Wednesday, August 19, 2009

Ilmu Falak Syar'ie: Suatu Sorotan

ILMU FALAK DAN PERKEMBANGANNYA DI MALAYSIA

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) U.M
Sarjana Pengajian Islam (Syariah /Muamalat) U.K.M
Diploma Pendidikan (Pend Islam, al-Quran & B.Arab) IPGM IK
Sijil Falak Syar’ie K.U.I.S
Email: ustazyusri@yahoo.com
Blog: http://lebaiyusri.blogspot.com/

DEFINISI ILMU FALAK

Ilmu Falak merupakan cabang kepada ilmu sains yang merang kumi pengkajian berdasarkan kepada pergerakan objek objek yang berada di galaksi dan bagaimana objek-objek tersebut mempengaruhi manusia. Kita juga sering dengar masyarakat kita mendefinisikan objek-objek yang berada di langit sebagai cakerawala. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji yang arif dalam bidang ini, cakerawala berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud sesuatu yang berputar. Ini menepati kajian yang dilakukan oleh pakar astronomi yang menyatakan bahawa kebanyakan objek yang dapat kita lihat berada di langit sama ada secara mata kasar atau menggunakan peralatan adalah sesuatu yang bergerak di atas satu landasan yang dinamakan sebagai paksi. Ini juga telahpun dijelaskan di dalam al-Quran dalam surah Ya Sin ayat 40 yang bermaksud:

“ Tidaklah mungkin matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak akan mendahului siang dan masing-masing beredar pada garis peredarannya”.

Kajian mengenai angkasa lepas ini dalam bahasa Arab disebut sebagai ilmu falak. Hasil rujukan yang dibuat oleh penulis mendapati bahawa perkataan falak bukan berasal daripada bahasa Arab tetapi telah dipinjam daripada perkataan sumerian iaitu pilak atau lebih tepat ia membawa maksud ilmu mengenai bintang.


Namun begitu, perkataan falak pada hakikatnya telah dinyatakan dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Anbiya’ ayat 33:
“Dan Dialah (Allah) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan masing-masing dari keduanya itu beredar pada garis peredarannya”.
Dalam ayat ini dengan jelas Allah menyebut perkataan ‘falak’ yan menunjukkan bahawa perkataan ini telahpun menjadi sebahagian daripada bahasa Arab dan dikenali serta disepakati penggunaannya di kalangan bangsa Arab.

Para ilmuan Islam silam mengemukakan beberapa takrif ilmu falak bersesuaian dengan kemahiran dan kecenderungan keilmuan mereka; antaranya al-Biruni mendefinisikan falak sebagai sesuatu yang saling bertukaran atau kajian ke atas objek yang bergerak di angkasa. Manakala Ihwan al-Safa mendefinisikan ilmu falak sebagai ilmu yang mengkaji tentang tatasuria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan-gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubungan dengannya.

Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Mukaddimah menyatakan bahawa ilmu falak ialah sebagai satu ilmu yang mengkaji dan mempelajari pergerakan tetap bintang-bintang sama ada yang bergerak atau yang berpusing. Gerakan-gerakan tersebut dapat diketahui samaada melalui cerapan atau perhitungan. Ilmu perhitungan pula adalah berdasarkan kepada keilmuan tentang pergerakan dan kedudukannya.

Manakala ilmu falak dalam konteks Masyarakat Malaysia ialah penggunaan kaedah-kaedah falak termasuk hasil pengiraannya serta segala maklumat yang diperolehinya yang digunakan untuk tujuan beribadat kepada Allah dan mengaitkan dengan keesaan Allah.

PERKEMBANGAN ILMU FALAK DI MALAYSIA

Kedatangan dan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu jika di tinjau daripada sudut sejarah adalah serentak dengan kedatangan Islam. Catatan tarikh pada Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu dan kedatangan Syeikh Abd. Aziz al-Nayyiri ke Melaka telah membuktikan bagaimana ilmu falak di fahami oleh masyarakat Melayu melalui perkembangan Islam.

Namun begitu, ilmu falak ini bukanlah ilmu yang dominan, biasanya ilmu ini terangkum dalam ilmu-ilmu lain yang terdapat pada ulama’-ulama’ silam. Pada zaman ini, ilmu falak digunakan untuk tujuan penentuan peribadatan seperti penentuan masuk waktu solat, penentuan awal Ramadan dan awal zulhijjah. Para ulama’ pada ketika ini sudah dikenali sebagai seorang ahli hokum dan pada masa yang sama seorang ahli falak yang sangat cekap.

Selepas merdeka, ilmu falak mula berkembang dan terpisah daripada fiqh. Pada waktu ini, seorang ulama’ terkenal bernama Syeikh Tahir Jalaluddin telah menulis satu karya berkaitan ilmu falak yang dinamakan Pati Kiraan yang mengandungi formula-formula berkaitan pengiraan waktu solat, arah kibat dan sebagainya. Pada sekitar tahun 70an, ilmu falak ini terus berkembang pesat dengan penubuhan unit-unit falak syarie di Jabatan-jabatan Agama Negeri yang kemudiannya diletakkan di bawah Jabatan Mufti Negeri apabila berlaku penstrukturan semula Jabatan Agama dan Jabatan Mufti Negeri.

Institusi pertama yang menawarkan pengajian secara sistematik berkaitan ilmu falak ialah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)yang dikendalikan oleh Dr Baharuddin Ismail sekitar tahun 90an yang menyediakan program peringkat Sijil Falak Syar’ie. KUSZA telah berjaya menghasilkan graduan yang berkemahiran dalam ilmu falak. Hasilnya graduan-graduan ini ditempatkan di unit-unit falak, Jabatan-jabatan Mufti Negeri dan banyak menghasilkan penulisan falak dan menubuhkan persatuan-persatuan falak yang bergiat cergas bagi menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan astronomi dalam masyarakat.

Pada tahun 2006, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Falak), Sarjana Syariah (Falak) dan Ph.D (Falak) dengan kerjasama dengan Fakulti Sains Universiti Malaya. Sehingga kini Universiti Malaya menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Pada tahun 2008, pihak Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) juga membuka pengajian peringkat sijil kepada orang awam bagi memantapkan lagi pemahaman orang awam terhadap ilmu falak. Program ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Diharapkan agar ilmu falak terus berkembang luas dan pesat di Malaysia kerana ilmu ini sangat berguna kepada masyarakat awam.

1 comment:

Ishak ridhwan Bin Che Md Nawi said...

assalamualaikum..ustaz.saya amat berminat untuk belajar ilmu falak.boleh x pandu saya agar dapat ke peringkat yang lebih tinggi.skg ni saya ada ijazah sarjana muda perguruan dalam subjek sains..adakah saya perlu mengambil diploma ilmu falak atau boleh sambung terus ke master

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template