SOSIALISASI SEKOLAH: MEMBENTUK INDIVIDU YANG MEMPUNYAI KEMAHIRAN SOSIAL YANG TINGGI
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (Pend Islam dan Bahasa Arab) (I.P.G.I.K)
Kamus Dewan mentakrifkan sosial ialah segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala Mohd. Salleh Lebar dalam bukunya Sosialisasi Sekolah dan Pendidikan mentakrifkan sosialisasi ialah proses interaksi sosial yang membolehkan manusia memperolehi personaliti atau sakhsiah dan belajar cara hidup masyarakatnya. Proses ini berlaku secara berterusan dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran personaliti merangkumi pemikiran, tahap emosi, daya kesedaran diri, konsepsi dan lain-lain lagi. Selain itu, sosialisasi boleh ditakrifkan sebagai interaksi antara manusia sama ada verbal atau non verbal. Apabila manusia melakukan tugasan bersama, sekalipun tanpa interaksi, ia juga dianggap sebagai proses sosialisasi. Sebagai kesimpulannya, sosialisasi adalah cara bagaimana individu bermasyarakat dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Sekolah merupakan agen sosialisasi. Ini kerana sekolah bukan saja menjadi tempat menuntut ilmu bahkan warganya sudah pasti akan berinteraksi antara satu sama lain bagi memenuhi tuntutan hidup. Sosialisasi berlaku di sekolah boleh diklasifikasikan kepada 3 cara; pertama, interaksi murid bersama murid. Kedua, interaksi guru bersama murid dan ketiga interaksi antara kakitangan sekolah.
Proses sosialisasi berlaku apabila berlaku interaksi antara murid dengan murid di sekolah. Proses interaksi ini boleh berlaku ketika P & P dan juga ketika kokurikulum. Ketika P&P, murid akan digalakkan untuk membincangkan tajuk yang diajar bersama rakan-rakannya dan membuat refleksi dan rumusan daripada apa yang difahami dan dipelajarinya. Daripada perbincangan kumpulan tersebut, proses sosialisasi akan terbentuk dan murid akan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, proses sosialisasi juga boleh berlaku apabila aktiviti kokurikulum dijalankan. Aktiviti kokurikulum adalah amat penting dijalankan di sekolah. Ini kerana melalui aktiviti ini, murid dapat meluaskan persahabatannya bersama murid lain berasaskan minat dan bakat yang sama. Selain daripada itu, pelajar juga dapat mempraktikkan konsep kepimpinan yang dipelajarinya dalam bilik darjah. Justeru itu, melalui kepimpinan persatuan, murid akan bersosialisasi dengan khalayak yang dipimpinnya.
Proses sosialisasi juga berlaku apabila wujud interaksi antara guru dan murid. Dalam soal ini, murid secara tidak langsung akan mempelajari bagaimana cara untuk berinteraksi dengan individu yang lebih tua daripadanya. Selain daripada mendidik berkaitan dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru juga seharusnya menerapkan norma dan nilai sosial yang baik kepada muridnya. Nilai yang diterapkan diharapkan dapat membantu muridnya bersosialisasi dengan lebih baik dalam masyarakatnya. Guru juga diibaratkan sebagai seorang ayah dan ibu di sekolah, justeru guru yang cemerlang adalah guru yang mampu memberikan mutiara ilmu dan menjadi contoh teladan yang baik untuk murid-muridnya serta mampu untuk membimbing muridnya ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Proses sosialisasi juga berlaku apabila wujud interaksi antara kakitangan sekolah. Interaksi yang dimaksudkan adalah interaksi keseluruhan kakitangan sekolah daripada tukang kebun, tukang masak, tukang sapu, pembantu am rendah, pemandu, kerani, kakitangan pentadbiran, guru-guru, penolong kanan dan guru besar. Proses sosialisasi berlaku dengan wujudnya interaksi antara golongan yang telah dinyatakan. Hubungan yang baik antara kakitangan sekolah akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan institusi tersebut.
Kesimpulannya, sekolah sememangnya antara agen sosialisasi. Kewujudannya pada hakikatnya memberikan faedah yang cukup banyak kepada masyarakat sekitarnya. Perlu difahami, sekolah bukan hanya tempat menuntut ilmu, bahkan adalah satu institusi yang mampu membentuk masyarakat yang mapan melalui peranan yang dimainkannya.
2. Bagaimanakah media mempengaruhi individu dalam proses sosialisasi?
Kamus Dewan mendefinisikan media massa sebagai alat perhubungan (seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya) atau sebaran am. Media mempunyai fungsi yang unik iaitu sebagai medium kepada penyebaran pengetahuan kepada manusia. Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik, media sememangnya mempunyai pengaruh besar dalam proses sosialisasi. Kajian yang dilakukan oleh Abd. Rahim Abd. Rashid telah mengklasifikasikan agen sosialisasi kepada 2; pertama, agen yang mempunyai pengaruh besar dalam proses sosialisasi. Antara agen tersebut ialah sekolah, keluarga, rakan sebaya dan media massa. Kedua, agen yang tidak mempunyai pengaruh besar seperti badan-badan agama dan persatuan-persatuan belia. Melihat kepada kajian yang telah dilakukan, kita dapati media massa mempunyai pengaruh besar. Esei ini akan melihat bagaimana media massa mempengaruhi proses sosialisasi.
Dalam konteks pelajaran, media massa terutamanya televisyen mempengaruhi sikap dan tingkah laku anak-anak. Kita dapat lihat lebih banyak masa anak-anak sekarang tertumpu kepada televisyen. Di tambah pula dengan adanya siaran berbayar seperti Astro dan MiTV, kanak-kanak semestinya menghabiskan masa menonton televisyen. Astro contohnya, memperuntukkan satu saluran khusus untuk rancangan kartun semata-mata. Ini akan menghalakan pemikiran kanak-kanak lebih tertumpu kepada televisyen daripada mengulang kaji pelajaran. Dengan itu, televisyen lebih menarik minat mereka daripada pelajaran sekolah yang berbentuk formal dan memerlukan mereka untuk berfikir dan melakukan aktiviti di dalam bilik darjah. Ini akan membawa implikasi buruk yang menyebabkan mereka enggan berfikir atau berusaha mengatasi atau mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Keadaan ini mungkin terbawa-bawa ke sekolah dan guru perlu membuat P&P yang lebih menarik bagi merangsang semula minat pelajar.
Selain daripada itu, media massa juga mempengaruhi proses sosialisasi dengan menayangkan sesuatu iklan dengan berulang kali sehinggakan khalayak sasaran terasa ingin mencuba. Kaedah ini banyak digunakan di dalam media mahupun media cetak dan media penyiaran. Bukti media massa boleh mempengaruhi khalayak sasaran ialah bayaran iklan yang tinggi pada waktu puncak contohnya dari pukul 7 malam sehingga pukul 9 malam. Jika kita menonton TV3 pada jam 8 malam, kita akan dapati bahawa segmen iklan kadang-kadang mencecah sehingga 10 minit bagi satu segmen iklan. Begitu juga media cetak, umpamanya sebagai contoh akhbar Utusan Malaysia. Pada hari ahad kita akan dapati terlalu banyak iklan di dalamnya. Sudah tentu, iklan pada hari tersebut lebih mahal dari hari biasa.
Selain itu, media massa mempengaruhi proses sosialisasi dengan menonjolkan seorang idola yang disifatkan sempurna. Idola ini diwarwarkan sebagai seorang yang berkarisma dan berkredibiliti tinggi sehinggakan khalayak terpengaruh dan fanatik terhadap idola tersebut. Antara rancangan yang bersifat seperti ini ialah Akademi Fantasia. Kita dapati, artis-artis yang lahir daripada program tersebut menjadi idola kepada masyarakat. Contoh artis-artis tersebut ialah Mawi, Felix dan Amylea. Peminat-peminat mereka sanggup melakukan apa saja bagi menyokong artis-artis tersebut.
Sebagai kesimpulan, media massa adalah agen sosialisasi yang penting. Justeru itu, kawalan perlu dilakukan bagi menghalang media menyebarkan contoh-contoh yang tidak baik kepada masyarakat.
3. Nyatakan perkara yang berkait dengan penampilan diri dan kaitan antara penampilan guru dengan pengajaran dan pembelajaran.
Penampilan diri bermaksud cara seseorang memperagakan dirinya dari segi fizikal mengikut kesesuaian konteks. Ini bermakna penampilan bagi situasi formal dan tidak formal adalah tidak sama. Penampilan diri yang sesuai melambangkan kecekapan seseorang menguruskan diri, menangani keperluan, menampakkan kebijaksanaan dan menampakkan rasa hormat terhadap orang lain. Menampilkan diri dengan berkesan bukanlah sesuatu yang sukar. Seseorang hanya perlu kemas dan rapi dari segi pakaian, solekan, potongan rambut, kesopanan dalam pertuturan dan berkelakuan. Pakaian yang berjenama bukanlah aset utama untuk menonjolkan penampilan diri. Imej positif adalah satu pelaburan yang mampu untuk meningkatkan keyakinan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Apabila bercerita berkaitan dengan penampilan diri, seseorang yang berpenampilan menarik adalah orang yang mampu menguasai dua perkara; pertama penampilan diri yang bersifat fizikal dan keduanya seseorang yang mempunyai etiket sosial. Etiket sosial ialah perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak geri yang elok yang berkeyakinan mengikut kesesuaian semasa berinteraksi dalam majlis rasmi dan lain-lain.
Kaitan antara penampilan diri dengan P & P ialah ia akan memberikan seorang guru daya motivasi dan keyakinan yang tinggi untuk mengajar dan seorang guru itu mampu untuk memberikan persembahan terbaiknya. Seorang guru yang bermotivasi tinggi tidak akan pernah kenal erti putus asa dan jemu dalam mendidik anak bangsa walaupun sesukar mana pun pekerjaan tersebut. Sebaliknya jika seorang guru tidak mempunyai penampilan diri yang baik, semestinya juga ia adalah seorang guru yang mengajar sambil lewa dan tidak mempedulikan prestasi akademik semasa muridnya. Guru seperti ini menganggap mengajar hanyalah pekerjaan yang mendapat gaji di setiap hujung bulan dan bukanlah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul.
Selain itu, guru yang mempunyai penampilan diri yang baik meliputi potongan rambut yang kemas, pilihan warna dan corak yang pakaian yang bersesuaian, kemas dan rapi, menjaga kesihatan diri, mempunyai perwatakan menarik dan sentiasa murah dengan senyuman akan menarik minat murid untuk belajar di dalam kelas. Guru seperti ini dapat membuatkan murid bersemangat untuk terus menyambung pelajaran walaupun letih. Selain itu, peribadi guru yang baik seperti cara berinteraksi dengan murid dan kakitangan sekolah juga mempengaruhi P & P. Murid akan lebih hormat kepada guru yang menguasai etiket sosial dan berperibadi luhur. Murid juga akan mempercayai guru tersebut dan memudahkan penyampaian pelajaran dalam P & P. Selain itu, penguasaan terhadap etiket sosial juga akan membolehkan seorang guru memahami peraturan dan keperluan untuk membawa tingkah laku yang betul dan tepat mengikut situasi, masa dan tempat. Sebagai seorang guru, aspek ini cukup dipentingkan, ini kerana guru akan mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, penampilan guru dengan pengajaran dan pembelajaran sememangnya mempunyai hubungan yang erat. untuk berjaya dalam P & P guru perlu menitik beratkan soal penampilan diri agar mudah diterima oleh murid khususnya dan masyarakat amnya.
SENARAI GRADUAN SESI 2016
-
*SENARAI PELAJAR YANG AKAN DIIJAZAHKAN DI MAJLIS PENGIJAZAHAN DARUSSYIFA'
PADA 25-DIS-2016 (AHAD).*
Kepada pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' Bangi Kumpu...
8 years ago
No comments:
Post a Comment