, tiada unsur gharar dalam kontrak terbabit. Kesemuanya telah dimaklumkan secara jelas dalam kontrak, maka aspek-aspek pengawalseliaan dan perundangan telah disediakan bagi memastikan tidak berlaku penipuan (Dr. Mohd Daud Bakar 1998: hlm. 4).
Selain daripada itu, isu yang kerapkali ditimbulkan oleh para fuqaha’ ialah dalam kontrak hadapan minyak sawit mentah wujud pembelian sesuatu yang tidak wujud. Dalam soal ini, fuqaha yang mengharuskan kontrak ini berpegang kepada pendapat Ibn Qayyim yang mengkaji secara terperinci isu bai’ ma’dum dan menegaskan bahawa larangan terhadap bai’ ma’dum sebenarnya adalah kerana wujudnya unsur ketidakupayaan untuk menyerahkan perkara yang dijual. Jual beli ini boleh berlaku sama ada kepada perkara yang wujud atau tidak wujud sama sekali. Namun bai’ ma’dum yang berlaku atas perkara yang wujud dan penjual boleh mendapatkannya atau dalam bentuk yang boleh diwujudkan kemudiannya, adalah sesuatu yang dibenarkan dan sah dilakukan. Ini banyak berlaku dalam syariah seperti akad salam dan istisna’. Oleh itu, larangan bai’ ma’dum adalah disebabkan unsur gharar dan bukannya unsur ma’dum tersebut.
Situasi di atas tidak akan berlaku dalam pasaran hadapan minyak sawit mentah, penyelesaian kontrak boleh dibuat secara tunai sebelum tarikh matang atau penyerahan secara fizikal ketika matang. Tambahan lagi, kegagalan penyerahan oleh penjual dijamin oleh rumah penjelasan. Oleh yang demikian unsur-unsur gharar adalah tidak wujud. Atas dasar inilah para fuqaha’ ini berpandangan bahawa kontrak hadapan minyak sawit mentah termasuk dalam senarai sekuriti yang telah diluluskan syariah (Dr. Mohd Daud Bakar 1998: hlm. 6).
Rujukan
Rosalan Haji Ali. 1993. Pelaburan: Penilaian dan Penerapan. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Ismail bin Ibrahim. 1994. Pelaburan dalam Pasaran Sekuriti, Hadapan dan Opsyen. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Cheah Kooi Guan & Loke Ying Jia. 2000. Sistem Perbankan dan Kewangan Malaysia. Longman Malaysia: Kuala Lumpur.
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2000. Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti: Kuala Lumpur.
Nik Muhammad Ruslin bin Nik Jaafar. 1998. Pasaran Derivatif: Tumpuan Kepada Pasaran Hadapan Komoditi Minyak Sawit Mentah. Kertas Kerja Seminar Pakar Syariah Ketiga. Suruhanjaya Sekuriti: Kuala Lumpur.
Dr. Mohd Daud bin Bakar. 1998. Pasaran Derivatif: Perspektif Syariah. Kertas Kerja Seminar Pakar Syariah Ketiga. Suruhanjaya Sekuriti: Kuala Lumpur.
Wednesday, October 8, 2008
Koperasi Islam di Malaysia
SISTEM KEWANGAN ISLAM: TUNTUTAN DAN CABARAN KEPADA GERAKAN KOPERASI
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah Muamalat (U.K.M)
1. PENDAHULUAN
Saranan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Ke-II dan antara arkitek Sistem Kewangan Islam di Malaysia, Tan Sri Nor Mohd Yakcob pada 2 Mac 2004 supaya Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI) untuk menjadi tonggak penting dalam Sistem Kewangan Islam di dalam Gelombang Ketiga perkembangan Sistem Kewangan Islam di Malaysia seharusnya disahut dengan usaha dan semangat yang jitu oleh institusi-institusi terbabit. Antara NBFI yang bercorak Islam yang ada di Malaysia ialah seperti Lembaga Tabung Haji, Institusi Zakat dan Wakaf dan Koperasi Islam. Justeru, menurut Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Koperasi di Malaysia yang pada hakikatnya mempunyai nilai aset berjuta-juta ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia. Kajian ini seterusnya akan menelusuri Definisi dan sejarah koperasi, penubuhan Koperasi Islam dan tuntutan dan cabaran bagi gerakan koperasi.
2. DEFINISI KOPERASI
Koperasi menurut pentakrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ialah : i) Syarikat Kerjasama ii) kerja-sama, perihal bantu membantu; berkoperasi ialah berusaha dengan cara bekerjasama (bantu membantu). Pada hakikatnya, perkataan koperasi merupakan terjemahan daripada perkataan Inggeris co-operation yang bermaksud bekerja bersama-sama. Dalam Bahasa Arab, perkataan koperasi diterjemahkan kepada Jamʿiyyah Taʿawuniyyah atau Shirkah Taʿawuniyyah.
Beberapa sarjana pada hakikatnya memberikan pentakrifan berbeza berkaitan koperasi antaranya; Zainal Abidin Hashim mentakrifkannya sebagai sesebuah organisasi perniagaan atau perusahaan yang ditubuh, di modali dan diuruskan oleh ahli-ahlinya untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan kearah meningkatkan dan memajukan taraf sosioekonomi mereka dan masyarakat amnya. Ia merupakan gabungan usaha dan tujuan sekumpulan individu secara bersama-sama, sukarela, cara kawalan yang tidak berat sebelah dan menerima ganjaran berasaskan sejauh mana mereka terlibat dalam organisasi tersebut.
Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid mentakrifkannya sebagai satu pertubuhan manusia, biasanya kurang berpendapatan, yang telah dengan sukarelanya bermuafakat menghasilkan kehendak ekonomi yang sama menerusi penubuhan badan perniagaan yang dikawal secara demokrasi, membuat caruman adil untuk modal yang dikehendaki dan menerima tanggungan-tanggungan dan faedah yang berpadanan bagi perusahaan. Ungku Aziz pula menyatakan bahawa koperasi ialah suatu kaedah gotong royong mengurus kegiatan ekonomi dengan cara tolong menolong, bergotong royong atau bekerjasama.
Ordinan Koperasi 1948 mendefinisikan koperasi sebagai “ sebuah syarikat (pertubuhan) yang mempunyai tujuan menggalakkan kepentingan ekonomi ahli-ahlinya mengikut prinsip bekerjasama (prinsip-prinsip koperasi)”. G Mladenaz dilihat memberikan pentakrifan yang lebih tersusun dan lengkap berkaitan koperasi iaitu dengan menyatakan koperasi ialah sekumpulan orang yang terdiri daripada sebilangan kecil pengeluar dan pengguna, yang bekerjasama dengan sukarela untuk mencapai maksud-maksud yang biasanya didapati melalui perkhidmatan pertukaran timbal balik (salingan) secara perusahaan berkumpulan yang menguntungkan di mana mereka bekerja dengan risiko yang sama dengan sumber disumbangkan semua.
Walaupun diberi pentakrifan berbeza, hakikatnya pentakrifan-pentakrifan tersebut mengandungi maksud dan makna yang sama. Apa yang membezakan antara satu sama lain ialah bentuk pengungkapan bahasa. Justeru, dapat dibuat kesimpulan daripada definisi yang telah dikemukakan di atas bahawa koperasi mesti mengandungi beberapa ciri; pertama, satu kumpulan yang membentuk persatuan. Kedua, mereka terdiri daripada pembekal dan pengguna. Ketiga, bersama-sama secara sukarela. Keempat, terdapat perusahaan yang menguntungkan secara berkumpulan. Kelima, risiko perniagaan dikongsi bersama dan keenam semua anggota bersepakat memberikan bekerjasama untuk memberikan sumbangan, membuat penjualan dan pembelian melalui koperasi dan sebagainya.
3. SEJARAH PERKEMBANGAN KOPERASI DI MALAYSIA
Perkembangan gerakan koperasi jika ditinjau daripada sudut sejarah boleh dibahagikan kepada empat bahagian; pertama, peringkat awal penubuhan koperasi di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sekitar tahun 1922 hingga 1945. Kedua, peringkat perkembangan gerakan koperasi bermula tahun 1945 hingga 1982. Ketiga, era baru gerakan koperasi, 1982-2004. Keempat, 2004 hingga kini, era koperasi bakal dibangunkan sebagai instrumen Sistem Kewangan Islam.
Idea penubuhan koperasi di Malaysia dibawa masuk oleh penjajah British. Idea ini dicetuskan memandangkan keadaan masyarakat yang mundur di Tanah Melayu pada ketika itu. Melihatkan keadaan itu, pada tahun 1911, Sir Arthur Young telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji tentang baik buruknya menubuhkan koperasi. Tetapi apabila Perang Dunia Pertama (1914-1918) meletus, segala usaha beliau untuk menubuhkan koperasi gagal. Pegawai British pada masa itu merasakan masyarakat di Tanah Melayu sedang mengalami masalah ekonomi dan sosial yang teruk terutamanya masalah hutang sehingga menjejaskan keharmonian hidup mereka. Hal ini ditambah dengan bentuk pengamalan adat dan budaya yang menuntut kepada lebihan perbelanjaan yang secara langsung tidak menggalakkan mereka untuk berjimat cermat.
Kerajaan British pada masa itu memandang berat keadaan yang sedang melanda masyarakat Melayu. Maka kerajaan telah menubuhkan Bank Simpanan Kerajaan Khas untuk masyarakat petani. Walaubagaimanapun, program ini tidak berjaya dan tidak mendapat sambutan, khususnya daripada masyarakat luar bandar. Berikutan itu, pegawai-pegawai British mula memikirkan satu cara lain untuk mengatasi masalah orang Melayu. Dengan daya usaha Sir Carvendish, satu bil perlembagaan dan penguatkuasaan koperasi telah diluluskan pada 1922 yang dinamakan “Co-operative Enactment”. Ia merupakan undang-undang yang ditiru daripada undang-undang koperasi yang diluluskan dan digunapakai di India semenjak 1912. Hasil daripada kewujudan enakmen tersebut, kerajaan telah menubuhkan sebuah badan yang mengawalselia urusan koperasi iaitu Jabatan Kemajuan Kerjasama dan kemudiannya ditukar nama sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) pada tahun 1922.
Gerakan koperasi di Malaysia umumnya dan di Tanah Melayu khususnya bermula dengan penubuhan Syarikat Kerjasama Jimat Cermat dan Pinjaman Pekerja-pekerja Jabatan Telekom dan Pos yang didaftarkan pada 21 Julai 1922. Koperasi ini ditubuhkan di Perak dengan jumlah ahlinya seramai 547 orang dan modal asas sebanyak RM 14 239.00. Selepas penubuhan koperasi pertama, banyak sekali syarikat koperasi ditubuhkan dalam tempoh 1922 hingga 1925. Dan kebanyakan koperasi yang ditubuhkan ialah Syarikat kerjasama kredit luar bandar. Syarikat kerjasama kredit luar bandar pertama dalam sejarah ialah Syarikat Kampung Tebuk Haji Musa Bekerjasama-bekerjasama dengan Tanggungan Terhad yang ditubuhkan di Parit Buntar, Perak pada 12.1.1923.
Dalam jangkamasa 1923 hingga 1939, perkembangan syarikat kerjasama Tanah Melayu dianggap perlahan dan tidak menyeluruh. Ini disebabkan terdapatnya beberapa masalah seperti urusan pentadbiran, sikap dan sambutan penduduk tempatan, keadaan ekonomi yang tidak stabil serta terdapat masyarakat Melayu yang tidak faham tentang selok belok berkoperasi serta berperanan sebagai badan penasihat. Untuk memenuhi keperluan tersebut kerajaan telah menubuhkan Lembaga Kerjasama pada tahun 1926.
Di antara tahun 1928 hingga 1931, koperasi tidak dapat berkembang kerana keadaan ekonomi yang buruk. Ini disebabkan harga komoditi utama negara khususnya harga getah dan kelapa jatuh yang menyebabkan 19 buah syarikat kerjasama kredit luar bandar terpaksa ditutup. Selepas tahun 1934, keadaan ekonomi mulai pulih dan beberapa koperasi untuk orang Melayu dan India ditubuhkan. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua (1941-1945), Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sudah mempunyai undang-undang koperasi sendiri. Semasa pemerintahan Jepun, semua gerakan koperasi terhenti kecuali di Kedah dan Selangor.
Gerakan koperasi memasuki fasa kedua apabila British kembali memerintah. Gerakan koperasi pada ketika ini dikemaskini dan disusun semula. Pada tahun 1948, satu undang-undang syarikat kerjasama yang dikenali sebagai ‘ The Co-operative Societies Ordinance 1948’ telah diluluskan dan telah berkuatkuasa sehingga kini dengan beberapa pindaan dibuat. Ternyata penyusunan semula gerakan koperasi mencapai hasil yang memberangsangkan. Dekad 1950an dan 1960an memperlihatkan gerakan koperasi bertumbuh dengan pesat, khasnya di kawasan luar bandar. Tetapi prestasi koperasi di luar bandar kurang memberangsangkan. Ini disebabkan kelemahan pengurusan, kurangnya sokongan dan kefahaman ahli serta sikap ahli lembaga pengarahnya yang suka menyelewengkan wang koperasi.
Walaupun begitu, perkembangan koperasi yang begitu banyak menyebabkan timbul desakan kepada koperasi-koperasi terutamanya koperasi kecil untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menjalankan aktiviti mereka. Justeru itu, pada tahun 1967, Bank Rakyat, yang juga pernah dikenali sebagai Bank Kerjasama Rakyat ditubuhkan. Bank ini adalah Bank pertama di Malaysia yang memberikan pinjaman kepada koperasi. Pada peringkat awal penubuhannya, Bank Rakyat menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kemudahan kredit untuk badan-badan koperasi kecil dan sederhana di kawasan luar bandar. Hingga sekarang Bank Rakyat masih menjalankan fungsi tersebut. Oleh itu, Bank Rakyat dianggap sebagai bank utama bagi gerakan koperasi di Malaysia.
Dalam fasa kedua ini juga gerakan koperasi diperkenalkan di Malaysia Timur. Gerakan koperasi di Sarawak hanya bermula pada 3 Mei 1949 manakala di Sabah ianya diperkenalkan mulai tahun 1959. Pada asalnya undang-undang koperasi yang berkuatkuasa di sana ialah ‘ Ordinan Koperasi 1949 (Cap. 66 of The Laws of Sarawak)’ dan ‘Ordinan Koperasi No. 3/1958 of Sabah’ dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya. Perkembangan koperasi terus memberangsangkan pada tahun 1970 hingga 1981 selaras dengan pembangunan sosioekonnomi pada ketika itu.
Dalam tempoh itu, gerakan koperasi terus diperkemaskan dengan pewujudan beberapa agensi khusus selain daripada Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Ogos 1973 dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM ) pada 1 November 1971. Dengan itu, tanggungjawab penyeliaan terhadap koperasi asas tani telah diserahkan kepada LPP dan LKIM pada tahun 1974. Koperasi-koperasi lain di bandar-bandar dan bukan berasaskan pertanian dan perikanan masih dibawah pengawalseliaan JPK, tetapi di Sabah dan Sarawak JPK masih mengawalselia semua koperasi.
Selain itu, dalam fasa ini juga tertubuhnya Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA) hasil daripada refleks keinginan untuk mengintegrasikan koperasi di Malaysia. ANGKASA dianggap payung kepada koperasi untuk membela nasib koperasi sama ada di peringkat kawasan, negeri ataupun kebangsaan. ANGKASA ditubuhkan pada bulan Mei 1971 yang manifestonya berbunyi: ‘ Lebih menumpukan terhadap pengembangan secara meluas, bekerjasama di kalangan koperasi dan menghubungkan ikatan kerjasama dengan kerajaan selaras dengan DPN’. Selain itu, Maktab Kerjasama Malaysia juga ditubuhkan pada 1956 dan diperbadankan pada 1968 yang berfungsi khusus kepada pengajian dalam bidang koperasi. Maktab ini adalah badan berkanun yang diletakkan dibawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi pada ketika itu.
Dalam fasa kedua ini juga Koperasi Islam ditubuhkan di Malaysia. Koperasi Islam yang pertama ditubuhkan ialah Koperasi Belia Islam Berhad (KBI) yang digagaskan penubuhannya oleh Angkatan Belia Islam Malaysia pada 31 Mei 1977. Sepanjang operasinya, KBI telah menerima anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi bagi kategori ‘Koperasi Model’ pada tahun 1985 dan ‘Anugerah Kualiti’ pada 1993. Selepas kejayaan penubuhan Koperasi Islam pertama, hasil daripada usaha yang jitu daripada Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), maka pada 22 November 1980 tertubuhlah Koperasi Muslimin Berhad (Koperasi Muslimin).
Melihatkan kepada perkembangan dan sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat, kerajaan telah menganjurkan satu rombongan ke Pakistan dan negara-negara timur tengah pada April 1985 untuk mengkaji perlaksanaan koperasi Islam di sana. Pakistan dipilih sebagai model pada ketika itu kerana negara itu berjaya melaksanakan koperasi Islam yang tersusun dan pentadbiran yang mengikut landasan Syariah. Setelah membuat penelitian dan perbincangan dengan pihak koperasi Islam di Pakistan, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi menggubal penubuhan syarikat koperasi belandaskan Islam yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim. Selaras dengan usaha itu koperasi Islam terus meningkat dari semasa ke semasa.
Idris Ismail pada 1994 menyenaraikan 42 koperasi yang menjalankan prinsip Islam antaranya; Koperasi Pegawai-pegawai Majlis Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Koperasi Pegawai-pegawai Agama Kedah, Koperasi Kebajikan Ummah, Koperasi Serbaguna Guru-guru Agama Kerajaan Negeri Perak, Koperasi Cahaya Malaysia, Koperasi Kebangsaan Belia islam Malaysia, Koperasi Serbaguna Imam Malaysia, Koperasi Perwira Malaysia Berhad, Koperasi UTM, Koperasi UKM, Koperasi UPM, Koperasi UIA, KOSWIP, KKUM, Koperasi MARDI, Koperasi Penjara Malaysia, MOCCIS dan Bank Rakyat.
Seterusnya, dengan perkembangan pesat koperasi, kerajaan mengistiharkan Era Baru Koperasi 1982 yang merupakan fasa ketiga perkembangan koperasi. Era Baru Koperasi ini wujud hasil daripada kesedaran kerajaan perlunya dialih fokus masyarakat terhadap peranan koperasi. Kalau dahulu masyarakat hanya menganggap koperasi hanya berfungsi dalam hal-hal yang berhubung dengan kredit dan bantuan sahaja, tetapi dengan adanya Era Baru Koperasi ini diharapkan masyarakat menerima koperasi sebagai satu alat pembangunan. Dengan itu Era Baru Koperasi dilancarkan pada 1982. Era Baru Koperasi 1982 ini adalah sebagai usaha berterusan kerajaan memajukan gerakan koperasi di Malaysia. Hasil daripada perencanaan Era Baru Koperasi 1982, wujud enam jenis koperasi baru iaitu; Koperasi Pembangunan Daerah, Koperasi Industri Kampung, Koperasi Pembangunan Negara, Koperasi Pembangunan Kampung, Koperasi Pelaburan Pekerja dan Institut Juruaudit Koperasi.
Fasa keempat perkembangan koperasi ialah saranan para ilmuan supaya koperasi turut serta sebagai komponen Sistem Kewangan dan Perbankan Islam di Malaysia. Saranan ini telah disambut baik oleh Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dengan menyatakan bahawa koperasi di Malaysia yang pada hakikatnya mempunyai nilai aset berjuta-juta ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia dan bersedia berada bersama NBFI lain dalam Gelombang Ketiga pembangunan Sistem Kewangan dan Pebankan Islam di Malaysia. Perkembangan ini adalah sesuatu yang menarik dan diharapkan usaha berterusan bagi membangunkan gerakan koperasi bersama-sama NBFI yang lain.
4. KOPERASI ISLAM: TINJAUAN KE ATAS KOPERASI BELIA ISLAM BERHAD (KBI) DAN KOPERASI MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD (KOPERASI MUSLIMIN)
Didapati tiada pembahagian atau penjenisan di antara koperasi Islam dan koperasi-koperasi biasa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Oleh itu, sukar untuk mengetahui jumlah sebenar koperasi Islam atau koperasi yang mengamalkan muamalat Islam. Kajian ini hanya menumpukan kepada dua koperasi di mana visi penubuhannya adalah untuk mempergiatkan kegiatan ekonomi Islam di dalam pertubuhan koperasi mereka.
4.1 KOPERASI BELIA ISLAM BERHAD (KBI)
4.1.1 Latar Belakang KBI
Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI) ditubuhkan pada 31 Mei 1977 dan berdaftar dibawah Akta Koperasi (1993) dengan No. Pendaftaran:16/31.5.77. Penubuhan KBI dicetuskan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). KBI ditadbir berdasarkan Akta Koperasi 1993 dan undang-undang Kecil KBI. Sepanjang operasinya KBI telah mendapat anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah Dan Koperasi bagi kategori "Koperasi Model" pada tahun 1985 dan "Anugerah Kualiti" pada tahun 1993.
KBI bermatlamatkan untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota mengikut prinsip koperasi dengan menjalankan aktiviti berlandaskan sistem muamalat Islam; menjadi penggerak dan pemangkin utama ekonomi umat. Konsep KBI adalah bekerjasama untuk manfaat anggota khususnya dan ummah amnya, melalui semangat tolong-menolong atas dasar al-bir dan al-taqwa (al-ta'awun) dan mengajak umat Islam mengumpul harta dengan cara menabung secara istiqamah dan dengan hasil tabungan tersebut KBI dapat mengerakkan aktiviti muamalat Islam (memerangi riba) dan memperkasa ekonomi ummah.
4.1.2 Produk dan Aktiviti KBI
Bersesuaian dengan konsep yang digalas bersempena dengan penubuhan KBI: ‘ Harta Muslim Untuk Islam’, maka produk-produk yang dihasilkan oleh KBI juga selari dengan kehendak muamalah dan keadaan semasa, pr oduk-produk tersebut ialah:
i. Skim Pembiayaan Peribadi: ia adalah kemudahan pembiayaan yang fleksibel: bagaimana wang pinjaman boleh didunakan untuk hak peribadi. Had pinjaman RM 3000.
ii. Tabung Kebajikan: ia merupakan caruman wajib untuk tujuan sumbangan kepada anggota jika berlaku kematian atau musibah. Caruman yang dikenakan adalah RM 5 sebulan.
iii. Insentif anak cemerlang: Ia adalah sumbangan kepada anak anggota yang cemerlang dalam PMR, SPM, STPM.
iv. Saham: Ia merupakan caruman wajib pada kadar minima RM 10 sebulan. Anggota perlu mempunyai saham sekurang-kurangnya RM 200 bagi melayakkan diri ke Mesyuarat Agung Kawasan dan menikmati kemudahan-kemudahan lain.
v. al-Qard al-Hasan: Peruntukan ini hanya khusus kepada tujuan tertentu sahaja seperti membiayai perubatan, kemalangan, perkahwinan dan melanjutkan pelajaran.
vi. Skim Pembiayaan membeli tapak rumah, membaiki dan membina rumah. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
vii. Skim pembiayaan membeli alat kelengkapan rumah seperti peralatan elektrik, perabut dan komputer. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
viii. Skim pembiayaan membeli kereta. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
ix. Skim pendahuluan kebajikan. Kewangan diberikan kepada ahli yang layak untuk meminta bantuan dan di dalam kesempitan berdasarkan kes-kes tertentu seperti berkahwin, kemalangan dan sakit. Tiada riba atau faedah dan dibayar dalam tempoh 20 bulan.
Selain daripada mengemukakan produk-produk berasaskan muamalah Islam, KBI juga banyak terlibat dalam aktiviti memajukan ahlinya, iaitu dengan caramemberikan galakan dan kemudahan bagi pembangunan ekonomi koperasi ini. Aktiviti-aktivi tersebut ialah:
i. Menjalankan aktiviti perdagangan termasuk fungsi pengguna, agensi dan lain-lain lagi.
ii. Menjalankan aktiviti perindustrian.
iii. Memproses dan memasarkan, menyediakan gudang dan kemudahan lain untuk menjalankan perniagaan eksport, import dan membina kilang.
iv. Memiliki tanah dan mendirikan bangunan atau rumah kediaman untuk ahli atau membeli rumah dan tapak rumah serta menjual, memajak, mencagar, memindahkan tanah dan rumah kepada ahli.
v. Mendapatkan tanah untuk membuka dan memajukan ladang bagi menanam getah, kelapa sawit dan tanaman lain serta membeli ladang yang sedia dimajukan.
vi. Menjalankan perkhidmatan kenderaan dan pengangkutan seperti perkhidmatan teksi, bas dan lori.
vii. Menyediakan kemudahan untuk membolehkan ahli menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka dan memberikan pinjaman kepada mereka bagi maksud yang berfaedah.
viii. Menggalakkan jimat cermat, menyimpan wang, menolong diri sendiri, membantu antara satu sama lain dan memajukan pelajaran di kalangan ahli.
ix. Menubuhkan dan menyelenggara serta membantu perjalanan sekolah, kolej, institusi, surau, madrasah untuk ahli dan masyarakat.
x. Melaburkan modal dalam saham swasta dan awam dengan kebenaran Ketua Pendaftar.
xi. Menjalankan kegiatan percetakan, penerbitann buku, majalah dan lain-lain.
xii. Menjalankan kegiatan perladangan dan penternakan.
xiii. Menjalankan projek atau aktiviti lain dengan kebenaran ketua pendaftar.
4.2 KOPERASI MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD (KOPERASI MUSLIMIN)
4.2.1 Latar belakang Koperasi Muslimin
Koperasi Muslimin Malaysia Berhad atau nama ringkasnya Koperasi Muslimin telah ditubuhkan pada 22 November 1980 atas daya usaha Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM). Penubuhan ini atas kesedaran betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem kewangan yang ada. Idea penubuhannya digagaskan oleh Ustaz Nik Mohd mahyuddin selaku YDP PUM pada ketika itu dan Dr. Mohd hamid Othman pada ketika itu diberi tanggungjawab sebagai jawatankuasa pengasas penubuhan koperasi ini.
Selaras dengan aspirasi pernubuhannya dan cita-cita Islamiah yang didokongnya Koperasi Muslimin bermatlamatkan empat perkara; pertama, menjalankan kegiatan perekonomian, pendidikan dan perkhidmatan kebajikan demi meningkatkan sosio ekonomi, moral dan rohani anggotanya. Kedua, menyediakan kemudahan simpanan (al-wadiah) untuk ahli-ahli dan membantu mereka memperolehi barang-barang keperluan asas tanpa terlibat atau bersyubahat dalam sebarang amalan riba'. Ketiga, menyediakan skim kebajikan yang dapat memberi pembelaan kepada ahli-ahli dan sumbangan kepada kegiatan-kegiatan Islamiyah. Dan keempat, menyediakan program pendidikan (tarbiyah) bagi meningkatkan kefahaman ahli dalam bidang muamalat Islam.
4.3.2 Aktiviti Koperasi Muslimin
Koperasi Muslimin Menjalankan tiga aktiviti utama iaitu; perniagaan, pendidikan dan kebajikan. Antara aktiviti perniagaan yang dilakukannya ialah;
i. Skim Jualan dengan Harga Tangguh (al-Bayʿ bi Thaman ‘Ajil): Antara jenis skim yang ditawarkan ialah Jualan Tanah/Rumah (Beli tanah/ rumah atau pakej membina/ ubah suai rumah), Jualan kenderaan (kereta, van, motorsikal dan lori), Jualan peralatan ( elektrik, perabot, komputer, buku, aksesori dll.) dan Pakej Umrah dan Ziarah ( Pakej Muslimin Travel dan Tours Sdn. Bhd.).
ii. Pelaburan: Koperasi Muslimin hanya membuat pelaburan terhadap instrumen yang lulus Syariah sahaja. Antara pelaburan yang dilakukan ialah melanggan Saham Terbitan, pelaburan di bidang hartanah seperti mendapatkan, membuka, memaju, menjual, memajak, mencagar tanah, ladang atau rumah dan pelancongan melalui anak syarikatnya iaitu Muslimin Travel dan Tours Sdn. Bhd..
iii. Skim Perkhidmatan Agensi/ al-Wakalah: Dalam hal ini, Koperasi Muslimin akan menjadi pihak ketiga dalam menyalurkan bantuan pihak pertama (ahli) kepada pihak kedua (penerima sumbangan). Pihak ketiga ini merupakan sebarang institusi atau pertubuhan atau jabatan yang mengendalikan urusan sosial dan ekonomi ummah. Bentuk bantuan ahli boleh dikategorikan kepada yuran, sedekah, wakaf, qurban dan seumpamanya.
Dalam menjalankan fungsinya yang berbentuk pendidikan, Koperasi Muslimin telah berusaha mendidik anggotanya dan masyarakat umum untuk memahami sistem perekonomian Islam melalui program-program :
i. Usrah
ii. Daurah Tarbiyyah
iii. Kelas Fiqh Muʿamalat
iv. Seminar dan Forum
Semua kegiatan ini akan dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Perhubungan Negeri, Yayasan Muslimin dan Persatuan Ulama’ Malaysia.
Bagi menjalankan fungsinya yang bersifat kebajikan, Koperasi Muslimin telah menjalankan beberapa skim. Skim-skim tesebut ialah:
i. Skim Hutang al-Qard al-Hasan: di mana koperasi akan memberi bantuan kepada anggotanya yang mempunyai hajat tertentu dengan memberikan hutang dalam bentuk kewangan dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran keuntungan.
ii. Skim Bantuan/ Sumbangan Kebajikan: di mana koperasi akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada anggotanya berkaitan dengan khairat kematian dan sumbangan anugerah pendidikan cemerlang.
iii. Perkhidmatan Simpanan al-Wadiʿah: di mana koperasi menyediakan ruang untuk anggotanya menabung secara bulanan dan mereka boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa.
Sebagai kesimpulannya, Koperasi Islam di Malaysia pada haikatnya telah berjaya memberikan satu bentuk lain daripada pengamalan koperasi pada kebiasaannya. Kewujudan Koperasi Islam di Malaysia memberikan pilihan kepada umat Islam untuk menyertai koperasi yang selaras dengan prinsip Islam. Di harapkan pada masa hadapan akan wujud lebih banyak koperasi Islam yang menawarkan lebih banyak produk untuk pembangunan umat Islam di Malaysia. Kewujudan kedua-dua koperasi ini sewajarnya dijadikan contoh oleh koperasi-koperasi lain yang berhajat untuk menjalankan aktiviti yang berteraskan syariah. Walaupun begitu, dengan kewujudan koperasi Islam tidak menafikan koperasi selain daripada koperasi Islam tidak menepati prinsip Syariah. Apa yang perlu bagi memastikan koperasi ‘lulus syariah’ ialah aktivitinya mestilah berlandaskan syariah dan menjauhi aktiviti yang diharamkan oleh Syariah. Tidak semestinya koperasi ‘lulus syariah’ mesti memakai nama koperasi Islam.
5. TUNTUTAN DAN CABARAN KEPADA GERAKAN KOPERASI
Pada 2 Mac 2004, Menteri Kewangan ke-II, Tan Sri Nor Mohd Yakcop telah menyarankan agar institusi kewangan bukan bank (NBFI) dibangunkan dalam gelombang ketiga perkembangan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. NBFI yang di maksudkan oleh beliau sudah semestinya berkisar kepada institusi-institusi bukan bank yang menjalankan muamalat Islam seperti Lembaga Tabung Haji, Syarikat Pajak Gadai Islam, Institusi Zakat Negeri dan Koperasi Islam dan koperasi yang menjadikan Islam sebagai asas muamalahnya. Selain daripada empat institusi yang sedia ada, masih ada beberapa institusi yang belum dibangunkan dengan sebaiknya seperti dalam hal wakaf dan pengurusan harta pusaka.
Aset-aset yang dipunyai oleh NBFI yang menjalankan urusan muamalahnya berteraskan Syariah jika dikaji dengan teliti cukup besar dan sewajarnya pada era ini dibangunkan bagi menyokong sistem kewangan Islam yang wujud di negara ini. Dengan kewujudan NBFI yang bersifat Islam akan melengkapkan komponen Sistem Kewangan Islam di Malaysia yang akan merangkumi institusi perbankan, takaful, pasaran modal Islam dan NBFI.
Justeru itu, Koperasi Islam perlu dibangunkan dan dikemaskini perjalanannya bagi menyokong hasrat murni kerajaan ini. Ini kerana menurut Tan Sri Mohd Yusof Nor, terdapat banyak koperasi di negara ini mempunyai aset melebihi 1 bilion dan dengan wujudnya koperasi sebegini mampu menjadi penyokong bagi sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia. Beliau dalam penghuraiannya memberikan contoh Koperasi Peneroka Felda sahaja mempunyai nilai aset sebanyak RM 500 juta. Jika koperasi dibangunkan dengan komprehensif, jumlah aset kewangan dan perbankan Islam secara keseluruhannya akan meningkat dengan mendadak. Ini akan meningkatkan reputasi sistem kewangan Islam di Malaysia.
Melihatkan kepada kepada keperluan di atas, gerakan koperasi Islam perlu dibangunkan secara komprehensif, ini kerana koperasi Islam bukan lagi sebagai alternatif bagi umat Islam memilih landasan berkoperasi dan saling bantu membantu secara Islam bahkan ia bakal menjadi tulang belakang kepada sistem kewangan Islam di Malaysia. Gerakan koperasi Islam diperlukan bagi mengimbangi aktiviti sosial yang tidak mampu dipenuhi oleh perbankan, takaful dan pasaran modal Islam. Ini kerana gerakan koperasi adalah gerakan yang meletakkan kebajikan ahli sebagai perkara pertama yang diutamakan berbanding dengan aktiviti perbankan, takaful dan pasaran modal Islam yang lebih menjurus kearah perniagaan dan keuntungan.
Selain itu, gerakan ini juga mempunyai banyak keistimewaan yang tidak dimiliki oleh perbankan, takaful dan pasaran modal Islam. Antara keistimewaannya yang lain ia mementingkan dan memusatkan aktivitinya kepada ahli-ahlinya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Sebagai contohnya, gerakan koperasi mampu memberi bantuan pinjaman segera dalam jumlah yang sederhana untuk tujuan pembiayaan peribadi seperti perkahwinan, pembelian motorsikal, kecemasan, alatan rumah dan melanjutkan pengajian. Ini sudah tentu tidak mampu dipenuhi oleh institusi lain. Gerakan koperasi juga yang dibina di atas semangat tolong menolong pada hakikatnya memberikan banyak keistimewaan kepada ahlinya daripada segi kebajikan seperti menyediakan tabung khairat kematian, hadiah pelajaran cemerlang, bantuan kemalangan dan menyediakan aktiviti pendidikan seperti kelas-kelas pengajian kewangan Islam, usrah, perniagaan dan asas-asas mengenai koperasi.
Cabaran yang perlu ditempuh bagi membangunkan gerakan koperasi sebagai tulang belakang kepada gelombang ketiga terbahagi kepada dua; pertama cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan. Kedua, cabaran yang perlu dihadapi oleh gerakan koperasi sendiri. Cabaran pertama ialah kerajaan perlu menubuhkan unit khas yang berfungsi mengawalselia aktiviti koperasi Islam di bawah Jabatan Pembangunan Koperasi. Unit ini bertanggungjawab penuh dalam menyelia dan memastikan perjalanan koperasi-koperasi Islam selaras dengan Syariah. Selain itu, unit ini juga akan menjawab persoalan yang timbul berkaitan dengan isu Syariah yang timbul berkaitan perlaksanaan koperasi Islam. Unit khas ini juga berperanan sebagai unit yang membezakan antara koperasi yang berciri Islamik dan koperasi yang bercirikan pengamalan konvensional.
Pencirian koperasi Islam adalah perlu kerana Malaysia mempunyai banyak koperasi dan sukar untuk membezakan antara koperasi Islam dan konvensional. Jika koperasi adalah antara tulang belakang gelombang ketiga pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia, pastinya perlu dibezakan antara koperasi Islam dan konvensional bagi memastikan hanya gerakan koperasi yang bebas daripada unsur-unsur haram dan selaras dengan Syariah sahaja diiktiraf sebagai ‘Koperasi Lulus Syariah’ yang dianggap sebahagian daripada sistem kewangan Islam di Malaysia.
Selain itu, cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah kerajaan perlu memperkenalkan prinsip koperasi Islam secara meluas. Peranan ini mungkin boleh dimainkan oleh beberapa agensi yang terlibat dalam pembangunan koperasi contohnya Jabatan Pembangunan Koperasi dan Maktab Kerjasama Koperasi yang menjadi pusat pengajian utama dalam koperasi. Peranan yang harus dimainkan ialah terus menerus mempromosikan prinsip koperasi Islam dan mengadakan seminar khusus bagi menerangkan prinsip-prinsip Syariah yang dipraktikkan dalam koperasi Islam dan seterusnya menyakinkan gerakan koperasi berkaitan dengan pengamalan koperasi Islam. Gerakan koperasi perlu diyakinkan dengan pengamalan koperasi Islam. Pihak yang terlibat mungkin boleh mengambil pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan ketika mula memperkenalkan SPTF dan SPI di kalangan bank-bank konvensional.
Cabaran kedua pula adalah berkaitan dengan gerakan koperasi sendiri. Perkara pertama yang perlu dititik beratkan dalam gerakan koperasi Islam adalah membina kerjasama di kalangan koperasi Islam. Pada ketika ini, pertemuan dan perkongsian maklumat di antara koperasi Islam memang berlaku. Tetapi ia berada ditahap yang minimum. Cadangan untuk mewujudkan kerjasama di kalangan koperasi Islam sememangnya wujud, namun tidak ada tindakan susulan daripada pihak terbabit. Koperasi Islam bukan sahaja memerlukan platform untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bahkan perlu membina kerjasama yang kukuh yang melibatkan aktiviti dan projek yang dilakukan.
Sikap keterbukaan dan kesedaran tentang faedah-faedah kerjasama serta kesan daripada itu perlu ada di kalangan pemimpin koperasi, kalau kita inginkan hasrat ini menjadi kenyataan. Syarikat-syarikat dan bank-bank memilih lebih dari sekadar bekerjasama iaitu mereka bergabung antara satu sama lain. Ternyata tindakan ini memberi kesan yang besar kepada peningkatan kecekapan dan keuntungan yang diperolehi. Sudah tentu kerjasama antara koperasi Islam akan memberikan kesan yang mungkin lebih besar terutamanya dalam mewujudkan longgokan dana yang lebih besar, pasaran yang lebih luas dan kuasa tawar menawar lebih kuat.
Cabaran paling besar bagi koperasi Islam ialah bilangan koperasi Islam dan koperasi yang berteraskan Islam banyak (seperti yang dinyatakan dalam sejarah perkembangan koperasi) sehingga melangkau 42 koperasi pada tahun 1994 (Statistik terkini tidak diperolehi) tetapi penyertaan daripada umat Islam adalah berkurangan. Di negara-negara barat, anggota-anggota koperasi yang besar jumlahnya mampu membentuk kuasa pengguna yang efektif hingga boleh mempengaruhi harga pasaran dan mempertahankan diri dari menjadi mangsa manipulasi para pengeluar dan penjual. Hal ini dapat dilakukan kerana kesatuan yang tercipta daripada koperasi.
Masyarakat Islam juga perlu disedarkan bahawa penyertaan mereka dalam koperasi Islam bukan sekadar mampu menyelesaikan masalah secara kolektif , malahan mendekati kaedah muamalat yang lebih Islamik sifatnya dan dengan demikian kita memperolehi barakah daripadaNya. Sekiranya penyertaan umat Islam dapat digembleng melalui koperasi, umat Islam mampu mempengaruhi pasaran, pengeluaran dan perdagangan bahkan mampu membina kekuatan para pengguna Islam di peringkat antarabangsa. Selain itu, gerakan koperasi Islam meneroka jaringan global antara koperasi-koperasi Islam yang terdapat di negara-negara Islam bagi membina kekuatan pengguna muslim yang berkesan.
Gerakan koperasi Islam juga perlu membuka cawangan-cawangan mereka dengan lebih banyak dan menawarkan produk-produk baru bagi mempertingkatkan sambutan pengguna terhadap gerakan koperasi. Dalam hal ini, gerakan koperasi Islam boleh mencontohi Bank Rakyat iaitu bank utama bagi gerakan koperasi yang mampu menjana keuntungan walaupun di zaman kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai matawang.
Selain itu, koperasi juga hendaklah berperanan lebih jauh, tidak hanya pada anggotanya dan masyarakat setempat malah perlu mengembangkan faedah dan manfaatnya kepada umat Islam sejagat di tempat dan negara lain. Syarikat-syarikat biasanya meletakkan keutamaan kepada matlamat mendapatkan keuntungan maksimum. Kalau adapun usaha-usaha kebajikan dilakukan sekadar ‘window dressing’ dan menjadi sesuatu yang tidak penting pada syarikat. Berbeza dengan koperasi, oleh kerana asasnya adalah tolong menolong, koperasi Islam sewajarnya mengatur agenda menolong dan membantu umat Islam yang tertindas di negara-negara lain.
6. KESIMPULAN
Gerakan koperasi khususnya koperasi Islam khasnya dan keseluruhan NBFI umumnya sewajarnya dibangunkan bagi menyokong perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. NBFI mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang tidak dimiliki oleh institusi perbankan. Justeru, keistimewaan ini digunakan bagi menampung kekurangan yang terdapat dalam sistem kewangan Islam yang rancak terbina di Malaysia. Semoga sistem kewangan Islam di Malaysia menapak kukuh dengan wujudnya sokongan daripada NBFI.
BIBLIOGRAFI
Abd. Rashid Dali. 1978. Konsep koperasi (ta’awun) dalam konteks ekonomi umat Islam, Kertas Kerja Seminar Koperasi dalam Masyarakat Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Pembangunan Koperasi. 27 Februari hingga 2 Mac.
Ainol Hidayah Abdul Rauof. 2004. Koperasi menurut perspektif Islam dan tinjauan terhadap koperasi Islam di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia: Disertasi Sarjana.
Amir bin Nanyan. 2001. Al-Qardhul hasan: teori dan perlaksanaannya di koperasi belia Islam Malaysia berhad (1992 hingga 1999). Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Azma Che Seman. 2000. Koperasi: dasar dan perlaksanaannya dalam sistem ekonomi Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Berita Harian, Draf koperasi Islam sudah sedia, 9 Oktober 1995.
Berita Harian, Koperasi ikut lunas Islam berkembang, 6 Januari 1987.
Berita Harian, Sistem koperasi Islam di Pakistan akan ditinjau, 12 Mac 1985.
Dewan Bahasa dan Pustaka. 1989. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Idris Ismail. 1994. Perkembangan koperasi Islam. Dalam Sistem Ekonomi Islam. Kuala Lumpur: Maktab Kerjasama Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Shirkah Ta’awuniyyah (atas talian), http://alislam.or.id/fiqh/arsip/.html. (18 November 2005).
Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, Peranan koperasi dalam proses globalisasi ekonomi. t.th.. Dalam Bicara Koperasi. Kuala Lumpur: Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia.
Jabatan Pembangunan Koperasi, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan ANGKASA. t.th.. Koperasi di Malaysia. Kuala Lumpur: Unit Pengeluaran Majalah PELANCAR.
Kadir Ahmad. 1994. 40 tahun bersama bank rakyat, Usahawan Malaysia, Usahawan Malaysia, September – Oktober 1994.
Khairul Anuar bin Ramlan. 1999. Urusniaga di koperasi siswazah berhad: satu penilaian dari perspektif Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Koperasi Muslimin Berhad, http://www.koperasimuslimin.com.my/(18 NOVEMBER 2005)
Koperasi Muslimin Malaysia Berhad. t.th., Buku panduan. Kuala Lumpur: Koperasi Muslimin Malaysia Berhad.
Mahsin Hj. Mansor & Mustafa Abdul Rahman. Faktor kejayaan dan kelemahan koperasi ditinjau dari perspektif Islam, Kertas Kerja Seminar Koperasi dalam Masyarakat Islam. Petaling Jaya: ANGKASA. 27 Februari- 2 Mac.
Margaret Digby. 1960. The world co-operative movement. London: Hutchinson University Library.
Mohd Faizal b. Mohd Nor. 2003. Peranan koperasi dalam menawarkan instrumen pelaburan Syariah: kajian di koperasi muslimin malaysia berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Nik Nurul Azlina Nik Mat Daud. 2002. Perlaksanaan instrumen muamalah Islam: satu kajian di koperasi guru melayu kelantan nerhad (KGMKB). Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Nor Masrina bt Osman. 2002. Perlaksanaan sistem kredit Islam di Malaysia: kajian di koperasi muslimin berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Roshaida Kamaruddin. 1996. Sistem koperasi Islam: perlaksanaan dan implikasinya: kajian kes di koperasi belia Islam (M) berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Ruzana bt. Ariffin. 2000. Pendekatan koperasi dalam sistem perbankan Islam: kajian di bank rakyat. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Salwana bt. Ahmad Dahlan. 1993. Koperasi belia Islam dan peranannya dalam aktiviti ekonomi di Malaysia. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Siti Azura bt. Nasruddin, Koperasi muslimin malaysia berhad: satu penilaian menurut perspektif Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Siti Rohani Yahya. 1988. Konsep asas ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid. 1983. Pengurusan Koperasi. Kuala Lumpur: Bahagian Penerbitan Angkasa.
Ungku Abdul Aziz. 1985. Prinsip-prinsip koperasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Utusan Malaysia, Jawatankuasa penubuhan koperasi Islam ditubuh, 10 Julai 1986.
Utusan Malaysia. Gelombang ketiga perkembangan Sistem Kewangan Islam di Malaysia. 2 Mac 2004.
Utusan Malaysia. Koperasi perlu dibangunkan sokong perbankan Islam. 3 Mac 2004.
Utusan Melayu, Koperasi dan kewangan Islam, 11 Julai 1986.
Utusan Melayu, Semakin banyak koperasi berniaga cara Islam, 6 Januari 1987.
William R. Roff. 1984. Kerjasama dan koperasi di semenanjung 1910-1941 petikan dari bahan-bahan terbitan sezaman. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Zainal Abidin Hashim. 1997. Koperasi di Malaysia asas dan pergerakan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

