Monday, November 3, 2008

ISLAM DAN PERSOALAN MULTILEVEL MARKETING

ISLAM DAN PERSOALAN EKONOMI SEMASA: KAJIAN KEPADA PERNIAGAAN PEMASARAN RANGKAIAN (MULTI LEVEL MARKETING) SYARIKAT CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD (CNI).

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (I.P.G.I.K)

1. PENDAHULUAN

Multi level marketing (MLM) secara harfiah boleh diterjemahkan kepada bahasa Melayu sebagai pemasaran rangkaian yang bermaksud pemasaran dan perniagaan yang dilakukan melalui banyak tingkat atau rangkaian yang biasanya disebut sebagai upline (tingkat atas atau individu yang berada di atas dalam struktur rangkaian pemasaran) dan downline (tingkat bawah atau individu yang berada ada di bawah dalam struktur rangkaian pemasaran). Struktur MLM melambangkan hubungan pemasaran dan perniagaan antara dua atau lebih rangkaian. Struktur rangkaian ini boleh berbentuk mendatar dan menegak mengikut kemampuan seseorang untuk menarik ahli atau peserta baru. Pemberian insentif dalam MLM adalah berasaskan kepada kekuatan dan banyaknya jumlah jualan produk.

MLM adalah antara aktiviti perniagaan yang berkembang pesat di dunia. Statistik membuktikan bahawa jumlah jualan industri MLM sedunia pada tahun 1998 ialah USD 81 bilion. Jumlah jualan industri ini terus meningkat pada tahun 1999 dan 2000 iaitu sebanyak USD 85 bilion. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kemasukan industri ini. Perniagaan MLM di Malaysia juga mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun. Jumlah jualan industri MLM pada tahun 1999 bersamaan dengan RM 4 bilion. Jumlah ini terus meningkat pada tahun 1999 kepada RM4.2 bilion walaupun negara dilanda kegawatan ekonomi. Apabila ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan pada tahun 2000, pendapatan industri ini mencecah RM 4.5 bilion.


Jumlah syarikat MLM di Malaysia mencecah 200 buah pada ketika ini. Antara contoh syarikat MLM di Malaysia AMWAY, COSWAY, CNI, REVELL, OMEGA TREND, AVON dan sebagainya. Kajian ini akan memberi penumpuan khusus kepada CNI, namun begitu jika dikaji dari sudut perlaksanaan sistem perniagaan dan pemasaran MLM, semua syarikat-syarikat tersebut melaksanakan kaedah yang hampir serupa, apa yang berbeza mungkin dari sudut pengagihan keuntungan syarikat, insentif dan bonus.

2. PENGENALAN KEPADA CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI)

Creative Network International Holding Berhad(CNI) ditubuhkan secara rasminya di Indonesia pada tahun 1986, selepas mendapat sambutan yang memberangsangkan di Indonesia, CNI meneruskan rangkaian pemasarannya di Malaysia pada 1989. Setelah 16 tahun ditubuhkan di Malaysia pada 28 Jun 2005, CNI telah disenaraikan di Bursa Malaysia. CNI adalah syarikat MLM ketiga tersenarai di Bursa Malaysia selepas AMWAY dan COSWAY. Seterusnya pada tahun 1994, CNI melebarkan sayap perniagaannya ke Hong Kong dan Amerika Syarikat diikuti ke Singapura dan Brunei pada 2001 dan India pada 2002.

Sistem pengurusan dan pentadbiran CNI dibahagikan kepada tiga iaitu Pucuk Pimpinan CNI, Pentadbiran Syarikat dan Sistem Organisasi. Pertama; Pucuk Pimpinan CNI dianggotai oleh Dr. PC Koh sebagai Pengarah Urusan, En. SS Tan sebagai Pengarah Eksekutif, En. TJ Liu sebagai Pengarah Pemasaran dan En. Sam Cheong sebagai Pengarah Operasi.

Kedua; Pentadbiran Syarikat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Pembangunan Perniagaan, Pembangunan Produk, Penyelidikan Produk, Operasi Cawangan dan Pengedaran, Hal Ehwal Pengguna, Hubungan Awam, Pengiklanan dan Penerbitan, Kewangan, Perdagangan Antarabangsa, Akaun, Gudang, Informasi Teknologi, Rencana dan Kajian Pasaran, Perkhidmatan Korporat dan Sumber Manusia.

Ketiga; Sistem Organisasi yang terdiri dari Pensyarah Kursus, Pusat Pengedaran, Stesen Jualan dan Pengedar yang boleh di kategorikan kepada 10 peringkat dimulai dengan Pengedar, Pengedar Gangsa, Pengedar Perak, Pengedar Emas, Pengurus Agensi, Pengurus Agensi Delima, Pengurus Agensi Mutiara, Pengurus Agensi Zamrud, Pengurus Agensi Intan dan Pengurus Agensi Intan Jutawan (tahap tertinggi dalam struktur rangkaian pemasaran CNI).

3. STRUKTUR DAN SISTEM MLM YANG DIAMALKAN OLEH CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI)

Dalam struktur rangkaian pemasaran CNI, terdapat dua peranan yang dimainkan oleh ahli yang mendaftar; pertama sebagai pengguna barangan atau produk syarikat tersebut (sebolehnya menjadi pengguna barangan CNI 100%). Kedua, menjadi penaja atau broker (orang tengah) yang berperanan menarik ahli baru menyertai CNI. Perjalanan syarikat MLM juga tidak sah jika tidak disertai dengan insentif berupa pemberian bonus atas hasil usaha mencari ahli baru dan jualan ahli.

CNI juga mempraktikkan sistem yang sama dengan menawarkan insentif kepada ahli (dalam CNI di sebut faedah-faedah pengedar) seperti keuntungan runcit hasil jualan ahli, bonus prestasi, bonus pimpinan, bonus jualan kumpulan sendiri tertinggi, bonus eksekutif, tabung insentif kereta, tabung insentif rumah, tabung pendidikan anak-anak pengedar, sijil promosi, penghargaan pin, penghargaan dalam CNI News, seminar pengedar gemilang, seminar sambil melawat dan lawatan luar negara.

Sebelum meninjau dengan lebih terperinci berkaitan rangkaian pemasaran CNI, pembaca perlu mengetahui bahawa setiap pembelian barangan CNI akan disertakan dengan tiga perkara; pertama harga jualan produk (harga jualan berbeza antara ahli dan bukan ahli, biasanya harga ahli lebih murah. Harga juga berbeza antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak). Kedua, PV (promotion value) atau apa yang diistilahkan dalam bahasa Melayu sebagai nilai promosi. PV ini akan digunakan sebagai kayu ukur kenaikan pangkat ahli tersebut. Ketiga, BV (bonus value) atau apa yang disebut nilai bonus yang akan digunakan untuk mengira bonus-bonus yang dijanjikan. PV dan BV ini berkait rapat dalam menentukan kejayaan seseorang dalam CNI. Sebagai contoh; Setiap pembelian ke atas CNI Tongkat Ali Ginseng yang berharga RM 19.00 (harga ahli di Semenanjung), ahli akan mendapat PV sebanyak 15.20 dan BV sebanyak 12.40.

Kerjaya sebagai ahli CNI bermula daripada pengedar sama ada ahli baru atau ahli lama yang masih tidak mencapai PV terkumpul atau kumulatif sebanyak 1000 PV ke atas. Pengedar-pengedar ini akan mendapat keuntungan runcit 20% hingga 30% hasil jualan bergantung kepada produk yang dijual. Selain itu pengedar-pengedar ini berhak menerima Tabung Insentif Pendidikan Anak-anak Pengedar. Untuk kenaikan pangkat ke level seterusnya, para pengedar (upline) ini perlu mencari sekurang-kurangnya tiga lagi ahli baru (downline) dengan jumlah PV setiap individu termasuk dirinya mestilah bernilai 300 PV. Purata jumlah perbelanjaan setiap individu atau jualan setiap individu untuk memperolehi 300 PV lebih kurang RM 320 atau bergantung kepada harga produk. Apabila jualan kumpulan sendiri melebihi 1000 PV, pengedar pertama (upline) berhak menerima kenaikan pangkat kepada Pengedar Gangsa.

Pengedar Gangsa akan menerima Bonus Prestasi 18%. Pemberian ini dikira berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar dibawahnya (downline pertama), 2% daripada jumlah BV generasi pertama (downline kedua), 2% daripada jumlah BV generasi kedua dan 2% daripada jumlah BV generasi ketiga. Selain itu ia juga berhak mendapat bonus dari syarikat antara RM 100 hingga RM 300. Untuk naik ke level atau pangkat seterusnya, Pengedar Gangsa mestilah memastikan pengedar-pengedar di bawahnya (downlinenya yang terdiri dari tiga ahli) mencari setiap seorang tiga lagi ahli bagi mencukupkan rangkaian yang dibentuknya sebanyak 13 orang termasuk dirinya. Setiap downlinenya perlu mencapai 300 PV dan Jualan kumpulannya mestilah mencecah 5000 PV untuk Pengedar Gangsa naik ke pangkat Pengedar Perak.

Pengedar Perak akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 200 hingga RM 600 bergantung kepada jualan. Ia juga menerima Bonus Prestasi sebanyak 18%. Apa yang membezakannya daripada Pengedar Gangsa ialah pemberian ini dikira berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar di bawahnya dan 2.5% daripada generasi pertama, kedua, ketiga dan keempat. Pengedar Perak mendapat bonus lebih 0.5% daripada Pengedar Perak. Begitulah seterusnya proses kenaikan pangkat. Selepas itu, Pengedar Perak akan dinaikkan pangkat ke Pengedar Emas jika PV terkumpul daripada downlinenya mencecah 10000 PV. Pengedar Emas menerima bonus daripada syarikat antara RM 500 hingga RM 1000 atas nilaian jualan. Ia juga menerima Bonus Prestasi sebanyak 18%. Pemberian insentif ini berasaskan kaedah pengiraan untuk Pengedar Gangsa dan Perak, tetapi Pengedar Emas dikira bonusnya sehingga ke Generasi ke 5 sebanyak 3%.

Untuk ke pangkat Pengurus Agensi, seorang Pengedar Emas perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat pengedar dibawahnya dan setiap empat pengedar perlu mempunyai empat downline. Jumlah keseluruhan ahli yang membentuk rangkaian tersebut ialah 17 orang. Setiap orang dalam rangkaian ini secara kasarnya perlu mempunyai 500 PV untuk membentuk jumlah 15000 PV bagi memastikan seseorang Pengedar Emas dinaikkan pangkat ke Pengurus Agensi. Pengurus Agensi akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 1000 hingga RM 5000 bergantung atas jumlah jualannya. Selain itu ia juga akan menerima tiga bentuk bonus; pertama, Bonus Prestasi 18%, kedua, Bonus Pimpinan 14% dan Ketiga, Bonus Jualan Kumpulan Tertinggi 2%.

Bonus Prestasi 18% bagi Pengurus Agensi adalah berasaskan 10% daripada BV jualan sendiri dan pengedar-pengedar di bawahnya dan 5% bagi setiap generasi sehingga generasi terakhir. Bonus Pimpinan 14% pula dikira berasaskan kepada 10% daripada jualan kumpulan sendiri dan 5% daripada generasi kedua, 4% daripada generasi ketiga dan 3% daripada generasi keempat.

Untuk kenaikan pangkat daripada Pengurus Agensi ke Pengurus Agensi Delima, seorang Pengurus Agensi perlu memupuk atau memerlukan 3 Pengurus Agensi sebagai downlinenya. Setiap Pengurus Agensi (downline) tersebut perlu mencapai PV terkumpul sebanyak 5000 PV setiap seorang untuk melayakkan Pengurus Agensi tersebut (upline) dinaikkan ke pangkat Pengurus Agensi Delima. Pengurus Agensi Delima akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 2000 hingga RM 15 000 bergantung atas hasil jualannya. Selain itu, ia juga menerima insentif melancong ke Indonesia selama 5 hari 4 malam dan menerima Bonus Pimpinan 14% yang dikira berasaskan 10% daripada BV jualan kumpulan sendiri, 6% daripada generasi pertama, 5% daripada generasi kedua, 4% daripada generasi ketiga dan 3% daripada generasi keempat.

Untuk kenaikan pangkat ke Pengurus Agensi Mutiara, Seorang Pengurus Agensi Delima perlu memupuk atau memerlukan 3 Pengurus Agensi yang konsisten dengan jumlah 10 000 PV setiap seorang. Sebagai Pengurus Agensi Mutiara, seseorang berhak untuk menerima Bonus daripada syarikat antara RM 4000 hingga RM 25 000, Bonus Pimpinan 14% yang dikira berasaskan 10% daripada BV kumpulan sendiri, 7% daripada BV generasi pertama, 6% daripada generasi kedua, 5% daripada generasi ketiga, 4% daripada generasi keempat, 3% daripada generasi kelima. Selain itu, Pengurus Agensi Mutiara juga menerima faedah Umrah bagi muslim atau melancong ke Hong Kong, Taiwan atau India selama 12 hari 11 Malam. Ia juga menerima Tabung Insentif Kereta yang bernilai RM 300 000.

Untuk kenaikan ke Pangkat seterusnya iaitu Pengurus Agensi Zamrud, seseorang Pengurus Agensi Mutiara memerlukan 4 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 10 000 setiap seorang atau 3 orang Pengurus Agensi dengan nilai PV terkumpul 20 000 setiap seorang. Ia juga berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam, Tabung Insentif Kereta 2 yang bernilai RM 400 000 dan bonus tunai sebanyak RM 8888. Selain daripada itu, Pengurus Agensi Zamrud juga menerima bonus daripada syarikat antara RM 8000 hingga RM 35 000 dan Bonus Pimpinan !4% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 8% daripada generasi pertama, 7% daripada generasi kedua, 6% daripada generasi ketiga, 5% daripada generasi keempat, 4% daripada generasi kelima dan 3% daripada generasi keenam.

Untuk kenaikan pangkat ke Pengurus Agensi Intan, seorang Pengurus Agensi memerlukan 5 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 15 000 setiap seorang atau 4 Pengurus Agensi dengan PV terkumpul sebanyak 25 000 setiap seorang. Ia juga berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam dan Tabung Insentif Kereta 3 yang bernilai RM 500 000. Selain itu, ia juga akan menerima bonus daripada syarikat antara RM 10 000 hingga RM 50 000 dan Bonus Pimpinan 14% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 9% daripada generasi pertama, 8% daripada generasi kedua, 7% daripada generasi ketiga, 6% daripada generasi keempat, 5% daripada generasi kelima dan 4% daripada generasi keenam dan 3% daripada generasi ketujuh.

Untuk kenaikan ke pangkat tertinggi dalam sistem CNI iaitu Pengurus Agensi Intan Jutawan, seorang Pengurus Agensi memerlukan 6 Pengurus Agensi dengan jumlah PV terkumpul sebanyak 15 000 setiap seorang atau 5 Pengurus Agensi dengan PV terkumpul sebanyak 30 000 setiap seorang. Berada di tahap ini ia berhak menerima pakej lawatan melancong dunia selama 15 hari 14 malam, Tabung Insentif Rumah 1 yang bernilai RM 400 000, Tabung Insentif Rumah 2 yang bernilai RM 1 400 000, Tabung Insentif Rumah 3 yang bernilai RM 2 000 000 (tertakluk kepada syarat-syarat tertentu). Selain itu, ia juga berhak menerima Bonus Pimpinan 14% iaitu berasaskan 10% jumlah BV terkumpul jualan kumpulan sendiri, 9% daripada generasi pertama, 8% daripada generasi kedua, 7% daripada generasi ketiga, 6% daripada generasi keempat, 5% daripada generasi kelima dan 4% daripada generasi keenam dan 3% daripada generasi ketujuh dan bonus daripada syarikat antara RM 30 000 hingga RM 200 000.







4. PANDANGAN ULAMA’ SEMASA NUSANTARA (MALAYSIA, INDONESIA DAN BRUNEI) MENGENAI PERNIAGAAN PEMASARAN RANGKAIAN (MULTI LEVEL MARKETING)

Fuqaha’ semasa di nusantara berbeza pendapat berkaitan hukum perniagaan rangkaian atam MLM. Pertama; Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim (kini Setiusaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri) dan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid (Mufti Kerajaan Brunei Darussalam) mengharuskan aktiviti MLM-syarikat AMWAY. Kedua; Drs. Hafidz Abd. Rahman (Sarjana Hukum Islam dari Indonesia) mengharamkan aktiviti MLM.

Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim dalam satu rencana yang bertajuk ‘Jualan Langsung dalam Konteks Islam’ dalam majalah Usahawan menggunakan beberapa hujah mengharuskan MLM; Pertama, Jualan langsung adalah tidak salah berasaskan peniaga menggunakan bentuk perniagaan MLM untuk mengawasi barangan yang dipasarkan agar tidak berlaku penipuan. Kedua, Selagi aktiviti MLM tidak mengamalkan riba dan tidak menganayai orang lain, aktiviti tersebut adalah dibolehkan. Ketiga, Perniagaan secara MLM bukan bertujuan menganayai orang lain tetapi berpegang kepada konsep tolong menolong iaitu menolong orang lain untuk berjaya terlebih dahulu sebelum kita berjaya. Ertinya, perniagaan ini bukan bertujuan memperdaya orang tetapi untuk berjaya secara bersama.

Keempat, Islam tidak menghadkan penganutnya berniaga dengan sesiapa jua. Justeru tidak timbul soal aktiviti berniaga dengan orang bukan Islam. Menurutnya dengan meluaskan lagi ruang lingkup perniagaan kita mampu meningkatkan prestasi diri dan sekaligus dapat memajukan perniagaan dan sama-sama bertukar idea untuk terus memajukan perniagaan yang dijalankan. Beliau terus memperkukuhkan hujah beliau dengan menyatakan bahawa jika di tinjau dari sudut sejarah kita dapati Rasulullah S.A.W pernah menjalankan perniagaan dengan orang Yahudi dan bukan Islam. Junjungan Mulia juga pernah berhutang dengan orang bukan Islam. Menurutnya tiada hadis yang melarang urusan jual beli umat Islam dengan orang bukan Islam. Rasulullah S.A.W pernah berniaga di negara yang bukan Islam, kalau Rasulullah S.A.W boleh kenapa umat Islam hari ini tidak boleh berniaga sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Kelima, perniagaan jualan langsung yang sah di sisi undang-undang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara ini. Walaupun pemilik syarikatnya bukan dari kalangan orang Islam, tetapi kalau ia berjaya melahirkan usahawan muslim berjaya, itu sudah dianggap meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.

Manakala Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid (Mufti Kerajaan Brunei Darussalam) ketika ditanya berkaitan syarikat AMWAY (salah sebuah syarikat MLM) menyatakan bahawa aktiviti syarikat tersebut tidak bercanggah dengan syara’ seperti dalam teks fatwanya berkaitan dengan isu-isu kewangan semasa:
‘ The distribution or profit and perfomance bonuses or rewards, to agents or distributors, according to specific conditions and regulations, is not conflicting with syara’. The purity of cleanliness of foodstuff. such as Nutrilite Food Supp Cemanta and cosmetics, such as lotions, cannot be determined unless information on their content is available or after a laboratory test is conducted. Household maintenance items, which are not harmful to consumers and which have been approved by government, may be marketed.

The Amway Business System, as understood at present, is not conflicting with syara’’

Sementara itu, Drs. Hafidz Abd. Rahman mengemukakan beberapa hujah yang bernas, ilmiah dan terperinci dalam menharamkan perniagaan MLM; Pertama, MLM mengandungi apa yang disebut sebagai dua akad dalam satu akad ( safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah ). Akad pertama adalah akad jual beli manakala akad kedua sebagai akad sebagai broker/ orang tengah/ penaja (samsarah). Kedua, hukum broker atas broker ( samsarah ʿala samsarah) iaitu seseorang ahli bertindak sebagai broker/penaja kepada downlinenya dan proses tersebut berterusan dari satu downline ke satu downline yang lain.

Mengenai hujahnya yang pertama, Drs. Hafidz Abd. Rahman menguatkan pendapatnya dengan beberapa hujjah:
1. Hadith yang diriwatkan oleh Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi dari Abi Hurayrah R.A yang menyatakan:
نهى رسول الله صلى الله وسلم عن بيعتين فى بيعة
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah melarang dua pembelian dalam satu pembelian.

Dalam konteks ini beliau mengambil keterangan Imam al-Shafiʿi berkaitan dengan bayʿatayn fi bayʿah dalam Nayl al-Awtar:
‘ Jika seseorang mengatakan bahawa saya jual budak (hamba) ini dengan harga 1000, dengan catatan anda menjual rumah anda kepada saya dengan harga begini. Ertinya jika anda menetapkan milik anda nenjadi milik saya maka sayapun menetapkan milik saya menjadi milik anda’.
Dalam konteks ini, maksud bayʿatayn fi bayʿah adalah melakukan dua akad dalam satu akad iaitu akad pertama ialah akad jual beli budak, sedangkan yang kedua adalah akad jual beli rumah. Namun, masing-masing dinyatakan sebagai ketentuan yang mengikat antara satu sama lain sehingga terjadi dua akad dalam satu akad.
2. Hadith yang diriwatkan oleh al-Bazzar dan Ahmad, dari Ibn Masʿud:
نهى رسول الله صلى الله وسلم عن صفقتان فى صفقة واحد
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah melarang dua kesepakatan (akad) dalam satu kesepakatan.
3. Hadith yang dikemukakan oleh al-Tabrani dalam kitabnya al-Awsat yang berbunyi:
لا تحل صفقتان فى صفقة
Maksudnya: Tidak dihalalkan dua kesepakatan (aqad) dalam satu kesepakatan (akad).
4. Hadith riwayat Ibn Majah, al-Hakim dan Ibn Hibban yang berbunyi:
لا يحل سلف وبيع ولا شرطان فى بيع
Maksudnya: Tidak dihalalkan salaf (akad pemesanan barang) dengan jual beli, dan tidak dihalalkan dua syarat dalam satu akad jual beli.
Dari dalalah yang ada, baik yang menggunakan lafaz naha atau la tahillu/yahillu menunjukkan bahawa muʿamalat seperti yang terdapat dalam hadith tersebut adalah haram hukumnya.

Mengenai hujah beliau yang kedua iaitu berkaitan hukum broker atas broker ( samsarah ʿala samsarah) ialah beliau tidak menafikan diharuskan broker umumnya berasaskan hadith Qays bin Abi Ghurzah al-Kinani yang bermaksud:
‘ Kami biasa membeli beberapa wasaq di Madinah, dan biasa menyebut diri kami sebagai samasirah, kemudian Rasulullah telah datang kepada kami dan menamakan kami dengan nama yang lebih baik daripada apa yang kami sebut (Baginda telah memanggil dengan nama tujjar). Baginda telah berseru: wahai para tujjar, sesungguhnya jual beli tidak lepas dari kelalaian dan sumpah, maka bersihkanlah dengan sedekah’.

Beliau juga mengemukakan takrif simsar yang di petik daripada kitab al-Mabsut karangan al-Sarakhsi iaitu Simsar adalah sebutan bagi orang yang bekerja untuk orang lain dengan diberikan upah atau bonus baik untuk aktiviti menjual atau membeli. Beliau tidak mempersoalkan tentang keharusan simsar dalam Islam tetapi apa yang dipersoalkan ialah samsarah ʿala samsarah. Ini kerana dalam Islam pembrokeran dilakukan oleh seseorang terhadap orang lain yang berstatus pemilik (malik) dan bukan dilakukan daripada seorang broker ke atas broker lain. Ini adalah kerana broker bertindak sebagai orang tengah (mutawassit) iaitu ia berperanan sebagai orang yang mempertemukan dua kepentingan yang berbeza; kepentingan pembeli dan penjual. Jika ia berperanan sebagai broker kepada broker, maka ia bukan lagi berfungsi sebagai orang tengah. Ini yang diharamkan oleh Islam.

Drs. Hafidz Abd. Rahman menutup perbincangannya dengan dua kesimpulan hukum; pertama, jenis MLM yang membuka pendaftaran keahlian, dengan pendaftaran tersebut ahli baru perlu membayar sejumlah wang tertentu disertai dengan pembelian produk. Pada waktu yang sama ahli tersebut akan menjadi broker/penaja bagi syarikat tersebut dengan merekrut ahli baru, maka praktikal MLM seperti ini termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah , ini kerana ahli tersebut telah melakukan dua akad dalam satu kontrak. Maka praktikal MLM seperti ini adalah diharamkan berdasarkan hadith yang telah dinyatakan.

Kedua, jenis MLM yang membuka pendaftaran keahlian, tanpa harus membeli produk, tetapi ahli baru tersebut mesti membayar sejumlah wang tertentu untuk yuran keahlian. Pada waktu yang sama keahlian tersebut mempuyai kesan iaitu ahli baru tersebut akan mendapat mata bonus hasil daripada pembeliaannya kemudian hari atau hasil daripada pembelian downlinenya, maka praktikal MLM seperti ini juga termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah kerana keahlian tersebut merupakan akad yang mempuyai kesan tertentu. Kesannya ialah apabila pembelian dilakukan samaada oleh dirinya atau downlinenya, dia akan mendapat mata bonus hasil daripada pembelian tersebut. Bahkan ia akan mendapat bonus jika menjadi penaja atau merekrut ahli baru untuk menyertai syarikat tersebut. Dengan demikian, praktikal MLM seperti ini menandatangani dua akad iaitu akad keahlian dan akad samsarah. Perkara ini bercanggah dengan syariah.














5. ANALISIS PANDANGAN ULAMA’ NUSANTARA DAN PERBANDINGAN DENGAN SISTEM MLM YANG DIGUNAKAN OLEH CREATIVE NETWORK INTERNATIONAL HOLDING BERHAD(CNI).

Dalam menilai hukum MLM, para fuqaha’ nusantara menilai daripada sudut yang berbeza. Dr. Mashitah Ibrahim umpamanya menilai MLM daripada sudut urusniaga antara orang Islam dengan bukan Islam, dari sudut kebaikan pemasaran MLM dan dari sudut perkembangan ekonomi muslim dengan penyertaan mereka dalam MLM. Begitu juga dengan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Junid yang lebih menekankan soal keselamatan dan kebersihan produk yang diniagakan menerusi MLM.

Penilaian yang dibuat terhadap MLM daripada sudut yang diberikan oleh dua tokoh tersebut adalah kurang tepat kerana dalam menilai muʿamalah moden, perkara yang perlu diberi perhatian adalah soal akad dan sistem yang digunakan. Isu yang dibangkitkan oleh Dr. Mashitah Ibrahim terutamanya menyentuh urusniaga antara muslim dan bukan muslim dan syarikat MLM kepunyaan bukan muslim sepatutnya tidak perlu dibangkitkan kerana sebagai negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia. Di tambah pula Islam tidak pernah menghalang urusniaga sebegitu.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa MLM membantu umat Islam di Malaysia meningkatkan taraf ekonomi mereka, perkara ini tidak dinafikan kerana sememangnya syarikat jualan langsung terutamanya CNI banyak melahirkan usahawan Melayu Muslim berjaya. Tetapi persoalan yang perlu ditimbulkan di sini ialah adakah hanya kerana MLM mampu untuk meningkatkan ekonomi umat Islam kita seolah memejamkan mata dan melupakan kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan aktiviti MLM selaras dengan syariah. Tidak semestinya sesuatu yang diakui sah di sisi undang-undang selari dengan kehendak syariah.

Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Negara Brunei Darussalam, walaupun ada menyentuh berkaitan dengan sistem yang digunakan, tetapi penjelasan mengenainya beserta dengan hujah-hujah tidak disertakan dengan lebih terperinci. Fatwa ini juga dilihat lebih menekankan soal keselamatan dan kebersihan produk yang dipasarkan. Isu kebersihan dan keselamatan produk merupakan perkara penting, tetapi perlu ditegaskan di sini bahawa perniagaan jualan langsung di kawal ketat oleh pihak kerajaan, justeru kebarangkalian untuk syarikat-syarikat jualan langsung mengabaikan isu-isu ini adalah terlalu rendah.

Ini dibuktikan dengan tindakan CNI menginsuranskan produk-produknya bagi membuktikan bahawa produknya selamat digunakan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, di Malaysia terdapat Tatacara Kelakuan bagi Syarikat Jualan Langsung yang dilancarkan oleh Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) yang disokong oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia. Sebagai contoh jaminan kualiti produk seperti dalam Peraturan-Peraturan Perniagaan CNI di bawah tajuk Jaminan Insurans menyatakan:
‘ Syarikat melindungi pengguna produk CNI dengan jaminan insurans setinggi RM 1 juta’

Drs. Hafidz Abd. Rahman adalah antara sarjana hukum Islam yang mengkaji sistem yang digunakan oleh MLM secara terperinci. Kajian yang dilakukan oleh beliau merangkumi praktikal sistem MLM seterusnya menyimpulkan pandangan Islam terhadap MLM. Kajian yang dilakukannya memperincikan aspek akad yang dilakukan dalam MLM yang merupakan perkara asas bagi menentukan sama ada sesuatu muʿamalah tersebut selari dengan Islam atau sebaliknya.

CNI juga menggunakan sistem seperti yang digambarkan oleh Drs. Hafidz Abd. Rahman, dalam sistem yang digunakan oleh CNI, ahli baru dikenakan RM 70 dan sebagai hadiah ahli diberikan beberapa produk dan buku panduan secara percuma. Ahli baru tidak perlu atau tidak diwajibkan membeli ketika pendaftaran dilakukan. Namun begitu ahli baru (istilah CNI-pengedar) akan mendapat PV dan BV dengan setiap pembeliannya atau pembelian downlinenya di kemudian hari. Untuk menambah nilai PV dan BVnya bagi mendapat kenaikan pangkat dan mendapat bonus yang dijanjikan oleh CNI, ahli baru itu secara pastinya akan cuba menarik sebanyak mungkin ahli-ahli baru yang untuk menjadi downlinenya. Ini adalah penting dalam sistem yang diamalkan oleh CNI kerana Upline akan menerima bonus tertentu jika berjaya membentuk downline tertentu yang konsisten dalam bentuk pembelian atau dalam bentuk penajaan ahli baru.

Daripada penjelasan ini, kajian ini mendapati sistem MLM seperti ini termasuk dalam kategori hadith safqatayn fi safqah atau bayʿatayn fi bayʿah kerana keahlian tersebut merupakan akad yang mempuyai kesan tertentu. Kesannya ialah apabila pembelian dilakukan sama ada oleh dirinya atau downlinenya, dia akan mendapat mata bonus hasil daripada pembelian tersebut. Seterusnya, mata bonusnya akan bertambah jika ia dapat merekrut lebih banyak ahli baru untuk menyertai CNI (hasil daripada pembelian yang dilakukan). Dengan demikian, praktikal MLM seperti ini menandatangani dua akad iaitu akad keahlian dan akad samsarah. Perkara ini bercanggah dengan syariah.

Begitu juga daripada aspek samsarah ʿala samsarah. Ini adalah disebabkan dalam praktikal MLM yang dilakukan oleh CNI, ternyata aspek ini terlalu menonjol dalam proses menaja atau merekrut ahli baru sehingga timbul istilah upline (individu yang menaja ahli baru) dan downline ( ahli yang ditaja ). Proses ini akan berterusan dan seseorang downline walaupun ia mempunyai upline, ia juga akan menjadi upline apabila menaja individu lain untuk menyertai CNI.

Praktikal ini nampaknya bercanggah dengan pembrokeran yang disebut di dalam fiqh silam iaitu pembrokeran adalah satu aktviti menjual atau membeli yang dilakukan seseorang terhadap orang lain yang berstatus pemilik (malik) dan upah diberikan kepadanya atas usaha yang dilakukan itu dan bukan dilakukan daripada seorang broker ke atas broker lain. Ini adalah kerana broker bertindak sebagai orang tengah (mutawassit) iaitu ia berperanan sebagai orang yang mempertemukan dua kepentingan yang berbeza; kepentingan pembeli dan penjual. Jika ia berperanan sebagai broker kepada broker, maka ia bukan lagi berfungsi sebagai orang tengah. Ini yang diharamkan oleh Islam

Selain daripada dua isu utama yang diketengahkan, isu pemberian bonus dalam CNI juga perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Ini kerana setiap pembelian downline, upline akan menerima PV atau BV secara tidak langsung kerana setiap akhir bulan, CNI akan mengira jumlah PV dan BV secara keseluruhannya (keseluruhan pembelian yang dilakukan oleh downline dan ditambah dengan pembelian upline tersebut). Jika jumlah ini mencapai jumlah PV dan BV yang ditentukan, upline tersebut akan dinaikkan pangkat dan diberikan bonus seperti yang dijanjikan. Ini menampakkan seolah-olah upline tersebut mendapat hasil tanpa melakukan usaha sewajarnya. Upline tersebut berada di atas hasil daripada PV dan BV terkumpul hasil daripada pembelian downline. Adakah perniagaan seperti ini diharuskan dalam Islam?.

Walaupun ada jutawan MLM-CNI seperti Muhammad Zulkey Hashim menafikan sistem MLM mengayakan ‘orang atas’ tetapi itulah hakikatnya, semakin tinggi kedudukan seseorang dalam sistem MLM semakin sedikit usaha yang perlu dilakukan tetapi semakin banyak bonus dan insentif yang diterima. Begitu juga semakin banyak PV dan BV terkumpul daripada ahli, semakin tinggilah pangkat dan bonus yang diterima. Ini kerana PV dalam CNI adalah sebagai mekanisme untuk mengukur pangkat, manakala BV pula sebagai mekanisme untuk mengukur bonus yang bakal diterima setiap bulan.

Sebagai buktinya di sini dinyatakan eaedah yang diterima oleh apa yang disebut dalam CNI sebagai Peringkat Pengedar (peringkat paling bawah) dan dinyatakan juga faedah dan bonus Peringkat Eksekutif. Sebagai contoh, Pengedar Emas hanya menerima Bonus Prestasi sebanyak 18% dan Bonus daripada syarikat antara RM 500 hingga RM 1000 berbanding Pengurus Agensi Intan Jutawan yang menerima faedah melancong dunia, Tabung Insentif Rumah yang boleh mencecah RM 2 000 000 dan Bonus daripada syarikat antara RM 30 000 hingga RM 200 000.

Mungkin ada individu yang membandingkan pendapatan dalam MLM dengan pendapatan dalam sistem bergaji. Dalam sistem bergaji, semakin besar pangkat dan kedudukan semakin tinggi bayaran gaji yang diberikan, begitu juga dalam MLM. Pandangan ini perlu disangkal kerana dalam sistem gaji, gaji yang diterima selaras dengan usaha yang dilakukan. Sebagai contohnya, seorang eksekutif kelihatan lebih ‘rehat’ dalam soal bekerja berbanding pekerjaan sebagai tukang kebun yang membanting tulang dan keringat di tengah bahang dan terik mentari.

Walaupun seorang eksekutif bekerja di tempat yang berhawa dingin, dan kelihatan melakukan kerja yang tidak mengeluarkan peluh, tetapi pada hakikatnya para eksekutif lebih teruk bekerja berbanding pekerja bawahan kerana para eksekutif terpaksa menggunakan daya pemikiran yang semaksima mungkin untuk merancang dan menjayakan sesuatu projek. Penggunaan daya fikiran disahkan oleh kajian sains memerlukan tenaga yang lebih berbanding membanting keringat sebagai tukang kebun. Justeru itu, gaji yang diterima oleh eksekutif tersebut selaras dengan usaha yang dilakukannya.

Perkara ini tidak berlaku dalam MLM, apa yang dititik beratkan dalam sistem MLM ialah apabila jumlah belian daripada downline tinggi dan mencapai tahap tertentu, upline akan dinaikkan pangkat. Perkara ini dipraktikkan dalam CNI, sebagai contohnya untuk memenuhi kelayakan sebagai Pengurus Agensi Intan Jutawan, individu hanya perlu mengumpul jumlah 100 PV untuk jualan sendiri, 500 PV untuk jualan kumpulan sendiri dan 15 000 PV untuk jualan keseluruhan rangkaian downlinenya. Untuk mendapat 100 PV individu tersebut hanya perlu berbelanja lebih kurang RM 120 dan yang lain adalah hasil pembelian downlinenya. Dengan berbelanja hanya RM 120 dan memastikan enam pengurus agensi yang berada di bawahnya konsisten, individu tersebut mendapat ganjaran berlipat ganda. Ini menampakkan usaha yang dilakukannya tidak setimpal dengan ganjaran yang diterimanya.
6. KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, kajian ini hanyalah pembuka ruang bagi kajian yang lebih terperinci yang sepatutnya dilakukan oleh fuqaha’ semasa dalam menilai sistem MLM yang ada di Malaysia. Kajian terperinci perlulah menyentuh semua aspek praktikal MLM supaya hukum yang bakal dikeluarkan terhadap MLM adalah hukum yang tepat dan selaras dengan pengamalan MLM dan selari dengan ruh dan maqasid shariʿah. Fuqaha’ semasa perlulah peka dalam persoalan muʿamalat semasa. Walaupun para fuqaha di Malaysia cukup mengambil berat soal perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam, para fuqaha’ di Malaysia seolah terlepas pandang dalam isu-isu muʿamalat seperti ini.












BIBLIOGRAFI

Al-Haythami, al-Hafiz Nur al-Din ʿAli Abi Bakr. 1994. Majmaʿ al-zawa’id wa manbaʿ al-fawa’id. t.tp: Maktabah al-Qudsi.

Al-Nawawi, al-Imam Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. 1992. Rawdah al-talibin. Beyrut: Dar al-Kutub al-ʿIlmiyyah.

Al-Sarakhsi, Shams al-Din. t.th. Kitab al-manbsut, jilid 15. Beyrut : Dar al-Maʿrifah.

Al-Shawkani, al-Imam al-Mujtahid al-ʿAllamah Muhammad bin ʿAli. 1998. Nayl al-awtar sharh muntaqa al-akhbar min ahadith sayyid al-akhbar, Jilid 5. Dar al-Khayr : Beyrut.

Al-Shirazi, Abi Ishaq Ibrahim bin ʿAli Yusuf al-Fayrusabadi. 195. al-Muhazzab fi fiqh al-Imam al-Shafiʿi, jilid 2. Beyrut: Dar al-Kutub al-ʿIlmiyyah.

Al-Zuhayli, Wahbah. 1998. al-Fiqh al-Islami wa adillatuh, jilid 7. Beyrut: Dar al-Fikr al-Muʿasir.

CNI tawar hasil dividen 6.2%-CIMB, Utusan Malaysia, 18 Julai 2003: 21.

CNI pemain sejagat, Utusan Malaysia, 18 Julai 2003: 21

Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Panduan kejayaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).

Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Panduan perniagaan CNI. t.tp; Creative Network International Holding Berhad(CNI).

Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Peraturan-peraturan perniagaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).

Creative Network International Holding Berhad(CNI). t.th. Rancangan perniagaan CNI. t.tp: Creative Network International Holding Berhad(CNI).

Hafidz Abd. Rahman. Hukum syara’ multilevel marketing, http: //www.hayatulislam.net; http: //www. geocities.com/gigih67 (12 Julai 2005).

Muhammad Zulkey Hashim. MLM mengayakan orang atas?, Usahawan Sukses, September- Oktober 2003: 48-50.

Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM), Code of Conduct.
Propektus CNI, Mingguan Malaysia, 28 Jun 2003: 2-3.

Rudy AS. Kemahuan dorong Murad jadi jutawan, Usahawan Sukses, Julai-Ogos 2003: 2.

Sidang Pengarang Usahawan Sukses. Jualan langsung dalam konteks Islam, Usahawan Sukses, Mei-Jun 2003: 22-25.

Sidang Pengarang Usahawan Sukses. MLM perniagaan istimewa peluang bumiputera tingkatkan ekonomi, Usahawan Sukses, Mei-Jun 2003: 20.

State Mufti’s Office & Prime Minister’s Office Negara Brunei Darussalam. 2000. The State Mufti’s fatwa’s monetary issues. Kuala Lumpur: MR Print, Kuala Lumpur.

1 comment:

anishahuda said...
This comment has been removed by the author.
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template