Wednesday, August 26, 2009

Isu Kartika Sari Dewi Sukharno: Refleksi Kritis

KARTIKA SARI DEWI SUKHARNO: CORETAN RASA LEBAI

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) U.M
Sarjana Pengajian Islam (Syariah /Muamalat) U.K.M
Diploma Pendidikan (Pend Islam, al-Quran & B.Arab) IPGM IK
Sijil Falak Syar’ie K.U.I.S
Email: ustazyusri@yahoo.com
Blog: http://lebaiyusri.blogspot.com/

Salam teman bloggers yang sering mengunjungi teratak ilmu di persada maya ini. Syukur kepada Allah tuhan yang Maha Esa atas kurniaannya dapat juga lebai memberi reaksi kepada isu ini. Ini hanyalah sekelumit rasa lebai terhadap isu Kartika yang saban hari terpampang di dada-dada akhbar perdana. Sisipan ini bukanlah berbentuk ilmiah, kerana keadaan lebai yang agak kelam kabut berkaitan pertukaran jawatan ke salah sebuah IPTA di Perak. Jadi, lnsya Allah bila lebai dah berada di sana nanti lebai akan tampilkan satu artikel yang berbentuk ilmiah yang merungkai persoalan-persoalan berbangkit berkaitan isu ini daripada sudut undang-undang Islam dan skop undang-undang Syariah di Malaysia.

Pertamanya, apabila lebai menatap akhbar digital pada 19 hb Ogos 2009, lebai tiba-tiba terbaca satu berita berkaitan hukuman sebat pertama di Malaysia bagi kesalahan Syariah. Hati lebai terus menyatakan rasa syukur kerana Mahkamah Syariah di Malaysia sudah mula menetapkan sesuatu hukuman dalam bentuk maksima. Ini menunjukkan Hakim Syari’e di Malaysia sudah mula menggunakan peruntukan hukuman dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Sebelum ini banyak rungutan yang diterima menyatakan bahawa Hakim Syar’ie di Malaysia gagal menggunakan peruntukan atau denda yang sedia ada, jika disabitkan dengan kesalahan pesalah hanyalah didenda dengan denda yang sedikit. Ini menimbulkan kegusaran dalam masyarakat, bagaimana nak melaksanakan hukum hudud yang hukumannya lebih berat daripada hukuman sedia ada sedangkan hukuman yang sedia ada pun tidak digunakan secara maksima. Justeru, tahniah kepada Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Yunus atas keberaniannya memutuskan hukuman secara maksimum. Ini adalah satu permulaan baik bagi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Keduanya, secara peribadinya lebai sangat kagum dengan ketabahan Kartika yang dengan tenangnya menerima hukuman tersebut dan enggan membuat rayuan seperti yang disarankan oleh sesetengah pihak termasuklah ahli politik dan pertubuhan yang menggelarkan dirinya sebagai pembela Islam. Namun begitu, sebagai seorang yang mempunyai latarbelakang undang-undang Syariah, Kartika mempunyai hak untuk melakukan rayuan. Itu semua adalah HAK dan PILIHAN Kartika, bukan tanggungjawab persatuan yang menggelarkan dirinya sebagai pembela Islam. Justeru, lebai berpandangan persatuan ini hanya perlu menasihati Kartika dalam soal ini, dan bukanlah menghantar memorandum khas kepada Perdana Menteri yang kononnya membela hak Kartika.

Ketiga, lebai ingin menyatakan bahawa jangan ada golongan yang tidak tahu latarbelakang syariah memberikan pandangan terhadap isu ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan dalam masyarakat. Kenyataan-kenyataan seperti ini tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Islam. Ini adalah kenyataan yang lebai petik daripada bernama.com:

Petikan Pertama

“Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 Julai lepas kerana meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang pada 11 Julai tahun lepas.

Meskipun hukuman itu dianggap keterlaluan dan zalim oleh banyak pihak, Kartika menerima hukuman itu dan membayar denda serta memohon hukuman sebat itu dilaksanakan segera.

beliau berkata Kartika mungkin menghadapi trauma akibat dijatuhkan hukuman tersebut dan tidak mendapat nasihat bahawa beliau boleh mengambil jalan lain bagi mengelakkan hukuman itu.

Merujuk kepada perkembangan terkini kes itu, beliau berkata keputusan penangguhan hukuman oleh Mahkamah Syariah Pahang semalam merupakan satu langkah positif dan menunjukkan keprihatinan pihak terbabit.

"Kita tidak mahu sistem syariah di negara ini dikatakan zalim hanya kerana satu kes ini dan seterusnya mencemarkan imej negara di mata dunia," katanya.

beliau tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang meminta supaya hukuman tersebut diteruskan untuk melihat bagaimana sebenarnya hukuman rotan terhadap wanita dijalankan dalam hukum Syariah.

"Ini bukan isu bagaimana sebatan itu dijalankan, tetapi isu keadilan. Adakah hukuman itu dijatuhkan sebegitu rupa kerana Kartika seorang wanita," katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya tidak mempertikaikan kuasa hakim Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman itu tetapi terkilan kerana hakim telah menjatuhkan hukuman paling berat.

"Dalam Islam apabila menjatuhkan hukuman mesti bijaksana, adil, dan ada belas kasihan. Walaupun sebagai pengajaran kepada pesalah kita tak boleh aibkan seseorang, apatah lagi dia seorang wanita," katanya.”

Petikan Kedua
“Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati.
Beliau turut persoalkan kenapa wanita itu dikenakan hukuman maksimum sedangkan ini adalah kesalahan pertama wanita itu dan telah pun mengaku bersalah. Beliau yang juga aktif dalam Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI), badan NGO liberal ini turut dengan nada sinis menyatakan bahawa jika lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah seseorang itu.”

Keempat, lebai kagum dengan beberapa individu termasuklah Tengku Mahkota Pahang yang menasihati agar masyarakat membiarkan Mahkamah yang memutuskan hukuman tersebut. Terima kasih Tuanku atas nasihat yang diberikan.

Di sini dilampirkan berita berkaitan Titah Tengku Mahkota Pahang.

“Biar Mahkamah Selesaikan Isu Kartika, Titah Tengku Abdullah

MUADZAM SHAH, 25 Ogos (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu hukuman sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Baginda yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Pahang bertitah, keputusan menangguhkan hukuman tersebut perlu dihormati bagi membolehkan pihak mahkamah mencari penyelesaian sebaik mungkin dalam masa terdekat.

"Dengan berkat bulan Ramadan ini mungkin ia dapat diselesaikan," titah baginda selepas berbuka puasa bersama-sama penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam di sini, Selasa.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak termasuk pemimpin kerajaan berhubung penangguhan hukuman sebat tersebut.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.”

Kelima, Lebai juga tertarik dengan kenyataan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan bahawa hukuman sebat terhadap kartika ditangguhkan disebabkan Negara tidak mempunyai tukang sebat syariah. Ini adalah suatu perkembangan yang baik. Setidak-tidaknya Negara kita kearah perlaksanaan undang-undang Syariah dan marilah kita mohon kepada Allah semoga perlaksanaan hukuman sebat syariah pertama kali di Malaysia ini akan membuka ruang kepada perlaksanaan lebih menyeluruh undang-undang Islam di Malaysia. Rakan-rakanku, sesuatu yang sukar tidak akan terurai jika tiada yang memulakan langkah pertama. Semoga semua ini menjadi langkah pertama dalam melaksanakan undang-undang syariah di Malaysia. Malaysia berjaya menjadi Negara hub kepada perbankan Islam, semoga Malaysia juga menjadi hub bagi undang-undang jenayah syariah…ameen

Baca Selengkapnya......

Wednesday, August 19, 2009

Ilmu Falak Syar'ie: Suatu Sorotan

ILMU FALAK DAN PERKEMBANGANNYA DI MALAYSIA

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) U.M
Sarjana Pengajian Islam (Syariah /Muamalat) U.K.M
Diploma Pendidikan (Pend Islam, al-Quran & B.Arab) IPGM IK
Sijil Falak Syar’ie K.U.I.S
Email: ustazyusri@yahoo.com
Blog: http://lebaiyusri.blogspot.com/

DEFINISI ILMU FALAK

Ilmu Falak merupakan cabang kepada ilmu sains yang merang kumi pengkajian berdasarkan kepada pergerakan objek objek yang berada di galaksi dan bagaimana objek-objek tersebut mempengaruhi manusia. Kita juga sering dengar masyarakat kita mendefinisikan objek-objek yang berada di langit sebagai cakerawala. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji yang arif dalam bidang ini, cakerawala berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud sesuatu yang berputar. Ini menepati kajian yang dilakukan oleh pakar astronomi yang menyatakan bahawa kebanyakan objek yang dapat kita lihat berada di langit sama ada secara mata kasar atau menggunakan peralatan adalah sesuatu yang bergerak di atas satu landasan yang dinamakan sebagai paksi. Ini juga telahpun dijelaskan di dalam al-Quran dalam surah Ya Sin ayat 40 yang bermaksud:

“ Tidaklah mungkin matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak akan mendahului siang dan masing-masing beredar pada garis peredarannya”.

Kajian mengenai angkasa lepas ini dalam bahasa Arab disebut sebagai ilmu falak. Hasil rujukan yang dibuat oleh penulis mendapati bahawa perkataan falak bukan berasal daripada bahasa Arab tetapi telah dipinjam daripada perkataan sumerian iaitu pilak atau lebih tepat ia membawa maksud ilmu mengenai bintang.


Namun begitu, perkataan falak pada hakikatnya telah dinyatakan dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Anbiya’ ayat 33:
“Dan Dialah (Allah) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan masing-masing dari keduanya itu beredar pada garis peredarannya”.
Dalam ayat ini dengan jelas Allah menyebut perkataan ‘falak’ yan menunjukkan bahawa perkataan ini telahpun menjadi sebahagian daripada bahasa Arab dan dikenali serta disepakati penggunaannya di kalangan bangsa Arab.

Para ilmuan Islam silam mengemukakan beberapa takrif ilmu falak bersesuaian dengan kemahiran dan kecenderungan keilmuan mereka; antaranya al-Biruni mendefinisikan falak sebagai sesuatu yang saling bertukaran atau kajian ke atas objek yang bergerak di angkasa. Manakala Ihwan al-Safa mendefinisikan ilmu falak sebagai ilmu yang mengkaji tentang tatasuria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan-gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubungan dengannya.

Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Mukaddimah menyatakan bahawa ilmu falak ialah sebagai satu ilmu yang mengkaji dan mempelajari pergerakan tetap bintang-bintang sama ada yang bergerak atau yang berpusing. Gerakan-gerakan tersebut dapat diketahui samaada melalui cerapan atau perhitungan. Ilmu perhitungan pula adalah berdasarkan kepada keilmuan tentang pergerakan dan kedudukannya.

Manakala ilmu falak dalam konteks Masyarakat Malaysia ialah penggunaan kaedah-kaedah falak termasuk hasil pengiraannya serta segala maklumat yang diperolehinya yang digunakan untuk tujuan beribadat kepada Allah dan mengaitkan dengan keesaan Allah.

PERKEMBANGAN ILMU FALAK DI MALAYSIA

Kedatangan dan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu jika di tinjau daripada sudut sejarah adalah serentak dengan kedatangan Islam. Catatan tarikh pada Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu dan kedatangan Syeikh Abd. Aziz al-Nayyiri ke Melaka telah membuktikan bagaimana ilmu falak di fahami oleh masyarakat Melayu melalui perkembangan Islam.

Namun begitu, ilmu falak ini bukanlah ilmu yang dominan, biasanya ilmu ini terangkum dalam ilmu-ilmu lain yang terdapat pada ulama’-ulama’ silam. Pada zaman ini, ilmu falak digunakan untuk tujuan penentuan peribadatan seperti penentuan masuk waktu solat, penentuan awal Ramadan dan awal zulhijjah. Para ulama’ pada ketika ini sudah dikenali sebagai seorang ahli hokum dan pada masa yang sama seorang ahli falak yang sangat cekap.

Selepas merdeka, ilmu falak mula berkembang dan terpisah daripada fiqh. Pada waktu ini, seorang ulama’ terkenal bernama Syeikh Tahir Jalaluddin telah menulis satu karya berkaitan ilmu falak yang dinamakan Pati Kiraan yang mengandungi formula-formula berkaitan pengiraan waktu solat, arah kibat dan sebagainya. Pada sekitar tahun 70an, ilmu falak ini terus berkembang pesat dengan penubuhan unit-unit falak syarie di Jabatan-jabatan Agama Negeri yang kemudiannya diletakkan di bawah Jabatan Mufti Negeri apabila berlaku penstrukturan semula Jabatan Agama dan Jabatan Mufti Negeri.

Institusi pertama yang menawarkan pengajian secara sistematik berkaitan ilmu falak ialah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)yang dikendalikan oleh Dr Baharuddin Ismail sekitar tahun 90an yang menyediakan program peringkat Sijil Falak Syar’ie. KUSZA telah berjaya menghasilkan graduan yang berkemahiran dalam ilmu falak. Hasilnya graduan-graduan ini ditempatkan di unit-unit falak, Jabatan-jabatan Mufti Negeri dan banyak menghasilkan penulisan falak dan menubuhkan persatuan-persatuan falak yang bergiat cergas bagi menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan astronomi dalam masyarakat.

Pada tahun 2006, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Falak), Sarjana Syariah (Falak) dan Ph.D (Falak) dengan kerjasama dengan Fakulti Sains Universiti Malaya. Sehingga kini Universiti Malaya menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Pada tahun 2008, pihak Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) juga membuka pengajian peringkat sijil kepada orang awam bagi memantapkan lagi pemahaman orang awam terhadap ilmu falak. Program ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Diharapkan agar ilmu falak terus berkembang luas dan pesat di Malaysia kerana ilmu ini sangat berguna kepada masyarakat awam.

Baca Selengkapnya......

Thursday, August 6, 2009

Polemik Bacaan Yaasin Malam Nisfu Sya'ban

KECEWA HATI SEORANG LEBAI

Salam sejahtera rakan bloggers yang selalu mengunjungi saya. Semalam adalah malam nisfu sya’aban. Dalam hadis ada disebut sebagai malam yang amalan manusia di angkat oleh Allah s.w.t . Saya tidak pasti kategori hadis ini sama ada ia sahih atau dha’if. Tapi dalam satu riwayat dalam Sahih Bukhari ada menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang kelebihan bulan sya’aban:

“aku lebih suka amalanku di angkat oleh Allah, dalam keadaan aku berpuasa”.

Pada kebiasaannya, pada malam nisfu syaa’ban masyarakat kita akan berkumpul beramai-ramai di masjid untuk menunaikan solat maghrib secara berjamaah dan seterusnya membaca yasin sebanyak tiga kali mengikut pengamalan ulama’ terdahulu.


Daripada sudut sosiologi, saya sangat gembira apabila melihat masyarakat kalangan saya rapat dengan masjid atas penganjuran aktiviti sebegini. Syukur Alhamdulillah, ada perubahan dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya masyarakat menyedari bahawa bulan sya’aban hampir ke penghujung dan bulan Ramadan akan menjelang tiba, bulan yang dinantikan oleh orang-orang yang dahagakan ganjaran daripada Allah.

Apa yang saya kesalkan ada sebilangan rakan sarjana di kalangan saya bertanya...boleh tolong nyatakan daripada kitab mana pengamalan bacaan yasin malam nisfu sya’aban ini diambil?

Menurut rakan sarjana saya lagi…amalan ini tidak menepati sunnah dan tidak diamalkan oleh Rasul.

Sebagai seorang yang terdidik dengan menghormati keilmuan yang dimiliki oleh orang lain, saya tersenyum, mengangguk dan terus berlalu pergi membiarkan rakan saya terpinga-pinga. Hati kecil saya terdetik:

“Ya Allah terangilah hatiku, permudahkanlah urusanku, rungkaikanlah kelu lidahku mudah-mudahan rakan sarjanaku memahami apa yang tengah aku ungkapkan”.

“ Ya Allah berikanlah petunjuk kepada masyarakat kalanganku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui, berilah keterbukaan hati dalam menerima Islam seadanya”.

Berlaku di sebuah masjid di daerah **** ******sedikit pertelingkahan berkaitan dengan pengamalan yang disebutkan tadi. Saya sangat terkejut pada ketika itu, saya dapat panggilan telefon,tn. Lebai boleh tolong datang…ada penghujahan dan pertelingkahan tentang bacaan Yasin malam nisfu Sya’ban.

Ya Allah..saya baru je habis solat di sebuah masjid di kawasan rumah saya. Saya terus bergegas ke masjid yang dinyatakan, sesampainya saya ke masjid tersebut…saya dapat lihat ahli jemaah kebingungan melihat perdebatan yang berlaku…

Saya memberikan salam, saya mohon secara baik supaya perdebatan ini dihentikan…alhamdulillah dengan rahmat Allah kedua-dua pihak menghormati permintaan saya.

Saya mohon kepada Tn. Imam agar membenarkan saya bercakap sedikit berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya ketika berada di salah sebuah pondok di Negeri Jelapang Padi.

Saya menyatakan:
Perkara yang tengah dibincangkan ini adalah perkara khilafiyyah….perkara yang sudah dibincangkan oleh ulama’ sejak sekian lama…takkan ada penyelesaiannya…pengalaman saya, saya telah meneliti hujah kedua-dua pihak..saya dapati kedua-dua pihak ada kekuatan dan kelemahannya sendiri…sebagai insan yang terdidik dengan tradisi menghormati pendapat orang lain, saya lebih suka mengambil pendekatan seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis: Rasul s.a.w bersabda:

“Perbezaan di kalangan umatku adalah rahmat”

Saya nyatakan dengan secara jujur, siapa yang rasa amalan itu sampai, silakan….jika siapa yang berpandangan amalan itu tidak sampai…tak perlu lakukan..

Selepas, saya selesai memberi pandangan, bangun seorang daripada jemaah tersebut menyatakan bahawa dia adalah lulusan pengajian Islam daripada salah sebuah universiti di timur tengah…dia bertanya…ustaz lulusan mana? Kalau ustaz orang berilmu nyatakan hujah..Individu itu mengungkapkan perkataan tersebut secara beremosi…

Sekali lagi kekuatan saya diuji… Saya melemparkan sekuntum senyuman…Saya menyatakan bahawa saya hanya lulusan agama dalam negara..Dengan nada yang rendah saya nyatakan bahawa pada hakikatnya ustaz telahpun tahu hujahnya…dan ustazpun tahu perkara ini adalah perkara khilafiyyah..dan di Negara timur tengah banyak perbahasan yg ustaz boleh dapat, siap dengan hujahnya sekali…

Terdiam ustaz muda tersebut apabila saya bercakap begitu..dengan nada sama saya nyatakan, “ustaz..perkara yang telah ustaz bahaskan adalah perkara khilafiyyah, kita sepatutnya berlapang dada dengan perkara yang sebegini, perkara khilafiyyah ini jika dilontarkan di dalam masyarakat akan menyebabkan masyarakat menjadi keliru, masyarakat bukanlah golongan yang berilmu seperti ustaz..jadi berbicarala dengan lebih terbuka sesuai dengan penerimaan masyarakat”.

Sekali lagi ustaz muda itu terdiam, bangun meninggalkan majlis…

Saya pernah ditanya berkaitan keharusan tahlil, bacaan talkin, bacaan yasin malam jumaat dan sebagainya. Saya berpandangan:

1. Perkara itu adalah perkara khilaf, tak perlu dibincangkan. Dah dibincangkan setelah sekian lama…umpama soalan ayam dan telur…mana yang wujud dulu? Ayam atau telur?.

2. Perkara ini termasuk dalam fadilat amal, Imam al-Ghazali telah nyatakan dalam ihya’ ulumuddin harus beramal dengan fadilat amal walaupun hadis tersebut dalam rangkaian hadis da’if.

3. Aktiviti sebegini dapat mendekatkan masyarakat kepada masjid dan menjadi penghubung kepada silaturrahim…jadi tidak salah jika kita bermatlamat begitu. Dalam keadaan masyarakat yang hanyut sekarang…apa salahnya aktiviti begitu dijalankan.

4. Sebagai contoh ada orang yang mempertikaikan amalan masyarakat berkaitan bacaan yasin pada malam jumaat…secara logiknya saya menjawab “lebih baik dia baca yasiin daripada menonton cerita keliwon, susuk dan sebagainya, sekurang2nya dia baca quran dalam seminggu sekali.”

5. Amalan ini adalah baik mengikut pandangan saya, Cuma jangan jadikan ia sebagai tradisi yg perlu dilakukan seolah-olah amalan tersebut sampai ke tahap wajib.

6. Nasihat saya kepada para sarjana...boleh kita dedahkan perbahasan2 ini kepada masyarakat, tapi pastikan masyarakat bersedia menerima dan fikirkan apa yang akan berlaku dalam masyarakat sedangkan perkara ini jelas sekali berbentuk khilafiyyah.

7. Saya rasa setiap daripada kita (org yg berilmu) tahu hujah bagi setiap pihak sama ada yg menyokong atau yang menentang, justeru tak perlu saya kemukakan hujah-hujah, kitab, hadis yang berkaitan. Secara peribadi saya malas nak berhujah dalam perkara ini. Tapi saya nyatakan dengan jujur, saya melakukan amalan-amalan tersebut, persoalan sampai atau tidak kita serahkan kepada Allah, tapi yang pastinya apabila kita membaca quran, pasti ada ganjarannya daripada Tuhan Semesta Alam…Wallahua’lam

Sekian, Luahan Rasa Al-Faqir ila afwi Rabbih…
Lebai Yusri
“Hamba Umpama Rumput di Bumi
Rendah Sekali Pada Yg Banyak”

Baca Selengkapnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template