HIJRAH NABI MUHAMMAD S.A.W KE MADINAH: FAKTOR DAN KEPENTINGANNYA TERHADAP PENYEBARAN ISLAM
Oleh:
Hatika Binti Megat Jamil
Nor Asyikin Binti Saman
Nor Hashimah Binti Wasiuddin
Norhidayah Binti Zulkefli
ACS1112A
Disemak oleh:
Muhammad Yusri bin Yusof
PENGHARGAAN
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan rahmat taufik dan hidayahNya, kerja kursus CTU151 bertajuk “ Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah: Faktor dan kepentingannya terhadap penyebaran Islam ” berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam kesempatan ini, kami ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga kerja kursus ini berjaya disiapkan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh yang banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami.
PENDAHULUAN
Hijrah merupakan perkara sunat yang disarankan oleh Allah S.W.T kepada seluruh ummat Islam. Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. Pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam konteks tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Peristiwa hijrah orang Islam Makkah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 M. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Walaubagaimanapun, Umar Bin Al-Khattab telah berhijrah secara sendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya.
1.0 DEFINISI HIJRAH
1.1 BAHASA
Hijrah pada bahasa bermaksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaaan kepada keadaan yang lebih baik ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
1.2 ISTILAH
Hijrah pada istilah ialah perpindahan Rasulullah S.A.W dan orang-orang Islam dari Makkah ke Madinah untuk menyebarkan Islam ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
1.3 KONSEP
Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang lebih luas dan mendalam, iaitu perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan dan kejahatan. Hijrah juga boleh dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).
Orientalis Barat mentafsirkan hijrah secara negatif, iaitu sebagai suatu pelarian. Pendapat orientalis Barat ini boleh disangkal kerana konsep hijrah dalam Islam berbeza daripada konsep hijrah Barat dengan menggunakan empat hujah. Yang pertama, penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang Arab Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah Kedua. Yang kedua, ketibaan orang Islam Makkah ke Madinah juga telah disambut dengan rela dan meriahnya oleh orang Madinah. Yang ketiga, orang Islam Makkah diberikan tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin tentang keselamatan mereka oleh orang Arab Madinah. Akhirnya, Nabi Muhammad S.A.W pula telah dilantik sebagai pemimpin Madinah dan baginda diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madianah termasuk orang bukan Islam ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).
Penghijrahan yang berlaku pada hari ini sangat berbeza daripada penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah. Misalnya, pada hari ini, penghijrahan sesuatu kelompok manusia adalah akibat peperangan, dan mereka ini dianggap pelarian. Kehadiran pelarian ini di sesebuah negara adalah tidak diundang, malah mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing ( Muhd Bukhari Lubis, 1981 ).
2.0 PERISTIWA HIJRAH
2.1 SEBELUM HIJRAH
Tentangan terhadap Islam semakin hebat dan pelbagai usaha dari pihak Quraisy untuk menyekat dakwah Islam ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ). Musyrikin Makkah telah melakukan pelbagai usaha menghalang dakwah Rasulullah S.A.W antaranya, tawaran untuk bergilir-gilir melaksanakan agama masing-masing, menawarkan pangkat, harta dan wanita kepada Rasulullah S.A.W, mengenakan sekatan ekonomi terhadap orang Islam, Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib selama 3 tahun. Selain itu, mereka juga telah melakuka penyeksaan terhadap orang Islam dan membuat perancangan untuk membunuh Nabi ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada tahun 620 Masihi, beberapa orang Madinah telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W secara sulit. Pertemuan itu telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama. Perjanjian ini dibuat pada tahun 621 Masihi bersamaan tahun ke sebelas kerasulan Nabi. Antara isi kandungan perjanjian ini ialah tidak mensyirikkan Allah S.W.T, tidak membunuh anak, tidak membuat fitnah atau khianat, tidak mencuri, tidak berzina, serta tidak menderhaka kepada Rasulullah S.A.W ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun ke tiga belas kerasulan, termeterai Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat antara Rasulullah S.A.W dengan 37 orang lelaki dan 2 orang perempuan Madinah. Antara isi kandungan perjanjian tersebut, mereka haruslah menerima Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin dan berjanji mempertahankan Rasulullah. Kemudian, mereka juga berjanji untuk berjuang mempertahankan Islam dan membantu Rasulullah S.A.W serta orang Islam yang lain ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
2.2 SEMASA HIJRAH
Sehari sebelum hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah, musyrikin Makkah telah berbincang bagi menghalang Nabi daripada berhijrah. Mereka telah bersetuju untuk membunuh Nabi S.A.W semasa baginda sedang tidur ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Pada malam penghijrahan, pemuda musyrikin Quraisy telah mengepung rumah Nabi untuk membunuh baginda tetapi Allah telah menurunkan wahyu bagi memberitahu Nabi tentang rancangan kafir Quraisy tersebut dan memerintahkan baginda agar berhijrah ke Madinah. Manakala, Saidina Ali telah diperintahkan oleh Nabi agar tidur di atas katil baginda dan Nabi telah berjaya keluar dari rumahnya lalu menuju ke rumah Abu Bakar untuk mengajaknya berhijrah ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
Kemudian, Nabi bersama Abu Bakar keluar dari Makkah menuju ke Gua Thur dan bersembunyi di sana. Setelah 3 hari 2 malam di dalam Gua Thur, baginda meneruskan perjalanan ke Madinah dengan dibantu oleh Abdullah Bin Arqit. Setelah itu, baginda berhenti di Quba' selama 4 hari dan membina masjid pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Masjid Quba' ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ). Pada 2 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan ( 2 Julai 622 Masihi ), Rasulullah S.A.W bersama Abu Bakar telah selamat sampai di Madinah. Mereka berdua disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Madinah ( Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam Kamil, 2006 ).
2.3 SELEPAS HIJRAH
Hijrah telah mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin. Hijrah juga telah menjurus kepada pembinaan masjid sebagai tempat ibadah dan lambang perpaduan umat Islam. Selain itu juga, beberapa perjanjian telah termeterai bersama golongan Yahudi di Madinah ( Naeem Siddiqi, 1985 ).
3.0 SEJARAH HIJRAH
3.1 HIJRAH PERTAMA: HABSHAH
Pada permulaannya, penghijrahan umat islam yang pertama ialah menuju ke negeri Habsyah. Rombongan ini terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita kemudian disusuli oleh rombongn berikutnya sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah Usman bin Affan beserta isteri beliau Ruqayyah,Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ja’far bin Abu Talib dan lain-lain. Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian tahun 615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut ke Habsyah. Beliau tetap tinggal di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke Habsyah supaya meminta Raja Habsyah menolak kedatangan kaum muslimim tetapi baginda bersikap bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak sahaja akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah diperkenankan oleh raja dan tuntutan Quraisy ditolak ( Faisal Ismail, 1984 ).
3.2 HIJRAH KEDUA: TAIF
Seterusnya, baginda berhijrah ke Taif untuk mendapat dorongan dan sokongan dari Khabilah Tsaqif terhadap musuh-musuh islam Makkah. Beliau menggunakan tutur kata yang baik dan sikap yang penuh dengan hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif dan mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam. Namun begitu ajakan baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pamuda tersebut malah mereka menolaknya dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu. Baginda tabah menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya. Baginda terpaksa kembali ke Makkah dan terus menuju ke Baitullah lalu beliau Tawaf dan sujud berdoa semoga Allah mengampuni kaumnya ( Faisal Ismail et.all, 1984 ).
3.3 HIJRAH KETIGA: MADINAH
Penghijrahan yang terakhir baginda ke Madinah pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini berlaku secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah dan telah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Namun, Umar bin al-Khattab telah berhijrah secara bersendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya ( Nik Hassan Shuhaimi bin Nik Abdul Rahman et.all, 2006 ).
4.0 SEBAB DAN TUJUAN HIJRAH
Dakwah Islamiah telah disebarkan di Makkah lebih kurang 13 tahun.Pelbagai rintangan telah dihadapi oleh nabi Muhammad S.A.W dalam masa tersebut. Untuk meneruskan dakwah Islamiah, nabi Muhammad S.A.W telah mangambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah.
Terdapat beberapa faktor berlakunya hijrah ke Madinah. Faktor utama penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah adalah disebabkan perintah Allah menerusi wahyu. Maka dalam wahyu ini Allah telah menyatakan niat dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W dan Allah telah memerintahkan baginda agar segera berhijrah. Perintah ini yang berasas ayat Al-Quran, iaitu surah Al-Anfal yang telah mempercepatkan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke kota Madinah. Dengan perlindungan Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W dan sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq selamat sampai ke Madinah.
Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman daripada orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam di Makkah. Walaubagaimanapun, penghijrahan itu bukan bererti orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut tetapi ini merupakan strategi Nabi Muhammad S.A.W untuk mengembangkan Islam. Bagi baginda, suasana aman di tempat baru akan memudahkan lagi penyampaian dakwah islamiah. Selain itu, hijrah juga membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan.
Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah adalah disebabkan jemputan masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi pelbagai konflik.pada ketika itu suku Aus dan Kharaj di Madinah sering bertelagah sesame sendiri dan ekonomi mereka pula dikuasai oleh golongan Yahudi. Oleh itu, golongan Arab Madinah memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad S.A.W untuk mengetuai kepimpinan di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W juga diperlukan untuk mendamaikan masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan ( Muhd Yusof bin Ibrahim et.all, 2006 ).
5.0 KEPENTINGAN HIJRAH
Hijrah mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu
( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Sempena hijrah, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga menunjukkkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita
( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi ( Rosnanaini binti Suliman et.all, 2006 ).
KESIMPULAN
Berdasarkan topik yang dibincangkan iaitu berkenaan hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah, kami dapat simpulkan bahawa hijrah yang dilakukan oleh baginda mendatangkan banyak kesan samada dari segi kebaikan atau keburukan walaupun baginda dan sahabat menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Penghijrahan yang telah baginda lakukan ada yang disokong oleh orang sekelilingnya dan ada juga yang menbantah. Kekuatan dan kesabaran baginda telah membuahkan hasil apabila berjaya berhijrah ke Madinah dan menyampaikan wahyunya di negeri tersebut. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati melalui penghijrahan baginda. Antaranya, kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu. Seterusnya, kita juga harus bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu. Selain itu, kita juga hendaklah memberi keutamaan kepada agama dengan bersolat dan berdoa dalam apa jua yang kita lakukan.
RUJUKAN
Faizal Ismail, ( 1984 ), Sejarah Dan Kebudayaan Islam Dari Zaman Permulaan Hingga Zaman Khulafaurasyidin. Yogyakarta: CV Bina Usaha.
Muhd Bukhari Lubis, ( 1981 ), Sekitar Sejarah Dan Tamadun Islam. Bangi, Selangor:
Ustara Sendirian Berhad.
Naeem Siddiqi, ( 1985 ), Muhammad Pembina Umat. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Muhd Yusof Bin Ibrahim, Muhammad Bukhari Bin Ahmad, Rosnanaini Binti Sulaiman, ( 2006 ), Buku Teks Sejarah Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Zulkarnain Yunus, Muhammad Salam Kamil, Xpress PMR. Selangor Darul Ehsan: Sasbadi Sdn. Bhd.
PROSES KERJA KURSUS CTU 151
Pada kelas pertama, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan kami telah memilih tajuk “ Hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah: Faktor Dan Kepentingannya Terhadap Penyebaran Islam ” untuk kerja kursus bagi kos Pemikiran Tamadun Islam ( CTU151 ). Sepanjang proses menyelesaikan kerja kursus ini, kami telah berjumpa dengan Ustaz Muhammad Yusri Bin Yusof @ Salleh sebanyak tiga kali. Pada pertemuan pertama yang bertarikh, 17 Januari 2011, kami telah diajar bagaimana untuk membuat draf bagi menyenangkan kerja kami. Kami juga mengemukakan bahan dan data yang telah kami diperolehi kepada beliau. Pada kali kedua iaitu pada 24 Januari 2011, kami telah menunjukkan kepada Ustaz Muhammad Yusri sebanyak 5 buah buku rujukan yang berkaitan dengan tajuk kerja kursus kami serta draf yang baru untuk semakan beliau. Kemudian, pada pertemuan terakhir, kami telah menghantar contoh kerja kursus kepada Ustaz Muhammad Yusri untuk semakan beliau pada tarikh 16 Februari 2011. Pada waktu hari kuliah seterusnya iaitu pada 21 Februari 2011, kami telah menghantar laporan kerja kursus, softcopy dan slide presentiation kepada Ustaz Muhammad Yusri.
PEMBAHAGIAN TUGASAN AHLI KUMPULAN
NOR ASYIKIN BINTI SAMAN
I. Saya ditugaskan sebagai ketua kumpulan.
II. Saya telah mencari definisi hijrah daripada buku yang bertajuk XPRESS PMR.
III. Seterusnya saya telah menaip beberapa subtopik seperti definisi.
IV. Saya juga telah mengedit segala ayat-ayat dan format yang telah ditetapkan oleh Ustaz Muhammad Yusri.
HATIKA BINTI MEGAT
I. Saya telah mencari kepentingan hijrah dan menaipnya.
II. Saya telah membawa sebuah buku yang bertajuk Buku Teks Sejarah Tingkatan 4.
III. Saya bersama Nor Hashimah telah mencetak laporan tugasan ini.
NOR HASHIMAH BINTI WASIUDDIN
I. Saya telah mencari faktor-faktor dan sebab-sebab hijrah serta menaipnya.
II. Saya telah membawa sebuah buku yang bertajuk Sekitar Sejarah Dan Tamadun Islam.
III. Saya bersama Hatika telah mencetak lapran tugasan ini.
NORHIDAYAH BINTI ZULKEFLI
I. Saya telah mencari sejarah hijrah dan telah menaipnya.
II. Saya telah merujuk kepada buku yang bertajuk Sejarah Dan Kebudayaan Islam Dari Zaman Permulaan Hingga Zaman Khulafaurasyidin dan Muhammad Pembina Ummat.
III. Saya telah menjilidkan laporan tugasan dengan menggunakan kaedah stapler and binding tape.
PENGAKUAN
Ahli kumpulan kami terdiri daripada:
I. Hatika Binti Megat Jamil
II. Nor Asyikin Binti Saman
III. Nor Hashimah Binti Wasiuddin
IV. Norhidayah Binti Zulkefli
Sesungguhnya kami mengaku bahawa kami tidak melakukan sebarang
“ cut and paste ” ataupun “ plagiat ” dalam proses menyediakan kerja kursus ini.
……………….. ……………….. ……………….. ……………….
( HATIKA ) ( ASYIKIN ) ( HASHIMAH ) ( HIDAYAH )
NAMA
NO PELAJAR
KUMPULAN
HATIKA BINTI MEGAT JAMIL
2010844954
ACS1112A
NOR ASYIKIN BINTI SAMAN
2010856326
ACS1112A
NOR HASHIMAH BINTI WASIUDDIN
2010839308
ACS1112A
NORHIDAYAH BINTI ZULKEFLI
2010878386
ACS1112A