KHUTBAH JUMAAT
29 0KTOBER 2009
PUSAT ISLAM UiTM PERAK
CAWANGAN SERI ISKANDAR
TAJUK: KEAJAIBAN DARI DITINJAU DARI PERSPEKTIF AKIDAH
OLEH: MUHAMMAD YUSRI BIN YUSOF @ SALLEH
Pusat Kefahaman dan Pemikiran Islam
UiTM Perak
الحمد لله القائل:
17|16|وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا
أشهد أن لا إله الا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك علي سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتققون.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan akhirat.
Berdasarkan fenomena yang menggemparkan masyarakat kita baru-baru ini, mimbar pada hari ini akan membincangkan persoalan berkaitan dengan isu keajaiban yang dianggap petanda daripada Allah S.W.T.
Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan apa yang kita boleh istilahkan sebagai fenomena sejadah berdiri seakan menunaikan solat yang mula-mula sekali di kesan di sebuah rumah di permatang pauh, kemudian kejadian yang hampir serupa dikesan di sebuah surau sekolah agama di kelantan dan seteruskan merebak ke surau di sebuah kampung di daerah Yan Kedah.
Fenomena yang hampir sama turut terjadi pada 28 Oktober 2009, apabila negara sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa kain pelikat yang di dakwa berdiri seakan bersolat di Kampung Bukit Choras, Pendang, Kedah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ingin menegaskan di sini bahawa dalam persoalan yang menimbulkan kegusaran masyarakat kini, marilah kita sama-sama memerhati, meneliti dan memahami al-Quran dengan sebenar-benarnya. Sedarilah bahawa al-QURAN adalah mukjizat agung kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 23:
وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ
Yang mafhumnya: “Dan jika kamu meragukan (al-Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatla satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yg benar”.
Dalam al-Quran dinyatakan dengan jelas galakan kepada manusia bagi merenung ciptaannya sebagai bukti dan tanda bagi kekuasaan dan keagungan Allah SWT, seperti firmannya di dalam ayat 164, surah al-Baqarah:
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلْفُلْكِ ٱلَّتِى تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلْمُسَخَّرِ بَيْنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Yang mafhumnya: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan dari langit yang berupa air hujan, lalu dengan itu dihidupkan bumi setelah mati (kering), dan dia tebarkan di dalamnya dengan bermacam binatang, dan perkisaran antara angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, semua itu sesungguhnya merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mengerti (berfikir)”
Al-Quran secara dasarnya ada menyebutkan tentang galakan dan suruhan kepada memerhatikan ciptaan Allah di muka bumi ini sebagai bukti kepada KEKUASAAN dan KEAGUNGAN ALLAH tetapi perlu kita ingat apa yang disebut ALLAH SWT itu adalah hasil CIPTAANNYA YG ESA bukan hasil CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH.
Kita kena sedar dan dapat membezakan antara HASIL CIPTAAN ALLAH dan HASIL CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH. Antara HASIL CIPTAAN ALLAH adalah manusia, pokok, batu, tanah, air, bukit, awan dan sebagainya.
Manakala HASIL MANUSIA pula seperti sejadah, tasbih, kopiah, songkok, buku, rehal, stapler dan banyak lagi yang mana ia dihasilkan dengan pemikiran yang diberikan ALLAH SWT kepada manusia.
Dalam al-Quran dinyatakan dengan jelas bahawa manusia perlu memberikan perhatian dan merenung sejenak ciptaan ALLAH SWT sebagai bukti wujudnya ALLAH sebagai pencipta yang Maha Agung bukan merenung kepada hasil daripada pemikiran manusia. Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah kita boleh mengambil iktibar jika yang berlaku itu daripada CIPTAAN ALLAH tetapi kita tidak sesekali boleh mengambil iktibar pada HASIL MANUSIA. Ini kerana jika hasil daripada manusia kebarangkalian ia diselewengkan adalah tinggi ditambah dengan pencapaian teknologi manusia pada hari ini.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah swt,
Jika CIPTAAN ALLAH sekalipun, dalam persoalan keajaiban ini juga memerlukan penelitian yang rapi, ingatkah kita apa yang terjadi pada tahun 1989? Negara digemparkan dengan objek yang terbentuk di langit menyerupai nama Allah, orang sedang bersolat dan sebagainya. Selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa, di dapati rupanya objek tersebut dibentuk melalui pencahayaan yang dipancarkan ke langit. Pada masa itu, tidak sedikit umat islam di Malaysia mempercayainya.
Keajaiban yang sama juga berlaku pada tahun 2001,yang mana heboh di Malaysia menyatakan bahawa terdapat kalimah Allah pada badan ikan flower horn. Apabila siasatan dilakukan, rupa-rupanya badan ikan tersebut di cat dengan cat merah. Sekali lagi umat islam tertipu dengan apa yang berlaku.
Juga pernah terjadi, kecoh di kalangan masyarakat tentang ayat quran hilang daripada mashaf, merebak dari satu tempat ke tempat lain, pada ketika itu, heboh diperkatakan tentang kiamat yang hampir berlaku, hasil siasatan yang dilakukan oleh JAKIM, mendapati bahawa kehilangan ayat tersebut adalah hasil daripada kesalahan pencetakan, dan akhirnya syarikat tersebut menarik balik semua quran cetakannya dari pasaran.
Dalam soal sejadah berdiri, berasaskan kepada logik akal mungkin sejadah tersebut boleh didirikan oleh manusia sebagai ‘daya penarik’ untuk melariskan apa-apa produknya atau tempatnya. Jika ia terjadi di merata tempat, itu persoalan yang sangat mudah dijawab dengan akal….dalam dunia moden ini, kecanggilan teknologi maklumat membolehkan manusia melakukan apa saja. Era globalisasi menyebabkan jarak sempadan menjadi kecil.
Selain daripada itu, kalaupun tidak dilakukan oleh manusia, mungkin dilakukan oleh syaitan bagi memesongkan akidah manusia. Lupakah kita pada janji syaitan kepada Allah SWT apabila dia enggan tunduk hormat kepada manusia sebagai khalifahnya?Justeru, mempercayai sejadah solat dan bertasbih lebih dari mempercayai Allah SWT boleh membawa kemudaratan kepada iman seseorang.
Justeru sebelum mengakhiri khutbah ini, ingin ditegaskan dua perkara:
1. Jika benar sekalipun ia sebagai petunjuk daripada ALLAH, cukupla ia menjadi muhasabah kepada individu yang melihatnya dan tak perlulah diperbesarkan perkara tersebut kerana ia akan menggemparkan masyarakat.
2. Ingatlah firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Yang Mafhumnya:
”Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik yang menceritakan sesuatu perkara, maka siasatlah terlebih dahulu, jika tidak kamu akan menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak baik, dan kamu akan menyesal dengan apa yang kamu telah lakukan.”
بارك الله لي ولكم في القران العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من القران العظيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم أقول قولي هذا واستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.
SENARAI GRADUAN SESI 2016
-
*SENARAI PELAJAR YANG AKAN DIIJAZAHKAN DI MAJLIS PENGIJAZAHAN DARUSSYIFA'
PADA 25-DIS-2016 (AHAD).*
Kepada pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' Bangi Kumpu...
7 years ago
1 comment:
Assalamualaikum ustaz. saya inin meminta bantuan kepada ustaz utk menerangkan tentang Aplikasi qawa'id fiqhiyah dalam pembangunan habitat. ustaz boleh email kan penerangan kepada email saya ainoliqmal@gmail.com. terima kasih
Post a Comment