Wednesday, December 30, 2009

Pemikiran Ekonomi Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dalam kitab Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain

PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD AL-PATANI DALAM KITAB MATLA’ AL-BADRAIN WA MAJMA’ AL-BAHRAIN

Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Mohd Zahirwan Halim bin Zainal Abidin
Hamdi Rahman bin Mohd Yaacob
Paiz bin Hassan
Saidi Adnan bin Md Nor

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
Universiti Teknologi MARA

(Kertas Kerja ini dibentangkan di Simposium Sejarah dan Warisan Islam, anjuran Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 28 Disember 2009)

ABSTRAK

Kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain adalah antara kitab jawi yang popular bagi pengajian tidak formal di masjid-masjid di Malaysia, Singapura dan Selatan Thai. Ia menjadi kitab rujukan asas bagi pelajar-pelajar yang belajar secara sistem pondok di Kedah dan Kelantan. Penggunaannya yang meluas di sekolah-sekolah Agama di Johor pada satu ketika dulu menghasilkan sebuah kamus kepada kitab ini yang dinamakan sebagai Suluh Matla’ al-Badrain yang khusus untuk menghuraikan perkataan-perkataan sukar dalam kitab ini sama ada perkataan itu berasal daripada bahasa Arab, dialek Patani atau bentuk ejaan melayu lama. Kertas kerja ini akan menelusi pemikiran ekonomi Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani berdasarkan kepada bab-bab muamalat yang ditulis oleh beliau dalam kitab Matla’ al-Badrain. Antara bab-bab muamalat yang ditulis oleh beliau ialah jual beli, salam, pinjam-meminjam, untung rugi, zakat. Dapatan akhir bagi kertas kerja ini ialah bagaimana Sheikh Muhammad bin Ismail dalam beberapa aspek mengambil kira persekitaran ekonomi pada zamannya dalam mengeluarkan hukum fiqh.



BIODATA SHEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD AL-PATANI

Beliau dikenali sebagai Syeikh Nik Mat Kecik Patani. Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Shaghir bin Ismail bin Ahmad al-Patani. Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani merupakan datuk saudaranya yang juga ulama besar Melayu abad ke-18.

Syeikh Muhammad bin Ismail al-Patani dilahirkan di Pulau Duyung Kecil, Kuala Terengganu pada 1260 H / 1844 M selepas penghijrahan ibu bapanya dari Patani. Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan daripada pencerobohan Siam ketika itu.

Pada tahun 1845, Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani telah pulang ke Tanah Jawi dan mengambil Syeikh Muhammad ke Kota Mekah namun Syeikh Daud telah meninggal dunia pada tahun 1847. Beliau dibesarkan di sana dan diberi pendidikan oleh Syeikh Abdul Kadir bin Abdullah al-Patani.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Mekah dengan berguru dengan Syeikh Hasbullah dan Syeikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Patani. Beliau mendalami dalam bidang ilmu fiqh, usul fiqh, tafsir dan ilmu-ilmu lain. Dengan ilmunya yang meluas dalam pelbagai bidang, beliau kemudiannya mengajar di rumah dan juga di Masjid al-Haram. Murid-muridnya sangat ramai khususnya yang datang dari Alam Melayu. Keilmuannya diiktiraf sehingga Syeikh Nik Mat Kecik dilantik menjadi Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah pada zamannya bahkan beliau merupakan satu-satunya tokoh yang berasal dari dunia Melayu yang berjaya memegang jawatan tertinggi itu pada zamannya . Hampir semua anak didiknya menjadi ulama besar di antaranya Haji Omar bin Ismail Sungai Keladi, Tok Kenali, Tok Kemuning, Haji Wan Abdullah bin Ismail Getting dan lain-lain.

Sebagai tokoh ulama dan ilmuan yang ulung di rantau Alam Melayu beliau banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi dan berautoriti yang mencakupi pelbagai bidang seperti tauhid, fiqh, sejarah, sains perubatan dan kosmologi Islam. Antara kitabnya yang masyhur ialah :

1. Al-Bahjah al-Mardhiyah fi Fawaid al-Ukharawiyah. Selesai ditulis pada 20 Syaaban 1296 H/1878 M di Kota Mekah

2. Matla’ al-Badrain wa Majma' al-Bahrain. Selesai ditulis pada 12 Syaaban 1303 H/1885 M. Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk cetakan ketiga dan keempat. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu bahkan banyak dijadikan teks pengajian di masjid dan surau di seluruh Tanah Melayu. Disebabkan kitab ini terlalu banyak digunapakai, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Lalu terhasillah sebuah kamus dengan judul Suluh Matla’ al-Badrain yang disusun oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Kamus ini ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Kitab Matla’ al-Badrain ini juga pernah diterbit oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

3. Al-Kaukab al-Durri fi Nur al-Muhammadi. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 13 Sya’ban l304 H/1886 M di Makkah.

4. Al-Durr al-Basim fi Ashhab al-Kahfi wa al-Raqim. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 19 Rejab 1310 H/1892 M di Makkah. Cetakan pertama adalah pada tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kitab ini ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

5. Kitab al-Farqadain wa Jawahir al-`Iqdain. Kitab ini diselesaikan pada 13 Syawal 1311 H/1893 M di Mekah.

6. Wusyah al-Afrah wa Ashab al-Falah. Kitab ini diselesaikan pada Zulkaedah 1312 H/I894 M.

7. Sawathi' al-Barqi wa al-Luma'i fi Ahkami al-Tayammum wa al-Jama'i. Kitab ini diselesaikan pada pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di Makkah.

8. Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahru al-Shafi. Kitab ini diselesaikan pada 18 Rejab l331 H/1912 M.

Pada akhir tahun 1913 beliau telah mengalami penyakit darah tinggi dan meninggal dunia pada hari Sabtu 20 Rabiulakhir 1333 bersamaan dengan 6 Mac 1915. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ma’la di Kota Mekah.


BEBERAPA ASPEK PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD FATHANI DALAM KITABNYA MATLA’ BADRAIN WA MAJMA’ BAHRAIN

PEMBAYAR DAN PENERIMA ZAKAT

Zakat adalah antara instrumen yang sangat berfaedah bagi membangunkan sosioekonomi sesebuah negara dan asnaf. Selain daripada itu, zakat juga dapat dijadikan alat fiskal bagi merencanakan kestabilan ekonomi sesebuah negara. Keadaan ini dapat dilihat pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz, apabila kita dapati hasil daripada pungutan zakat melebihi keperluan pengguna sehingga pembayar zakat sukar untuk menemui penerima agihan zakat.

Kewajipan zakat serta agihannya adalah perkara yang disyariatkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Jika ditelusuri sejarah pengagihan zakat dalam konteks pemikiran fuqaha’ silam, kita dapati banyak perbahasan berkaitan dengan agihan zakat, termasuklah juga Sheikh Muhammad bin Ismail dalam kitabnya; antara perbahasan yang disentuh ialah asnaf zakat, aspek pemindahan zakat dan golongan yang tidak wajar menerima zakat.

Pemikiran berkaitan teori fakir dan miskin jika ditinjau daripada perspektif fuqaha’ silam terbahagi dua pendapat; pertama Jumhur berpandangan seseorang dalam kategori miskin apabila harta yang dimiliki tidak mencukupi keperluan hidupnya dan keluarga walaupun ianya melebihi kadar nisab. Bagaimanapun dalam masa yang sama mereka mewajibkan pemilik harta membayar zakat apabila harta yang dimiliki mencukupi nisab tanpa melihat keperluan hidup pemilik harta tersebut. Kesan daripada itu ia mewujudkan ketidak seimbangan dalam ekonomi antara pembayar dan penerima. Bagaimanapun pada mazhab Hanafi, seseorang yang memiliki harta melebihi keperluan asasi masih dianggap miskin sekiranya lebihan tersebut kurang daripada dua ratus dirham.

Daripada penulusan pemikiran Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani dalam persoalan cukup nisab, kita dapati bahawa Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani masih terikat dengan pandangan Shafie yang termasuk dalam Jumhur di atas yang tidak mengambil realiti ekonomi semasa pada ketika itu.

HUKUM MEMINDAHKAN HARTA ZAKAT DILUAR LOKALITINYA

Berhubung dengan isu ini, sebahagian besar fuqaha’ Maliki, Shafie dan Hanbali menghukumkan haram, sebahagian lagi menghukumkan makruh sebagaimana menurut mazhab Hanafi, Imam Malik daripada riwayat Ibn Qasim serta Qadi Abi Ya’la dan al-Bana daripada mazhab Hanbali. Dalam pada itu hanya sebilangan kecil yang mengharuskannya sebagaimana diriwayatkan daripada satu qawl dalam mazhab Shafie ataupun mereka mengaitkannya dengan hak pemerintah. Dalam konteks ini, Sheikh Muhammad Ismail Daud al-Patani berpandangan:
“ Dan haram atas malik memindahkan zakat daripada tempat wajibnya serta ada yang mustahiknya tetapi tiada haram atas imam memindahkan zakat jika ada yang mustahik pada tempat wajib sekalipun.”

Daripada teks di atas kita dapat lihat kecenderungan Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani menerima pendapat yang sederhana antara pengharaman dan pengharusan. Kebenaran kepada pemerindah dalam aspek pemindahan harta zakat memperlihatkan bahawa beliau tidak hanya melihat keperluan ekonomi dalam skop yang kecil tetapi lebih mengambil keperluan-keperluan ekonomi semasa sebagai asas kepada pemilihan antara pendapat fuqaha’ di atas khususnya antara khilaf yang berlaku dalam mazhab Shafie.


PENGAGIHAN ZAKAT KEPADA ASNAF YANG BERHAK

Dalam persoalan pengagihan zakat kepada asnaf yang berhak, sebahagian daripada fuqaha’ termasuk mazhab Shafie, satu riwayat daripada Imam Ahmad dan Mazhab Zahiri mewajibkan agihan secara menyeluruh meliputi semua asnaf yang wujud dalam sesuatu masa. Pendapat ini dibina atas kepada prinsip kesamarataan agihan tanpa mengambil kira keperluan mana-mana asnaf tersebut. Bagaimanapun peruntukan amil zakat dikecualikan daripada prinsip umum tersebut, kerana hak amil adalah berasaskan konsep upah bagi tugas yang mereka lakukan, berbeza dengan hak asnaf yang lain yang berasaskan konsep benefisiari tujuan meringankan beban mereka.

Sebaliknya jumhur fuqaha’ Hanafi, Maliki dan Hanbali pula melihat pengagihan zakat tersebut berasaskan kepada keperluan semasa. Selain bersetuju dengan pandangan mazhab Shafie berkaitan dengan peruntukan amil, mereka menganjurkan supaya pengagihan zakat member keutamaan kepada golongan yang memerlukan, Bagi mereka nas dalam ayat zakat hanya sekadar menjelaskan golongan benefisiari, sedangkan peruntukan pengagihannya bergantung kepada budi bicara mereka yang mengagihkannya.


Dalam persoalan ini kita dapat lihat Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani meninggalkan pendapat mazhab Shafie dan berpegang dengan pendapat mazhab selain daripada Shafie kerana meraikan persoalan ekonomi pada zamannya. Pada zaman kini, kita dapat lihat bagaimana asnaf riqab jika ditinjau daripada sudut bahasa sudah tidak boleh digunapakai. Riqab adalah golongan hamba sahaya yang sudah tidak lagi wujud dan mungkin inilah antara unsur asas bagaimana Sheikh Muhammad Ismail Daud al-Patani tidak lagi mewajibkan pembahagian saksama kepada lapan asnaf zakat seperti yang dikemukan oleh kebanyakan fuqaha’ mazhab Shafie. Ini dapat dilihat dalam penulisannya:

“Dan wajib dibahagikan zakat atas segala asnaf yang tersebut sama ada zakat fitrah atau zakat harta tetapi kesukaran ia, kata qiel memada ia diberi kepada tiga orang fakir atau miskin dan memilih jemaah daripada ulama’ yaitu Sahib al-Bahr dan Azraie dan lainnya memadai diberi seorang jua. Dan tiada mengapa kita taklid akan dia pada zaman ini kata setengah ulama’ jika ada shafie lagi hidup, nescaya berfatwa dengannya.”

PENJUALAN YANG DITEGAH WALAUPUN SAH

Dalam membincangkan berkaitan jual beli, Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani telah menyenaraikan beberapa aspek jualan yang disifatkan sebagai jualan yang ditegah tetapi kontrak yang dilaksanakan adalah sah. Daripada contoh yang dikemukakan, kita dapat lihat bagaimana Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani melihat situasi ekonomi semasa dalam menetapkan hukum.

Pertama, beliau tidak selesa apabila wujud unsur ihtikar atau monopoli dalam sistem jual beli yang dilakukan pada ketika itu. Daripada perspektif ekonomi, perbuatan ihtikar atau menyimpan barang dan menunggu sehingga barang tersebut sedikit di pasaran akan menyebabkan permintaan barang tersebut menjadi tinggi dan harga bagi barang tersebut juga akan melambung. Ini akan menyebabkan berlaku inflasi dan ketidakstabilan dalam masyarakat terutama jika barang yang disorok itu melibatkan barang keperluan harian.

Daripada perspektif ekonomi juga, keinginan dan kemampuan pengguna membeli akan membentuk permintaan pasaran manakala keinginan dan kemampuan pengeluar dalam mengeluarkan sesuatu barangan akan membentuk penawaran pasaran. Kuasa permintaan dan kuasa penawaran di pasaran inilah yang akan menentukan harga barang dan perkhidmatan tersebut.

Dalam soal ini, kita dapat lihat bagaimana Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani cuba menghalang perbuatan yang tidak bermoral ini, walaupun jika ditinjau daripada sudut asas kontrak, kontrak yang dilaksanakan menepati rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Beliau menyatakan dalam kitabnya:

“ (Fasal)setengah daripada jualan yang ditegah akan dia dan sah jualan itu seperti menjual oleh orang negeri bagi orang dusun yang membawa mata benda yang umum berhajat ahli negeri kepadanya supaya dijual dengannya harga hariannya maka berkata ia baginya, tinggalkan olehmu akan dia supaya aku jual sedikit-sedikit dengan mahal maka iaitu sah tetapi haram atas yang hadir jua.”

Ketika pentashihan dibuat terhadap kitab Matla’ al-Badrain, Sohibus Samahah Mufti Pulau Pinang Dato’ Hassan bin Ahmad ketika mentashihkan bab ini telah memberi pengertian yang jelas dalam isu ini iaitu:

“ antara jual beli yang ditegah walaupun sah penjualannya ialah:

(1) Bai hadir li bad iaitu penjulan orang bandar bagi orang kampung yang membawa barang yang umumnya dihajati oleh penduduk bandar supaya dijual olehnya mengikut harga harian (pasaran semasa).
Contoh:
Seperti orang bandar berkata kepada orang kampung:
“Tinggal olehmu barang itu supaya dapat aku jual sedikit-sedikit dengan harga yang lebih mahal.”

Penjualan ini sah tetapi perbuatan orang bandar tersebut adalah haram.”


Kedua, Dapat dilihat dalam persoalan bida tanpa tujuan membeli tetapi semata-mata untuk menaikkan harga barang tersebut atas sebab-sebab tertentu. Dalam penulisan fiqh silam, persoalan bida ini ditulis dibawah tajuk bai’ al-Muzayadah. Bai’ Muzayadah ialah tindakan penjual menawarkan barangan jualan di pasaran, kemudian diikuti permintaan beberapa orang pembeli yang berlumba-lumba menawarkan bayaran yang lebih tinggi. Proses ini berakhir dengan penjual menjual barangan tersebut dengan kepada sesiapa yang menawarkan harga tertinggi. Kebanyakan fuqaha’ mengharuskan bai’ Muzayadah. Hanya sebilangan kecil mengharamkannya.

Dalam persoalan ini, tidak terdapat pandangan Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani dalam bai’ Muzayadah, tetapi beliau hanya mengharamkan perbuatan membida tanpa tujuan membeli dan hanya untuk kepentingan penjual semata-mata. Ini akan mewujudkan unsur-unsur penipuan dalam kegiatan mua’malah seharian yang akan memberi kesan kepada harga barangan yang akan dijual dan ia akan menekan golongan miskin jika barang yang dijual secara bida atau lelong itu barangan keperluan harian.

Perkara ini dapat dilihat dalam penulisannya:
“Dan haram menaikkan harga mata benda yang dijual akan dia pada hal tiada berkehendak membelinya bahkan kerana menipu dayakan yang lainnya atau kerana manfaat akan bai’ dan jika kurang harganya maka ditambahkan hingga menyamai harganya dan jika pada harta anak yatim sekalipun atas yang awjuhnya seperti barang yang tersebut dalam Tuhfah”.

JUALAN YANG DITEGAH

Dalam persoalan bai’ Urbun atau deposit (cengkeram atau wang pendahuluan) dalam urusan seharian, Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani dilihat cenderung kepada fuqaha’ silam yang mengharamkannya. Beliau berpandangan sedemikian atas atas wujud unsur-unsur gharar, judi dan mengambil harta secara tidak sah. Ini kerana dalam konsep bai’ Urbun, wang pendahuluan dibayar oleh pembeli kepada penjual dalam sesuatu akad jual beli, sekiranya jual beli diteruskan maka wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan, jika tidak maka wang ini dianggap sebagai pemberian daripada pembeli kepada penjual.

Pemikiran ini dapat dilihat dengan jelas dalam Matla’ al-Badrain:

“Dan bai’ al-Urbun ya’ni menjuali dengan cengkeram dengan bahawa ada beli oleh mushtari akan mata benda dan diberi harga kan bayi’ jika ia redha akan mata benda itu dan jika tiada maka jadi hibah.”

Namun begitu, pandangan ini tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman dan situasi ekonomi semasa, pada masa kini, bai’ Urbun telah dipraktikkan secara meluas dalam konteks ekonomi global sama ada di Malaysia atau antarabangsa. Di Malaysia, Bai’ Urbun telah menjadi salah satu prinsip Syariah yang digunakan bagi membentuk instrumen-instrumen baru bagi pasaran modal Islam di Malaysia.

Oleh itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti telah memutuskan bai’ Urbun diharuskan atas beberapa pandangan; pertama ialah bersandarkan kepada amalan Saidina Umar al-Khattab pernah mewakilkan Nafi’ untuk membeli rumah daripada Safwan bin Umayyah di Mekah untuk dijadikan penjara. Safwan telah meminta Umar membayar wang pendahuluan dan mensyaratkan wang tersebut akan menjadi miliknya jika Umar membatalkan akad tersebut. Syarat itu telah persetujui oleh Saidina Umar r.a.

Kedua, berasaskan uruf yang telah menjadi amalan dalam berurus niaga, mereka membayar wang pendahuluan sebagai satu bayaran, supaya hak mereka tidak hilang dalam tempoh tertentu. Perkara ini tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah kerana ia adalah uruf sahih yang dipraktikkan bagi memastikan muamalat berjalan lancar.

KESIMPULAN

Dalam menelusuri pemikiran Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani kita dapati bahawa beliau bukanlah bertaklid kepada fuqaha’ Shafie semata-mata. Beliau masih bersikap terbuka terhadap penerimaan pandangan fuqaha’ daripada mazhab lain walaupun kita sedari bahawa Sheikh Muhammad bin Ismail daud al-Patani telah menggunakan metodologi dan epistemologi Shafiiyyah ketika menulis kitabnya yang masyhur ini. Semoga kajian ini menjadi asas kepada kajian yang lebih mendalam terhadap kitab ini yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia bahkan di Selatan Thai, Indonesia dan Singapura.


RUJUKAN


Ahmad Fathy al-Fatani. 2002. Ulama Besar Dari Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005.
Ismail Che Daud. 2001. Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Kota Bharu : Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Mujaini Tarimin. 2005. Golongan Penerima Dana Secara Lebih Berkesan. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
Hamdi Rahman bin Mohd Yaacob. 2005. Pengaruh Persekitaran Ekonomi dalam Menentukan Kaedah Pemungutan dan Pengagihan Zakat. Disertasi Sarjana. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani. t.th. Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain. Pulau Pinang: Pencetakan al-Ma’arif.
Dato’ Hassan bin Ahmad. 2005. Matla’ al-Badrain (Naskah yang telah ditashih). Kuala Lumpur: Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.
Suruhanjaya Sekuriti. 2002. Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti.
Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh. 2005. Aplikasi Usul dan Kaedah Fiqh dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia: Analisis kepada Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Disertasi Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

1 comment:

Hadenant said...

Syabas...penulisan yang menarik dan mencabar. Teruskan..(Hadenan)

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template