Sunday, July 5, 2009

Rujuk Melalui Perbuatan

RUJUK MELALUI PERBUATAN: PERSPEKTIF SYARIAH

Oleh:
Nahar bin Alias
B.A (Syariah Jenayah Siasah)I.A.I.N Indonesia
DSLP (Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Guaman Syarie)
M.A (Syariah dan Undang-Undang) UKM
Peguam Syar'ie (Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak & Pahang)

&

Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A (Syariah (Fiqh & Usul))Universiti Malaya
M.A (Syariah (Muamalat)) UKM
Diploma Pend (PAI & Bahasa Arab)
Ijazah Perubatan Islam (Darussyifa')
Sijil Falak Syar'ie KUIS

Salam sejahtera rakan-rakan bloggers, ada yang bertanya kami tentang apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini berkaitan dengan seseorang yang masih menyetubuhi bekas isterinya setelah diceraikan dalam waktu iddah.Artikel ini pada hakikatnya ditulis khusus untuk penggulungan hujah satu kes yang dikemukakan di Mahkamah Syariah,namun begitu kami berpendapat ia adalah satu pandangan yang bersifat ilmiah yang wajar di utarakan ke dalam masyarakat. Kepada Tn. Amal, ini jawapan kepada pertanyaan saudara. Di sini kami kemukakan beberapa pandangan fuqaha' berkaitan dengan persoalan ini. Semoga pertanyaan tersebut terjawab. Wallahua'lam...Faqirayni ila afwi rabbih....

DEFINISI RUJUK

Rujuk adalah daripada bahasa Arab yang dipakai secara menyeluruh oleh umat Melayu Nusantara dengan pengertian penarikan balik sesuatu. Kamus Dewan pula mentakrifkan rujuk sebagai kembali (kahwin) dengan isteri yang sudah diceraikan mengikut syarat-syarat tertentu. Daripada sosiologi bahasa, rujuk adalah masdar atau kata terbitan raja'a yarji'u ruju'a marji'an yang memberi erti kembali atau balik. Adapun raj'ah atau rij'ah dari segi bahasa adalah masdar marrah dari ruju' ertinya satu nama untuk sekali rujuk atau sekali kembali.

Rujuk daripada sudut istilah syara' ialah mengembalikan isteri yang telah ditalak dengan talak raj'i (bukan bain) kepada perkahwinan asal sebagai tindakan untuk mempertahankan ikatan yang telah dibina. Rujuk tidak memerlukan wali, mas kawin dan tidak juga memerlukan kesediaan isteri yang telah diceraikan. Ini adalah berdasarkan firman Allah:




وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ
Yang bermaksud: Dan para suami berhak merujuk dalam masa iddah tersebut dengan tujuan yang baik. (al-Baqarah: 228)

Juga firman Allah berikut:
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ
Yang maksudnya: Dan apabila mereka mendekati akhir iddahnya, maka pertahankanlah mereka dengan cara makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara makruf (pula).

Daripada perbahasan ini, kita dapati bahawa apabila wanita yang diceraikan itu mendekati masa akhir iddah mereka, suami mempunyai hak untuk merujuk mereka semula.

Para ulama' mazhab sependapat bahawa wanita yang dirujuk itu hendaklah berada dalam masa iddah bagi talak raj'i. Dengan demikian wanita yang ditalak ba'in sekalipun belum dicampuri tidak boleh dirujuk kerana wanita tersebut tidak mempunyai iddah. Juga para suami tidak berhak merujuk wanita yang di talak tiga kerana Islam mensyaratkan untuk kembali kepada isteri yang ditalak tiga memerlukan seorang muhallil.

Ulama' juga telah sepakat menyatakan bahawa rujuk boleh dilakukan dengan ucapan (perkataan) namun kalimah yang digunakan mestilah jelas dan memberi maksud rujuk. Namun begitu para ulama' berbeza pandangan berkaitan perihal rujuk yang dilakukan dengan perbuatan seperti bersetubuh atau pendahuluan-pendahuluan ke arah persetubuhan seperti ciuman, cumbuan, pelukan, rabaan dan sebagainya yang menjurus ke arah persetubuhan tanpa di awali dengan ucapan atau lafaz yang menunjukkan kepada rujuk.

Para Ulama' Mazhab Shafie berpandangan bahawa rujuk mesti dilakukan dengan ucapan atau tulisan. Justeru itu, para ulama' mazhab shafie berpandangan bahawa rujuk yang dilakukan dengan perbuatan adalah tidak sah walaupun perbuatan itu diniatkan sebagai rujuk. Dalam soal ini, golongan ini menyatakan bahawa haram bagi suami mencampuri isterinya dalam iddah melainkan setelah merujuknya melalui lafaz. Jika suami mencampuri isterinya, ia harus membayar mahar mithil kerana percampuran tersebut tergolong dalam percampuran syubhat.

Fuqaha' Mazhab Maliki berpandangan bahawa rujuk sah dilakukan dengan perbuatan yang disertai dengan niat rujuk. Jika suami mencampuri isterinya tersebut tanpa niat, rujuk tidak akan terjadi. Namun percampuran tersebut tidak mengakibatkan adanya hukuman hadd ataupun tidak diwajibkan membayar mahar. Manakala anak yang dilahirkan hasil daripada pesetubuhan itu masih dikaitkan nasabnya kepada lelaki tersebut.

Fuqaha' Mazhab Hanbali pula berpandangan bahawa rujuk melalui perbuatan hanya boleh terjadi melalui persetubuhan. Oleh itu, rujuk akan terjadi sekalipun perkara tersebut tidak diniatkan oleh suami. Jika hanya perbuatan selain daripada persebubuhan seperti sentuhan, rabaan, ciuman, pelukan dan sebagainya tidak dianggap sebagai rujuk.

Fuqaha' Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi melalui persetubuhan, sentuhan dan ciuman dan perbuatan yang seumpamanya yang dilakukan oleh lelaki yang melafazkan talak terhadap isterinya dengan syarat semua yang dilakukan tersebut dengan nafsu syahwat. Dalam soal ini juga, fuqaha' Mazhab ini berpandangan bahawa rujuk juga sah dilakukan oleh orang yang tertidur, lupa, dipaksa dan gila. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menceraikan isterinya, selepas beberapa ketika dia gila , kemudian dia melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum habis waktu iddah, rujuk tersebut dikira sah.

Manakala fuqaha' Syiah Imammiyyah berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi dengan persetubuhan, ciuman dan sentuhan sama ada dilakukan dengan syahwat atau pun tidak dan tidak memerlukan pendahuluan berupa ucapan. Perbuatan tersebut juga tidak memerlukan niat rujuk.

Baca Selengkapnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template