Monday, December 14, 2009

TARANNUM AL-QURAN

TARANNUM AL-QURAN

Pada satu petang, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang individu yang saya anggap sebagai kakak mintak tolong saya carikan bahan untuk assignment tentang tarannum. Saya buntu sebab antara ilmu yang tidak saya kuasai ialah ilmu tarannum dan qira’at. Saya langsung tidak mengetahui kedua-dua bidang ini. Syukur pada Allah, saya dipertemukan dengan Ustaz Faizan bin Haji Tajuid (Imam Pusat Islam UiTM Seri Iskandar), beliau yang banyak memberi bahan-bahan tersebut kepada saya.

Saya berpegang kepada integriti akademik. Ini bukan hasil daripada saya tetapi saya ambil daripada beberapa kertas kerja kursus tahsin al-Quran yang telah saya nyatakan di bahagian rujukan. Saya menyedari ramai yang sukar untuk mendapatkan bahan-bahan ini, justeru saya taip dan uploadkan semoga ia bermanfaat. Ilmu itu hak Allah…sama-samalah kita berkongsi…jika anda mengambil bahan-bahan ini, tolong jangan tulis nama saya, tetapi tulis nama individu yang telah saya nyatakan di halaman rujukan.

1. PENGENALAN

Tarannum adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tarannama, yatarannamu tarannum yang membawa maksud berdendang atau menyanyi. Dr Ruuhi al-Balbaki, pakar bahasa Arab pula menyatakan bahawa kata akar bagi perkataan tarannum ini ialah rannama, yurannimu, tarnim yang membawa maksud “intonatian, modulation, recital, chanting, singing and humming” iaitu yang merangkumi maksud intonasi, nyanyian dan bacaan yang baik.

Tarannum jika ditinjau daripada perspektif ilmu adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu. Yang dimaksudkan dengan nada, rentak dan irama ialah:

Nada: tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak: pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama: alunan atau bentuk bunyi.

Tarannum juga diistilahkan sebagai satu ilmu atau kaedah seni suara yang yang dibunyikan menerusi nada, rentak dan irama yang sangat lunak berdasarkan kepada kaedah tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan khususnya bacaan al-Quran.



Di Malaysia kaedah ini dikenali dengan nama Tarannum bi al-Quran kerana bersempena sepotong hadis Rasulullah iaitu:

ما أذن الله لشىء ما أذن لنبى حسن الترنم بالقرأن. (رواه البخارى)
"Apa yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada nabinya yang selalu mengelokkan lagu (tarannum) bacaan al-Quran".


2. SEJARAH TARANNUM

Rasulullah SAW menerima al-Quran secara berperingkat bermula daripada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara yang baik. Hasil daripada galakan ini, lahirlah generasi sahabat yang dikenali sebagai qari yang terkenal seperti Abdullah bin Mas’ud, Abu Musa Asy’ari dan beberapa sahabat besar yang lain. Kemudian ilmu ini dikembangkan ke serata pelusuk tanah arab dan hasilnya pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah b Qis di Kufah (62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus berkembang sehingga ke hari ini.

Oleh kerana tarannum sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah SAW sampai kepada umat Islam yang ada pada hari ini.

Ketika zaman-zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab). Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran yang popular antaranya:

A. Misri iaitu seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada Mesir dan kawasan sekitarnya.
B. Hijazi ialah seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada kawasan sekitar Mekah dan Madinah.
C. Iraqi seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada Iraq dan kawasan sekitarnya.
D. Kurdi yang dipopularkan oleh qurra disekitar Iraq dan Turki.
E. ‘Ajami iaitu aliran yang dipopularkan oleh qurra yang bukan berketurunan Arab seperti Iran dan beberapa Negara lain.

Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.


PERBANDINGAN ANTARA GAYA BACAAN ALIRAN HIJAZI DAN ALIRAN MISRI

Aliran Hijazi

Aliran ini dikaitkan dengan persekitaran dan suasana tempatan di Mekah dan Madinah. Antara ciri geografi di kawasan ini ialah kawasannya yang berpadang pasir, bentuk muka buminya yang berbukit dan kebiasaannya suhu di kawasan ini adalah tinggi hingga pada satu tahap boleh mencapai 40 darjah celcius. Oleh itu gaya bacaan dan irama bagi aliran hijazi ialah lincah, nada suara yang tinggi kehangatan.

Aliran Misri

Manakala aliran misri pula dikaitkan dengan suasana yang lebih tenang dan damai kerana Negara Mesir terletak di lembah sungai Nil yang subur menghijau dengan tanaman dan bersuhu sederhana berbanding suhu di kawasan Mekah dan Madinah. Justeru kita dapat lihat irama dan rentak yang dihasilkan lebih lembut dengan lenggok suara yang sederhana.

ASAL ILHAM TARANNUM

Manusia yang berjiwa seni selalulah mendapat idea-idea dari persekitarannya. Sejak zaman silam, pengaruh bunyi geseran kayu, bunyi tiupan angin, bunyi kicauan burung, bunyi air mengalir dan lain-lain telah mencetuskan idea untuk membuat lagu ataupun didalam bahasa arab disebut At-Tarannum, Al-Nagham, ataupun ilmu Al-Maqamat.




HUKUM ASAS BERTARANNUM

Berdasarkan perbahasan ulama’, kita dapat memahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut;

1. Fardhu (kifayah) – jika hanya dengan berlagu sahajalah masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2. Sunat – jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3. Harus – untuk mengambil keseronokan mendengar alunan yang indah.
4. Makruh – jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5. Haram – jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru-niru lagu keagamaan lain, meniru-niru lagu penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan dan lain-lain.

Sabda RasuluLlah SAW:
اقرؤوا القرأن بلحون العرب وأصواتها، وإياكم ولحون أهل الكتابين وأهل الفسق، فإنه سيجئ بعدي قوم يرجعون بالقرأن ترجيع الغناء والرهبانية والنوح. لا يجاوز حناجزهم مفتونة قلوبهم وقلوب من يعجبهم شأنهم. (رواه الطبرني والبيهقي)
Bacalah al-Quran itu dengan gaya lagu dan suara yang berlahjah Arab dan jangan sekali-kali menbaca dengan lagu dan suara yang berlahjah keYahudian atau keNasranian. Demikian juga lagu-lagu ahli fasik (Biduan dan Biduanita). Maka sesungguhnya sepeninggalanku nanti, akan muncul satu golongan yang sengaja membaca al-Quran dengan lagu-lagu yang dipopularkan sebagai nyanyian penghibur, pendeta dan perintih yang tiada melampaui khalkum mereka, hati mereka sudah terfitnah, apa lagi hati mereka yang mengkaguminya.

Kata Ibnu Kathir: “Bahawasanya (berlagu) yang dikehendaki mengikut hukum syarak hanyalah mengelokkan suara yang menimbulkan rasa penghayatan (tadabbur), kefahaman, kekhusyukan, kerendahan hati serta memandu kearah ketaatan kepada Allah SWT.”

PEMBAHAGIAN ILMU TARANNUM
زينوا القرأن بأصواتكم (ابو داوود).
Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan Al-Quran dengan suara-suara kamu (dengan mempelbagaikan suara kamu).

Tarannum adalah perhiasan kepada bacaan Al-Quran. Tarannum sangat berkait rapat dengan suara kerana dari suara yang elok dan tersusunlah lahirnya tarannum.

Tarannum secara umumnya terbahagi kepada dua kategori:
a). Tarannum bit Tahqiq – Tarannum yang dibaca dengan kadar tahqiq menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh Qari-qari mesir muktabar seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain. Kategori ini digunapakai di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
b). Tarannum bit Tadwir – Tarannum yang dibaca dengan kadar Tadwir menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh oleh Imam-imam Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah seperti Fadhilatud Duktur Abdur Rahman bin Abdul Aziz Al-sudais dan lain-lain.

ASAS ALIRAN TARANNUM

Aliran tarannum Hijazi popular di dunia Islam sebelum tahun 1940-an. Lagu-lagu asas mereka boleh diketahui dengan kata-kata “Bihumurin jasad”

1. Banjakah.
2. Husaini.
3. Mayyah.
4. Rakbi.
5. Jiharkah.
6. Sikah.
7. Dukah.

Selain itu terdapat pula lagu-lagu cabang seperti Ruma, Ushshak. Sun’ani, Yaman Hijaz, Hirab dan lain-lain.

Asas Tarannum Aliran Misri

Selepas tahun 1940-an hingga ke hari ini, aliran tarannum Misri pulalah yang popular. Tarannum asas aliran Misri ialah:

1. Al-Bayyati.
2. Soba.
3. Hijaz.
4. Nahawand.
5. Rast.
6. Sikah.
7. Jiharkah.

Selanjutnya terdapat pula tarannum-tarannum seperti Husaini, Huzam, Farahfaza, Shad, Nawa Athar, Rahat El Arwah dan lain-lain yang kini dianggap sebagai lagu-lagu cabang (furu).

Terdapat tarannum-tarannum yang bersamaan nama di dalam aliran Hijazi dan aliran Misri, malah terdapat juga tarannum Misri yang diberi nama Hijaz. Ini menunjukkan keterbukaan dan keilmuan qari-qari Mesir dalam mengambil, mengubahsuai dan memperbaharui kearah mencantikkan lagi tarannum-tarannum sesuai dengan suasana, peredaran zaman dan citarasa terkini, tetapi tidaklah sampai menghilangkan identiti asal dan yang paling utama, keutuhan tarannum bil Quran yang berlahjah arab.

Untuk bertarannum, para Qari semestilah mengenali beberapa komponan penting untuk mengarabkan bacaan mereka .

2.3.1 Harkat (suatu alunan irama yang mengandungi beberapa qit’ah dan satu mahattah).
2.3.2 Qit’ah (suatu alunan irama pendek tanpa mahattah).
2.3.3 Burdah asli dan sina’i (bunga-bunga suara yang terjadi dengan sendirinya dan yang digubah).
2.3.4 Mahattah (suatu bentuk atau gaya penghujung harkat yang sempurna).
2.3.5 Salalim su’ud dan nuzul (suara mendaki dan menurun – mengikut ilmu tangga-tangga suara ).
2.3.6 Ihtilal al-lahn (kemahiran mencondongkan suara).
2.3.7 Wuslah al-mumathalah (kemahiran menggabungkan alunan beberapa tarannum yang sesuai di dalam satu harkat).

FALSAFAH TARANNUM BI AL-QURAN

Melagukan bacaan al-Quran adalah satu usaha ke arah pencapaian amalan membaca al-Quran yang bernilai tinggi bagi menhubungkan rasa hati pembaca dengan pendengar kepada keagungan Allah S.W.T. Bertarannum tanpa memahami falsafahnya adalah satu penyelewengan. Antara Falsafah tarannum ialah:

1. Untuk menghormati status al-Quran sebagai wahyu yang paling agung. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “diturunkan al-Quran itu dengan penuh kebesaran dan kehormatan”. (Riwayat Muslim)

2. Untuk menambahkan kekusyukan dan keinsafan kepada pembaca dan pendengar terhadap ayat-ayat al-Quran sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Mereka segera menundukkan muka sambil menangis sedangkan al-quran itu boleh menambahkan kekusyukan dan keinsafan”. (Surah al-Isra’:ayat 109)

3. Untuk mendapat rahmat Allah SWT. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan apabila al-Quran di baca hendaklah kamu mendengarnya dan diam (untuk memerhati dan dengar bacaannya) semoga kamu beroleh rahmat Allah Ta’ala”. (Surah al-A’raf:ayat 204).
4. Untuk menambah keunikan seni bacaan al-Quran itu, seperti sabda Rasulullah SAW: “ Perelokkan bacaan al-Quran itu dengan keelokan suara kamu. Sesungguhnya dengan suara yang elok sahaja mampu menambahkan keindahan seni al-Quran”.

PENGENALAN TARANNUM DI MALAYSIA

Qari-qari dari Malaysia masa kini telah mempopularkan bacaan al-Quran dengan tarannum yang disusun seperti berikut:

1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
4. Bayyati, Soba, Nahwand, Rast dan Sikah.
5. Bayyati, Iraqi, Hijaz, Sikah dan Rast.

50% daripada qari di Malaysia membaca dengan bahagian (1) dan (2), 30% pula membaca dengan bacaan mengikut turutan (3), 15% lagi membaca dengan bahagian (4) dan 5% lagi membaca dengan bacaan mengikut turutan (5).

Namun mengikut seorang pakar tarannum di Malaysia, Hj Nik Jaafar bin Nik Ismail; susunan lagu-lagu yang popular di Malaysia ialah
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
Bagi lagu-lagu lain hanya sebagai selingan sahaja.

PENGENALAN JENIS TARANNUM SECARA RINGKAS

TARANNUM BAYYATI

Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.

Sifat Tarannum Al-Bayyati

• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.

Peranan Tarannum Al-Bayyati

• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM SOBA

Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir

Sifat Tarannum Soba

• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.

Peranan Tarannum Soba

• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM HIJAZ

Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Hijaz

• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM NAHAWAND

Nahawand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Nahawand

• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.

Peranan Tarannum Nahawand

• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM RAST

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Rast

• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.




Peranan Tarannum Rast

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM SIKAH

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Sikah

• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.



Peranan Tarannum Sikah

• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM JIHARKAH

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Jiharkah

• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.



Peranan Tarannum Jiharkah

• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.


RUJUKAN

Husain Unang, 2005, Qamus al-Tullab, Kuala Lumpur: Darul Fikir, hlm 289.

Ruuhi al-Balbaki, 2000, al-Mawrid, Beirut: Dar al-Ilm li al-Maliyin, hlm 310.
Che Yahya Daud, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 7.


Syeikh Fatihi Hassan Maliji (2007), Tarannum Arabiah Misriah Muktabar, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, hlm 23.
Hassan al-Shukri bin Abdullah, 2008, Pengenalan Asas Tarannum, Kursus Sijil Tinggi Pengajian Tarannum, Darul Quran:Kuala Kubu, hlm. 5
Che Yahya Daud, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 7.

Ustaz Faizan Haji Tajuid, Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Negeri Perak tahun 2008 dan 2009, Temubual, 1 November 2009.

Hj. Nik Ja’far Bin Nik Ismail, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 7.

Radzi Kamarul Hailan, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 2-7.

8 comments:

wtirmizi81 said...

wa ustaz yus ..wat kajian psl tarannum pulokko...abe jie vampire cina( x housemate)

wtirmizi81 said...
This comment has been removed by the author.
maza said...

syukran jaziran ya akhi.. sanga berguna dan saya mulai memaham apa itu taranum.. sebelum ini saya hanya menggarap dan melagukan secara sembrono.. sekarang perlu memilih dan berhati2..

hehehe

Unknown said...

syukran kasir kpd tuan empunya blog..ana mohon copy sedikit maklumat dari entri ini... entri ini sangat bermanfaat bagi yang mempelajari ilmu tarannum :)

Unknown said...

trima kasih sheikh,, :)

ahmad ramli said...

Sangat berfaedah untuk muazzin dan imam

Unknown said...

terima kasih dengan perkongsian imlu.Semoga Allah merahmati kita semua dengan kemuliaan al-Quran..

ashraf said...

syukran tuan atas perkongsian..izinkan sy utk ambil nota ini sbg panduan mengajar pd anak murid sy... mohon dihalalkan ilmunya...syukran kathir tuan...

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template