BEBERAPA ASPEK PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI BERKAITAN ZAKAT: ANALISIS TERHADAP KITAB SABIL AL-MUHTADIN
Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Mohd Zahirwan Halim bin Zainal Abidin
Paiz bin Hassan
Hamdi Rahman bin Mohd Yaacob
Ahmad Fauzee bin Abdullah
yusri613@perak.uitm.edu.my
paiz4186@perak.uitm.edu.my
(Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar)
(Kertas kerja ini dibentangkan di Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke III, Pontianak, Kalimantan Barat pada 8-10 Oktober 2010)
ABSTRAK
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah seorang ulama’ tersohor di Rantau Alam Melayu. Beliau adalah di antara rangkaian ulama’ yang dilahirkan di Kepulauan Borneo. Mengikut Almarhum Sheikh Wan Mohd Shaghir bin Abdullah, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dilahirkan di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Beliau bukan sahaja seorang pakar rujuk dalam bidang keagamaan bahkan seorang penulis yang sangat prolifik dengan karya-karyanya dalam pelbagai bidang. Antara karya masyhur beliau adalah Sabil al-Muhtadin yang mengupas aspek-aspek fiqh yang bersifat praktikal dan semasa serta menjadi rujukan dan panduan bagi pelajar dan sarjana Islam di Nusantara. Kertas kerja ini akan mengupas pemikiran ekonomi beliau ketika membahaskan aspek-aspek berkaitan fiqh zakat berdasarkan kepada penulisan beliau dalam kitab Sabil al-Muhtadin.
Kata Kunci : Ekonomi, zakat, sabil al-Muhtadin, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama Borneo
BIODATA SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah ulama yang paling terkenal dari kalangan para ulama yang berasal dari Borneo atau Kalimantan (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2004 h. 35). Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdullah al-Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah al-Aidrus dan nasabnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad S.A.W. (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2005). Kedatangan datuk nenek Syeikh Muhammad Arsyad ke Alam Melayu telah menjadi pertikaian.. Ada riwayat mengatakan bahawa Saiyid Abdullah bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran adalah orang yang pertama datang ke Alam Melayu. Beliau telah datang ke Filipina, dan berjaya mendirikan Kerajaan Mindanao. Saiyid Abu Bakar adalah datuk kepada Syeikh Muhammad Arsyad yang merupakan Sultan Mindanao (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2009 h. 152)
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah dilahirkan pada malam Khamis, pukul 3.00 ( waktu sahur ), 15 Safar 1122 H/17 Mac 1710 M (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2005). Beliau dilahirkan di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan pada masa itu, Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah ( 1700 1734 M ). Bapanya bukan asal orang Banjar, tetapi datang dari India untuk menyebarkan dakwah dan merupakan seorang ahli seni ukiran kayu. (Dewan Agama, Mei 2005 h. 46-47).
Semasa kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari seorang yang cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis. Pada suatu ketika, sultan mengadakan kunjungan ke kampung kampung. Apabila baginda sultan sampai ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah dan memukau. Justeru itu, sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Syeikh Muhammad Arsyad yang ketika itu baru berusia 7 tahun. Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari mendapat pendidikan penuh di istana sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang diberi nama Syarifah (Dewan Agama, Mei 2005 h. 46-47). Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkahwin sebanyak 11 kali. Daripada enam orang isterinya beliau mendapat zuriat yang sangat ramai. Antara yang pernah menjadi mufti ialah Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari dan Haji Ahmad bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2008).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah meneruskan pengajiannya di Mekah dan Madinah. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah ( 1745 1778 M ) dan pengganti baginda Sultan Tahmidillah ( 1778 1808 M ) (Dewan Agama, Mei 2005 h. 46-47). Beliau belajar di kota Mekah sekitar tiga puluh tahun dan di Madinah sekitar lima tahun. Sahabatnya yang paling rapat dan penting ialah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi, Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani, Syeikh Abdul Wahab Sadengreng (Bugis), Syeikh Muhammad Salih bin Umar al Samarani atau 'Semarang' dan Syeikh Abdul Wahab Bugis yang akhirnya menjadi menantu beliau. Guru-gurunya pula ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Athaullah atau Ataillah B. Ahmad al-Misriy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al Qadiri, Syeikh Ahmad Bin Abd Mun'im al Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad Akisy al Yamani, Sheikh Salim Bin Abdullah al-¬Basri dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Ketika belajar di Mekah beliau tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar. Rumah tersebut terletak di kampung Samiyah yang disebut juga dengan Barhat Banjar. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan kawan-kawannya selain belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, juga belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu. Di antara guru mereka yang berasal dari dunia Melayu ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2009 h. 152).
Setelah berada selama tiga puluh tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung halamannya, beliau membuka pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan (Dewan Agama, Mei 2005 h. 46-47). Pusat pengajiannya dinamakan ” Dalam Pagar ” dan beliau mengajar di situ selama 20 tahun. Para muridnya datang dari seluruh pelusuk kerajaan Banjar dan apabila tamat pengajian mereka menyebarkan ilmu yang diperolehi di daerah masing-masing sehingga Islam berkembang dengan pesat di jajahan kerajaan Banjar. (H. M. Asywadie Syukur 1987 h. xiii). Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad turut membiasakan diri bersama orang kampung berkebun, bersawah, dan bertani. Di samping aktif mengajar dan mendidik masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa hinggalah kepada golongan pembesar dan bangsawan. Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak dan menyeru) dan Dakwah bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan risalah) (Dewan Agama, Mei 2005 h. 46-47).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari akhirnya menjadi seorang ulama besar tanah Jawi atau dunia Melayu kerana banyak ilmu keislaman telah dipelajarinya semasa belajar di kota Mekah dan Madinah daripada para guru dan ulama yang diiktiraf kepakarannya.. Kealiman beliau diakui oleh ulama-ulama yang datang kemudian daripada beliau kerana banyak bukti-bukti keilmuannya berupa karya-karyanya terutama melalui karangannya yang paling terkenal Sabil al-Muhtadin. Selain itu keturunan beliau sangat ramai yang menjadi ulama. Ini sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah berhasil menyebarkan ilmu selain untuk dirinya, keturunannya dan masyarakat Banjar malah pengaruhnya juga dirasakan di seluruh dunia Melayu. Hal ini dikeranakan memang hampir tidak ada ulama dunia Melayu yang tidak kenal dengan karyanya Sabil al-Muhtadin. (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2005)
Walaupun Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dipercayai pernah mengajar di Mekah, namun karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar. Beliau banyak mencurahkan khidmatnya di tempat kelahirannya sendiri. Ketika pulang ke Banjar, beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun perkara yang bersangkut-paut dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karangan. Antaranya ialah Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin,( 1188 H/1774 M ), Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan,( 1192 H/1778 ), Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, ( 1195 H/1780 M ), Risalah Qaul al-Mukhtashar, ( 1196 H/1781 M ), Kitab Bab an-Nikah, Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi, Kanzu al-Ma'rifah, Kitab al-Faraid, Bulugh al-Maram, Fat-h ar-Rahman, Arkanu Ta'lim as-Shibyan, Hasyiyah Fat-h al-Wahhab dan Mushhaf al-Quran al-Karim.
(Wan Mohd Shaghir Abdullah 2005). Karyanya yang paling terkenal di alam Melayu ialah Sabil al-Muhtadin yang membicarakan fiqh ibadah mazhab Syafie.
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13 Oktober 1812 Masihi (Wan Mohd Shaghir Abdullah 2005). Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di Nusantara.
KITAB SABIL AL- MUHTADIN
Kitab Sabil al Muhtadin Inilah kitab beliau yang paling masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah, Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.
Karya Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah, solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.
Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada 27 Rabiul Akhir 1195H/1780 M. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah dan Makkah (H. M. Asywadie Syukur 1987 h. xiii).
BEBERAPA ASPEK PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI BERKAITAN ZAKAT
PENTAKRIFAN MISKIN DAN FAKIR
Kemiskinan dan kefakiran adalah salah satu aspek yang dibincangkan dalam perbahasan-perbahasan sarjana ekonomi. Kejayaan negara dalam menangani aspek ini akan memberikan nilai tambah kepada aspek pembangunan dan kemakmuran negara. Ini dapat dilihat dalam perbahasan makroekonomi berkaitan hubungkait antara pengangguran dengan kadar inflasi dan pembangunan negara (Mohamed Naser Katib 2004 h.183). Atas asas ini para fuqaha juga membincangkan pentakrifan ini bagi memudahkan pengagihan zakat. Namun begitu wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa. Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya (Muhammad Yusri Yusof et.all 2009 h.12).
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ketika membincangkan pentakrifan fakir dan miskin telah memberikan satu pemisahan antara kedua takrifan tersebut. Seseorang itu dianggap fakir apabila pendapatan hariannya hanyalah boleh menampung 30% atau kurang daripada nilaian tersebut daripada perbelanjaan hariannya. Istilah fakir diperincikan dengan memberikan beberapa contoh yang sesuai dengan zamannya. Perincian ini dapat dilihat pada penulisannya (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 114-115):
(أدافون ) فقير يغ مستحقى زكاة مك ياءيت بغسياف يغ تياد بكين سوامي يغ ممبري دان تياد بفا أتو نينيق أتو أنق دان جوج يغ ممبري نفقة يغ مماد اي دان تياد باكين أرتا. دان تياد أوسها يغ حلال يغ لايق دغنن يغ مماد اي اكن حاجتن درفد مكانن دان فكاين دان تمفت كديامن دان سكالين يغ تياد دافت دغنن بك ديرين دان مريك يغ واجب أتسن مريك ايت دالم ماس عمر يغ غالب
Antara contoh tersebut ialah :
1. Fakir yang menerima zakat ialah orang yang tidak mempunyai tempat bergantung yang wajib memberikan nafkah yang mencukupi. Contohnya, seseorang yang tidak mempunyai suami, ayah, datuk, anak dan juga cucu.
2. Fakir juga adalah bagi individu yang mempunyai rumah namun dalam keadaan mempunyai tanggungan yang ramai dan banyak.
3. Seseorang juga dianggap fakir apabila hanya mempunyai pekerjaan yang haram tanpa ada harta yang lain.
4. Seseorang juga dianggap fakir apabila terlibat dengan aktiviti pencarian ilmu kerana ilmu tersebut akan disumbangkan kepada masyarakat. Namun jika seseorang itu hanya memfokuskan kepada aktiviti ibadat, ia tidak diberi dalam bahagian fakir dan miskin.
Manakala istilah miskin pula ditakrifkan sebagai seseorang yang memiliki harta atau pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidupnya dan nafkah-nafkah yang perlu diberi kepada keluarganya. Ini dapat dilihat dalam penulisannya (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 114-115):
(أدا فون مسكين) يغ مستحقى زكاة يائت برغسياف يغ أد بكين أرتا أتواسها يغ حلال لاك لايق دغندى تتاف تياد ممداى اكن بلنجا ديرين دان بلنجا مريك يع واجب أتسن نفقه مريكئت فد ماس يغ
تيغكل درفد عمر غالب
Jelas sekali Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ketika membincangkan fakir dan miskin ini mengikut landasan teori ulama’ Shafi’iyyah, namun memperincikan mengikut situasi perkembangan ekonomi pada zamannya.
PEMBERIAN ZAKAT KEPADA SUAMI, ISTERI DAN KAUM KELUARGA
Ketika membincangkan pengagihan zakat kepada asnaf yang berhak, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari meluaskan teori pemberian zakat termasuklah pemberian zakat kepada keluarga terdekat. Ini mungkin berasaskan kepada realiti pada waktu itu iaitu orang Melayu hidup secara kumpulan dan kumpulan tersebut adalah terdiri daripada kaum keluarga yang terdekat. Ini dapat dilihat dalam penulisannya (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h.115):
(دان دمكينلاك) هارس بك أنق أتو ججو ممبريكن زكاتن كفد بفأن أتو نينئن يغدبرين كفايه اكندي
دغن شرط يغترسبت (دان دمكينلاك) هارس بك أسترين دغن شرط يغترسبت
Pemikiran ini dapat dilihat apabila beliau mengharuskan pemberian zakat daripada seorang bapa atau datuk kepada anak begitu juga sebaliknya berdasarkan syarat bukanlah pemberian zakat tersebut atas asas asnaf fakir dan miskin tetapi didasarkan kepada asnaf muallaf, berhutang, ibn sabil dan lainnya. Begitu juga beliau mengharuskan pemberian zakat oleh suami kepada isteri dengan syarat sama seperti di atas. Melihat kepada realiti waktu itu mungkin golongan wanita sudah mempunyai pendapatan yang melebihi suami mungkin kerana harta yang diwarisi atau berniaga, beliau juga mengharuskan pemberian zakat tersebut. Pemberian yang seumpama ini daripada perspektif ekonomi bukan saja mampu membantu individu meningkatkan pendapatan dan seterusnya mampu menyumbang kepada keadaan sosial yang lebih baik dan wujud ikatan yang kukuh di kalangan masyarakat khalayak.
PEMBERIAN ZAKAT DALAM BENTUK MODAL UNTUK BERNIAGA DAN ALATAN
Ketika membincangkan aspek pengagihan zakat, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mengemukakan pemikiran di luar daripada konteks zamannya dengan mencadangkan agar zakat diberi dalam bentuk modal bagi tujuan pembiayaan perniagaan dan alatan seperti mesin dan sebagainya bagi yang mahir dalam aspek-aspek vokasional dan teknik. Ini dapat dilihat di dalam penulisannya (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 114):
(أدافون) يغ تاهو براسها دغن كفنداين مك دبري اكندى درفد زكاة اكن فمبلى آلة كفنداين دان جك أدا أى بايق سكاليفون مك هندقله دبليكنن دغندى دغن اذن امام اكن آلة يغترسبت ايت...
(دان أدافون) يغ تاهو براسها دغن برنيكا مك هندقله دبرى مودل اكندى درفد زكاة سكرا2 ممداى لابان امن بلنجان ددالم ماس يغ تغكل درفدعمر غالب...
Beliau telah mencadangkan agar diberi modal bagi individu yang mahir berniaga tetapi tidak mampu daripada sudut kewangan untuk membina atau memulakan perniagaan. Bagi individu yang mempunyai kemahiran vokasional dan teknikal, beliau menyarankan agar diberikan peralatan bagi penghasilan yang lebih baik daripada apa yang mereka miliki sebelum memperolehi peruntukan zakat.
Daripada perspektif ekonomi, pemberian dan penerimaan modal wang dan kerja yang cukup akan menyebabkan pengeluaran mampu dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran yang akan menghasilkan dan menyeimbangkan kedudukan ekonomi sesebuah Negara. Pandangan yang bersifat ekonomis ini telah digunapakai di Malaysia apabila dilihat peruntukan khusus diberikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan dan alatan seperti lori, mesin rumput dan lain-lain telah diberikan kepada asnaf yang layak seperti yang dipraktikkan di Pulau Pinang dan Selangor.
PERINCIAN MENGENAI AMIL ZAKAT
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ketika membincangkan persoalan yang berkait dengan amil zakat secara terperinci membahagikannya kepada sembilan kategori. Perincian ini dapat dilihat dalam penulisannya(Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h.116):
(برمول عامل) أتس زكاة ايت سمبيلن باكي (فرتام ساعي) نمان يغ دسوروهكن سلطان اتو نائبن فد مغمبيل زكاة.(كدوا كاتب) نمان يغ مثورة أرتا زكاة يغدتريمان اكن دي دلرفد سكل مريك يغ ممفوناءي أرتا دان برغيغ اتس مريكئت(كتيك قاسم)نمان يائت ممبهاكيكن زكاة (كأمفت حاشر) نمان يائت يغ مغهفنكن سكلين أورغيغ ممفناى أرتا زكاة (كليم عريف)نمان يائت يغ مغنل اكن سكل باكي مستحق يغ منريما زكاة (كأنم حاسب)نمان يائت يغ ممبيلغ ارتا زكاة (كتوجه حافظ) نمان يائت يغ مملهراكنن ارتا زكاة (كدولافن جندي) نمان عسكر يغ مغوالي أرتا زكاة (كسمبيلن جابي) نمان يائت يغ مغكاكاهي فد مغلواركن زكاة دان هارس دتمبة بيلاغن يغ ترسبوت ايت سكيرا2 حاجة
Perincian ini dilihat daripada perspektif pengurusan sebagai sesuatu yang mendahului zaman. Pengurusan berkaiatan dengan amir zakat telah dibahaskan secara terperinci. Antara perincian yang dibuat ialah;
1. Sa’i iaitu orang yang dilantik oleh Sultan atau wakilnya bagi memungut harta zakat.
2. Katib iaitu orang yang mencatat harta zakat yang diterima daripada semua orang yang wajib mengeluarkan zakat.
3. Khasim iaitu orang yang membahagikan harta zakat kepada asnaf yang berhak.
4. Hasyir iaitu orang yang mengumpulkan semua orang yang cukup haul zakat.
5. ‘Arif iaitu orang yang ditugaskan bagi mengenal pasti golongan penerima zakat.
6. Hasib iaitu akauntan yang menguruskan perakaunan zakat
7. Hafiz iaitu orang yang menjaga harta zakat.
8. Jundi iaitu orang yang menjadi pengawal kepada harta zakat di institusi-institusi zakat.
9. Jabi iaitu penguatkuasa yang melaksanakan pungutan harta zakat.
Beliau juga di samping menyenaraikan 9 kategori amil menyatakan bahawa kategori ini boleh diperluaskan pemakaiannya mengikut situasi dan keadaan semasa. Ketika membincangkan persoalan berkaitan agihan zakat yang diberikan berasaskan kepada 9 kategori tersebut, beliau menyatakan zakat hanya boleh diambil sekadar upah yang disesuaikan dengan tugas yang telah dilaksanakan.
Berasaskan kepada pembahagian ini kita dapat lihat syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari memperincikan persoalan berkaitan pengurusan harta zakat. Menurut sarjana ekonomi Islam, zakat adalah antara intrumen kepada keseimbangan polisi fiskal Negara dan boleh digunakan sebagai alat kepada pembangunan ekonomi sesebuah Negara Islam. Justeru bagi memantapkan peranan zakat tersebut, aspek yang perlu diambil berat adalah berkaitan pengurusan dan urustadbir zakat.
MEMPERLUASKAN SKOP ASNAF MUALLAFAH QULUBUHUM
Kebiasaannya para fuqaha mentakrifkan muallaf sebagai orang yang hatinya cenderung kepada Islam atau saudara baru. Namun begitu jika dilihat dalam Sabil al-Muhtadin, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari memperincikan muallaf itu kepada 5 kategori iaitu ((Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 117);
1. Individu yang masih lemah imannya.
2. Individu yang mempunyai iman yang kuat dan menjadi pemimpin kepada masyarakat yang masih belum Islam.
3. Semua tentera yang ditugaskan menjaga keselamatan umat Islam dari gangguan bukan Islam dan pemberontak.
4. Tentera yang memerangi dan menakutkan orang yang enggan membayar zakat sehingga mereka membayar zakat.
5. Mereka yang menguruskan pemungutan zakat daripada kaum yang tinggal berjauhan daripada pusat pemungutan zakat.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ketika membincangkan persoalan ini menyatakan signifikasi kepada perluasan skop muallaf ini kerana bagi memberikan individu-individu tersebut merasa tugasan mereka dihargai. Dengan menggunapakai perluasan skop ini, kita dapat memperkemaskan aspek pemungutan zakat dan dapat meningkatkan lagi jumlah kutipan zakat. Secara tidak langsung ianya membawa kemakmuran ekonomi yang akan dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat.
HUKUM MEMINDAHKAN HARTA ZAKAT DI LUAR LOKALITINYA
Berhubung dengan isu ini, sebahagian besar fuqaha’ Maliki, Shafi’i dan Hanbali menghukumkan haram, sebahagian lagi menghukumkan makruh sebagaimana menurut mazhab Hanafi, Imam Malik daripada riwayat Ibn Qasim serta Qadi Abi Ya’la dan al-Bana daripada mazhab Hanbali. Dalam pada itu hanya sebilangan kecil yang mengharuskannya sebagaimana diriwayatkan daripada satu qawl dalam mazhab Shafi’i ataupun mereka mengaitkannya dengan hak pemerintah. Ketika membahaskan aspek ini, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mengemukakan pendapat yang sederhana antara pengharaman dan pengharusan. Pendapat ini dapat dilihat dalam penulisannya (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 123):
(أدا فون) امام يعنى سلطان مك هاروس بكين ممندهكن زكاة مطلقا دركارن سكلين زكاة أورغيغ ددالم تاغنن سفرة حكم سات زكاة جوا.دان هاروس بك امام أتو ساعى أتو قاضى ممبرى اذن بك مالك فد ممندهكن زكاة تتاف تياد هارس بك مالك ممندهكن زكاة دغن اذن ملينكن فد تمفت ولاية يغ ممبرى اذن جوا تياد هارس فد تمفت يغدلور ولايهن.
دان جك تياد موجود سكلين باكي مستحق ددالم نكري زكاة اتو ادا لبه درفد درفد كفاية مريكئت سوات درفدان نسحاي واجبله ممندهكن سكلين زكاة اتو لبيه ايت كفد مستحق يغ برهمفر كفدن يغ سوفما مستحق نكري زكاة دان جك دفندهكن اي كفد مستحق يعدنكري يغ جاوه درفدان سرتا اد مستحق نكري يغترهمفركفدان مك يائيت حرام لاك تياد مماد اي اكن زكاة.
Kebenaran kepada pemerintah dalam aspek pemindahan harta zakat memperlihatkan bahawa beliau tidak hanya melihat keperluan ekonomi dalam skop yang kecil tetapi lebih mengambil keperluan-keperluan ekonomi semasa sebagai asas kepada pemilihan antara pendapat fuqaha’ di atas khususnya antara khilaf yang berlaku dalam mazhab Shafie.
PENETAPAN BULAN MEMBAYAR ZAKAT
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari juga dilihat mengemukakan pandangan yang bersifat semasa apabila menyarankan agar kerajaan menetapkan bulan khusus bagi pembayaran zakat kepada harta yang telah cukup nisab dan haulnya. Ini dapat dilihat dalam penulisannya(Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari t.th. h. 124):
سنة بك امام أتو ساعى ممبرى تاهوكن بولن مغمبل زكاة فد أرتا زكاة يغدشرطكن لالو ستاهن سفيا برسديا سكل مريك يغ ممفياى أرتا بك مغلوركن زكاة دان برسديا سكل مستحق بك منريما دى دان بولن محرم ترلبه اتام درفد لاينن كارن أى فرملائن تاهن فد شرع (أدافون) زكاة يغ تياد دشرطكن لالو ستاهن سفرة بيج بيجين دان بواه بواهن مك تياد دسنتكن يغدمكين ايت
Penetapan ini memberikan nilai tambah kepada pengurusan dan pembayaran zakat. Dengan penetapan bulan pembayaran zakat, semua harta zakat dapat dikumpulkan dalam masa yang sama sekaligus dapat diagihkan dengan lebih cekap dan telus. Penetapan ini juga boleh digunakan sebagai peringatan kepada pembayar zakat agar dapat melunaskan tuntutan dan tanggungjawab kepada masyarakat dan Negara. Penetapan ini dilihat sangat berkesan daripada perspektif pentadbiran Negara apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri juga menetapkan bulan-bulan tertentu bagi pembayaran cukai di Malaysia.
KESIMPULAN
Daripada aspek-aspek yang dibincangkan di atas, dapat di lihat keterbukaan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam menangani masalah ekonomi yang timbul pada zamannya. Daripada tinjauan umum yang dibuat beliau juga masih bersikap terbuka terhadap penerimaan pandangan fuqaha’ daripada mazhab lain walaupun kita sedari bahawa Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari telah menggunakan metodologi dan epistemologi Shafieyyah ketika menulis kitabnya yang masyhur ini. Semoga kajian ini menjadi asas kepada kajian yang lebih mendalam terhadap kitab ini yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia bahkan di Selatan Thai, Indonesia dan Singapura.
BIBLIOGRAFI
Dewan Agama dan Falsafah ( Mei 2005 ), Kuala Lumpur : Karangkraf Sdn. Bhd.
H. M. Asywadie Syukur (alih bahasa)( 1987 ), Kitab Sabil Muhtadin II. Surabaya: PT Bina Ilmu.
Mohamed Naser Katib (2004), Economy, Thomson Asia Pte Ltd: Australia, hlm. 283.
Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh, Paiz bin Hassan, Mohd Zahirwan Halim bin Zainal Abidin, Hamdi Rahman Mohd Yaacob (2009) “Pemikiran Ekonomi Syeikh Muhammad Ismail Daud al-Fathani: Analisis kepada Kitab Matla’Badrain” Kertas Kerja Simposium Sejarah dan Warisan Islam, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 28 Disember 2009
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (t.th.), Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amr al-Din, t.tp.: Percetakan al-Ma’arif Sdn. Bhd.
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2009 ), Koleksi Ulama Nusantara, Jilid 2, Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2005 ) “ Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari pengarang Sabil al-Muhtadin”. Utusan Malaysia 25 September 2005.
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2004 ), Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, Jilid 6, Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah
Wan Mohd Shaghir Abdullah ( 2008 ), “ Ulama Hasil Perkahwinan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari “.Utusan Malaysia 3 Februari 2008.
SENARAI GRADUAN SESI 2016
-
*SENARAI PELAJAR YANG AKAN DIIJAZAHKAN DI MAJLIS PENGIJAZAHAN DARUSSYIFA'
PADA 25-DIS-2016 (AHAD).*
Kepada pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' Bangi Kumpu...
8 years ago