PENAHANAN SEORANG AGAMAWAN: HATI KECIL LEBAI BERBICARA
وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )
Hati kecil saya bergentar apabila saya membaca e-paper pada suatu pagi. Seorang ilmuan agama yang diiktiraf keilmuannya dan lantang memberikan pandangan dalam masyarakat ditahan oleh penguatkuasa JAIS selepas ceramahnya.
Rentetan daripada itu, ramai ilmuan memberikan pandangan sama ada menyokong tindakan JAIS atau menyelar tindakan tersebut. Isu ini menjadi lebih panas apabila di api-apikan oleh media massa arus perdana.
Pada dasarnya, saya bukanlah penyokong Dr Asri, malah dalam beberapa isu, saya memberikan pandangan yang berbeza dengan apa yang dicanangkan oleh Dr Asri. Namun, saya cukup berminat dengan metodologi dakwah yang disampaikan oleh beliau.
Beliau adalah seorang ilmuan yang menggunakan medium dakwah terkini iaitu dengan menggunakan laman webnya selain daripada ‘mass lecture’. Ini suatu pendekatan yang baik dan cukup berkesan dalam menyampaikan dakwah.
Semasa saya sedang menyiapkan komen ini, saya sempat membaca beberapa artikel daripada pelbagai blog dan laman web berkaitan dengan isu penahanan Dr. Asri. Banyak yang mencanangkan isu ini daripada perspektif politik, saya kurang mahir daripada sudut itu, saya juga kurang minat berbicara tentang politik dan saya lebih rasional apabila memberikan pandangan tanpa terikat atau terikut dengan mana-mana fikrah politik.
Saya dapat simpulkan daripada rentetan penahanan Dr. Asri kepada beberapa isu:
1) Isu Tauliah Kebenaran Mengajar
Berdasarkan kepada motif tangkapan yang dibuat oleh JAIS, Dr. Asri disabitkan dengan tuduhan mengajar tanpa tauliah. Tuduhan itu berasaskan kepada Enakmen Syariah sedia ada yang digunapakai di seluruh negara atas nama sultan sebagai ketua agama negeri memperuntukkan Kesalahan Mengajar Agama Tanpa Tauliah adalah satu kesalahan. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan dengan RM5000 @ 2 tahun penjara @ kedua-duanya sekali.
Adalah hak JAIS sebagai penguatkuasa Agama di Selangor untuk menahan dan mendakwa Dr. Asri di mahkamah atas tuduhan tersebut. Itu adalah hak mutlak JAIS untuk mendakwa. Sebagai rakyat kita harus patuh pada undang-undang sedia ada, jika penceramah kecil seperti lebai pun perlu mohon kebenaran mengajar, penceramah besar pun perlu mengikuti prosedur yang sama.
Namun begitu, di sini lebai berharap agar proses memohon tauliah itu dipermudahkan terutama bagi penceramah atau tokoh agama yang sudah terkenal di Malaysia dan diiktiraf keilmuannya di kalangan masyarakat; tidak perlu lagi kepada ujian saringan bertulis, kursus dan akhirnya barulah sesi temuduga dijalankan. Lebai mencadangkan agar proses itu dipermudahkan dengan hanya sesi temuduga sahaja tanpa perlu menjalani ujian bertulis, kursus, seminar dan sebagainya. Lebai juga memohon jasa baik bagi pihak Jabatan Agama Negeri agar mempercepatkan tempoh pemprosesan tauliah mengajar bagi golongan ini supaya polemik ini tidak akan berulang lagi.
2) Kelewatan Proses Pendakwaan di Mahkamah
Lebai juga terkejut dengan kelewatan pihak JAIS pada hari tersebut mengemukakan pendakwaan sehingga Dr Asri terpaksa menunggu sehingga hampir 2 jam di Mahkamah. Dalam soal ini, diharapkan agar pihak JAIS lebih bertanggungjawab dan efisien dalam setiap tindakannya kerana ia akan melibatkan kredibiliti agensi penguatkuasaan JAIS.
Kita kerapkali mendengar aduan sama ada secara verbal atau bertulis berkaitan kelemahan kakitangan Jabatan Agama dalam mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan agama yang membabitkan nikah cerai, mahkamah dan sebagainya. Justeru, marilah kita sama sama memperbaiki diri kita dan berbakti setulusnya kepada agama Allah.
3) Etika dan Adab ketika Berbeza pandangan
Kita perlu berlapang dada dan beradab ketika berbeza pandangan dengan ulama’ dan fuqaha’ lain. Kesemua yang berbeza pandangan perlu saling menghormati dan tidak cuba menjadi jaguh di mata masyarakat.
Lebai teringat satu kisah bagaimana Imam Shafie pada suatu masa bersembahyang subuh di sebuah masjid berdekatan dengan pusara Imam Malik; dalam sembahyang subuh tersebut Imam Shafie tidak membaca doa qunut sedangkan beliau berpandangan bahawa doa qunut itu adalah sunat yang dituntut dan disunatkan menggantikan qunut tersebut dengan sujud sahwi. Ini dilakukan semata-mata menghormati pandangan Imam Malik yang dipegang oleh penduduk di kawasan tersebut.
Lebai juga ada memetik artikel daripada Ustaz Zaharuddin dalam laman webnya:
Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :
Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )
Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :
Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]
Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?
Imam Ahmad menjawab
لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.
Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan AL-QURAN.
Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada.
• a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
• b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.
Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.
Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.
Ini adalah secebis kisah bagaimana fuqaha’ terdahulu cukup menghormati individu yang berbeza pandangan dengan mereka; Justeru sebelum mengakhiri artikel ini lebai menyeru supaya semua golongan berlapang dada dalam soal berbeza pandangan dan menerimanya secara baik, jangan cuba menjadi jaguh kerana akhirnya masyarakat juga menjadi keliru. Wallahua’lam.
SENARAI GRADUAN SESI 2016
-
*SENARAI PELAJAR YANG AKAN DIIJAZAHKAN DI MAJLIS PENGIJAZAHAN DARUSSYIFA'
PADA 25-DIS-2016 (AHAD).*
Kepada pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' Bangi Kumpu...
7 years ago
2 comments:
aslkm...
alhamdulillah, syeikh.
segala yang anta tulis tu, jelas dan ana setuju 100 %.
ana pun memang tertanya2 juga insiden yg menimpa seorang ilmuan spt d maza tu..
tp spt yg anta kata, kita perlu hormati undang2 yg tdapat dlm sstu negeri itu. ya lah, kita menjunjung langit di mana kita berpijak..
dan dlm bab pselisihan fhm ttg soal khilafiah ni, ana turut bersetuju- biar bermuzakarah secara hikmah, hormati pandangan pihak lain wp tidak sama fikrah dll.
harapan ana- pihak JAIS jg prlu belajar dr pengalaman, n bertindak dgn lbh bijak agar lbh dihormati n diyakini. wslkm.
salam ..
akak setuju dan sokong apa yg diperkatakan oleh dua orng yg bersahabat tu
semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia dan di akhirat...
Post a Comment