Wednesday, November 26, 2008

BIOGRAFI IMAM AL-GHAZALI RAHIMAHULLAH

BIOGRAFI HUJJATUL ISLAM AL-IMAM AL-GHAZALI RAHIMAHULLAH

Oleh: Pn. Zalina bt. Mat Zin
Sarjana Muda Sains (Bio Kesihatan) (U.M)
Diploma Pend. (Sains dan Kemahiran Hidup) (I.P.G Raja Melewar)

1.1 PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, rahmah bagi sekalian alam serta atas keluarga dan sahabat baginda sekaliannya. Bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana untuk julung kalinya saya diberi peluang untuk mengkaji dan membuat ulasan buku terhadap seorang tokoh yang amat disegani tidak hanya pada masa kegemilangan beliau bahkan sehingga masa kini. Peninggalan beliau bukanlah harta bertimbun yang menjadi rebutan,tetapi peninggalannya merupakan khazanah ilmu yang tidak dapat dinilai dengan sebarang material sekalipun. Ulasan saya yang tidak seberapa ini adalah hasil dari sebuah buku yang dapat saya namakan di sini sebagai ‘ Biografi Imam Al-Ghazali – Hujjatul Islam dan Pembaru Kurun ke-5 ( 450-505 Hijrah)’. Semoga apa yang dapat saya coretkan di sini mendapat teguran yang membina dari yang berhak.



1.2 BIOGRAFI AL-GHAZALI

Hujjatul Islam Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad At-Thusi, yang digelar dengan gelaran Zainuddin. Beliau dilahirkan di Thus dari iklim Khurasan pada tahun 450 Hijrah. Beliau berasal dari keluarga yang amat sederhana. Bapanya dari kalangan yang tidak berpelajaran, tidak pandai menulis. Beliau melakukan kerja menenun wool lalu dijual di kedainya di Thus. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi beliau tidak mahu anak-anaknya mengikuti jejak langkah beliau. Sifat ini merupakan satu sifat yang mulia yang perlu ada dalam setiap diri individu muslim kerana umum mengetahui tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk kejayaan dunia dan akhirat. Menjelang saat-saat kematian, beliau telah mewasiatkan Al-Ghazali dan seorang saudaranya iaitu Ahmad kepada seorang ahli sufi yang merupakan sahabat beliau. Beliau berpesan agar sahabatnya memelihara kedua-duanya dan memberi mereka pendidikan sehingga habis harta peninggalannya nanti.

Setelah bapanya meninggal dunia, maka tinggallah Al-Ghazali dan saudaranya bersama sahabat bapanya, seorang ahli sufi dan ahli kebaikan. Beliau mengajar kedua-duanya sehingga habis semua harta peninggalan orang tua beliau. Ahli sufi tersebut sudah tidak mampu lagi untuk membiayai mereka berdua, lalu meminta mereka untuk menuntut di sekolah supaya segala keperluan makan dan minum mereka terjaga.. Al-Ghazali akur dan itulah yang menjadi sebab kepada kebahagian dan ketinggian darjat mereka berdua.

Ketika Al-Ghazali masih kanak-kanak lagi, beliau telah mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai guru yang berada di serata tempat dan ceruk rantau. Pertamanya, beliau telah mempelajari beberapa tajuk dari fiqh di negeri Thus dengan Imam Ahmad Ar-Radzakani, kemudian beliau pergi ke Jurjan untuk belajar dari Imam Abi Nashr Al-Isma’ili. Selepas itu beliau kembali semula ke Thus.Kemudian Al-Ghazali datang ke ‘Nisabur’ dan telah mendekati Imam Al-Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini ( 419-478 Hijrah). Beliau telah belajar dengan bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga mahir dalam mazhab ( Syafi’i), perselisihan, debat, usuluddin, usul fiqh, mantiq, membaca hikmah dan falsafah. Beliau mampu menguasai seluruhnya sehingga beliau bangun berhujjah dan membatalkan sesetengah dakwaan mereka. Beliau telah menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dengan susunan yang baik dan kedudukan yang lebih unggul.

Beliau merupakan seorang ilmuan yang sangat bijak, benar pandangannya, mempunyai fitrah yang menakjubkan, mempunyai ingatan yang kuat, daya tangkap yang tajam, pandangan yang mendalam dan berkebolehan menyelami makna-makna yang terperinci sehingga gurunya Al-Juwaini menyifatkannya dengan perkataannya: “ Al-Ghazali adalah lautan yang dalam”. Al-Hafiz ‘Abdul Ghafir bin Isma’il menyifatkan Al-Ghazali pada peringkat ini, bahawa beliau seorang yang bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga beliau dapat menyelesaikan pendidikan dalam waktu yang singkat, mengalahkan generasi-generasinya. Inilah kelebihan yang terdapat dalam diri Imam Al-Ghazali. Beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu dan beliau sentiasa ada kemahuan untuk mengetahui sesuatu ilmu secara lebih mendalam.

Al-Gahazali menetap di Nisabur sehingga wafat Imam Al-Haramain pada tahun 478 Hijrah. Selepas itu, beliau telah merantau pula ke perkhemahan sultan untuk berjumpa dengan wazir “ Nazzam Al-Malik” yang majlis ilmunya dihadiri oleh ramai ulama dan ahli fashahah. Di sini merupakan tempat perdebatan ilmu dan beliau telah menonjolkan dirinya dengan mengalahkan lawannya sehingga beliau telah terkenal di seluruh daerah. Beliau tetap berada di perkhemahan sultan sehingga tahun 484 Hijrah. Beliau telah dilantik untuk mengajar di madrasah An-Nazzamiyyah di Baghdad. Lalu beliau pergi ke Iraq untuk menjalankan tugasnya di mana ketika itu umurnya mencecah tiga puluh empat tahun. Kedatangan beliau telah disambut dengan meriah.
Orang ramai begitu kagum dengan keindahan perkataannya, kefasihan lidahnya, huraiannya yang terperinci dan isyarat-isyaratnya yang halus. Kehormatan dan kedudukannya semakin tinggi di Baghdad sehingga beliau telah mengalahkan kedudukan pembesar-pembesar ulama , pemimpin-pemimpin (umara’) dan darul khilafah. Beliau juga telah menjadi Imam Iraq selepas Imamah Khurazan yang tsiqah iaitu Abdul Ghafir. Sesungguhnya beliau telah mencapai kejayaan dan menikmati kamanisan dunia yang fana dengan keharuman nama dan kemasyhuran. Walaupun begitu, beliau tidak pernah berhenti dari menuntut ilmu. Justeru beliau telah mempelajari ilmu-ilmu halus ( Ad-Daqiqah) yang menyebabkan berlaku peralihan total dalam kehidupan beliau. Beliau telah menyedari bahawa tidak ada ketamakan dalam mencapai kebahagiaan akhirat melainkan dengan taqwa dan menjauhkan diri dari kehendak hawa nafsu. Untuk mencapai semua itu adalah dengan memutuskan hubungan hati dari dunia dan berpaling dari dunia yang memperdayakan,berpaling dari kedudukan dan harta benda serta melarikan diri dari segala kesibukan dan ikatan dunia lalu kembali kepada akhirat yang kekal dan menghadap hakikat kepentingan kepada Allah Ta’ala.

Beliau telah membuat perhitungan ke atas segala amalan yang telah dilakukan selama ini dan beliau dapati yang paling baik ialah mengajar dan mendidik, tetapi beliau dapati dirinya menghadap kepada ilmu-ilmu yang tidak penting dan tidak mendatangkan manfaat di jalan akhirat. Selepas itu, beliau telah muhasabah tentang niat dalam pengajaran dan beliau dapati ia tidak ikhlas kerana Allah Ta’ala, bahkan faktor dan penggerak utamanya ialah mengejar kemewahan dan menyebarkan nama baik, maka beliau telah membuat kesimpulan bahawasanya beliau sedang berada di tepi jurang yang hampir runtuh dan beliau merasakan beliau akan jatuh ke dalam api neraka jika beliau tidak berusaha untuk merubah keadaan.

Beliau telah berazam dan bertekad untuk keluar dari Baghdad tetapi beliau telah tewas dengan nafsunya sendiri sehingga 6 bulan beliau telah berperang dengan tarikan nafsu dan godaan syaitan. Pada bulan Rejab tahun 488 Hijrah, telah berlaku peristiwa yang menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan tugas-tugasnya di mana beliau tidak mampu mengajar kerana kehilangan kata-kata. Setelah itu beliau bermujahadah kepada Allah agar dipulihkan dirinya agar beliau mampu mengajar pada suatu hari nanti untuk memperbaiki hati-hati manusia. Beliau sentiasa berdoa kepada Allah dan Allah telah memakbulkan doa orang yang menderita. Keadaan tersebut telah memudahkan dirinya berpaling dari kemewahan , harta benda, anak-anak dan sahabat-sahabat. Selepas itu beliau telah keluar menuju ke Makkah.

Beliau telah meninggalkan Baghdad pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah dan telah menunaikan haji seterusnya menuju ke Syam. Di sana beliau telah menetap selama sepuluh tahun dan sebahagian waktunya dihabiskan di Baitul Maqdis. Kebanyakan waktu beliau digunakan untuk ber’uzlah dan khalwat, riyadhah ( latihan) dan mujahadah diri. Beliau sibuk mensucikan dan menjernihkan hatinya dengan berzikir kepada Allah Ta’ala dan beliau beri’tikaf di menara masjid Damsyiq sepanjang hari. Ketika ini beliau telah menyusun beberapa buah karangan yang terkenal seperti ‘Ihya’ Ulumuddin’ dan kitab-kitab yang diringkaskan daripadanya seperti Al-Arba’in dan risalah –risalah yang lain. Setelah ber’uzlah selama sepuluh tahun, beliau telah kembali ke negerinya iaitu Thus untuk meneruskan ‘uzlahnya. Namun di bawah desakan para wali dan permintaan yang berulang kali agar beliau keluar kepada manusia untuk mengajar, maka beliau pun keluar ke Nisabur untuk mengajar di Madrasah An-Nazzamiyyah pada bulan Zulkaedah tahun 499 Hijrah. Beliau telah memasang azam, tekad dan niat yang baru ketika keluar mengajar dan menyebarkan ilmu. Segala-gala yang dilakukan dengan tujuan yang berbeza sama sekali dengan yang sebelumnya. Ia adalah semata-mata kerana Allah dengan tekad untuk memperbaiki dirinya sendiri dan orang lain.

Beliau menetap dan mengajar di Nisabur dalam jangka masa yang singkat. Setelah itu, beliau telah kembali ke rumahnya di Thus. Beliau telah menjadikan kawasan rumahnya sebagai madrasah penuntut ilmu dan mengkhaskannya untuk tasawwuf. Beliau telah membahagikan waktu kepada beberapa tugas iaitu menghafal Al-Quran, duduk dengan ahli-ahli hati, mengajar panuntut ilmu, mengerjakan solat dan puasa. Dengan demikian tidak pernah kosong waktunya dan orang-orang yang bersama dengannya dari perkara yang tidak berfaedah. Beliau telah meninggal dunia di Thus pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir tahun 505Hijrah . Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmah ke atas rohnya,


BAB 2

SUMBANGAN

2.0 PENDAHULUAN

Imam Al-Ghazali termasuk salah seorang dari tokoh-tokoh pemikir Islam yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kebudayaan yang luas. Beliau tidak menjurus kepada satu atau dua bidang ilmu dan pemikiran sahaja sebagaimana kebanyakan tokoh-tokoh Islam terkemuka yang lain.Jika disebut Ibnu Sina atau Al-farabi, maka akan terlintas di fikiran dua ahli falsafah agung dari ahli falsafah Islam dan jika disebut Imam Al-Bukhari , Muslim dan Ahmad, terlintas di fikiran tokoh-tokoh yang mempunyai kemampuan menghafal, amanah, teliti dan berpengetahuan. Tetapi berbeza sekali dengan Al-Ghazali, jika sebut namanya maka bercabanglah ilmunya dari seluruh aspek. Beliau adalah faqih yang bebas, Al-Ghazali mutakallim, Imam sunah dan pembelanya, Al-Ghazali yang berjiwa sosial, mengetahui hal ehwal alam, rahsia-rahsia diri dan selok belok hati. Beliau juga ahli falsafah yang bangkit menentang falsafah dan menyingkap apa yang ada padanya. Boleh dikatakan beliau adalah seorang lelaki yang mengetahui segala sesuatu dan dahaga kepada cabang-cabang pengetahuan.

Al-Ghazali adalah seorang tokoh Islam yang mendalami sesuatu ilmu secara terperinci. Beliau terkenal sebagai hujjatul Islam dan Pembaharu iaitu beliau akan membuat pembaharuan atau pemahaman yang lebih jelas mengenai sesuatu ilmu yang diterokainya. Beliau berbeza dengan ulama-ulama lain yang mana usaha mereka menghafal apa yang diterimanya, mengulangi dan menukilnya. Bahkan beliau seorang alim yang aktif, maklumat yang diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu, ada kalanya beliau menolak, merubah atau menjelaskan dan menghuraikan lalu membuat pembaharuan.

2.1 AL-GHAZALI DAN ILMU KALAM

Al-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam perkembangan Ilmu Kalam. Beliau telah mengarang begitu banyak penulisan berkaitan dengan Ilmu Kalam. Dalam penulisan beliau, Al-Ghazali banyak mematahkan hujah-hujah daripada pihak yang keterlaluan ketika membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan Ilmu Kalam. Al-Ghazali lebih tertarik membahaskan Ilmu Kalam menurut metodologi para sahabat dan juga Rasulullah. Beliau menguatkan hujah-hujahnya berteraskan Al-Quran, As-Sunah dan perbahasan para sahabat.

Pernah disebut dalam sejarah, Imam Al-Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdebatan berkaitan Ilmu Kalam. Jika dijemput ke majlis seperti itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan metodologi yang tersebut di atas. Beliau berpendapat perdebatan yang diasaskan kepada hujah akal tanpa berpaksikan kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan Assunnah hanya akan menambahkan lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat Islam pada ketika itu.

Justeru itu, Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ulumuddin ketika membincangkan berkaitan dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan Ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang keterlaluan dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk di dalam golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Beliau menyatakan bahawa ilmu kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab; pertama, ilmu ini tersimpang jauh dari matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Kedua, perbincangan ahli Ilmu Kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulama’ salaf.



2.2 AL-GHAZALI DAN FALSAFAH


Perbahasan berkaitan dengan isu-isu Ilmu Kalam telah membuka ruang kepada golongan munafiq dan musuh-musuh Islam menimbulkan keraguan kepada akidah dan pegangan umat Islam. Menyedari hakikat tersebut dan didorong atas rasa tanggungjawab setelah melihat tiada seorang pun ulama pada ketika itu bangun menentang musuh-musuh Islam yang menggunakan ilmu falsafah sebagai senjata utama melemahkan pegangan akidah umat Islam, Al-Ghazali bangun menentang hujah-hujah golongan tersebut.

Pada mulanya, beliau langsung tidak mengetahui berkaitan dengan ilmu falsafah. Namun atas rasa tanggungjawab membela agama Allah, beliau mempelajari dengan semangat dan ketekunan yang tinggi. Beliau mengkaji penulisan-penulisan yang berkaitan dengan ilmu falsafah terutamanya ilmu falsafah Yunani. Dengan kesibukannya mengajar ilmu-ilmu agama, beliau menggunakan masa terluang untuk mempelajari ilmu falsafah secara individu tanpa berguru dengan mana-mana guru falsafah yang terkenal. Dengan niat yang ikhlas untuk membela agama Allah daripada serangan ilmu falsafah khususnya ilmu falsafah ketuhanan Yunani, Allah SWT memberikan kepadanya ilmu-ilmu berkaitan falsafah dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang dari dua tahun.

Al-Ghazali memberikan sumbangan yang besar dalam bidang ini khususnya meneroka bidang baru berkaitan falsafah Islam. Setelah menganalisa ilmu falsafah yang dipelajarinya, Al-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan; pertama, atheis, kedua, natural dan ketiga theologi. Golongan pertama ialah golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua ialah golongan ilmuan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan ini mendakwa apabila mati mereka tidak akan hidup semula, justeru mereka menafikan adanya hari akhirat. Golongan ketiga adalah ahli theologi iaitu ahli yang membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle dan Sokratus. Golongan ini membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.

Selain itu, Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik menurut Al-Ghazali ialah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama. Mantiq pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya. Selain itu, ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dari perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantiq dan logik. Ilmu ini menurut Al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Siasah menurut Al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Al-Ghazali ialah akhlak iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.

Kepakaran Al-Ghazali dalam bidang falsafah tidak dapat disanggah lagi. Hakikat ini telah disuarakan oleh Dr Sulaiman Dunia, sarjana Islam terkenal dengan menyatakan bahawa perbahasan Al-Ghazali mengenai masalah-masalah falsafah adalah jauh lebih baik daripada perbahasan ahli-ahli falsafah sendiri. Justeru itu, dalam kitabnya Dr Sulaiman Dunia membuat kesimpulan bahawa metodologi yang diasaskan oleh Al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid Al-falasifah, Al-Munqiz min aldhalal dan Tahafut Al-falasifah.
Abu Hassan An-Nadawi juga menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam salah satu penulisannya ( “ ….dan kaum muslimin sangat memerlukan kepada pengarang dan pengkaji seperti ini, yang akan menghadapi falsafah dengan penuh keimanan dan kepercayaan, berfikiran bebas dan mempunyai keberanian ‘ilmiah untuk mengingkari kemaksuman falsafah, kequdusan dan kegeniusannya dan kedudukan mereka mengatasi kedudukan akal dan fikiran manusia biasa. Sifat ini dipunyai oleh Al-Ghazali seperti dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah, maka beliau datang pada waktunya dan memenuhi hajat zamannya”.).

Kesimpulannya, Al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam. Beliau dapat menyelamatkan akidah umat Islam dari terus direntap oleh fahaman falsafah Ketuhanan Yunani yang tidak bertauhidkan kepada agama yang suci; Islam. Sekiranya Al-Ghazali tidak bangun untuk mempertahankan kemurnian Islam pada ketika itu, kemungkinan pada hari ini kita masih lagi mengagung-agungkan falsafah Yunani tanpa menyedari bahawa akidah kita telah terpesong secara halus. Nauzubillah min zalik.














2.3 AL-GHAZALI DAN TASAWWUF

Kita telah ketahui bahawa Al-Ghazali telah menjadi ahli falsafah kemudian beliau telah membongkar keburukan ilmu falsafah dan meneroka ilmu baru berkaitan falsafah. Beliau menyerang habis-habisan ilmu falsafah ketuhanan Yunani. Begitu juga dengan tasawwuf. Apabila beliau melibatkan diri menjadi sebahagian dari ahli sufi, beliau sekali lagi membersihkan tasawwuf daripada perkara-perkara kurafat dan daripada perkara yang terkeluar dari pengamalan agama Islam yang sebenar. Namun begitu dalam bidang tasawwuf, Al-Ghazali mempunyai guru. Antara gurunya yang termashur ialah Al-Junaid dan Al-Harith Al-Muhasibin. Al-Ghazali dilihat tidak pernah berdiam diri apabila menyedari pengamalan tasawwuf yang diamalkan oleh segelintir masyarakat pada zamannya terpesong daripada ajaran Islam. Beliau dengan tegas menjelaskan, menghuraikan dan memberikan konsep yang tepat kepada masyarakat pada zamannya. Selain itu, jika Al-Ghazali menyedari kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat dalam bidang tasawwuf, beliau akan melemparkan kritikan yang membina yang bertujuan untuk membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang berlaku berterusan sehingga mencemarkan kemurnian Islam.

Setelah penelitian kritis yang dilakukan oleh AL-Ghazali beliau mendapati ahli sufi pada zamannya terpesong daripada jalan sebenar akibat daripada kecetekan dan kejahilan terhadap ilmu yang berpunca daripada kesibukan mereka beribadat semata-mata. Justeru itu, Al-Ghazali telah mencadangken kepada khalayak pada ketika itu supaya mendalami dan menguasai ilmu yang berkaitan dengan tasawwuf sebelum tekun beribadah. Ini menjamin pengamalnya tidak tersimpang daripada jalan yang sebenar. Sebagai buktinya, jika ditinjau metodologi penulisan Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ulumuddin kita akan dapati bahawa Al-Ghazali memulakan kitabnya dengan perbahasan berkaitan teori dan konsep ilmu, kemudian beliau membahaskan berkaitan dengan fiqh ibadah atau konsep ibadah menurut perspektif hukum Islam. Selepas itu, Al-Ghazali menulis berkaitan dengan fiqh muamalah iaitu teori, hukum yang berlaku dalam kehidupan seharian. Selepas menerangkan teori-teori penting berkaitan dengan ilmu, ibadah dan muamalat, barulah Al-Ghazali membincangkan aspek-aspek tasawwuf seperti hati, sabar dan sifat-sifat lain yang berkaitan dengan zuhud dan peribadi mulia.

Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ulumuddin. Kitab ini telah menjadi rujukan penting ilmu fiqh dan tasawwuf di serata dunia dari zaman penulisannya hingga ke hari ini. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Bahasa Melayu , Parsi, Urdu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Selain itu, kitab ini menjadi sumber rujukan ulama’ di rantau alam melayu. Hasilnya lahirlah kitab Siyar assalikin dan Hidayatul salikin serta lain-lain kitab tasawwuf yang ditulis oleh ulama’-ulama; kelahiran Nusantara seperti ulama’ kelahiran Patani, Palembang dan semenanjung tanah melayu. Antara pendorong Al-Ghazali menulis kitab ini ialah kerana kesedarannya yang tinggi terhadap penyelewengan teori dan konsep fiqh serta tasawwuf dalam masyarakat. Kitab ini secara terperinci menjelaskan hubung kait antara fiqh dan tasawwuf. Metodologi Al-Ghazali ketika menulis kitab ini ialah dengan merujuk pertamanya kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan Sunah. Kemudian diikuti dengan athar-athar sahabat dan tabi’in. Setelah merujuk pada sumber primer dan sekunder barulah Al-Ghazali mengutarakan pemikirannya terhadap konsep yang ditulisnya.

Kehadiran kitab Ihya’ulumuddin memberi implikasi besar dalam pengajian tasawwuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang tasawwuf kerana Al-Ghazali telah memurnikan semula ilmu tasawwuf daripada kesesatan dan bid’ah.



2.4 AL-GHAZALI DAN ILMU FIQH

Kitab Ihya’ulumuddin bukan sekadar membawa pembaharuan dalam bidang tasawwuf bahkan membawa pembaharuan dalam bidang penulisan ilmu fiqh. Jika diteliti, kita akan dapati Al-Ghazali menerokai metodologi penulisan baru fiqh yang berasaskan kepada gabungan antara ilmu fiqh dan tasawwuf. Selain itu gaya bahasanya cukup menarik dengan menggunakan susunan tatabahasa yang mudah. Di dalamnya kita dapat membaca fiqh dan tasawwuf dalam waktu yang sama. Sebagai contoh, ketika menghuraikan berkaitan solat, Al-Ghazali bukan sekadar menulis berkaitan teori dan amali perlakuan solat berserta rukun-rukunnya, bahkan beliau juga menekankan soal kehadiran hati, khusyuk dan khuduk dalam perlakuan solat.
Perbahasan berkaitan kehadiran hati, khusyuk dan khuduk adalah intipati daripada ilmu tersebut. Selain itu, ketika Al-Ghazali menulis berkaitan muamalat. beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual beli dan untung, bahkan beliau menulis berkaitan dengan keperluan-keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan fardu kifayah dan mutiara nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan muamalat. Kesimpulannya, kehadiran kitab Ihya’ulumuddin membuka dimensi baru metodologi penulisan fiqh dan tasawwuf, Penggabungan ini membawa faedah besar dalam kehidupan seharian manusia.











BAB 3

KESIMPULAN

Pada pandangan penulis setelah diteliti mengenai buku ini, ia merupakan sebuah buku yang tersusun dan mengikut aturan yang sepatutnya Ia dibahagikan kepada lima bab di mana di dalam setiap bab dibahagikan kepada beberapa fasal. Di bawah setiap fasal pula dipecahkan lagi kepada beberapa subtajuk yang lebih kecil dan terperinci. Kaedah yang digunakan dalam pembahagian isi kandungan kepada beberapa tajuk dan subtajuk ini memudahkan pembaca untuk memahami isi kandungan yang ingin disampaikan oleh penulis di samping menyenangkan pembaca untuk merujuk terus kepada subtajuk-subtajuk tertentu. Selain itu, penulis buku ini juga turut menyelitkan nota kaki sebagai rujukan tambahan kepada pembaca.

Buku ini merupakan sebuah buku yang amat menarik. Ia merupakan bahan bacaan yang sesuai untuk golongan dewasa kerana penghuraian yang begitu detail. Jika ditinjau dari sudut isi, ia memberi gambaran yang terperinci mengenai keperibadian dan sumbangan tokoh dalam beberapa cabang ilmu seperti ilmu fiqh, tasawwuf, ilmu kalam. Penulis juga tidak lupa untuk menyelitkan sari kata dari Imam Al-Ghazali sendiri untuk memberi penghayatan yang sebenar tentang sesuatu kisah yang dialami oleh tokoh. Walaupun begitu, saya terpaksa dan perlu membaca satu perenggan ayat berulang kali dalam usaha untuk memahami apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh penulis. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh penterjemahan yang dilakukan ke atas kitab ini menggunakan bahasa yang agak kompleks dan sukar untuk difahami sekiranya dibaca sekali imbas sahaja. Pada pendapat saya, penterjemah membuat terjemahan terus dari kitab asal dengan uslub bahasa arab tanpa menukarkan semula kepada bahasa Malaysia dengan susunan bahasa yang lebih tersusun dan ringkas.



Setelah habis membaca buku ini, saya berasa amat kagum dengan ketokohan Imam Al-Ghazali sebagai Hujjatul Islam dan Pembaru dalam agama. Saya mula membayangkan adakah saya mampu menjadi seperti beliau yang boleh dikatakan mendalami hampir semua ilmu yang ada pada zaman beliau. Ternyata tiada siapa yang mampu untuk mengatasi beliau dari sudut ilmu dan pengamalan pada zaman itu. Dua gelaran yang diberikan kepada beliau adalah amat bertepatan dan kena pada ketokohan beliau. Telah dinyatakan sebelum ini beliau bukanlah seorang penuntut ilmu yang hanya mampu mempelajari sesuatu ilmu dari guru kemudian menulis dan menghafalnya sahaja,bahkan beliau melampaui batas-batas pemerolehan ilmu seperti itu, beliau telah pergi jauh sehingga mampu untuk mengcungkil dan mengorek segala permasalahan dan segala kepincangan dalam sesuatu bidang ilmu itu. Ternyata pemikiran beliau dapat mengatasi ilmuan-ilmuan pada zaman itu.

Sekiranya beliau masih ada pada zaman kini, beliau pasti menjadi seorang tokoh ilmuan yang cukup hebat dari sudut ilmu dan pengamalan. Dengan kecanggihan ilmu teknoolgi dan komunikasi serta pemerolehan maklumat tanpa sempadan kini pasti akan digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggali segala ilmu dan pengetahuan tanpa terhenti dalam satu bidang sahaja sebagaimana yang ada pada tokoh ilmuan pada masa kini. Tidak mustahil dengan kecanggihan ilmu yang ada, beliau mampu menulis lebih banyak buku hasil gabungan pengajian islam dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial, politik, hubungan antarabangsa, geografi, sains dan bidang-bidang lain. Sudah tentu buku-buku yang dihasilkannya menjadi sumber rujukan di seluruh pelosok dunia kerana saya menyedari bahawa apabila Al-Ghazali mendalami sesuatu bidang pengetahuan sudah pasti beliau menjadi seorang yang menguasai bidang tersebut dengan izin Allah mengatasi cerdik pandai yang telah lama berada dalam bidang tersebut. Ini dapat dibuktikan dalam setiap ilmu yang diceburinya sentiasa ada pemikiran-pemikiran baru yang bersifat pembaharuan atau pengembangan konsep yang dikemukakan oleh ilmuan terdahulu sebelumnya.
Semoga pada zaman ini akan lahir ilmuan-ilmuan Islam yang mampu menguasai ilmu sebaik Al-Ghazali. Masyarakat Islam menanti dengan penuh harapan kehadiran ilmuan Islam yang boleh digelar sebagai Al-Ghazali 2. Al-Ghazali telah lama pergi, ulama’ datang silih berganti, namun sukar mencari pengganti, sebijak Al-Ghazali…..

Alhamdulillah..

1 comment:

mail kacip said...

PERKHIDMATAN DAN PENERANGAN

TEKNIK BUNUH IBLIS,SYAITAN,JIN,BUNIAN,KHANNAS,QARIN,DJIBT, THOGHUT DAN YANG SEKUTU DENGANNYA SECARA FIZIKAL,ZAHIR,BATIN DAN BATIN DALAM BATIN

TUJUAN:

1. MELINDUNGI DIRI DAN IMAN DARI GANGGUAN DAN MEBELASAH SERTA MEMUKUL,MENGACIP,MEMOTONG DAN JUGA MEMBUNUH MAKHLUK TERSEBUT
2. MELINDUNGI DARI GODAAN DAN TIPU DAYA YANG KASAR SERTA HALUS OLEH MAKHLUK HALUS
3. MENYELESAIKAN MASALAH HISTERIA, SIHIR, PUKAU, SANTAU, ILMU GUNA-GUNA, KENA TINDIH/HIMPIT DAN BANYAK LAGI

HASIL

1. JIWA TENTERAM DAN TENANG
2. HILANG PERASAAN WAS-WAS
3. SEMBAHYANG KHUSYUK
4. HATI LAPANG
5. DAN BANYAK LAGI

INSYAALLAH ANDA DAN KELUARGA BOLEH MELAKUKANNYA SENDIRI

*LAIN-LAIN PERKHIDMATAN

1. BERSIH RUMAH BERHANTU
2. BERSIH KAWASAN/TANAH BERHANTU
*TIDAK TERMASUK TANAH KUBUR*

BERMINAT SILA HUBUNGI ISMAIL 0193619305
http://ilmuhaq.multiply.com

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template