SOSIALISASI SEKOLAH: MEMBENTUK INDIVIDU YANG MEMPUNYAI KEMAHIRAN SOSIAL YANG TINGGI
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (Pend Islam dan Bahasa Arab) (I.P.G.I.K)
Kamus Dewan mentakrifkan sosial ialah segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala Mohd. Salleh Lebar dalam bukunya Sosialisasi Sekolah dan Pendidikan mentakrifkan sosialisasi ialah proses interaksi sosial yang membolehkan manusia memperolehi personaliti atau sakhsiah dan belajar cara hidup masyarakatnya. Proses ini berlaku secara berterusan dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran personaliti merangkumi pemikiran, tahap emosi, daya kesedaran diri, konsepsi dan lain-lain lagi. Selain itu, sosialisasi boleh ditakrifkan sebagai interaksi antara manusia sama ada verbal atau non verbal. Apabila manusia melakukan tugasan bersama, sekalipun tanpa interaksi, ia juga dianggap sebagai proses sosialisasi. Sebagai kesimpulannya, sosialisasi adalah cara bagaimana individu bermasyarakat dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Sekolah merupakan agen sosialisasi. Ini kerana sekolah bukan saja menjadi tempat menuntut ilmu bahkan warganya sudah pasti akan berinteraksi antara satu sama lain bagi memenuhi tuntutan hidup. Sosialisasi berlaku di sekolah boleh diklasifikasikan kepada 3 cara; pertama, interaksi murid bersama murid. Kedua, interaksi guru bersama murid dan ketiga interaksi antara kakitangan sekolah.
Proses sosialisasi berlaku apabila berlaku interaksi antara murid dengan murid di sekolah. Proses interaksi ini boleh berlaku ketika P & P dan juga ketika kokurikulum. Ketika P&P, murid akan digalakkan untuk membincangkan tajuk yang diajar bersama rakan-rakannya dan membuat refleksi dan rumusan daripada apa yang difahami dan dipelajarinya. Daripada perbincangan kumpulan tersebut, proses sosialisasi akan terbentuk dan murid akan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, proses sosialisasi juga boleh berlaku apabila aktiviti kokurikulum dijalankan. Aktiviti kokurikulum adalah amat penting dijalankan di sekolah. Ini kerana melalui aktiviti ini, murid dapat meluaskan persahabatannya bersama murid lain berasaskan minat dan bakat yang sama. Selain daripada itu, pelajar juga dapat mempraktikkan konsep kepimpinan yang dipelajarinya dalam bilik darjah. Justeru itu, melalui kepimpinan persatuan, murid akan bersosialisasi dengan khalayak yang dipimpinnya.
Proses sosialisasi juga berlaku apabila wujud interaksi antara guru dan murid. Dalam soal ini, murid secara tidak langsung akan mempelajari bagaimana cara untuk berinteraksi dengan individu yang lebih tua daripadanya. Selain daripada mendidik berkaitan dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru juga seharusnya menerapkan norma dan nilai sosial yang baik kepada muridnya. Nilai yang diterapkan diharapkan dapat membantu muridnya bersosialisasi dengan lebih baik dalam masyarakatnya. Guru juga diibaratkan sebagai seorang ayah dan ibu di sekolah, justeru guru yang cemerlang adalah guru yang mampu memberikan mutiara ilmu dan menjadi contoh teladan yang baik untuk murid-muridnya serta mampu untuk membimbing muridnya ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Proses sosialisasi juga berlaku apabila wujud interaksi antara kakitangan sekolah. Interaksi yang dimaksudkan adalah interaksi keseluruhan kakitangan sekolah daripada tukang kebun, tukang masak, tukang sapu, pembantu am rendah, pemandu, kerani, kakitangan pentadbiran, guru-guru, penolong kanan dan guru besar. Proses sosialisasi berlaku dengan wujudnya interaksi antara golongan yang telah dinyatakan. Hubungan yang baik antara kakitangan sekolah akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan institusi tersebut.
Kesimpulannya, sekolah sememangnya antara agen sosialisasi. Kewujudannya pada hakikatnya memberikan faedah yang cukup banyak kepada masyarakat sekitarnya. Perlu difahami, sekolah bukan hanya tempat menuntut ilmu, bahkan adalah satu institusi yang mampu membentuk masyarakat yang mapan melalui peranan yang dimainkannya.
2. Bagaimanakah media mempengaruhi individu dalam proses sosialisasi?
Kamus Dewan mendefinisikan media massa sebagai alat perhubungan (seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya) atau sebaran am. Media mempunyai fungsi yang unik iaitu sebagai medium kepada penyebaran pengetahuan kepada manusia. Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik, media sememangnya mempunyai pengaruh besar dalam proses sosialisasi. Kajian yang dilakukan oleh Abd. Rahim Abd. Rashid telah mengklasifikasikan agen sosialisasi kepada 2; pertama, agen yang mempunyai pengaruh besar dalam proses sosialisasi. Antara agen tersebut ialah sekolah, keluarga, rakan sebaya dan media massa. Kedua, agen yang tidak mempunyai pengaruh besar seperti badan-badan agama dan persatuan-persatuan belia. Melihat kepada kajian yang telah dilakukan, kita dapati media massa mempunyai pengaruh besar. Esei ini akan melihat bagaimana media massa mempengaruhi proses sosialisasi.
Dalam konteks pelajaran, media massa terutamanya televisyen mempengaruhi sikap dan tingkah laku anak-anak. Kita dapat lihat lebih banyak masa anak-anak sekarang tertumpu kepada televisyen. Di tambah pula dengan adanya siaran berbayar seperti Astro dan MiTV, kanak-kanak semestinya menghabiskan masa menonton televisyen. Astro contohnya, memperuntukkan satu saluran khusus untuk rancangan kartun semata-mata. Ini akan menghalakan pemikiran kanak-kanak lebih tertumpu kepada televisyen daripada mengulang kaji pelajaran. Dengan itu, televisyen lebih menarik minat mereka daripada pelajaran sekolah yang berbentuk formal dan memerlukan mereka untuk berfikir dan melakukan aktiviti di dalam bilik darjah. Ini akan membawa implikasi buruk yang menyebabkan mereka enggan berfikir atau berusaha mengatasi atau mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Keadaan ini mungkin terbawa-bawa ke sekolah dan guru perlu membuat P&P yang lebih menarik bagi merangsang semula minat pelajar.
Selain daripada itu, media massa juga mempengaruhi proses sosialisasi dengan menayangkan sesuatu iklan dengan berulang kali sehinggakan khalayak sasaran terasa ingin mencuba. Kaedah ini banyak digunakan di dalam media mahupun media cetak dan media penyiaran. Bukti media massa boleh mempengaruhi khalayak sasaran ialah bayaran iklan yang tinggi pada waktu puncak contohnya dari pukul 7 malam sehingga pukul 9 malam. Jika kita menonton TV3 pada jam 8 malam, kita akan dapati bahawa segmen iklan kadang-kadang mencecah sehingga 10 minit bagi satu segmen iklan. Begitu juga media cetak, umpamanya sebagai contoh akhbar Utusan Malaysia. Pada hari ahad kita akan dapati terlalu banyak iklan di dalamnya. Sudah tentu, iklan pada hari tersebut lebih mahal dari hari biasa.
Selain itu, media massa mempengaruhi proses sosialisasi dengan menonjolkan seorang idola yang disifatkan sempurna. Idola ini diwarwarkan sebagai seorang yang berkarisma dan berkredibiliti tinggi sehinggakan khalayak terpengaruh dan fanatik terhadap idola tersebut. Antara rancangan yang bersifat seperti ini ialah Akademi Fantasia. Kita dapati, artis-artis yang lahir daripada program tersebut menjadi idola kepada masyarakat. Contoh artis-artis tersebut ialah Mawi, Felix dan Amylea. Peminat-peminat mereka sanggup melakukan apa saja bagi menyokong artis-artis tersebut.
Sebagai kesimpulan, media massa adalah agen sosialisasi yang penting. Justeru itu, kawalan perlu dilakukan bagi menghalang media menyebarkan contoh-contoh yang tidak baik kepada masyarakat.
3. Nyatakan perkara yang berkait dengan penampilan diri dan kaitan antara penampilan guru dengan pengajaran dan pembelajaran.
Penampilan diri bermaksud cara seseorang memperagakan dirinya dari segi fizikal mengikut kesesuaian konteks. Ini bermakna penampilan bagi situasi formal dan tidak formal adalah tidak sama. Penampilan diri yang sesuai melambangkan kecekapan seseorang menguruskan diri, menangani keperluan, menampakkan kebijaksanaan dan menampakkan rasa hormat terhadap orang lain. Menampilkan diri dengan berkesan bukanlah sesuatu yang sukar. Seseorang hanya perlu kemas dan rapi dari segi pakaian, solekan, potongan rambut, kesopanan dalam pertuturan dan berkelakuan. Pakaian yang berjenama bukanlah aset utama untuk menonjolkan penampilan diri. Imej positif adalah satu pelaburan yang mampu untuk meningkatkan keyakinan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Apabila bercerita berkaitan dengan penampilan diri, seseorang yang berpenampilan menarik adalah orang yang mampu menguasai dua perkara; pertama penampilan diri yang bersifat fizikal dan keduanya seseorang yang mempunyai etiket sosial. Etiket sosial ialah perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak geri yang elok yang berkeyakinan mengikut kesesuaian semasa berinteraksi dalam majlis rasmi dan lain-lain.
Kaitan antara penampilan diri dengan P & P ialah ia akan memberikan seorang guru daya motivasi dan keyakinan yang tinggi untuk mengajar dan seorang guru itu mampu untuk memberikan persembahan terbaiknya. Seorang guru yang bermotivasi tinggi tidak akan pernah kenal erti putus asa dan jemu dalam mendidik anak bangsa walaupun sesukar mana pun pekerjaan tersebut. Sebaliknya jika seorang guru tidak mempunyai penampilan diri yang baik, semestinya juga ia adalah seorang guru yang mengajar sambil lewa dan tidak mempedulikan prestasi akademik semasa muridnya. Guru seperti ini menganggap mengajar hanyalah pekerjaan yang mendapat gaji di setiap hujung bulan dan bukanlah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul.
Selain itu, guru yang mempunyai penampilan diri yang baik meliputi potongan rambut yang kemas, pilihan warna dan corak yang pakaian yang bersesuaian, kemas dan rapi, menjaga kesihatan diri, mempunyai perwatakan menarik dan sentiasa murah dengan senyuman akan menarik minat murid untuk belajar di dalam kelas. Guru seperti ini dapat membuatkan murid bersemangat untuk terus menyambung pelajaran walaupun letih. Selain itu, peribadi guru yang baik seperti cara berinteraksi dengan murid dan kakitangan sekolah juga mempengaruhi P & P. Murid akan lebih hormat kepada guru yang menguasai etiket sosial dan berperibadi luhur. Murid juga akan mempercayai guru tersebut dan memudahkan penyampaian pelajaran dalam P & P. Selain itu, penguasaan terhadap etiket sosial juga akan membolehkan seorang guru memahami peraturan dan keperluan untuk membawa tingkah laku yang betul dan tepat mengikut situasi, masa dan tempat. Sebagai seorang guru, aspek ini cukup dipentingkan, ini kerana guru akan mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, penampilan guru dengan pengajaran dan pembelajaran sememangnya mempunyai hubungan yang erat. untuk berjaya dalam P & P guru perlu menitik beratkan soal penampilan diri agar mudah diterima oleh murid khususnya dan masyarakat amnya.
Sunday, November 30, 2008
Kemahiran Sosialisasi di Sekolah
Wednesday, November 26, 2008
Prinsip Fiqh Silam dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia
PENGGUNAAN PRINSIP-PRINSIP FIQH SILAM DALAM PENGHARUSAN INSTRUMEN DALAM PASARAN MODAL ISLAM DI MALAYSIA
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (Pend Islam dan Bahasa Arab) (I.P.G.I.K)
1.0 PENDAHULUAN
Prinsip-prinsip fiqh silam menjadi salah satu cara bagi menentukan pengharusan sesuatu instrumen dalam pasaran modal Islam di Malaysia. Dalam pasaran modal Islam di Malaysia prinsip-prinsip ini diadaptasi dan diubahsuai untuk membentuk instrumen baru yang bertujuan khusus membangunkan pasaran modal Islam yang bebas daripada unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh Islam seperti judi, riba dan gharar (unsur-unsur penipuan).
Fenomena kebangkitan Islam di sekitar tahun 70-an pada hakikatnya menjadi pendorong kepada kerajaan dan rakyat sama-sama membangunkan sistem kewangan Islam di Malaysia. Kini, Malaysia boleh berbangga mempunyai sistem kewangan Islam yang diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia. Pengenalan Bank Islam pada tahun 1983, disusuli dengan pengenalan Takaful pada 1984 dan Pasaran Modal Islam pada awal 90-an menjadikan sistem kewangan Islam di Malaysia menjadi semakin sempurna.
Justeru, dalam menangani permasalahan yang timbul dalam sistem kewangan Islam ini, metodologi Usul dan Kaedah fiqh digunakan dengan meluasnya dalam proses mengharuskan instrumen terutamanya dalam Pasaran Modal Islam. Dalam hal ini, penulis cuba mendedahkan kepada pembaca penggunaan kedua-dua metodologi ini, membuat analisis dan perincian terhadap penggunaannya. Penggunaan kedua-dua metodologi ini dalam mengharuskan instrumen dalam Pasaran Modal Islam dapat menafikan sesetengah tanggapan masyarakat yang menyatakan bahawa Usul dan Kaedah fiqh hanya bersifat teori dan tidak mempunyai praktikal dalam dunia moden.
2.0 DEFINISI PASARAN MODAL ISLAM
Pasaran modal di Malaysia merujuk kepada pasaran untuk aset kewangan jangka panjang dan jangka sederhana. Ia meliputi semua instrumen hutang swasta dan awam yang mempunyai tempoh matang yang melebihi satu tahun. Pasaran ini juga termasuk saham-saham korporat yang tidak mempunyai tempoh matang yang tetap serta niaga hadapan komoditi. Matlamat utama pasaran modal di negara ini terbahagi kepada dua; pertamanya ialah pasaran ini membantu proses pembangunan ekonomi dengan menggemblengkan dana jangka panjang dan sederhana daripada orang awam untuk membiayai program dan rancangan pembangunan awam dan membiayai pelaburan swasta. Keduanya, pasaran modal menggalakkan perusahaan swasta dengan menyediakan perkhidmatan pengantara yang mudah untuk memperolehi dana bagi pelaburan dan pengembangan korporat dan dalam mengubah struktur pemilikan syarikat-syarikat.
Suruhanjaya Sekuriti mendefinisikan pasaran modal Islam sebagai sebuah pasaran yang merangkumi aset kewangan jangka panjang dan sederhana yang dikendalikan selaras dengan kehendak Syariah iaitu bebas dari aktiviti-aktiviti haram yang terdiri dari riba, judi dan unsur-unsur penipuan. Pembangunan pasaran modal Islam ini dilakukan dengan membuat kajian mendalam terhadap instrumen-instrumen konvensional dan menyelaraskan instrumen-instrumen tersebut dengan prinsip-prinsip Syariah, penciptaan instrumen-instrumen baru berasaskan prinsip-prinsip fiqh muʿamalat dan memastikan urusniaga yang dijalankan berteraskan prinsip-prinsip Syariah. Sebagai kesimpulannya, pasaran modal Islam di Malaysia berjalan selari dengan pasaran modal konvensional tetapi yang membezakannya dengan pasaran modal konvensional ialah aktiviti, dan dan pulangannya bebas dari tiga unsur yang diharamkan iaitu riba, judi dan unsur penipuan.
3.0 KEPENTINGAN PASARAN MODAL ISLAM
Secara umumnya pasaran modal di Malaysia sama ada konvensional atau Islam bermatlamatkan dua perkara iaitu; pertamanya ialah pasaran ini membantu proses pembangunan ekonomi dengan menggemblengkan dana jangka panjang dan sederhana daripada institusi dan orang awam untuk membiayai program dan rancangan pembangunan awam dan membiayai pelaburan swasta. Keduanya, pasaran modal menggalakkan perusahaan swasta dengan menyediakan perkhidmatan pengantara yang mudah untuk memperolehi dana bagi pelaburan dan pengembangan korporat dan dalam mengubah struktur pemilikan syarikat-syarikat.
Di samping dua matlamat yang umum, penubuhan pasaran modal Islam dapat dilihat penting dalam tiga perkara; pertamanya ia dapat menjana kekuatan ekonomi umat Islam yang rata-ratanya lemah. Umat Islam khususnya di Malaysia ketinggalan dari sudut pelaburan dalam industri pasaran modal. Ini terjadi kerana umat Islam berpandangan negatif bahawa industri tersebut mendatangkan pulangan yang diharamkan menurut Islam. Kehadiran pasaran modal Islam dapat menjana kekuatan ekonomi dengan penyertaan lebih ramai umat Islam yang secara langsung akan meningkatkan lagi jumlah dana untuk membiayai rancangan pembangunan awam dan pelaburan sektor swasta. Selain itu, penglibatan umat Islam terutamanya dalam sektor ekuiti akan menyeimbangkan komposisi dan pendapatan dari sektor ekonomi antara kaum di Malaysia. Ini dapat menghilangkan pengenalan kaum berdasarkan aktiviti ekonomi tertentu.
Kedua; pasaran modal Islam menyediakan alternatif pelaburan berteraskan Islam kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya. Dengan penubuhan pasaran modal Islam, umat Islam dapat memilih instrumen-instrumen yang selari dengan kehendak Syariah dan dapat menilai kemampuan instrumen-instrumen yang diniagakan di pasaran modal Islam berbanding dengan pasaran modal konvensional. Di samping itu, masyarakat bukan Islam juga mempunyai alternatif pelaburan dan ini akan menggalakkan pertumbuhan pasaran modal baik konvensional mahupun Islam. Persaingan ini akan melahirkan instrumen-instrumen yang berdaya saing selain daripada dapat memenuhi kehendak pasaran dan pelabur. Ini juga pada hakikatnya satu usaha untuk memenuhi salah satu ‘Impian Jaffar’ iaitu untuk menjadikan sistem kewangan Islam menjadi pilihan bukan saja masyarakat Islam bahkan masyarakat bukan Islam.
Ketiga; kewujudan pasaran modal Islam juga menjadi sangat penting apabila ia menjadi pelengkap kepada perbankan Islam dan takaful di Malaysia. Menurut teori ekonomi moden, pasaran modal wujud hasil dari kegagalan institusi perbankan atau pasaran hutang menampung permintaan dari sektor swasta. Begitu juga kesnya dengan kewujudan pasaran modal Islam di Malaysia adalah hasil daripada perkembangan dan sambutan yang menggalakkan masyarakat terhadap produk-produk perbankan Islam dan takaful. Sambutan yang menggalakkan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap produk ini disokong dengan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia berkembang dengan pesat. Dengan kewujudannya juga, sistem kewangan Islam yang dibangunkan di Malaysia sejak awal 1980an menjadi sempurna. Tumpuan kerajaan kini adalah untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam serantau dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam dalam membangunkan sistem kewangan Islam yang selari dengan sistem kewangan konvensional.
Kesimpulannya, penubuhan pasaran modal Islam mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara, walaupun dari satu sudut terlihat penubuhannya sebagai saingan kepada pasaran modal konvensional tetapi pada hakikatnya matlamat kedua-dua pasaran ini adalah sama iaitu untuk menjana perkembangan ekonomi Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
4.0 PRINSIP-PRINSIP SYARIAH DALAM PASARAN MODAL ISLAM
Dalam membangunkan pasaran modal Islam di Malaysia, fiqh muʿamalat memainkan peranan dalam penstrukturan sesuatu instrumen. Di samping prinsip-prinsip fiqh muʿamalat, usul dan kaedah fiqh juga digunakan bagi menyokong pengharusan sesuatu instrumen dalam pasaran Modal Islam. Perbincangan tentang usul dan kaedah fiqh akan di sentuh dalam Bab IV. Antara prinsip fiqh muʿamalat yang digunakan seperti mudarabah, musharakah, murabahah, ijarah, istisnaʿ, bayʿ bithaman ajil, qard hasan, musharakah mutanaqisah, bayʿ dayn, bayʿ ʿinah, bayʿ wafa’, bayʿ muzayadah, suftajah, bayʿ ʿurbun, bayʿ bima yanqatiʿ bihi siʿr dan daʿ wa taʿajjal.
4.1 Mudarabah
Mudarabah adalah satu kontrak kerjasama antara dua pihak, satu pihak menyediakan modal dan pihak lain mengusahakan modal tersebut dan keuntungan hasil dari perniagaan tersebut akan dibahagikan mengikut kadar yang ditetapkan semasa kontrak dilakukan. Kerugian dalam kontrak ini akan ditanggung oleh pemodal. Antara instrumen pasaran modal Islam yang menggunakan prinsip ini ialah Bon Mudharabah Cagamas yang diterbitkan oleh Cagamas Berhad.
4.2 Musharakah
Musharakah adalah kontrak kerjasama antara dua pihak yang mana modalnya dari kedua-dua pihak dan kedua-dua pihak ini sama-sama bekerjasama dalam menjalankan perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan dan keuntungan tersebut dibahagikan mengikut persetujuan yang dicapai semasa kontrak dilakukan dan kerugian akan ditanggung bersama. Antara instrumen yang distrukturkan menggunakan prinsip ini ialah bon Islam yang diterbitkan oleh Sarawak Shell Bhd. berjumlah RM 560 juta pada tahun 1999.
4.3 Murabahah
Murabahah ialah kontrak jual beli barang yang dilakukan oleh penjual dan pembeli dengan penjualan dilakukan mengikut harga kos dicampur dengan margin keuntungan yang diketahui dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang berkontrak. Antara instrumen pasaran modal Islam yang menggunakan prinsip ini ialah bon Islam yang diterbitkan oleh MOCCIS Trading Sdn. Bhd. dan Bon Murabahah Khazanah.
4.4 Ijarah
Ijarah menurut pendefinisian ulama’ silam bermaksud satu kontrak yang dilakukan yang menyebabkan pemindahan hak milik manfaat dengan bayaran. Ia juga boleh diertikan sebagai satu kontrak dimana pembiaya membeli dan memajakkan barangan atau kelengkapan yang dikehendaki kepada pelanggan dengan mengenakan caj sewaan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Antara instrumen pasaran modal Islam yang distrukturkan berasaskan prinsip ini ialah Sukuk Ijarah Revolving Underwritten Facility yang diterbitkan oleh Teledat Sdn. Bhd. dan Sukuk Ijarah Notes Issuance Facilities yang diterbitkan oleh Segari Energy Venture Sdn. Bhd.
4.5 Istisnaʿ
Istisnaʿ adalah satu kontrak yang dilakukan untuk membeli barang secara tempahan dan penjual diberikan tempoh untuk menyiapkannya. Selain itu penjual juga diberi gambaran menyeluruh tentang sifat barang tempahan tersebut dengan harga yang yang dipersetujui bersama. Dalam kontrak ini bayaran boleh secara tunai, bertangguh atau ansuran. Prinsip ini juga digunakan dalam penstrukturan bon Islam iaitu seperti yang diterbitkan oleh Sarawak Specialist Hospital and Medical.
4.6 Bayʿ bi thaman ajil (BBA)
Kontrak ini merujuk kepada penjualan barangan di mana bayarannya secara bertangguh. Dalam kontrak ini, pihak pembiaya akan membeli barangan yang dikehendaki oleh pelanggan dan kemudiannya menjualkannya semula kepada pelanggan dengan harga kos ditambah dengan keuntungan. Harga ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Yang membezakan antara murabahah dengan bayʿ bi thaman ‘Ajil ialah BBA digunakan bagi pembiayaan yang memakan masa yang panjang. Antara instrumen pasaran modal yang menggunakan prinsip ini ialah bon Islam yang diterbitkan oleh Shell MDS Sdn. Bhd..
4.7 Qard hasan
Qard hasan ialah satu kontrak pinjaman kebajikan antara pemiutang dengan peminjam. Dengan kontrak ini pemiutang atau pembiaya memberikan wang atau hartanya sebagai pinjaman kepada peminjam atau pelanggan dan pemimjam hanya perlu membayar sejumlah wang yang dipinjamnya sahaja tanpa apa-apa bayaran tambahan. Peminjam walaubagaimanapun boleh mengikut budi bicaranya untuk membayar lebih dari apa yang dipinjamnya. Pemiutang juga boleh mengambil bayaran tambahan tetapi khusus untuk belanja pengurusan semata-mata. Antara instrumen yang menggunakan prinsip ini ialah Sijil Pelaburan Kerajaan (Government Invesment Certificates (GICs), sekarang dikenali sebagai Government Investment Issues (GIIs)).
4.8 Musharakah mutanaqisah
Musharakah Mutanaqisah ialah satu kontrak kerjasama antara dua atau lebih rakan kongsi. Dalam kontrak ini, seorang rakan kongsi (pembiaya) memberikan hak kepada rakan kongsi yang lain(pelanggan) untuk memiliki aset yang dipegangnya dengan sekali bayaran atau beberapa kali bayaran. Hasil daripada kontrak ini ialah pelanggan akan memiliki semua aset tersebut. Kontrak ini juga disebut dengan musharakah muntahiyah bi tamlik.
4.9 Bayʿ dayn
Bayʿ dayn adalah kontrak pertukaran antara hutang yang ada dalam tanggungan seseorang dengan sesuatu harta. Dalam konteks pasaran modal Islam, bayʿ dayn didefinisikan sebagai kaedah penjualan hutang yang wujud hasil daripada penstrukturan bon-bon Islam menggunakan prinsip fiqh muʿamalat seperti murabahah, ijarah, ijarah muntahiyah bi tamlik, istisnaʿ dan lain-lain. Dalam pasaran modal Islam, prinsip ini digunakan dalam penjualan bon-bon Islam di pasaran sekunder.
4.10 Bayʿ ʿinah
Bayʿ ʿinah ialah satu kontrak yang dilakukan antara penjual (pemilik harta) dengan pembeli untuk menjual sesuatu barang dengan harga tangguh kemudian membelinya semula dengan secara tunai dengan harga yang kurang daripada harga jualan. Prinsip ini digunakan dalam kebanyakan proses pengsekuritian aset sebelum diterbitkan bon-bon Islam. Prinsip ini juga digunakan dalam penstrukturan Bon Simpanan Malaysia (MSBs).
4.11 Bayʿ wafa’
Bayʿ Wafa’ ialah kontrak jual beli bersyarat iaitu apabila penjual membayar harga yang dijual maka pembeli wajib mengembalikan semula barang tersebut. Kontrak ini dinamakan sebagai bayʿ wafa’ kerana penjual mesti mematuhi syarat-syarat tertentu yang dipersetujui dalam kontrak untuk mendapatkan semula barangnya yang telah dijual.
4.12 Bayʿ muzayadah
Bayʿ muzayadah secara mudah boleh ditakrifkan sebagai jualan secara bidaan atau lelong. Fuqaha’ mentakrifkan bayʿ muzayadah sebagai tindakan seseorang menjual barangan di pasaran diikuti oleh proses tawar-menawar. Dalam proses ini, individu yang menawarkan harga yang paling tinggi akan berjaya membeli barangan tersebut. Contoh pengamalan prinsip ini dalam pasaran modal Islam ialah penentuan harga jualan tunai bagi Bon Tanda Aras Islam atau Bon Murabahah Khazanah ditentukan menggunakan prinsip ini.
4.13 Suftajah
Suftajah bermaksud satu bentuk pemberian hutang dalam bentuk nota kewangan untuk membolehkan pemiutang mendapat kemudahan menggunakannya di tempat lain yang telah ditentukan. Antara bentuk penggunaan suftajah dalam konteks dunia kewangan moden adalah proses penghantaran wang ke suatu tempat lain misalnya cek kembara dan kiriman wang. Dalam konteks pasaran modal ia berkaitan dengan penerbitan nota kewangan atau sukuk.
4.14 Bayʿ ʿurbun
Bayʿ ʿurbun adalah bayaran pendahuluan yang dibayar oleh pembeli untuk membeli sesuatu barang. Jika pembeli meneruskan hasratnya untuk membeli barang tersebut, bayaran pendahuluan itu dikira menjadi sebahagian daripada harga pembelian tersebut. Sebaliknya, jika pembeli memutuskan untuk tidak membeli barangan tersebut, bayaran pendahuluan itu dianggap hadiah kepada penjual. Prinsip ini boleh dipraktikkan dalam kontrak hadapan minyak kelapa sawit apabila peserta dikehendaki meletakkan deposit sebagai bayaran margin sebelum memulakan dagangan.
4.15 Bayʿ bima yanqatiʿ bihi siʿr
Prinsip ini ditakrifkan sebagai amalan pengambilan barang harian seperti roti dan minyak dalam kuantiti tertentu dan menangguhkan pembayarannya di akhir bulan berasaskan harga barangan tersebut dipasaran pada akhir bulan. Prinsip ini adalah salah satu prinsip yang digunakan bagi mengharuskan urusniaga kontrak hadapan minyak kelapa sawit.
4.16 Daʿ wa taʿajjal
Daʿ Wa Taʿajjal ialah salah satu prinsip fiqh muʿamalat yang ditakrifkan sebagai tindakan pemiutang mengurangkan jumlah pembayaran hutang kerana pembayaran dilakukan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan. Konsep ini penting bagi membangunkan bon korporat Islam di pasaran sekunder. Prinsip ini adalah satu prinsip yang membolehkan bon ini diniagakan di pasaran sekunder iaitu pemegang sekuriti akan menjualnya dengan harga yang lebih rendah.
Sebagai kesimpulannya, tindakan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti memilih untuk mengadakan kajian terperinci terhadap prinsip fiqh muʿamalat adalah sewajarnya mendapat sokongan dari semua pihak. Walaupun ada prinsip-prinsip yang digunakan terdapat khilaf di antara fuqaha’ silam, Majlis Penasihat Syariah dengan kajian terperinci yang dilakukan mengharuskannya berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Tindakan ini sewajarnya dipuji, ini kerana pasaran modal Islam akan berkembang dengan lebih pesat dengan wujudnya kepelbagaian prinsip fiqh muʿamalat yang dapat digunakan untuk penstrukturan instrumen-instrumen yang lebih komprehensif dan berdaya saing.
RUJUKAN
Ab. Mumin Ab. Ghani & Nor Azah Kamri. 2003. Harmonisasi elemen nilai dalam penawaran instrumen kewangan Islam. Prosiding Seminar Kewangan Islam, hlm. 1-14.
Ab. Mumin Ab. Ghani. 1999. Sistem kewangan Islam dan perlaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Abdul Aziz Khayyath. 2002. Saham dan bon menurut perspektif Islam. Terj. dan tambahan, Hairon Zainal Abidin. Kuala Lumpur: As-Syabab Media.
Abdul Halim Ismail. 1996. The role of Islamic instruments in deepening equity market. Kertas Kerja International Islamic Capital Market Conference 1996. Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur, 21-22 Mac.
Abdul Halim Ismail. 1999. Modern Islamic financial system with particular reference to Islamic capital market. Dlm. Abdul Monir Yaacob & Hamiza Ibrahim (pnyt.). Islamic financial services and product, hlm. 25-42. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
BIOGRAFI IMAM AL-GHAZALI RAHIMAHULLAH
BIOGRAFI HUJJATUL ISLAM AL-IMAM AL-GHAZALI RAHIMAHULLAH
Oleh: Pn. Zalina bt. Mat Zin
Sarjana Muda Sains (Bio Kesihatan) (U.M)
Diploma Pend. (Sains dan Kemahiran Hidup) (I.P.G Raja Melewar)
1.1 PENDAHULUAN
Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, rahmah bagi sekalian alam serta atas keluarga dan sahabat baginda sekaliannya. Bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana untuk julung kalinya saya diberi peluang untuk mengkaji dan membuat ulasan buku terhadap seorang tokoh yang amat disegani tidak hanya pada masa kegemilangan beliau bahkan sehingga masa kini. Peninggalan beliau bukanlah harta bertimbun yang menjadi rebutan,tetapi peninggalannya merupakan khazanah ilmu yang tidak dapat dinilai dengan sebarang material sekalipun. Ulasan saya yang tidak seberapa ini adalah hasil dari sebuah buku yang dapat saya namakan di sini sebagai ‘ Biografi Imam Al-Ghazali – Hujjatul Islam dan Pembaru Kurun ke-5 ( 450-505 Hijrah)’. Semoga apa yang dapat saya coretkan di sini mendapat teguran yang membina dari yang berhak.
1.2 BIOGRAFI AL-GHAZALI
Hujjatul Islam Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad At-Thusi, yang digelar dengan gelaran Zainuddin. Beliau dilahirkan di Thus dari iklim Khurasan pada tahun 450 Hijrah. Beliau berasal dari keluarga yang amat sederhana. Bapanya dari kalangan yang tidak berpelajaran, tidak pandai menulis. Beliau melakukan kerja menenun wool lalu dijual di kedainya di Thus. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi beliau tidak mahu anak-anaknya mengikuti jejak langkah beliau. Sifat ini merupakan satu sifat yang mulia yang perlu ada dalam setiap diri individu muslim kerana umum mengetahui tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk kejayaan dunia dan akhirat. Menjelang saat-saat kematian, beliau telah mewasiatkan Al-Ghazali dan seorang saudaranya iaitu Ahmad kepada seorang ahli sufi yang merupakan sahabat beliau. Beliau berpesan agar sahabatnya memelihara kedua-duanya dan memberi mereka pendidikan sehingga habis harta peninggalannya nanti.
Setelah bapanya meninggal dunia, maka tinggallah Al-Ghazali dan saudaranya bersama sahabat bapanya, seorang ahli sufi dan ahli kebaikan. Beliau mengajar kedua-duanya sehingga habis semua harta peninggalan orang tua beliau. Ahli sufi tersebut sudah tidak mampu lagi untuk membiayai mereka berdua, lalu meminta mereka untuk menuntut di sekolah supaya segala keperluan makan dan minum mereka terjaga.. Al-Ghazali akur dan itulah yang menjadi sebab kepada kebahagian dan ketinggian darjat mereka berdua.
Ketika Al-Ghazali masih kanak-kanak lagi, beliau telah mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai guru yang berada di serata tempat dan ceruk rantau. Pertamanya, beliau telah mempelajari beberapa tajuk dari fiqh di negeri Thus dengan Imam Ahmad Ar-Radzakani, kemudian beliau pergi ke Jurjan untuk belajar dari Imam Abi Nashr Al-Isma’ili. Selepas itu beliau kembali semula ke Thus.Kemudian Al-Ghazali datang ke ‘Nisabur’ dan telah mendekati Imam Al-Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini ( 419-478 Hijrah). Beliau telah belajar dengan bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga mahir dalam mazhab ( Syafi’i), perselisihan, debat, usuluddin, usul fiqh, mantiq, membaca hikmah dan falsafah. Beliau mampu menguasai seluruhnya sehingga beliau bangun berhujjah dan membatalkan sesetengah dakwaan mereka. Beliau telah menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dengan susunan yang baik dan kedudukan yang lebih unggul.
Beliau merupakan seorang ilmuan yang sangat bijak, benar pandangannya, mempunyai fitrah yang menakjubkan, mempunyai ingatan yang kuat, daya tangkap yang tajam, pandangan yang mendalam dan berkebolehan menyelami makna-makna yang terperinci sehingga gurunya Al-Juwaini menyifatkannya dengan perkataannya: “ Al-Ghazali adalah lautan yang dalam”. Al-Hafiz ‘Abdul Ghafir bin Isma’il menyifatkan Al-Ghazali pada peringkat ini, bahawa beliau seorang yang bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga beliau dapat menyelesaikan pendidikan dalam waktu yang singkat, mengalahkan generasi-generasinya. Inilah kelebihan yang terdapat dalam diri Imam Al-Ghazali. Beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu dan beliau sentiasa ada kemahuan untuk mengetahui sesuatu ilmu secara lebih mendalam.
Al-Gahazali menetap di Nisabur sehingga wafat Imam Al-Haramain pada tahun 478 Hijrah. Selepas itu, beliau telah merantau pula ke perkhemahan sultan untuk berjumpa dengan wazir “ Nazzam Al-Malik” yang majlis ilmunya dihadiri oleh ramai ulama dan ahli fashahah. Di sini merupakan tempat perdebatan ilmu dan beliau telah menonjolkan dirinya dengan mengalahkan lawannya sehingga beliau telah terkenal di seluruh daerah. Beliau tetap berada di perkhemahan sultan sehingga tahun 484 Hijrah. Beliau telah dilantik untuk mengajar di madrasah An-Nazzamiyyah di Baghdad. Lalu beliau pergi ke Iraq untuk menjalankan tugasnya di mana ketika itu umurnya mencecah tiga puluh empat tahun. Kedatangan beliau telah disambut dengan meriah.
Orang ramai begitu kagum dengan keindahan perkataannya, kefasihan lidahnya, huraiannya yang terperinci dan isyarat-isyaratnya yang halus. Kehormatan dan kedudukannya semakin tinggi di Baghdad sehingga beliau telah mengalahkan kedudukan pembesar-pembesar ulama , pemimpin-pemimpin (umara’) dan darul khilafah. Beliau juga telah menjadi Imam Iraq selepas Imamah Khurazan yang tsiqah iaitu Abdul Ghafir. Sesungguhnya beliau telah mencapai kejayaan dan menikmati kamanisan dunia yang fana dengan keharuman nama dan kemasyhuran. Walaupun begitu, beliau tidak pernah berhenti dari menuntut ilmu. Justeru beliau telah mempelajari ilmu-ilmu halus ( Ad-Daqiqah) yang menyebabkan berlaku peralihan total dalam kehidupan beliau. Beliau telah menyedari bahawa tidak ada ketamakan dalam mencapai kebahagiaan akhirat melainkan dengan taqwa dan menjauhkan diri dari kehendak hawa nafsu. Untuk mencapai semua itu adalah dengan memutuskan hubungan hati dari dunia dan berpaling dari dunia yang memperdayakan,berpaling dari kedudukan dan harta benda serta melarikan diri dari segala kesibukan dan ikatan dunia lalu kembali kepada akhirat yang kekal dan menghadap hakikat kepentingan kepada Allah Ta’ala.
Beliau telah membuat perhitungan ke atas segala amalan yang telah dilakukan selama ini dan beliau dapati yang paling baik ialah mengajar dan mendidik, tetapi beliau dapati dirinya menghadap kepada ilmu-ilmu yang tidak penting dan tidak mendatangkan manfaat di jalan akhirat. Selepas itu, beliau telah muhasabah tentang niat dalam pengajaran dan beliau dapati ia tidak ikhlas kerana Allah Ta’ala, bahkan faktor dan penggerak utamanya ialah mengejar kemewahan dan menyebarkan nama baik, maka beliau telah membuat kesimpulan bahawasanya beliau sedang berada di tepi jurang yang hampir runtuh dan beliau merasakan beliau akan jatuh ke dalam api neraka jika beliau tidak berusaha untuk merubah keadaan.
Beliau telah berazam dan bertekad untuk keluar dari Baghdad tetapi beliau telah tewas dengan nafsunya sendiri sehingga 6 bulan beliau telah berperang dengan tarikan nafsu dan godaan syaitan. Pada bulan Rejab tahun 488 Hijrah, telah berlaku peristiwa yang menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan tugas-tugasnya di mana beliau tidak mampu mengajar kerana kehilangan kata-kata. Setelah itu beliau bermujahadah kepada Allah agar dipulihkan dirinya agar beliau mampu mengajar pada suatu hari nanti untuk memperbaiki hati-hati manusia. Beliau sentiasa berdoa kepada Allah dan Allah telah memakbulkan doa orang yang menderita. Keadaan tersebut telah memudahkan dirinya berpaling dari kemewahan , harta benda, anak-anak dan sahabat-sahabat. Selepas itu beliau telah keluar menuju ke Makkah.
Beliau telah meninggalkan Baghdad pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah dan telah menunaikan haji seterusnya menuju ke Syam. Di sana beliau telah menetap selama sepuluh tahun dan sebahagian waktunya dihabiskan di Baitul Maqdis. Kebanyakan waktu beliau digunakan untuk ber’uzlah dan khalwat, riyadhah ( latihan) dan mujahadah diri. Beliau sibuk mensucikan dan menjernihkan hatinya dengan berzikir kepada Allah Ta’ala dan beliau beri’tikaf di menara masjid Damsyiq sepanjang hari. Ketika ini beliau telah menyusun beberapa buah karangan yang terkenal seperti ‘Ihya’ Ulumuddin’ dan kitab-kitab yang diringkaskan daripadanya seperti Al-Arba’in dan risalah –risalah yang lain. Setelah ber’uzlah selama sepuluh tahun, beliau telah kembali ke negerinya iaitu Thus untuk meneruskan ‘uzlahnya. Namun di bawah desakan para wali dan permintaan yang berulang kali agar beliau keluar kepada manusia untuk mengajar, maka beliau pun keluar ke Nisabur untuk mengajar di Madrasah An-Nazzamiyyah pada bulan Zulkaedah tahun 499 Hijrah. Beliau telah memasang azam, tekad dan niat yang baru ketika keluar mengajar dan menyebarkan ilmu. Segala-gala yang dilakukan dengan tujuan yang berbeza sama sekali dengan yang sebelumnya. Ia adalah semata-mata kerana Allah dengan tekad untuk memperbaiki dirinya sendiri dan orang lain.
Beliau menetap dan mengajar di Nisabur dalam jangka masa yang singkat. Setelah itu, beliau telah kembali ke rumahnya di Thus. Beliau telah menjadikan kawasan rumahnya sebagai madrasah penuntut ilmu dan mengkhaskannya untuk tasawwuf. Beliau telah membahagikan waktu kepada beberapa tugas iaitu menghafal Al-Quran, duduk dengan ahli-ahli hati, mengajar panuntut ilmu, mengerjakan solat dan puasa. Dengan demikian tidak pernah kosong waktunya dan orang-orang yang bersama dengannya dari perkara yang tidak berfaedah. Beliau telah meninggal dunia di Thus pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir tahun 505Hijrah . Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmah ke atas rohnya,
BAB 2
SUMBANGAN
2.0 PENDAHULUAN
Imam Al-Ghazali termasuk salah seorang dari tokoh-tokoh pemikir Islam yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kebudayaan yang luas. Beliau tidak menjurus kepada satu atau dua bidang ilmu dan pemikiran sahaja sebagaimana kebanyakan tokoh-tokoh Islam terkemuka yang lain.Jika disebut Ibnu Sina atau Al-farabi, maka akan terlintas di fikiran dua ahli falsafah agung dari ahli falsafah Islam dan jika disebut Imam Al-Bukhari , Muslim dan Ahmad, terlintas di fikiran tokoh-tokoh yang mempunyai kemampuan menghafal, amanah, teliti dan berpengetahuan. Tetapi berbeza sekali dengan Al-Ghazali, jika sebut namanya maka bercabanglah ilmunya dari seluruh aspek. Beliau adalah faqih yang bebas, Al-Ghazali mutakallim, Imam sunah dan pembelanya, Al-Ghazali yang berjiwa sosial, mengetahui hal ehwal alam, rahsia-rahsia diri dan selok belok hati. Beliau juga ahli falsafah yang bangkit menentang falsafah dan menyingkap apa yang ada padanya. Boleh dikatakan beliau adalah seorang lelaki yang mengetahui segala sesuatu dan dahaga kepada cabang-cabang pengetahuan.
Al-Ghazali adalah seorang tokoh Islam yang mendalami sesuatu ilmu secara terperinci. Beliau terkenal sebagai hujjatul Islam dan Pembaharu iaitu beliau akan membuat pembaharuan atau pemahaman yang lebih jelas mengenai sesuatu ilmu yang diterokainya. Beliau berbeza dengan ulama-ulama lain yang mana usaha mereka menghafal apa yang diterimanya, mengulangi dan menukilnya. Bahkan beliau seorang alim yang aktif, maklumat yang diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu, ada kalanya beliau menolak, merubah atau menjelaskan dan menghuraikan lalu membuat pembaharuan.
2.1 AL-GHAZALI DAN ILMU KALAM
Al-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam perkembangan Ilmu Kalam. Beliau telah mengarang begitu banyak penulisan berkaitan dengan Ilmu Kalam. Dalam penulisan beliau, Al-Ghazali banyak mematahkan hujah-hujah daripada pihak yang keterlaluan ketika membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan Ilmu Kalam. Al-Ghazali lebih tertarik membahaskan Ilmu Kalam menurut metodologi para sahabat dan juga Rasulullah. Beliau menguatkan hujah-hujahnya berteraskan Al-Quran, As-Sunah dan perbahasan para sahabat.
Pernah disebut dalam sejarah, Imam Al-Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdebatan berkaitan Ilmu Kalam. Jika dijemput ke majlis seperti itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan metodologi yang tersebut di atas. Beliau berpendapat perdebatan yang diasaskan kepada hujah akal tanpa berpaksikan kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan Assunnah hanya akan menambahkan lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat Islam pada ketika itu.
Justeru itu, Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ulumuddin ketika membincangkan berkaitan dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan Ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang keterlaluan dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk di dalam golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Beliau menyatakan bahawa ilmu kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab; pertama, ilmu ini tersimpang jauh dari matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Kedua, perbincangan ahli Ilmu Kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulama’ salaf.
2.2 AL-GHAZALI DAN FALSAFAH
Perbahasan berkaitan dengan isu-isu Ilmu Kalam telah membuka ruang kepada golongan munafiq dan musuh-musuh Islam menimbulkan keraguan kepada akidah dan pegangan umat Islam. Menyedari hakikat tersebut dan didorong atas rasa tanggungjawab setelah melihat tiada seorang pun ulama pada ketika itu bangun menentang musuh-musuh Islam yang menggunakan ilmu falsafah sebagai senjata utama melemahkan pegangan akidah umat Islam, Al-Ghazali bangun menentang hujah-hujah golongan tersebut.
Pada mulanya, beliau langsung tidak mengetahui berkaitan dengan ilmu falsafah. Namun atas rasa tanggungjawab membela agama Allah, beliau mempelajari dengan semangat dan ketekunan yang tinggi. Beliau mengkaji penulisan-penulisan yang berkaitan dengan ilmu falsafah terutamanya ilmu falsafah Yunani. Dengan kesibukannya mengajar ilmu-ilmu agama, beliau menggunakan masa terluang untuk mempelajari ilmu falsafah secara individu tanpa berguru dengan mana-mana guru falsafah yang terkenal. Dengan niat yang ikhlas untuk membela agama Allah daripada serangan ilmu falsafah khususnya ilmu falsafah ketuhanan Yunani, Allah SWT memberikan kepadanya ilmu-ilmu berkaitan falsafah dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang dari dua tahun.
Al-Ghazali memberikan sumbangan yang besar dalam bidang ini khususnya meneroka bidang baru berkaitan falsafah Islam. Setelah menganalisa ilmu falsafah yang dipelajarinya, Al-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan; pertama, atheis, kedua, natural dan ketiga theologi. Golongan pertama ialah golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua ialah golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan ini mendakwa apabila mati mereka tidak akan hidup semula, justeru mereka menafikan adanya hari akhirat. Golongan ketiga adalah ahli theologi iaitu ahli yang membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle dan Sokratus. Golongan ini membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.
Selain itu, Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik menurut Al-Ghazali ialah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama. Mantiq pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya. Selain itu, ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dari perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantiq dan logik. Ilmu ini menurut Al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Siasah menurut Al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Al-Ghazali ialah akhlak iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.
Kepakaran Al-Ghazali dalam bidang falsafah tidak dapat disanggah lagi. Hakikat ini telah disuarakan oleh Dr Sulaiman Dunia, sarjana Islam terkenal dengan menyatakan bahawa perbahasan Al-Ghazali mengenai masalah-masalah falsafah adalah jauh lebih baik daripada perbahasan ahli-ahli falsafah sendiri. Justeru itu, dalam kitabnya Dr Sulaiman Dunia membuat kesimpulan bahawa metodologi yang diasaskan oleh Al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid Al-falasifah, Al-Munqiz min aldhalal dan Tahafut Al-falasifah.
Abu Hassan An-Nadawi juga menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam salah satu penulisannya ( “ ….dan kaum muslimin sangat memerlukan kepada pengarang dan pengkaji seperti ini, yang akan menghadapi falsafah dengan penuh keimanan dan kepercayaan, berfikiran bebas dan mempunyai keberanian ‘ilmiah untuk mengingkari kemaksuman falsafah, kequdusan dan kegeniusannya dan kedudukan mereka mengatasi kedudukan akal dan fikiran manusia biasa. Sifat ini dipunyai oleh Al-Ghazali seperti dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah, maka beliau datang pada waktunya dan memenuhi hajat zamannya”.).
Kesimpulannya, Al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam. Beliau dapat menyelamatkan akidah umat Islam dari terus direntap oleh fahaman falsafah Ketuhanan Yunani yang tidak bertauhidkan kepada agama yang suci; Islam. Sekiranya Al-Ghazali tidak bangun untuk mempertahankan kemurnian Islam pada ketika itu, kemungkinan pada hari ini kita masih lagi mengagung-agungkan falsafah Yunani tanpa menyedari bahawa akidah kita telah terpesong secara halus. Nauzubillah min zalik.
2.3 AL-GHAZALI DAN TASAWWUF
Kita telah ketahui bahawa Al-Ghazali telah menjadi ahli falsafah kemudian beliau telah membongkar keburukan ilmu falsafah dan meneroka ilmu baru berkaitan falsafah. Beliau menyerang habis-habisan ilmu falsafah ketuhanan Yunani. Begitu juga dengan tasawwuf. Apabila beliau melibatkan diri menjadi sebahagian dari ahli sufi, beliau sekali lagi membersihkan tasawwuf daripada perkara-perkara kurafat dan daripada perkara yang terkeluar dari pengamalan agama Islam yang sebenar. Namun begitu dalam bidang tasawwuf, Al-Ghazali mempunyai guru. Antara gurunya yang termashur ialah Al-Junaid dan Al-Harith Al-Muhasibin. Al-Ghazali dilihat tidak pernah berdiam diri apabila menyedari pengamalan tasawwuf yang diamalkan oleh segelintir masyarakat pada zamannya terpesong daripada ajaran Islam. Beliau dengan tegas menjelaskan, menghuraikan dan memberikan konsep yang tepat kepada masyarakat pada zamannya. Selain itu, jika Al-Ghazali menyedari kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat dalam bidang tasawwuf, beliau akan melemparkan kritikan yang membina yang bertujuan untuk membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang berlaku berterusan sehingga mencemarkan kemurnian Islam.
Setelah penelitian kritis yang dilakukan oleh AL-Ghazali beliau mendapati ahli sufi pada zamannya terpesong daripada jalan sebenar akibat daripada kecetekan dan kejahilan terhadap ilmu yang berpunca daripada kesibukan mereka beribadat semata-mata. Justeru itu, Al-Ghazali telah mencadangken kepada khalayak pada ketika itu supaya mendalami dan menguasai ilmu yang berkaitan dengan tasawwuf sebelum tekun beribadah. Ini menjamin pengamalnya tidak tersimpang daripada jalan yang sebenar. Sebagai buktinya, jika ditinjau metodologi penulisan Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ulumuddin kita akan dapati bahawa Al-Ghazali memulakan kitabnya dengan perbahasan berkaitan teori dan konsep ilmu, kemudian beliau membahaskan berkaitan dengan fiqh ibadah atau konsep ibadah menurut perspektif hukum Islam. Selepas itu, Al-Ghazali menulis berkaitan dengan fiqh muamalah iaitu teori, hukum yang berlaku dalam kehidupan seharian. Selepas menerangkan teori-teori penting berkaitan dengan ilmu, ibadah dan muamalat, barulah Al-Ghazali membincangkan aspek-aspek tasawwuf seperti hati, sabar dan sifat-sifat lain yang berkaitan dengan zuhud dan peribadi mulia.
Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ulumuddin. Kitab ini telah menjadi rujukan penting ilmu fiqh dan tasawwuf di serata dunia dari zaman penulisannya hingga ke hari ini. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Bahasa Melayu , Parsi, Urdu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Selain itu, kitab ini menjadi sumber rujukan ulama’ di rantau alam melayu. Hasilnya lahirlah kitab Siyar assalikin dan Hidayatul salikin serta lain-lain kitab tasawwuf yang ditulis oleh ulama’-ulama; kelahiran Nusantara seperti ulama’ kelahiran Patani, Palembang dan semenanjung tanah melayu. Antara pendorong Al-Ghazali menulis kitab ini ialah kerana kesedarannya yang tinggi terhadap penyelewengan teori dan konsep fiqh serta tasawwuf dalam masyarakat. Kitab ini secara terperinci menjelaskan hubung kait antara fiqh dan tasawwuf. Metodologi Al-Ghazali ketika menulis kitab ini ialah dengan merujuk pertamanya kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan Sunah. Kemudian diikuti dengan athar-athar sahabat dan tabi’in. Setelah merujuk pada sumber primer dan sekunder barulah Al-Ghazali mengutarakan pemikirannya terhadap konsep yang ditulisnya.
Kehadiran kitab Ihya’ulumuddin memberi implikasi besar dalam pengajian tasawwuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang tasawwuf kerana Al-Ghazali telah memurnikan semula ilmu tasawwuf daripada kesesatan dan bid’ah.
2.4 AL-GHAZALI DAN ILMU FIQH
Kitab Ihya’ulumuddin bukan sekadar membawa pembaharuan dalam bidang tasawwuf bahkan membawa pembaharuan dalam bidang penulisan ilmu fiqh. Jika diteliti, kita akan dapati Al-Ghazali menerokai metodologi penulisan baru fiqh yang berasaskan kepada gabungan antara ilmu fiqh dan tasawwuf. Selain itu gaya bahasanya cukup menarik dengan menggunakan susunan tatabahasa yang mudah. Di dalamnya kita dapat membaca fiqh dan tasawwuf dalam waktu yang sama. Sebagai contoh, ketika menghuraikan berkaitan solat, Al-Ghazali bukan sekadar menulis berkaitan teori dan amali perlakuan solat berserta rukun-rukunnya, bahkan beliau juga menekankan soal kehadiran hati, khusyuk dan khuduk dalam perlakuan solat.
Perbahasan berkaitan kehadiran hati, khusyuk dan khuduk adalah intipati daripada ilmu tersebut. Selain itu, ketika Al-Ghazali menulis berkaitan muamalat. beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual beli dan untung, bahkan beliau menulis berkaitan dengan keperluan-keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan fardu kifayah dan mutiara nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan muamalat. Kesimpulannya, kehadiran kitab Ihya’ulumuddin membuka dimensi baru metodologi penulisan fiqh dan tasawwuf, Penggabungan ini membawa faedah besar dalam kehidupan seharian manusia.
BAB 3
KESIMPULAN
Pada pandangan penulis setelah diteliti mengenai buku ini, ia merupakan sebuah buku yang tersusun dan mengikut aturan yang sepatutnya Ia dibahagikan kepada lima bab di mana di dalam setiap bab dibahagikan kepada beberapa fasal. Di bawah setiap fasal pula dipecahkan lagi kepada beberapa subtajuk yang lebih kecil dan terperinci. Kaedah yang digunakan dalam pembahagian isi kandungan kepada beberapa tajuk dan subtajuk ini memudahkan pembaca untuk memahami isi kandungan yang ingin disampaikan oleh penulis di samping menyenangkan pembaca untuk merujuk terus kepada subtajuk-subtajuk tertentu. Selain itu, penulis buku ini juga turut menyelitkan nota kaki sebagai rujukan tambahan kepada pembaca.
Buku ini merupakan sebuah buku yang amat menarik. Ia merupakan bahan bacaan yang sesuai untuk golongan dewasa kerana penghuraian yang begitu detail. Jika ditinjau dari sudut isi, ia memberi gambaran yang terperinci mengenai keperibadian dan sumbangan tokoh dalam beberapa cabang ilmu seperti ilmu fiqh, tasawwuf, ilmu kalam. Penulis juga tidak lupa untuk menyelitkan sari kata dari Imam Al-Ghazali sendiri untuk memberi penghayatan yang sebenar tentang sesuatu kisah yang dialami oleh tokoh. Walaupun begitu, saya terpaksa dan perlu membaca satu perenggan ayat berulang kali dalam usaha untuk memahami apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh penulis. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh penterjemahan yang dilakukan ke atas kitab ini menggunakan bahasa yang agak kompleks dan sukar untuk difahami sekiranya dibaca sekali imbas sahaja. Pada pendapat saya, penterjemah membuat terjemahan terus dari kitab asal dengan uslub bahasa arab tanpa menukarkan semula kepada bahasa Malaysia dengan susunan bahasa yang lebih tersusun dan ringkas.
Setelah habis membaca buku ini, saya berasa amat kagum dengan ketokohan Imam Al-Ghazali sebagai Hujjatul Islam dan Pembaru dalam agama. Saya mula membayangkan adakah saya mampu menjadi seperti beliau yang boleh dikatakan mendalami hampir semua ilmu yang ada pada zaman beliau. Ternyata tiada siapa yang mampu untuk mengatasi beliau dari sudut ilmu dan pengamalan pada zaman itu. Dua gelaran yang diberikan kepada beliau adalah amat bertepatan dan kena pada ketokohan beliau. Telah dinyatakan sebelum ini beliau bukanlah seorang penuntut ilmu yang hanya mampu mempelajari sesuatu ilmu dari guru kemudian menulis dan menghafalnya sahaja,bahkan beliau melampaui batas-batas pemerolehan ilmu seperti itu, beliau telah pergi jauh sehingga mampu untuk mengcungkil dan mengorek segala permasalahan dan segala kepincangan dalam sesuatu bidang ilmu itu. Ternyata pemikiran beliau dapat mengatasi ilmuan-ilmuan pada zaman itu.
Sekiranya beliau masih ada pada zaman kini, beliau pasti menjadi seorang tokoh ilmuan yang cukup hebat dari sudut ilmu dan pengamalan. Dengan kecanggihan ilmu teknoolgi dan komunikasi serta pemerolehan maklumat tanpa sempadan kini pasti akan digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggali segala ilmu dan pengetahuan tanpa terhenti dalam satu bidang sahaja sebagaimana yang ada pada tokoh ilmuan pada masa kini. Tidak mustahil dengan kecanggihan ilmu yang ada, beliau mampu menulis lebih banyak buku hasil gabungan pengajian islam dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial, politik, hubungan antarabangsa, geografi, sains dan bidang-bidang lain. Sudah tentu buku-buku yang dihasilkannya menjadi sumber rujukan di seluruh pelosok dunia kerana saya menyedari bahawa apabila Al-Ghazali mendalami sesuatu bidang pengetahuan sudah pasti beliau menjadi seorang yang menguasai bidang tersebut dengan izin Allah mengatasi cerdik pandai yang telah lama berada dalam bidang tersebut. Ini dapat dibuktikan dalam setiap ilmu yang diceburinya sentiasa ada pemikiran-pemikiran baru yang bersifat pembaharuan atau pengembangan konsep yang dikemukakan oleh ilmuan terdahulu sebelumnya.
Semoga pada zaman ini akan lahir ilmuan-ilmuan Islam yang mampu menguasai ilmu sebaik Al-Ghazali. Masyarakat Islam menanti dengan penuh harapan kehadiran ilmuan Islam yang boleh digelar sebagai Al-Ghazali 2. Al-Ghazali telah lama pergi, ulama’ datang silih berganti, namun sukar mencari pengganti, sebijak Al-Ghazali…..
Alhamdulillah..
Monday, November 3, 2008
ISLAM DAN PERSOALAN MULTILEVEL MARKETING
ISLAM DAN PERSOALAN EKONOMI SEMASA: KAJIAN KEPADA PERNIAGAAN PEMASARAN RANGKAIAN (MULTI LEVEL MARKETING) SYARIKAT CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD (CNI).
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (I.P.G.I.K)
1. PENDAHULUAN
Multi level marketing (MLM) secara harfiah boleh diterjemahkan kepada bahasa Melayu sebagai pemasaran rangkaian yang bermaksud pemasaran dan perniagaan yang dilakukan melalui banyak tingkat atau rangkaian yang biasanya disebut sebagai upline (tingkat atas atau individu yang berada di atas dalam struktur rangkaian pemasaran) dan downline (tingkat bawah atau individu yang berada ada di bawah dalam struktur rangkaian pemasaran). Struktur MLM melambangkan hubungan pemasaran dan perniagaan antara dua atau lebih rangkaian. Struktur rangkaian ini boleh berbentuk mendatar dan menegak mengikut kemampuan seseorang untuk menarik ahli atau peserta baru. Pemberian insentif dalam MLM adalah berasaskan kepada kekuatan dan banyaknya jumlah jualan produk.
MLM adalah antara aktiviti perniagaan yang berkembang pesat di dunia. Statistik membuktikan bahawa jumlah jualan industri MLM sedunia pada tahun 1998 ialah USD 81 bilion. Jumlah jualan industri ini terus meningkat pada tahun 1999 dan 2000 iaitu sebanyak USD 85 bilion. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kemasukan industri ini. Perniagaan MLM di Malaysia juga mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun. Jumlah jualan industri MLM pada tahun 1999 bersamaan dengan RM 4 bilion. Jumlah ini terus meningkat pada tahun 1999 kepada RM4.2 bilion walaupun negara dilanda kegawatan ekonomi. Apabila ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan pada tahun 2000, pendapatan industri ini mencecah RM 4.5 bilion.
Jumlah syarikat MLM di Malaysia mencecah 200 buah pada ketika ini. Antara contoh syarikat MLM di Malaysia AMWAY, COSWAY, CNI, REVELL, OMEGA TREND, AVON dan sebagainya. Kajian ini akan memberi penumpuan khusus kepada CNI, namun begitu jika dikaji dari sudut perlaksanaan sistem perniagaan dan pemasaran MLM, semua syarikat-syarikat tersebut melaksanakan kaedah yang hampir serupa, apa yang berbeza mungkin dari sudut pengagihan keuntungan syarikat, insentif dan bonus.
2. PENGENALAN KEPADA CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI)
Creative Network International Holding Berhad(CNI) ditubuhkan secara rasminya di Indonesia pada tahun 1986, selepas mendapat sambutan yang memberangsangkan di Indonesia, CNI meneruskan rangkaian pemasarannya di Malaysia pada 1989. Setelah 16 tahun ditubuhkan di Malaysia pada 28 Jun 2005, CNI telah disenaraikan di Bursa Malaysia. CNI adalah syarikat MLM ketiga tersenarai di Bursa Malaysia selepas AMWAY dan COSWAY. Seterusnya pada tahun 1994, CNI melebarkan sayap perniagaannya ke Hong Kong dan Amerika Syarikat diikuti ke Singapura dan Brunei pada 2001 dan India pada 2002.
Sistem pengurusan dan pentadbiran CNI dibahagikan kepada tiga iaitu Pucuk Pimpinan CNI, Pentadbiran Syarikat dan Sistem Organisasi. Pertama; Pucuk Pimpinan CNI dianggotai oleh Dr. PC Koh sebagai Pengarah Urusan, En. SS Tan sebagai Pengarah Eksekutif, En. TJ Liu sebagai Pengarah Pemasaran dan En. Sam Cheong sebagai Pengarah Operasi.
Kedua; Pentadbiran Syarikat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Pembangunan Perniagaan, Pembangunan Produk, Penyelidikan Produk, Operasi Cawangan dan Pengedaran, Hal Ehwal Pengguna, Hubungan Awam, Pengiklanan dan Penerbitan, Kewangan, Perdagangan Antarabangsa, Akaun, Gudang, Informasi Teknologi, Rencana dan Kajian Pasaran, Perkhidmatan Korporat dan Sumber Manusia.
Ketiga; Sistem Organisasi yang terdiri dari Pensyarah Kursus, Pusat Pengedaran, Stesen Jualan dan Pengedar yang boleh di kategorikan kepada 10 peringkat dimulai dengan Pengedar, Pengedar Gangsa, Pengedar Perak, Pengedar Emas, Pengurus Agensi, Pengurus Agensi Delima, Pengurus Agensi Mutiara, Pengurus Agensi Zamrud, Pengurus Agensi Intan dan Pengurus Agensi Intan Jutawan (tahap tertinggi dalam struktur rangkaian pemasaran CNI).
3. STRUKTUR DAN SISTEM MLM YANG DIAMALKAN OLEH CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI)
Dalam struktur rangkaian pemasaran CNI, terdapat dua peranan yang dimainkan oleh ahli yang mendaftar; pertama sebagai pengguna barangan atau produk syarikat tersebut (sebolehnya menjadi pengguna barangan CNI 100%). Kedua, menjadi penaja atau broker (orang tengah) yang berperanan menarik ahli baru menyertai CNI. Perjalanan syarikat MLM juga tidak sah jika tidak disertai dengan insentif berupa pemberian bonus atas hasil usaha mencari ahli baru dan jualan ahli.
CNI juga mempraktikkan sistem yang sama dengan menawarkan insentif kepada ahli (dalam CNI di sebut faedah-faedah pengedar) seperti keuntungan runcit hasil jualan ahli, bonus prestasi, bonus pimpinan, bonus jualan kumpulan sendiri tertinggi, bonus eksekutif, tabung insentif kereta, tabung insentif rumah, tabung pendidikan anak-anak pengedar, sijil promosi, penghargaan pin, penghargaan dalam CNI News, seminar pengedar gemilang, seminar sambil melawat dan lawatan luar negara.
Sebelum meninjau dengan lebih terperinci berkaitan rangkaian pemasaran CNI, pembaca perlu mengetahui bahawa setiap pembelian barangan CNI akan disertakan dengan tiga perkara; pertama harga jualan produk (harga jualan berbeza antara ahli dan bukan ahli, biasanya harga ahli lebih murah. Harga juga berbeza antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak). Kedua, PV (promotion value) atau apa yang diistilahkan dalam bahasa Melayu sebagai nilai promosi. PV ini akan digunakan sebagai kayu ukur kenaikan pangkat ahli tersebut. Ketiga, BV (bonus value) atau apa yang disebut nilai bonus yang akan digunakan untuk mengira bonus-bonus yang dijanjikan. PV dan BV ini berkait rapat dalam menentukan kejayaan seseorang dalam CNI. Sebagai contoh; Setiap pembelian ke atas CNI Tongkat Ali Ginseng yang berharga RM 19.00 (harga ahli di Semenanjung), ahli akan mendapat PV sebanyak 15.20 dan BV sebanyak 12.40.
Kerjaya sebagai ahli CNI bermula daripada pengedar sama ada ahli baru atau ahli lama yang masih tidak mencapai PV terkumpul atau kumulatif sebanyak 1000 PV ke atas. Pengedar-pengedar ini akan mendapat keuntungan runcit 20% hingga 30% hasil jualan bergantung kepada produk yang dijual. Selain itu pengedar-pengedar ini berhak menerima Tabung Insentif Pendidikan Anak-anak Pengedar. Untuk kenaikan pangkat ke level seterusnya, para pengedar (upline) ini perlu mencari sekurang-kurangnya tiga lagi ahli baru (downline) dengan jumlah PV setiap individu termasuk dirinya mestilah bernilai 300 PV. Purata jumlah perbelanjaan setiap individu atau jualan setiap individu untuk memperolehi 300 PV lebih kurang RM 320 atau bergantung kepada harga produk. Apabila jualan kumpulan sendiri melebihi 1000 PV, pengedar pertama (upline) berhak menerima kenaikan pangkat kepada Pengedar Gangsa.
Pengedar Gangsa akan menerima Bonus Prestasi 18%. Pemberian ini dikira berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar dibawahnya (downline pertama), 2% daripada jumlah BV generasi pertama (downline kedua), 2% daripada jumlah BV generasi kedua dan 2% daripada jumlah BV generasi ketiga. Selain itu ia juga berhak mendapat bonus dari syarikat antara RM 100 hingga RM 300. Untuk naik ke level atau pangkat seterusnya, Pengedar Gangsa mestilah memastikan pengedar-pengedar di bawahnya (downlinenya yang terdiri dari tiga ahli) mencari setiap seorang tiga lagi ahli bagi mencukupkan rangkaian yang dibentuknya sebanyak 13 orang termasuk dirinya. Setiap downlinenya perlu mencapai 300 PV dan Jualan kumpulannya mestilah mencecah 5000 PV untuk Pengedar Gangsa naik ke pangkat Pengedar Perak.
Pengedar Perak akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 200 hingga RM 600 bergantung kepada jualan. Ia juga menerima Bonus Prestasi sebanyak 18%. Apa yang membezakannya daripada Pengedar Gangsa ialah pemberian ini dikira berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar di bawahnya dan 2.5% daripada generasi pertama, kedua, ketiga dan keempat. Pengedar Perak mendapat bonus lebih 0.5% daripada Pengedar Perak. Begitulah seterusnya proses kenaikan pangkat. Selepas itu, Pengedar Perak akan dinaikkan pangkat ke Pengedar Emas jika PV terkumpul daripada downlinenya mencecah 10000 PV. Pengedar Emas menerima bonus daripada syarikat antara RM 500 hingga RM 1000 atas nilaian jualan. Ia juga menerima Bonus Prestasi sebanyak 18%. Pemberian insentif ini berasaskan kaedah pengiraan untuk Pengedar Gangsa dan Perak, tetapi Pengedar Emas dikira bonusnya sehingga ke Generasi ke 5 sebanyak 3%.
Untuk ke pangkat Pengurus Agensi, seorang Pengedar Emas perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat pengedar dibawahnya dan setiap empat pengedar perlu mempunyai empat downline. Jumlah keseluruhan ahli yang membentuk rangkaian tersebut ialah 17 orang. Setiap orang dalam rangkaian ini secara kasarnya perlu mempunyai 500 PV untuk membentuk jumlah 15000 PV bagi memastikan seseorang Pengedar Emas dinaikkan pangkat ke Pengurus Agensi. Pengurus Agensi akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 1000 hingga RM 5000 bergantung atas jumlah jualannya. Selain itu ia juga akan menerima tiga bentuk bonus; pertama, Bonus Prestasi 18%, kedua, Bonus Pimpinan 14% dan Ketiga, Bonus Jualan Kumpulan Tertinggi 2%.
Bonus Prestasi 18% bagi Pengurus Agensi adalah berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar di bawahnya dan 5% bagi setiap generasi sehingga generasi terakhir. Bonus Pimpinan 14% pula dikira berasaskan kepada 10% daripada jualan kumpulan sendiri dan 5% daripada generasi kedua, 4% daripada generasi ketiga dan 3% daripada generasi keempat.
Untuk kenaikan pangkat daripada Pengurus Agensi ke Pengurus Agensi Delima, seorang Pengurus Agensi perlu memupuk atau memerlukan 3 Pengurus Agensi sebagai downlinenya. Setiap Pengurus Agensi (downline) tersebut perlu mencapai PV terkumpul sebanyak 5000 PV setiap seorang untuk melayakkan Pengurus Agensi tersebut (upline) dinaikkan ke pangkat Pengurus Agensi Delima. Pengurus Agensi Delima akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 2000 hingga RM 15 000 bergantung atas hasil jualannya. Selain itu, ia juga menerima insentif melancong ke Indonesia selama 5 hari 4 malam dan menerima Bonus Pimpinan 14% yang dikira berasaskan 10% daripada BV jualan kumpulan sendiri, 6% daripada generasi pertama, 5% daripada generasi kedua, 4% daripada generasi ketiga dan 3% daripada generasi keempat.
Untuk kenaikan pangkat ke Pengurus Agensi Mutiara, Seorang Pengurus Agensi Delima perlu memupuk atau memerlukan 3 Pengurus Agensi yang konsisten dengan jumlah 10 000 PV setiap seorang. Sebagai Pengurus Agensi Mutiara, seseorang berhak untuk menerima Bonus daripada syarikat antara RM 4000 hingga RM 25 000, Bonus Pimpinan 14% yang dikira berasaskan 10% daripada BV kumpulan sendiri, 7% daripada BV generasi pertama, 6% daripada generasi kedua, 5% daripada generasi ketiga, 4% daripada generasi keempat, 3% daripada generasi kelima. Selain itu, Pengurus Agensi Mutiara juga menerima faedah Umrah bagi muslim atau melancong ke Hong Kong, Taiwan atau India selama 12 hari 11 Malam. Ia juga menerima Tabung Insentif Kereta yang bernilai RM 300 000.
Untuk kenaikan ke Pangkat seterusnya iaitu Pengurus Agensi Zamrud, seseorang Pengurus Agensi Mutiara memerlukan 4 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 10 000 setiap seorang atau 3 orang Pengurus Agensi dengan nilai PV terkumpul 20 000 setiap seorang. Ia juga berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam, Tabung Insentif Kereta 2 yang bernilai RM 400 000 dan bonus tunai sebanyak RM 8888. Selain daripada itu, Pengurus Agensi Zamrud juga menerima bonus daripada syarikat antara RM 8000 hingga RM 35 000 dan Bonus Pimpinan !4% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 8% daripada generasi pertama, 7% daripada generasi kedua, 6% daripada generasi ketiga, 5% daripada generasi keempat, 4% daripada generasi kelima dan 3% daripada generasi keenam.
Untuk kenaikan pangkat ke Pengurus Agensi Intan, seorang Pengurus Agensi memerlukan 5 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 15 000 setiap seorang atau 4 Pengurus Agensi dengan PV terkumpul sebanyak 25 000 setiap seorang. Ia juga berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam dan Tabung Insentif Kereta 3 yang bernilai RM 500 000. Selain itu, ia juga akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 10 000 hingga RM 50 000 dan Bonus Pimpinan 14% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 9% daripada generasi pertama, 8% daripada generasi kedua, 7% daripada generasi ketiga, 6% daripada generasi keempat, 5% daripada generasi kelima dan 4% daripada generasi keenam dan 3% daripada generasi ketujuh.
Untuk kenaikan ke pangkat tertinggi dalam sistem CNI iaitu Pengurus Agensi Intan Jutawan, seorang Pengurus Agensi memerlukan 6 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 15 000 setiap seorang atau 5 Pengurus Agensi dengan PV terkumpul sebanyak 30 000 setiap seorang. Berada di tahap ini ia berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam, Tabung Insentif Rumah 1 yang bernilai RM 400 000, Tabung Insentif Rumah 2 yang bernilai RM 1 400 000, Tabung Insentif Rumah 3 yang bernilai RM 2 000 000 (tertakluk kepada syarat-syarat tertentu). Selain itu, ia juga berhak menerima Bonus Pimpinan 14% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 9% daripada generasi pertama, 8% daripada generasi kedua, 7% daripada generasi ketiga, 6% daripada generasi keempat, 5% daripada generasi kelima dan 4% daripada generasi keenam dan 3% daripada generasi ketujuh dan bonus daripada syarikat antara RM 30 000 hingga RM 200 000.
4. PANDANGAN ULAMA’ SEMASA NUSANTARA (MALAYSIA, INDONESIA DAN BRUNEI) MENGENAI PERNIAGAAN PEMASARAN RANGKAIAN (MULTI LEVEL MARKETING)
Fuqaha’ semasa di nusantara berbeza pendapat berkaitan hukum perniagaan rangkaian atam MLM. Pertama; Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim (kini Setiusaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri) dan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid (Mufti Kerajaan Brunei Darussalam) mengharuskan aktiviti MLM-syarikat AMWAY. Kedua; Drs. Hafidz Abd. Rahman (Sarjana Hukum Islam dari Indonesia) mengharamkan aktiviti MLM.
Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim dalam satu rencana yang bertajuk ‘Jualan Langsung dalam Konteks Islam’ dalam majalah Usahawan menggunakan beberapa hujah mengharuskan MLM; Pertama, Jualan langsung adalah tidak salah berasaskan peniaga menggunakan bentuk perniagaan MLM untuk mengawasi barangan yang dipasarkan agar tidak berlaku penipuan. Kedua, Selagi aktiviti MLM tidak mengamalkan riba dan tidak menganayai orang lain, aktiviti tersebut adalah dibolehkan. Ketiga, Perniagaan secara MLM bukan bertujuan menganayai orang lain tetapi berpegang kepada konsep tolong menolong iaitu menolong orang lain untuk berjaya terlebih dahulu sebelum kita berjaya. Ertinya, perniagaan ini bukan bertujuan memperdaya orang tetapi untuk berjaya secara bersama.
Keempat, Islam tidak menghadkan penganutnya berniaga dengan sesiapa jua. Justeru tidak timbul soal aktiviti berniaga dengan orang bukan Islam. Menurutnya dengan meluaskan lagi ruang lingkup perniagaan kita mampu meningkatkan prestasi diri dan sekaligus dapat memajukan perniagaan dan sama-sama bertukar idea untuk terus memajukan perniagaan yang dijalankan. Beliau terus memperkukuhkan hujah beliau dengan menyatakan bahawa jika di tinjau dari sudut sejarah kita dapati Rasulullah S.A.W pernah menjalankan perniagaan dengan orang Yahudi dan bukan Islam. Junjungan Mulia juga pernah berhutang dengan orang bukan Islam. Menurutnya tiada hadis yang melarang urusan jual beli umat Islam dengan orang bukan Islam. Rasulullah S.A.W pernah berniaga di negara yang bukan Islam, kalau Rasulullah S.A.W boleh kenapa umat Islam hari ini tidak boleh berniaga sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Kelima, perniagaan jualan langsung yang sah di sisi undang-undang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara ini. Walaupun pemilik syarikatnya bukan dari kalangan orang Islam, tetapi kalau ia berjaya melahirkan usahawan muslim berjaya, itu sudah dianggap meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.
Manakala Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid (Mufti Kerajaan Brunei Darussalam) ketika ditanya berkaitan syarikat AMWAY (salah sebuah syarikat MLM) menyatakan bahawa aktiviti syarikat tersebut tidak bercanggah dengan syara’ seperti dalam teks fatwanya berkaitan dengan isu-isu kewangan semasa:
‘ The distribution or profit and perfomance bonuses or rewards, to agents or distributors, according to specific conditions and regulations, is not conflicting with syara’. The purity of cleanliness of foodstuff. such as Nutrilite Food Supp Cemanta and cosmetics, such as lotions, cannot be determined unless information on their content is available or after a laboratory test is conducted. Household maintenance items, which are not harmful to consumers and which have been approved by government, may be marketed.
The Amway Business System, as understood at present, is not conflicting with syara’’
Sementara itu, Drs. Hafidz Abd. Rahman mengemukakan beberapa hujah yang bernas, ilmiah dan terperinci dalam menharamkan perniagaan MLM; Pertama, MLM mengandungi apa yang disebut sebagai dua akad dalam satu akad ( safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah ). Akad pertama adalah akad jual beli manakala akad kedua sebagai akad sebagai broker/ orang tengah/ penaja (samsarah). Kedua, hukum broker atas broker ( samsarah ʿala samsarah) iaitu seseorang ahli bertindak sebagai broker/penaja kepada downlinenya dan proses tersebut berterusan dari satu downline ke satu downline yang lain.
Mengenai hujahnya yang pertama, Drs. Hafidz Abd. Rahman menguatkan pendapatnya dengan beberapa hujjah:
1. Hadith yang diriwatkan oleh Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi dari Abi Hurayrah R.A yang menyatakan:
نهى رسول الله صلى الله وسلم عن بيعتين فى بيعة
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah melarang dua pembelian dalam satu pembelian.
Dalam konteks ini beliau mengambil keterangan Imam al-Shafiʿi berkaitan dengan bayʿatayn fi bayʿah dalam Nayl al-Awtar:
‘ Jika seseorang mengatakan bahawa saya jual budak (hamba) ini dengan harga 1000, dengan catatan anda menjual rumah anda kepada saya dengan harga begini. Ertinya jika anda menetapkan milik anda nenjadi milik saya maka sayapun menetapkan milik saya menjadi milik anda’.
Dalam konteks ini, maksud bayʿatayn fi bayʿah adalah melakukan dua akad dalam satu akad iaitu akad pertama ialah akad jual beli budak, sedangkan yang kedua adalah akad jual beli rumah. Namun, masing-masing dinyatakan sebagai ketentuan yang mengikat antara satu sama lain sehingga terjadi dua akad dalam satu akad.
2. Hadith yang diriwatkan oleh al-Bazzar dan Ahmad, dari Ibn Masʿud:
نهى رسول الله صلى الله وسلم عن صفقتان فى صفقة واحد
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah melarang dua kesepakatan (akad) dalam satu kesepakatan.
3. Hadith yang dikemukakan oleh al-Tabrani dalam kitabnya al-Awsat yang berbunyi:
لا تحل صفقتان فى صفقة
Maksudnya: Tidak dihalalkan dua kesepakatan (aqad) dalam satu kesepakatan (akad).
4. Hadith riwayat Ibn Majah, al-Hakim dan Ibn Hibban yang berbunyi:
لا يحل سلف وبيع ولا شرطان فى بيع
Maksudnya: Tidak dihalalkan salaf (akad pemesanan barang) dengan jual beli, dan tidak dihalalkan dua syarat dalam satu akad jual beli.
Dari dalalah yang ada, baik yang menggunakan lafaz naha atau la tahillu/yahillu menunjukkan bahawa muʿamalat seperti yang terdapat dalam hadith tersebut adalah haram hukumnya.
Mengenai hujah beliau yang kedua iaitu berkaitan hukum broker atas broker ( samsarah ʿala samsarah) ialah beliau tidak menafikan diharuskan broker umumnya berasaskan hadith Qays bin Abi Ghurzah al-Kinani yang bermaksud:
‘ Kami biasa membeli beberapa wasaq di Madinah, dan biasa menyebut diri kami sebagai samasirah, kemudian Rasulullah telah datang kepada kami dan menamakan kami dengan nama yang lebih baik daripada apa yang kami sebut (Baginda telah memanggil dengan nama tujjar). Baginda telah berseru: wahai para tujjar, sesungguhnya jual beli tidak lepas dari kelalaian dan sumpah, maka bersihkanlah dengan sedekah’.
Beliau juga mengemukakan takrif simsar yang di petik daripada kitab al-Mabsut karangan al-Sarakhsi iaitu Simsar adalah sebutan bagi orang yang bekerja untuk orang lain dengan diberikan upah atau bonus baik untuk aktiviti menjual atau membeli. Beliau tidak mempersoalkan tentang keharusan simsar dalam Islam tetapi apa yang dipersoalkan ialah samsarah ʿala samsarah. Ini kerana dalam Islam pembrokeran dilakukan oleh seseorang terhadap orang lain yang berstatus pemilik (malik) dan bukan dilakukan daripada seorang broker ke atas broker lain. Ini adalah kerana broker bertindak sebagai orang tengah (mutawassit) iaitu ia berperanan sebagai orang yang mempertemukan dua kepentingan yang berbeza; kepentingan pembeli dan penjual. Jika ia berperanan sebagai broker kepada broker, maka ia bukan lagi berfungsi sebagai orang tengah. Ini yang diharamkan oleh Islam.
Drs. Hafidz Abd. Rahman menutup perbincangannya dengan dua kesimpulan hukum; pertama, jenis MLM yang membuka pendaftaran keahlian, dengan pendaftaran tersebut ahli baru perlu membayar sejumlah wang tertentu disertai dengan pembelian produk. Pada waktu yang sama ahli tersebut akan menjadi broker/penaja bagi syarikat tersebut dengan merekrut ahli baru, maka praktikal MLM seperti ini termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah , ini kerana ahli tersebut telah melakukan dua akad dalam satu kontrak. Maka praktikal MLM seperti ini adalah diharamkan berdasarkan hadith yang telah dinyatakan.
Kedua, jenis MLM yang membuka pendaftaran keahlian, tanpa harus membeli produk, tetapi ahli baru tersebut mesti membayar sejumlah wang tertentu untuk yuran keahlian. Pada waktu yang sama keahlian tersebut mempuyai kesan iaitu ahli baru tersebut akan mendapat mata bonus hasil daripada pembeliaannya kemudian hari atau hasil daripada pembelian downlinenya, maka praktikal MLM seperti ini juga termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah kerana keahlian tersebut merupakan akad yang mempuyai kesan tertentu. Kesannya ialah apabila pembelian dilakukan samaada oleh dirinya atau downlinenya, dia akan mendapat mata bonus hasil daripada pembelian tersebut. Bahkan ia akan mendapat bonus jika menjadi penaja atau merekrut ahli baru untuk menyertai syarikat tersebut. Dengan demikian, praktikal MLM seperti ini menandatangani dua akad iaitu akad keahlian dan akad samsarah. Perkara ini bercanggah dengan syariah.
5. ANALISIS PANDANGAN ULAMA’ NUSANTARA DAN PERBANDINGAN DENGAN SISTEM MLM YANG DIGUNAKAN OLEH CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI).
Dalam menilai hukum MLM, para fuqaha’ nusantara menilai daripada sudut yang berbeza. Dr. Mashitah Ibrahim umpamanya menilai MLM daripada sudut urusniaga antara orang Islam dengan bukan Islam, dari sudut kebaikan pemasaran MLM dan dari sudut perkembangan ekonomi muslim dengan penyertaan mereka dalam MLM. Begitu juga dengan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid yang lebih menekankan soal keselamatan dan kebersihan produk yang diniagakan menerusi MLM.
Penilaian yang dibuat terhadap MLM daripada sudut yang diberikan oleh dua tokoh tersebut adalah kurang tepat kerana dalam menilai muʿamalah moden, perkara yang perlu diberi perhatian adalah soal akad dan sistem yang digunakan. Isu yang dibangkitkan oleh Dr. Mashitah Ibrahim terutamanya menyentuh urusniaga antara muslim dan bukan muslim dan syarikat MLM kepunyaan bukan muslim sepatutnya tidak perlu dibangkitkan kerana sebagai negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia. Di tambah pula Islam tidak pernah menghalang urusniaga sebegitu.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa MLM membantu umat Islam di Malaysia meningkatkan taraf ekonomi mereka, perkara ini tidak dinafikan kerana sememangnya syarikat jualan langsung terutamanya CNI banyak melahirkan usahawan Melayu Muslim berjaya. Tetapi persoalan yang perlu ditimbulkan di sini ialah adakah hanya kerana MLM mampu untuk meningkatkan ekonomi umat Islam kita seolah memejamkan mata dan melupakan kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan aktiviti MLM selaras dengan syariah. Tidak semestinya sesuatu yang diakui sah di sisi undang-undang selari dengan kehendak syariah.
Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Negara Brunei Darussalam, walaupun ada menyentuh berkaitan dengan sistem yang digunakan, tetapi penjelasan mengenainya beserta dengan hujah-hujah tidak disertakan dengan lebih terperinci. Fatwa ini juga dilihat lebih menekankan soal keselamatan dan kebersihan produk yang dipasarkan. Isu kebersihan dan keselamatan produk merupakan perkara penting, tetapi perlu ditegaskan di sini bahawa perniagaan jualan langsung di kawal ketat oleh pihak kerajaan, justeru kebarangkalian untuk syarikat-syarikat jualan langsung mengabaikan isu-isu ini adalah terlalu rendah.
Ini dibuktikan dengan tindakan CNI menginsuranskan produk-produknya bagi membuktikan bahawa produknya selamat digunakan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, di Malaysia terdapat Tatacara Kelakuan bagi Syarikat Jualan Langsung yang dilancarkan oleh Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) yang disokong oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia. Sebagai contoh jaminan kualiti produk seperti dalam Peraturan-Peraturan Perniagaan CNI di bawah tajuk Jaminan Insurans menyatakan:
‘ Syarikat melindungi pengguna produk CNI dengan jaminan insurans setinggi RM 1 juta’
Drs. Hafidz Abd. Rahman adalah antara sarjana hukum Islam yang mengkaji sistem yang digunakan oleh MLM secara terperinci. Kajian yang dilakukan oleh beliau merangkumi praktikal sistem MLM seterusnya menyimpulkan pandangan Islam terhadap MLM. Kajian yang dilakukannya memperincikan aspek akad yang dilakukan dalam MLM yang merupakan perkara asas bagi menentukan sama ada sesuatu muʿamalah tersebut selari dengan Islam atau sebaliknya.
CNI juga menggunakan sistem seperti yang digambarkan oleh Drs. Hafidz Abd. Rahman, dalam sistem yang digunakan oleh CNI, ahli baru dikenakan RM 70 dan sebagai hadiah ahli diberikan beberapa produk dan buku panduan secara percuma. Ahli baru tidak perlu atau tidak diwajibkan membeli ketika pendaftaran dilakukan. Namun begitu ahli baru (istilah CNI-pengedar) akan mendapat PV dan BV dengan setiap pembeliannya atau pembelian downlinenya di kemudian hari. Untuk menambah nilai PV dan BVnya bagi mendapat kenaikan pangkat dan mendapat bonus yang dijanjikan oleh CNI, ahli baru itu secara pastinya akan cuba menarik sebanyak mungkin ahli-ahli baru yang untuk menjadi downlinenya. Ini adalah penting dalam sistem yang diamalkan oleh CNI kerana Upline akan menerima bonus tertentu jika berjaya membentuk downline tertentu yang konsisten dalam bentuk pembelian atau dalam bentuk penajaan ahli baru.
Daripada penjelasan ini, kajian ini mendapati sistem MLM seperti ini termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah kerana keahlian tersebut merupakan akad yang mempuyai kesan tertentu. Kesannya ialah apabila pembelian dilakukan sama ada oleh dirinya atau downlinenya, dia akan mendapat mata bonus hasil daripada pembelian tersebut. Seterusnya, mata bonusnya akan bertambah jika ia dapat merekrut lebih banyak ahli baru untuk menyertai CNI (hasil daripada pembelian yang dilakukan). Dengan demikian, praktikal MLM seperti ini menandatangani dua akad iaitu akad keahlian dan akad samsarah. Perkara ini bercanggah dengan syariah.
Begitu juga daripada aspek samsarah ʿala samsarah. Ini adalah disebabkan dalam praktikal MLM yang dilakukan oleh CNI, ternyata aspek ini terlalu menonjol dalam proses menaja atau merekrut ahli baru sehingga timbul istilah upline (individu yang menaja ahli baru) dan downline ( ahli yang ditaja ). Proses ini akan berterusan dan seseorang downline walaupun ia mempunyai upline, ia juga akan menjadi upline apabila menaja individu lain untuk menyertai CNI.
Praktikal ini nampaknya bercanggah dengan pembrokeran yang disebut di dalam fiqh silam iaitu pembrokeran adalah satu aktviti menjual atau membeli yang dilakukan seseorang terhadap orang lain yang berstatus pemilik (malik) dan upah diberikan kepadanya atas usaha yang dilakukan itu dan bukan dilakukan daripada seorang broker ke atas broker lain. Ini adalah kerana broker bertindak sebagai orang tengah (mutawassit) iaitu ia berperanan sebagai orang yang mempertemukan dua kepentingan yang berbeza; kepentingan pembeli dan penjual. Jika ia berperanan sebagai broker kepada broker, maka ia bukan lagi berfungsi sebagai orang tengah. Ini yang diharamkan oleh Islam
Selain daripada dua isu utama yang diketengahkan, isu pemberian bonus dalam CNI juga perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Ini kerana setiap pembelian downline, upline akan menerima PV atau BV secara tidak langsung kerana setiap akhir bulan, CNI akan mengira jumlah PV dan BV secara keseluruhannya (keseluruhan pembelian yang dilakukan oleh downline dan ditambah dengan pembelian upline tersebut). Jika jumlah ini mencapai jumlah PV dan BV yang ditentukan, upline tersebut akan dinaikkan pangkat dan diberikan bonus seperti yang dijanjikan. Ini menampakkan seolah-olah upline tersebut mendapat hasil tanpa melakukan usaha sewajarnya. Upline tersebut berada di atas hasil daripada PV dan BV terkumpul hasil daripada pembelian downline. Adakah perniagaan seperti ini diharuskan dalam Islam?.
Walaupun ada jutawan MLM-CNI seperti Muhammad Zulkey Hashim menafikan sistem MLM mengayakan ‘orang atas’ tetapi itulah hakikatnya, semakin tinggi kedudukan seseorang dalam sistem MLM semakin sedikit usaha yang perlu dilakukan tetapi semakin banyak bonus dan insentif yang diterima. Begitu juga semakin banyak PV dan BV terkumpul daripada ahli, semakin tinggilah pangkat dan bonus yang diterima. Ini kerana PV dalam CNI adalah sebagai mekanisme untuk mengukur pangkat, manakala BV pula sebagai mekanisme untuk mengukur bonus yang bakal diterima setiap bulan.
Sebagai buktinya di sini dinyatakan eaedah yang diterima oleh apa yang disebut dalam CNI sebagai Peringkat Pengedar (peringkat paling bawah) dan dinyatakan juga faedah dan bonus Peringkat Eksekutif. Sebagai contoh, Pengedar Emas hanya menerima Bonus Prestasi sebanyak 18% dan Bonus daripada syarikat antara RM 500 hingga RM 1000 berbanding Pengurus Agensi Intan Jutawan yang menerima faedah melancong dunia, Tabung Insentif Rumah yang boleh mencecah RM 2 000 000 dan Bonus daripada syarikat antara RM 30 000 hingga RM 200 000.
Mungkin ada individu yang membandingkan pendapatan dalam MLM dengan pendapatan dalam sistem bergaji. Dalam sistem bergaji, semakin besar pangkat dan kedudukan semakin tinggi bayaran gaji yang diberikan, begitu juga dalam MLM. Pandangan ini perlu disangkal kerana dalam sistem gaji, gaji yang diterima selaras dengan usaha yang dilakukan. Sebagai contohnya, seorang eksekutif kelihatan lebih ‘rehat’ dalam soal bekerja berbanding pekerjaan sebagai tukang kebun yang membanting tulang dan keringat di tengah bahang dan terik mentari.
Walaupun seorang eksekutif bekerja di tempat yang berhawa dingin, dan kelihatan melakukan kerja yang tidak mengeluarkan peluh, tetapi pada hakikatnya para eksekutif lebih teruk bekerja berbanding pekerja bawahan kerana para eksekutif terpaksa menggunakan daya pemikiran yang semaksima mungkin untuk merancang dan menjayakan sesuatu projek. Penggunaan daya fikiran disahkan oleh kajian sains memerlukan tenaga yang lebih berbanding membanting keringat sebagai tukang kebun. Justeru itu, gaji yang diterima oleh eksekutif tersebut selaras dengan usaha yang dilakukannya.
Perkara ini tidak berlaku dalam MLM, apa yang dititik beratkan dalam sistem MLM ialah apabila jumlah belian daripada downline tinggi dan mencapai tahap tertentu, upline akan dinaikkan pangkat. Perkara ini dipraktikkan dalam CNI, sebagai contohnya untuk memenuhi kelayakan sebagai Pengurus Agensi Intan Jutawan, individu hanya perlu mengumpul jumlah 100 PV untuk jualan sendiri, 500 PV untuk jualan kumpulan sendiri dan 15 000 PV untuk jualan keseluruhan rangkaian downlinenya. Untuk mendapat 100 PV individu tersebut hanya perlu berbelanja lebih kurang RM 120 dan yang lain adalah hasil pembelian downlinenya. Dengan berbelanja hanya RM 120 dan memastikan enam pengurus agensi yang berada di bawahnya konsisten, individu tersebut mendapat ganjaran berlipat ganda. Ini menampakkan usaha yang dilakukannya tidak setimpal dengan ganjaran yang diterimanya.
6. KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, kajian ini hanyalah pembuka ruang bagi kajian yang lebih terperinci yang sepatutnya dilakukan oleh fuqaha’ semasa dalam menilai sistem MLM yang ada di Malaysia. Kajian terperinci perlulah menyentuh semua aspek praktikal MLM supaya hukum yang bakal dikeluarkan terhadap MLM adalah hukum yang tepat dan selaras dengan pengamalan MLM dan selari dengan ruh dan maqasid shariʿah. Fuqaha’ semasa perlulah peka dalam persoalan muʿamalat semasa. Walaupun para fuqaha di Malaysia cukup mengambil berat soal perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam, para fuqaha’ di Malaysia seolah terlepas pandang dalam isu-isu muʿamalat seperti ini.
BIBLIOGRAFI
Al-Haythami, al-Hafiz Nur al-Din ʿAli Abi Bakr. 1994. Majmaʿ al-zawa’id wa manbaʿ al-fawa’id. t.tp: Maktabah al-Qudsi.
Al-Nawawi, al-Imam Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. 1992. Rawdah al-talibin. Beyrut: Dar al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Sarakhsi, Shams al-Din. t.th. Kitab al-manbsut, jilid 15. Beyrut : Dar al-Maʿrifah.
Al-Shawkani, al-Imam al-Mujtahid al-ʿAllamah Muhammad bin ʿAli. 1998. Nayl al-awtar sharh muntaqa al-akhbar min ahadith sayyid al-akhbar, Jilid 5. Dar al-Khayr : Beyrut.
Al-Shirazi, Abi Ishaq Ibrahim bin ʿAli Yusuf al-Fayrusabadi. 195. al-Muhazzab fi fiqh al-Imam al-Shafiʿi, jilid 2. Beyrut: Dar al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Zuhayli, Wahbah. 1998. al-Fiqh al-Islami wa adillatuh, jilid 7. Beyrut: Dar al-Fikr al-Muʿasir.
CNI tawar hasil dividen 6.2%-CIMB, Utusan Malaysia, 18 Julai 2003: 21.
CNI pemain sejagat, Utusan Malaysia, 18 Julai 2003: 21
Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Panduan kejayaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).
Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Panduan perniagaan CNI. t.tp; Creative Network International Holding Berhad(CNI).
Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Peraturan-peraturan perniagaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).
Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Rancangan perniagaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).
Hafidz Abd. Rahman. Hukum syara’ multilevel marketing, http: //www.hayatulislam.net; http: //www. geocities.com/gigih67 (12 Julai 2005).
Muhammad Zulkey Hashim. MLM mengayakan orang atas?, Usahawan Sukses, September- Oktober 2003: 48-50.
Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM), Code of Conduct.
Propektus CNI, Mingguan Malaysia, 28 Jun 2003: 2-3.
Rudy AS. Kemahuan dorong Murad jadi jutawan, Usahawan Sukses, Julai-Ogos 2003: 2.
Sidang Pengarang Usahawan Sukses. Jualan langsung dalam konteks Islam, Usahawan Sukses, Mei-Jun 2003: 22-25.
Sidang Pengarang Usahawan Sukses. MLM perniagaan istimewa peluang bumiputera tingkatkan ekonomi, Usahawan Sukses, Mei-Jun 2003: 20.
State Mufti’s Office & Prime Minister’s Office Negara Brunei Darussalam. 2000. The State Mufti’s fatwa’s monetary issues. Kuala Lumpur: MR Print, Kuala Lumpur.
Tuesday, October 21, 2008
Pengenalan Insurans dan Takaful
ISLAM DAN PERSOALAN EKONOMI SEMASA: INSURANS DAN TAKAFUL
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (I.P.G.I.K)
1. PENDAHULUAN
Perbankan dan insurans merupakan dua kumpulans industri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan negara. Tanpa penglibatan yang mantap daripada kedua-duanya, kegiatan perniagaan dan perdagangan dunia akan terasa kesannya dan boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara. Gelombang kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia pada awal tahun 70an mendesak supaya penubuhan syarikat insurans secara Islam, hasilnya lahir beberapa syarikat takaful yang prinsip-prinsipnya selari dengan tuntutan syariah.Penulisan ini akan memfokuskan isu-isu syariah yang timbul daripada perbincangan fuqaha’ semasa berkaitan kedua-dua instrumen pengurusan risiko ekonomi ini.
2. PENGENALAN INSURANS
Bank Negara Malaysia mentakrifkan insurans sebagai pemindahan risiko oleh seseorang individu atau sesebuah organisasi (dikenali sebagai pemegang polisi) kepada syarikat insurans. Sebagai balasan, syarikat insurans menerima bayaran di dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi menanggung kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan terhadap kerugian atau kerosakan tersebut. Insurans juga ditakrifkan sebagai satu instrumen yang diguna bagi mengurangkan risiko melalui gabungan sejumlah nilai yang mencukupi agar kerugian individu yang dijangka dapat ditanggung bersama. Dalam proses insurans ini ketidaktentuan ini dapat dikurangkan dan jika berlaku kerugian ia akan ditanggung bersama.
Insurans terbahagi kepada dua jenis; insurans am dan insurans nyawa. Insurans am meliputi perlindungan daripada risiko terhadap kemungkinan kehilangan harta benda atau pendapatan akibat kemalangan, rompakan, kebakaran atau kejadian yang tidak dijangka. Skim yang disediakan oleh insurans am ini termasuklah insurans kebakaran, marin, pengangkutan udara, kenderaan bermotor serta insurans untuk pekerja. Konsep insurans am ini adalah untuk mengurangkan risiko yang ditanggung oleh seseorang dengan memindahkannya kepada syarikat insurans melalui pembayaran premium. Pengambil insurans akan dibayar sejumlah yang telah dipersetujui jika berlaku perkara yang menyebabkabkan beliau mengalami kerugian. Tetapi premium itu akan hangus jika tiada kerugian yang dialaminya dalam tempoh perjanjian insurans itu.
Insurans nyawa pula menyediakan perlindungan kewangan kepada seseorang terhadap perkara luar jangkaan seperti kematian, kecederaan dan ketidakupayaan. Insurans nyawa merupakan satu kontrak antara pengambil insurans dengan syarikat insurans sebagai penanggung, untuk membayar sejumlah wang tertentu bersama-sama dengan bonusnya, apabila polisi insurans ini cukup tempohnya atau pengambil insurans meninggal dunia. Dalam insurans nyawa ini, pembayaran wangnya adalah terjamin.
Terdapat dua jenis polisi utama dalam insurans nyawa; pertama, polisi nyawa dan kedua, polisi tempoh tetap. Dalam polisi nyawa, pembayaran jumlah modal dan sebarang bonus yang terakru akan dibuat kepada benefisiari yang dinamakan dalam polisi apabila pengambil insurans itu meninggal dunia. Sepanjang tempoh kontrak ini, pengambil insurans akan membayar premium berkala kepada syarikat insurans. Manakala polisi tempoh tetap pula, memperuntukkan pembayaran jumlah modal dan sebarang bonus terakru kepada benifisiari apabila polisi itu matang atau pengambil insurans meninggal dunia, bergantung kepada mana situasi yang berlaku dahulu. Sepanjang kontrak ini, pengambil insurans akan membayar premium berkala kepada syarikat insurans sehingga sampai tempohnya atau sehingga beliau meninggal dunia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh BNM, industri insurans telah mencapai pertumbuhan yang ketara pada tahun 90 an. Jumlah modal berbayar penanggung-penanggung insurans yang diperbadankan di Malaysia telah meningkat lebih daripada lima kali ganda daripada RM 0.6 bilion pada akhir tahun 1988 kepada RM 3.4 bilion pada akhir tahun 1998. Aset kumpulan wang insurans dan jumlah pendapatan premium bagi sektor insurans hayat dan am juga turut meningkat pada kadar yang serupa daripada hanya RM 7 bilion dan RM 2.1 bilion masing-masing kepada RM 38.7 bilion dan RM 10.9 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu melebihi kadar pertumbuhan purata Keluaran Negara Kasar ( KNK).
Ini menyebabkan aset kumpulan wang insurans dan pendapatan premium industri sebagai sebahagian daripada KNK meningkat dengan ketara daripada hanya 8.1% dan 2.4 % masing-masing pada akhir tahun 1988 kepada 14.4% dan 4% pada akhir tahun 1998. Dari segi penembusan pasaran, hanya 11.4% daripada jumlah penduduk Malaysia mempunyai pelindungan insurans dalam tahun 1988. Pada tahun 1998, sebanyak 28.4% daripada penduduk Malaysia memiliki polisi insurans hayat.
2.1 PANDANGAN FUQAHA’
Dalam membahaskan hukum berkaitan dengan insurans, fuqaha’ semasa pada hakikatnya terbahagi kepada tiga kumpulan; kumpulan pertama, fuqaha’ yang mengharuskan semua jenis insurans. Antara fuqaha’ tersebut ialah Dr. Mustafa al-Zarqa’, Shaykh ʿAbd. al-Rahman ʿIsa, Dr. Muhammad al-Bahi, Shaykh Muhammad Yusuf Musa dan Shaykh ʿAli al-Khafif. Kumpulan kedua, fuqaha’ yang mengharamkan semua bentuk insurans. Antara fuqaha’ tersebut ialah Shaykh Muhammad Bakhit al-Mutiʿi, Shaykh Muhammad ʿAli al-Bulaqi, Shaykh Muhammad Najib al-Mutiʿi, Shaykh Abd. al-Rahman Qaraʿah, Muhammad Nejatullah Siddiqi dan beberapa fuqaha’ lagi.
Kumpulan ketiga, Fuqaha’ yang mengharuskan sebahagian dan mengharamkan sebahagian yang lain. Antara fuqaha’ tersebut ialah Shaykh Najmuddin al-ʿIraqi, Shaykh Muhammad Mabruk, Shaykh Muhammad Farraj al-Sanhuri, Al-Shaykh Muhammad al-Madani, al-Shaykh Muhammad Abu Zahrah, al-Shaykh Ahmad al-Sharbasi dan al-Shaykh Abd. Allah bin Zayd ʿAli Mahmud. Kebanyakan mereka mengharamkan insurans dari bentuk insurans nyawa. Keputusan ini juga diambil oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-16 pada 1-2 Oktober 1970 dan 15-16 Februari 1979.
Kumpulan fuqaha’ yang mengharuskan semua bentuk insurans berhujahkan dengan beberapa hujah; pertamanya, bersandarkan kaedah fiqh yang bermaksud ‘asal pada sesuatu perkara adalah harus’. Ini kerana akad insurans sebagaimana akad muʿamalah lain di mana dalam akad insurans terdapat manfaat dan kebaikan kepada manusia dan tidak ada nas yang mengharamkannya. Maka hukumnya kekal selagimana tidak ada dalil yang mengharamkannya. Kedua, bersandarkan kepada prinsip masalih al-mursalah. Golongan ini berpendapat bahawa menerusi insurans mampu menarik manfaat dan menolak kemudaratan.
Ini adalah kerana insurans mampu memberikan kebaikan dan ruang kepada manusia memperolehi manfaat daripada tabungan dan himpunan dana harta yang telah dibuat. Bahkan melalui insurans juga, ketenteraman seseorang akan mampu dibendung daripada kerisauan terhadap musibah dan kerugian yang teruk sekiranya berlaku kemalangan. Justeru berdasarkan kaedah masalih al-mursalah di mana kebaikan yang diperolehi menjadikan sesuatu perkara yang tiada nas yang menegah, maka perkara tersebut adalah selaras dengan syariat.
Ketiga, golongan ini juga turut berhujah dengan menggunakan kaedah ʿuruf di mana sesuatu yang telah diketahui di kalangan manusia dan manusia berhajat kepada perkara tersebut maka perkara tersebut menjadi harus di sisi syara’. Keempat, insurans juga adalah menjadi perkara daruri ( penting ) di kalangan manusia. Justeru, golongan yang mengharuskan insurans ini menggunakan kaedah fiqh yang bermaksud ‘ keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang’. Keenam, operasi insurans yang wujud pada masa sekarang adalah perkara yang menjadi keperluan dan kemestian bagi manusia sehingga termasuk dalam perkara yang disebut sebagai ‘ʿumum balwa’. Maka ia diharuskan bagi memudahkan urusan seharian manusia.
Di samping hujjah ilmiah berkaitan dengan insurans, Muhammad Nejatullah Siddiqi menolak pendapat sebahagian fuqaha’ yang menyatakan bahawa insurans membawa kepada perjudian. Antara hujjahnya; pertama, keburukan berjudi terletak pada tindakan seseorang penjudi yang akan mencuba nasibnya, melalui pertaruhan dan seumpamanya tanpa memikirkan risiko yang wujud. Perbuatan ini seolah-olah tidak kena mengena dengan diri mereka. Misalnya membeli tiket loteri, bertaruh di dalam perlumbaan atau perlawanan bola sepak, permainan terup atau catur. Segala bentuk perjudian dan amalan semasa mempunyai satu persoalan yang sama iaitu risiko kerugian kewangan boleh dielakkan jika penjudi tidak cuba bertaruh dan mengamalkan apa jua unsur perjudian.
Pada dasarnya, kes mengenai insurans adalah berbeza. Terjadinya risiko dan kesan yang menyebabkan pembeli insurans cuba mendapatkan perlindungan tidaklah bergantung kepada keadaan sama ada terjamin ataupun tidak. Kebanyakan usaha kehidupan tidak boleh diatasi kecuali dengan menggunakan kaedah insurans. Kesemua risiko ini membawa kerugian kewangan. Dan risiko ini tetap berlaku sama ada seseorang itu mempunyai perlindungan insurans ataupun tidak.
Kedua, dasar perjudian dan insurans ialah berkaitan dengan harapan untuk mendapatkan untung. Motivasi kewangan bagi amalan berjudi adalah didorong daripada keuntungan daripada sesuatu kemenangan. Manakala dalam kes insurans hal ini dikaitkan dengan keinginan untuk mendapatkan perlindungan daripada menanggung kerugian berpunca daripada kebimbangan berlakunya bahaya. Justeru itu, dalam hal ini, jumlah tuntutan yang diperolehi pembeli tidak boleh dianggap sebagai keuntungan. Insurans hanya menyediakan bantuan kepada mereka yang mengambil polisi daripada menanggung beban. Hal ini tidaklah pula menolong menambah kekayaan.
Ketiga, seorang penjudi akan mengalami kerugian kewangan sekiranya kalah dalam sesuatu permainan. Pelaburan terhadap tiket loteri telah dibazirkan dan kerana bertaruh mereka terpaksa membayar kepada pemenang sejumlah wang yang telah dipersetujui. Ini menciptakan kerugian yang nyata kepada penjudi kerana tidak dipampas sesudah itu. Seperkara lagi yang boleh diperkatakan ialah peluang kemenangan yang wujud secara berterusan, menghidupkan harapan penjudi untuk mendapatkan untung. Tetapi harapan ini tidak secara objektif melibatkan kerugian penjudi kerana hal ini wujud agak berasingan.
Bagi seseorang pembeli insurans, setelah membayar premium berkenaan, mereka dijamin dengan bayaran pampasan ke atas kerugian kewangan mengikut kejadian sesuatu bahaya yang dilindungi oleh insurans ini. Jaminan ini diberikan kepadanya ketika menandatangani kontrak dengan syarikat insurans, tanpa mengira sama ada kejadian kemalangan itu berlaku ataupun tidak. Dengan itu, premium ini menjadi pelaburan yang berbentuk sekuriti. Premium yang dibayar bukannya satu kerugian tetapi ia sebagai kos. Sebaliknya, wang yang lenyap di dalam perjudian adalah kerugian yang nyata. Selain itu, pembayaran premium didesak oleh keadaan dengan tidak ada jalan lain lagi bagi mengelakkan kebimbangan bahaya yang boleh membawa kerugian. Sementara itu, tidak pula diwajibkan seseorang membayar harga tiket loteri ataupun membuat pembayaran tertentu kepada pemenang di dalam pertaruhan. Penjudi mengalami kerugian ini di atas kehendaknya sendiri.
Muhammad Nejatullah Siddiqi juga menolak pendapat sebilangan fuqaha’ yang menyatakan bahawa kontrak insurans mengandungi riba. Hal ini disebabkan, pembeli insurans dijanjikan dengan jumlah yang jauh berlebih daripada apa yang didepositkan sebagai insurans. Pendapat ini berasaskan andaian bahawa setiap pertambahan bayaran adalah riba. Andaian ini menurutnya adalah andaian yang tidak berasas kerana syariah tidak pernah menganggap setiap pertambahan adalah riba. Wang yang dibayar sebagai premium bukanlah sebagai pinjaman. Pada hakikatnya, bayaran premium adalah satu bentuk sumbangan koperatif dalam menyediakan perkhidmatan sosial yang berfaedah. semangat ini dimanifestasikan secara bersama melalui insurans.
Selain itu, pendapat Muhammad Nejatullah Siddiqi disokong oleh beberapa fuqaha dengan memperincikan lagi aspek-aspek yang meragukan dalam insurans; pertama, isu ketidakpastian dalam insurans. Ketidakpastian dalam urusniaga sememangya dilarang oleh Islam kerana amalan ini menimbulkan perselisihan. Terdapat larangan Rasulullah yang jelas melarang kontrak jualan sekiranya pihak penjual tidak dapat menyerahkan benda yang dijanjikan kepada pembeli.
Oleh kerana ketidaktentuan amat sukar untuk dielakkan daripada berlaku dalam urusan transaksi dalam kehidupan moden kini, maka larangan ini ditafsirkan hanya bagi keadaan ketidakpastian yang bersangatan umpamanya dalam aktiviti berjudi. Berdasarkan tafsiran tersebut dapatlah dikatakan bahawa insurans adalah sesuatu yang pasti, lebih-lebih lagi disertai dengan pampasan yang ditentukan. Sesungguhnya, pampasan dalam insurans adalah jaminan keselamatan yang diperolehi oleh pencarum sebagai pulangan bagi setiap ansuran bulanannya.
Selain itu, tentangan berkaitan dengan unsur kekaburan dalam insurans nyawa iaitu pihak pencarum tidak mengetahui berapa kali bayaran caruman ansuran yang dapat dilakukannya sehingga ia mati adalah suatu pandangan yang tidak beralasan. Menurut pandangan fuqaha’ hanafiyyah, perlu dibezakan antara perkara-perkara yang boleh menjejaskan keutuhan kontrak dengan perkara yang tidak. Kekaburan pengetahuan terhadap bayaran ansuran dalam insurans nyawa tidak sedikitpun menjejaskan keutuhan kontrak tersebut dan tidak menimbulkan prasangka pada mana-mana pihak kerana jumlah bagi setiap kali bayaran ansuran dan jumlah setelah kesemua bayaran ansuran diselesaikan akan diberi tahu.
Akhirnya, insurans nyawa bukanlah satu rancangan untuk mengatasi Qudrat Allah atau mencabar Iradat-Nya, kerana pihak insurans tidak menentukan bahawa sesuatu perkara yang belum terjadi itu pasti akan terjadi, tetapi ia hanya membayar gantirugi kepada pencarum yang menghadapi kemalangan atau kerugian yang tertentu. Ini adalah satu gerakan kerjasama untuk meringankan beban kerugian akibat sesuatu kemalangan dan kenyataan ini disokong dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
‘ Dan tolong menolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan ke arah ketakwaan tetapi janganlah kamu tolong menolong dalam membuat dosa dan permusuhan’.
Bagi golongan fuqaha’ yang mengharamkan insurans, mereka berdalilkan dengan beberapa hujjah; pertama, gharar (kekaburan) dan jihalah (kejahilan) yang terdapat pada kontrak insurans. Akad insurans yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat insurans terdapat padanya unsur gharar yang jelas dan jihalah yang melampau. Situasi ini boleh dijelaskan dengan melihat keadaan di mana pemegang polisi yang mengambil insurans terpaksa membayar bayaran premium yang telah ditentukan oleh syarikat terhadapnya, sedangkan apabila tidak berlaku musibah atau kemalangan individu tersebut tidak ada hak untuk mendapat pampasan. Ini terbukti apabila akad dilakukan pengambil insurans langsung tidak tahu apa yang bakal diperolehinya sebagai pampasan pada masa hadapan. Begitu juga situasi yang lain apabila seorang pengambil insurans yang hanya baru membayar sekali premium dan ditimpa musibah, maka dia diberikan pampasan insurans oleh syarikat tersebut.
Dalam hal kejahilan yang melampau pula, semasa akad tidak diketahui apakah musibah yang bakal menimpa pengambil insurans dan berapakah nilai pampasan yang perlu dijelaskan oleh syarikat sekiranya berlaku musibah yang tidak dapat dipastikan itu. Tiga unsur gharar yang terdapat dalam akad insurans ialah; pertama, gharar pada penghasilan tukaran iaitu ketika akad dibuat, pemegang polisi tidak pasti sama ada akan memperolehi bayaran pampasan atau tidak, cotohnya: kemalangan yang tidak dapat dipastikan akan berlaku atau tidak.
Kedua, gharar pada kadar iaitu ketika akad, pemegang polisi tidak boleh memastikan kadar bayaran yang akan diterimanya. Kadar tersebut hanya akan diketahui selepas berlakunya kemalangan dan dinilai pada kecederaan yang dialami sedangkan apa jua bentuk kecederaan yang bakal dialami sudah pasti tidak dapat diketahui semasa akad dilakukan. Ketiga, gharar pada waktu iaitu tidak pasti bilakah tukaran berlaku (bila akan berlaku kemalangan) sedangkan para fuqaha’ telah mensyaratkan dalam jual beli bertangguh seperti bayʿ al-Salam (tempahan) mesti diketahui waktu penyerahan barang.
Hujjah kedua golongan yang mengharamkan insurans adalah perniagaan insurans terlibat dengan riba. Akad insurans terdapat unsur riba al-fadl dan al-nasi’ah yang mana kedua-duanya diharamkan di sisi syarikat Islam. Seperti apa yang dibayar oleh syarikat insurans kepada pembeli insurans atau kepada waris yang menerima faedah sekalipun sedikit nilai atau banyak kadarnya atau sama daripada pertukaran. Pembayaran ini tidak berlaku kecuali setelah berlangsungnya tempoh masa penerimaan syarikat terhadap premium caruman. Maka sekiranya berlaku pertambahan nilai pampasan yang diterima berbanding nilai caruman jadilah penerimaan ini sebagai riba al-fadl. Manakala sekiranya tidak bertambah atau sama maka ia akan menjadi riba al-nasi’ah. Maka sahlah kontrak ini haram di sisi syariah.
Hujjah ketiga golongan ini ialah akad insurans mengandungi al-maysir dan al-muqamarah (perjudian). Insurans mengandungi unsur ini kerana pihak pencarum tidak mengetahui apa yang akan diterimanya daripada pampasan (sekiranya berlaku kemalangan) atau langsung tidak memperolehi apa-apa dan syarikat pula tidak mengetahui apa yang perlu dibayar kepada pencarum sebagai pampasan. Maka ia mengambil hukum judi itu sendiri. Selain itu, insurans juga sebagaimana judi apabila pemegang polisi terpaksa membayar premium sebagai pertaruhan untuk mendapat untung yang tidak dapat dipastikan dan syarikat juga berharap (bertaruh) supaya pencarum tidak ditimpa apa-apa musibah agar premium menjadi keuntungannya.
Hujjah keempat, akad insurans termasuk dalam bayʿ al-dayn bi al-dayn (jual beli hutang dengan hutang) sedangkan jual beli bentuk ini diharamkan oleh Islam. Situasi ini berlaku apabila premium yang dibayar oleh pemegang polisi kepada syarikat insurans pada tanggungannya dan pampasan yang dibayar oleh syarikat kepada pembeli insurans yang ditimpa musibah adalah hutang syarikat terhadap pemegang polisi yang lain. Maka situasi ini seperti bayʿ al-dayn bi al-dayn, maka hukumnya adalah haram.
Hujjah kelima, akad insurans termasuk dalam kategori memakan harta individu lain dengan jalan batil (salah). Ini terbukti di dalam pelaksanaan insurans apabila wang caruman pengambil-pengambil insurans diberikan kepada orang yang ditimpa kemalangan sedangkan kaedah pengambilan bukanlah dari aspek prinsip tabarruʿ. Ada pihak yang mendakwa bahawa cabutan wang caruman untuk dijadikan pampasan kepada mereka yang ditimpa musibah adalah menyerupai prinsip taʿawun dan ijtimaʿi, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya iaitu untuk mendapat keuntungan daripada caruman tersebut baik di pihak pembeli mahupun syarikat insurans itu sendiri.
KESIMPULAN
Dalam membincangkan insurans, ulama’ berselisih pendapat dalam soal adakah insurans harus atau haram. Daripada penelitian kajian ini, perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dan fuqaha’ ini menguntungkan umat Islam apabila hasil daripada perbezaan pendapat ini timbul desakan supaya diwujudkan syarikat-syarikat insurans yang lebih berbentuk Islamik. Kemunculan takaful pada hakikatnya mendamaikan perbezaan pendapat yang wujud kerana takaful adalah seratus peratus aktiviti, perniagaan dan pengamalannya berlandaskan syariah. Kewujudan takaful juga memberi alternatif kepada umat Islam dalam memilih syarikat yang benar-benar berwibawa dan memenuhi tuntutan syarak.
4. PENGENALAN TAKAFUL
Takaful bermaksud satu perjanjian bersama di kalangan ahli-ahli satu kumpulan untuk sama-sama membantu ahli-ahli lain yang ditimpa kesusahan atau musibah. Definisi ini selari dengan definisi yang terdapat dalam Akta Takaful 1984, di mana dalam akta itu dinyatakan bahawa:
‘ Takaful means a scheme based on brotherhood, solidarity and mutual assistance which provides for mutual financial aid and assistance to the participants in case of need whereby the participants mutually agree to contribute for that purpose’
Sebagai perincian kepada maksud takaful yang dinyatakan di atas, tulisan Dr. Mohd Ma’sum Billah yang bertajuk ‘Takaful (Islamic Insurance): An Economic Paradigm telah menjelaskan dengan terperinci lima aspek penting yang terkandung dalam definasi tersebut iaitu; pertama, persepakatan peserta untuk kebaikan bersama. Kedua, setiap peserta menyumbang untuk menolong peserta yang memerlukan bantuan. Ketiga, ada unsur ‘tabarru’’ yang bertujuan untuk membahagikan kerugian dan mengagihkan liabiliti melalui sistem tabungan komuniti. Keempat, elemen ketidaktentuan tidak wujud terutamanya yang berkaitan dengan langganan dan pampasan. Kelima, skim ini tidak bermaksud untuk meraih kesempatan atas kos yang terpaksa ditanggung oleh individu/peserta lain.
Sejarah penubuhan Takaful di Malaysia dimulakan dengan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) pada tahun 1984. Secara tepatnya STMB ditubuhkan pada 29 November 1984 dengan modal yang dibenarkan sebanyak RM 500 juta. Syarikat ini merupakan anak syarikat BIMB Holding Berhad. Seterusnya pada 7 Jun 1993 Takaful Nasional Sdn. Bhd. (TNSB) ditubuhkan dan beroperasi pada 15 Oktober 1993. Syarikat ini sebelum ditukar namanya kepada TNSB dikenali sebagai MNI Takaful hasil daripada persepakatan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YPEIM) dan Malaysian National Insurance (MNI). Seterusnya sektor Takaful di Malaysia semakin meningkat dengan penubuhan Mayban Takaful Berhad (MTB) pada 1 Julai 2002. Terbaru sekali ialah penubuhan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. pada 2003. Syarikat ini adalah subsidiari kepada Malaysian Nasional Reinsurance Berhad (MNRB).
5. ISU-ISU SEMASA BERKAITAN DENGAN TAKAFUL
Sebagai satu industri baru dalam komponen sistem kewangan konvensional yang telah lama bertapak kukuh di Malaysia, sudah semestinya perlaksanaan industri takaful akan disertai dengan beberapa halangan yang menghalang perkembangan industri takaful. Halangan dan kekerangan yang terdapat dalam industri ini perlu dihapuskan bagi memastikan industri takaful berjalan dengan baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Isu-isu yang timbul akan dijelaskan di dalam sub-topik di bawah.
5.1.1 Bidangkuasa Mahkamah ke atas industri Takaful
Dalam Seksyen 63, Akta Takaful 1984, jelas dinyatakan bahawa sebarang pertikaian yang berlaku berkaitan dengan industri ini hendaklah dibicarakan di Mahkamah Majistret Kelas Satu. Dalam soal ini, kita dapati Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan takaful. Selanjutnya untuk melaksanakan perbicaraan undang-undang yang digunakan ialah Akta Takaful 1984, Akta Bank Islam 1983 dan undang-undang kontrak dan prosedur yang banyak bertentangan dengan Islam. Ini adalah cabaran besar dalam melaksanakan undang-undang muamalat Islam di Malaysia.
Dua alasan diberi apabila diajukan persoalan kenapakah perkara-perkara yang melibatkan pertikaian yang melibatkan perbankan Islam dan Takaful diselesaikan di Mahkamah Sivil; pertama, sistem perbankan Islam dan Takaful adalah satu sistem alternatif kepada sistem yang sedia ada dan masih terlalu baru dan memerlukan masa untuk memastikan perlaksanaannya sempurna. Kedua, oleh kerana ramai pelanggan perbankan Islam dan Takaful terdiri dari orang bukan Islam sama ada dari dalam atau luar negara, golongan ini sentiasa menitikberatkan soal perundangan, jika diletakkan di Mahkamah Syariah, perkara ini berkemungkinan akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap perbankan Islam kerana kelemahan dan kekurangan yang terlalu menonjol di Mahkamah Syariah.
Dalam soal ini, Profesor Dr. Abdullah @ Alwi bersetuju untuk undang-undang muamalat diadili di Mahkamah Sivil, tetapi beliau mencadangkan supaya undang-undang ini dikemaskini secara sistematik dan dibuat perancangan rapi sebelum dilaksanakan. Antara perancangan yang sepatutnya dibuat ialah Hakim-hakim Islam dan bukan Islam dilantik bersama panel penasihat syariah yang ditubuhkan di Mahkamah Tinggi, Panel ini mestilah bertanggungjawab menasihati hakim dalam memutuskan keputusan berkaitan dengan undang-undang muamalat Islam. Hakim-hakim juga perlu mengikuti kursus berkala dalam bidang undang-undang muamalat Islam. Hanya dengan perancangan seperti ini sistem muamalat Islam berjalan lancar.
5.1.2 Beberapa kekurangan yang terdapat dalam Akta Takaful 1984
Profesor Dr. Abdullah @ Alwi seterusnya menganalisis Akta Takaful 1984 dan seterusnya menyimpulkan bahawa terdapat beberapa kekurangan antaranya; pertama, beberapa prinsip dalam Akta tersebut tidak diperincikan, sebagai contoh, seksyen 2 mentakrifkan perniagaan takaful adalah sebagai perniagaan yang tidak terlibat dengan unsur-unsur yang tidak diharuskan oleh syariah. Tetapi unsur-unsur ini tidak diperincikan.
Kedua, dalam Akta ini tidak terdapat peruntukan berkaitan pendedahan (duty of disclosure) berhubung dengan fakta matan, doktrin niat baik (utmost good faith) atau ikhlas. Akta ini juga tidak menjelaskan bagaimana cara untuk menguji bagi membuktikan kejujuran atau niat baik itu wujud. Sedangkan perkara ini diperuntukan dalam Akta Insurans 1996. Malah dalam amalan insurans, ada beberapa prinsip atau metod ujian yang jelas terhadap perkara tersebut.
Antara kekurangan dalam Akta ini lagi ialah peruntukan yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Takaful membatalkan keseluruhan atau sebahagian pendaftaran pengendali takaful, sama ada sebagai agen, broker atau adjuster.Walau bagaimanapun, Akta ini tidak memperuntukkan hak bagi pengendali berkenaan membuat rayuan terhadap pembatalan itu. Keadaan ini berbeza dengan Akta Insurans 1996 yang membenarkan perkara tersebut.
Akhir sekali, disebabkan akta ini bersifat peraturan dan tidak statutori, ia dikehendaki membuat rujukan kepada akta-akta statutori sekiranya berlaku lacuna di dalam perlaksanaannya. Antara akta-akta yang perlu dirujuk ialah Akta Insurans 1996, Akta Kontrak 1950 dan Akta Syarikat 1965 untuk menyempurnakan pengamalannya. Bagi pelaburan pula, ia hendaklah merujuk kepada Akta Bank Islam 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983. bagi melengkapkan lagi Akta ini, sebagaimana yang diperuntukan oleh Akta Sivil 1956, semua pertikaian berhubung dengan insurans nyawa, kebakaran, undang-undang perdagangan am dan undang-undang yang diamalkan di England hendaklah diguna pakai. Apa yang perlu dipersoalkan di sini ialah di dalam undang-undang sivil terdapat beberapa percanggahan dengan undang-undang Islam. Ini akan menyukarkan lagi perlaksanaan undang-undang muamalat di Malaysia.
5.1.3 Isu berkaitan dengan perlaksanaan retakaful
Pada hakikatnya, takaful semula tidak boleh lari daripada apa yang dimaksudkan dengan insurans semula. Insurans semula ialah urusniaga antara dua buah syarikat insurans iaitu syarikat pertama membeli perlindungan daripada syarikat kedua. Syarikat yang memindahkan risiko dikenali sebagai syarikat utama dan syarikat yang menerima risiko yang dipindahkan dikenali sebagai syarikat insurans semula. Apa yang membezakan takaful semula dengan insurans semula ialah takaful semula menggunakan prinsip yang selaras dengan syariah.
Apa yang menjadi isu pada ketika ini, kewujudan syarikat takaful semula tidak mencukupi. Kewujudan pengendali takaful sebenarnya memerlukan syarikat takaful semula yang mencukupi dalam usaha untuk mengagihkan risiko yang dihadapi oleh pengendali takaful. Setelah wujudnya Asean Retakaful Malaysia ( ARIL ) maka keperluan ini dapat dipenuhi walaupun bukan secara menyeluruh. Justeru itu, memaksa pengendali takaful untuk menggunakan perkhidmatan insurans semula secara konvensional. Walaupun tindakan ini dibolehkan berasaskan prinsip darurah tetapi sampai bila perkara ini akan dibiarkan berterusan. Ini merupakan satu isu yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat. Sanggupkah kita melihat industri takaful bergantung harap kepada industri insurans. Ini serba sedikit melonjakkan industri insurans berbanding industri takaful.
6. RUMUSAN
Statistik terbaru Bank Negara ( BNM ) menunjukkan bahawa industri takaful di Malaysia sedang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan yang bukan sahaja terdiri daripada orang islam bahkan merangkumi juga masyarakat bukan muslim. Isu-isu yang dibangkitkan ini memerlukan tindakan dan penyelesaian segera demi memastikan industri takaful berkembang dengan pesat walaupun berada di dalam kerangka sistem kewangan konvensional yang bertapak di negara ini lebih dahulu selama 500 tahun berbanding dengan sistem kewangan Islam yang hanya bertapak kira-kira 20 tahun yang lalu.
BIBLIOGRAFI
Ab. Mumin Ab. Ghani. 1999. Sistem Kewangan Islam dan perlaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
ʿAbd. Allah bin Zayd Ali Mahmud. 1982. Ahkam ʿuqud al-ta’min wa makanatuha min shariʿah al-din. Qatar: Dar al-Shuruq.
ʿAbd. al-Latif Mahmud Ali Mahmud.1994. al-Ta’min al-ijtimaʿi fi daw’ al-shariʿah al-islamiyyah. Beyrut : Dar al-Nafa’is.
ʿAbd. Samiʿ Masri. 1980. al-Ta’min al-islami bayn al-nazariyyah wa basariyyah. al-Qahirah: Maktabah al-Wahbah.
Abdullah @ Alwi Hassan. 2005. Akta Takaful 1984: satu analisis. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.
Abu Jayb, Saʿdi. 1983. al-Ta’min bayn al-hazr wa al-ibahah. Beyrut: Dar al-Fikr.
Ahmad Tarmizi Ismail. 2004. Insurans menurut perspektif Islam. Alor Star: Pustaka Darus Salam Sdn. Bhd.
Akta Takaful 1984, http://www.lawnet.com.my (22 Julai 2005) .
Al-Bahi, Muhammad. t.th. Nizam al-ta’min fi huda ahkam al-islam wa darurat al-mujtamaʿ al-mahadir. t.tp: al-Maktabah al-Sharikah al-Jaza’iyyah.
Al-Jammal, Muhammad Abd. al-Munʿim. t.th. Mawsuʿah al-iqtisadi al-islami. Beyrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.
Al-Salus, ʿAli Ahmad. 2001. al-Iqtisad al-Islami wa al-qadaya al-fiqhiyyah al-muʿasarah, jilid 1. Qatar: Dar al-Thaqafah.
Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad. 1980. al-Iqtisad al-Islami buhuth mukhtarah min al-mu’tamar al-ʿalami li duwal al-iqtisadi al-islami. al-Mamlakah al-Saʿudiyyah al-ʿArabiyyah: al-Markaz al-ʿAlami li Ibhath al-Iqtisad al-Islami.
Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad. 2003. Nizam al-ta’min haqiqatuh wa al-ra’y al-sharʿi fih. Beyrut: Muassasah al-Risalah.
Bank Negara Malaysia (BNM), Insurance info, http://www.insurance info.com.my (12 Julai 2005)
Bank Negara Malaysia. 1999. Bank Negara Malaysia dan sistem kewangan di Malaysia perubahan sedekad 1989-1999. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia.
Cheah Kooi Guan & Loke Yiing Jia. 2000. Sistem perbankan dan kewangan Malaysia. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 1999. Glosari insurans. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Faysal Mawlawi. 1988. Nizam al-ta’min fi al-shariʿah al-islamiyyah wa al-qanun. Beyrut Dar al-Fikr al-ʿArabi.
Gharib Jammal. 1975. al-Ta’min fi al-shariʿat al-islamiyyah wa al-qanun. Beyrut: Dar al-Fikr al-ʿArabi.
http;//islamic-finance.net/islamic-insurance/articles/t-paradigm.html (23 Julai 2005).
Jaafar Mohd, Hendon Redzuan & Rasidah Md. Said. 1995. Insurans untuk anda. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Lee Kam Kuan. 1986. Insurans nyawa di Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Nyawa Malaysia.
Maffuza Salleh. 2005. Takaful dari prospek syariah dan perundangan mengikut amalan di Malaysia. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Masnooraini Hj. Mohidin. 2000. Takaful dan Insurans Islam di Negara Brunei Darussalam perbandingannya dengan insurans konvensional. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohammad Muslehuddin. 1989. Insurans dan hukum Islam, terj.. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Mohd Yahya Mohd Hussin. 2005. Konsep dan operasi retakaful dalam industri insurans. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.
Mohd. Ma’sum Billah. 2003. Islamic and modern insurance principles and practices. Petaling Jaya: Ilmiah Publisher Sdn. Bhd.
Mohd. Ma’sum Billah. 2003. Islamic insurans (takaful). Petaling Jaya: Ilmiah Publisher Sdn. Bhd.
Muhammad Hisyam Mohamad. 2005. Perbandingan kontrak insurans Islam dan konvensional. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.
Muhammad Nejatullah Siddiqi. 1981. Muslim economic thinking a survey of contemporary literature. United Kingdom: The Islamic Foundation.
Muhammad Nejatullah Siddiqi. 1990. Insurans dalam ekonomi Islam, terj., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Nor Aini Ali dan Asmak Ab. Rahman. 2005 Penerimaan dan sambutan mahasiswa Universiti Malaya terhadap produk takaful kenderaan. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.
Othman Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Rosli Mahmood. 1997. Konsep asas perbankan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Siti Rohani Yahya. Konsep asas ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sulayman bin Ibrahim bin Thunyan. 2003. al-Ta’min wa ahkamuh. Beyrut: Dar Ibn Hazm.