Monday, September 7, 2009

KENYATAAN PGSM BERHUBUNG KES KARTIKA SARI DEWI SHUKARNO

KENYATAAN BERSAMA PGSM DAN NGO-NGO ISLAM TERHADAP ISU SEBAT KARTIKA SARI DEWI SHUKARNO.
Aug 28th, 2009

Kami dengan ini sedar bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia mengamalkan dual sistem perundangan yang unik yang berjalan seiring dan harmoni antara satu sama lain sekian lama dan perkara ini hendaklah dihormati, dikekalkan dan diperkasakan.



Kami dengan ini menegaskan seperti berikut :-



1. Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah tentang titah baginda supaya semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk isu hukuman sebat ini.



2. Bahawa doktrin pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif mestilah dihormati dan dipertahankan sepanjang masa.



3. Kami menyeru agar jangan ada tekanan dan gangguan daripada mana-mana pihak mengenai undang-undang dan perlaksanaan undang-undang syariah lebih-lebih lagi dari golongan yang bukan Islam.



4. Semua pihak mematuhi dan menghormati keputusan yg dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.



5. Hukuman dan pelaksanaan hukuman sebatan di mahkamah syariah hendaklah dikekalkan, diseragamkan dan dilaksanakan di seluruh negara.



6. Majlis Peguam atau sesiapa yang tidak berkenaan dengan Agama Islam hendaklah tidak mencampuri urusan Agama Islam dan serahkan urusan kepada pihak yang beraotoriti bagi Agama Islam .



7. Kami menegaskan hukuman sebatan dalam islam adalah untuk tujuan mendidik dan amat berbeza dengan hukuman yang dilaksanakan mengikut Kanun Kesiksaan yang diamalkan di Common Law dan Mahkamah Sivil.



8. Kami kecewa dan membantah kenyataan Menteri Dalam Negeri, kerana memang telah ada tukang sebat yang bertauliah yang sedia melaksanakan hukuman sebat.



9. Kami mengucapkan syabas kepada Kartika Sari Shukarno yang tabah dan sabar dalam menghadapi polemik ini dan sanggup menyerahkan nasibnya kepada pihak berkuasa agama Islam Pahang (JAIP).





MOHAMAD ISA BIN ABDUL RALIP

PRESIDEN PGSM BAGI PIHAK NGO-NGO ISLAM

27 OGOS 2009

Baca Selengkapnya......

Wednesday, August 26, 2009

Isu Kartika Sari Dewi Sukharno: Refleksi Kritis

KARTIKA SARI DEWI SUKHARNO: CORETAN RASA LEBAI

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) U.M
Sarjana Pengajian Islam (Syariah /Muamalat) U.K.M
Diploma Pendidikan (Pend Islam, al-Quran & B.Arab) IPGM IK
Sijil Falak Syar’ie K.U.I.S
Email: ustazyusri@yahoo.com
Blog: http://lebaiyusri.blogspot.com/

Salam teman bloggers yang sering mengunjungi teratak ilmu di persada maya ini. Syukur kepada Allah tuhan yang Maha Esa atas kurniaannya dapat juga lebai memberi reaksi kepada isu ini. Ini hanyalah sekelumit rasa lebai terhadap isu Kartika yang saban hari terpampang di dada-dada akhbar perdana. Sisipan ini bukanlah berbentuk ilmiah, kerana keadaan lebai yang agak kelam kabut berkaitan pertukaran jawatan ke salah sebuah IPTA di Perak. Jadi, lnsya Allah bila lebai dah berada di sana nanti lebai akan tampilkan satu artikel yang berbentuk ilmiah yang merungkai persoalan-persoalan berbangkit berkaitan isu ini daripada sudut undang-undang Islam dan skop undang-undang Syariah di Malaysia.

Pertamanya, apabila lebai menatap akhbar digital pada 19 hb Ogos 2009, lebai tiba-tiba terbaca satu berita berkaitan hukuman sebat pertama di Malaysia bagi kesalahan Syariah. Hati lebai terus menyatakan rasa syukur kerana Mahkamah Syariah di Malaysia sudah mula menetapkan sesuatu hukuman dalam bentuk maksima. Ini menunjukkan Hakim Syari’e di Malaysia sudah mula menggunakan peruntukan hukuman dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Sebelum ini banyak rungutan yang diterima menyatakan bahawa Hakim Syar’ie di Malaysia gagal menggunakan peruntukan atau denda yang sedia ada, jika disabitkan dengan kesalahan pesalah hanyalah didenda dengan denda yang sedikit. Ini menimbulkan kegusaran dalam masyarakat, bagaimana nak melaksanakan hukum hudud yang hukumannya lebih berat daripada hukuman sedia ada sedangkan hukuman yang sedia ada pun tidak digunakan secara maksima. Justeru, tahniah kepada Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Yunus atas keberaniannya memutuskan hukuman secara maksimum. Ini adalah satu permulaan baik bagi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Keduanya, secara peribadinya lebai sangat kagum dengan ketabahan Kartika yang dengan tenangnya menerima hukuman tersebut dan enggan membuat rayuan seperti yang disarankan oleh sesetengah pihak termasuklah ahli politik dan pertubuhan yang menggelarkan dirinya sebagai pembela Islam. Namun begitu, sebagai seorang yang mempunyai latarbelakang undang-undang Syariah, Kartika mempunyai hak untuk melakukan rayuan. Itu semua adalah HAK dan PILIHAN Kartika, bukan tanggungjawab persatuan yang menggelarkan dirinya sebagai pembela Islam. Justeru, lebai berpandangan persatuan ini hanya perlu menasihati Kartika dalam soal ini, dan bukanlah menghantar memorandum khas kepada Perdana Menteri yang kononnya membela hak Kartika.

Ketiga, lebai ingin menyatakan bahawa jangan ada golongan yang tidak tahu latarbelakang syariah memberikan pandangan terhadap isu ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan dalam masyarakat. Kenyataan-kenyataan seperti ini tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Islam. Ini adalah kenyataan yang lebai petik daripada bernama.com:

Petikan Pertama

“Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 Julai lepas kerana meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang pada 11 Julai tahun lepas.

Meskipun hukuman itu dianggap keterlaluan dan zalim oleh banyak pihak, Kartika menerima hukuman itu dan membayar denda serta memohon hukuman sebat itu dilaksanakan segera.

beliau berkata Kartika mungkin menghadapi trauma akibat dijatuhkan hukuman tersebut dan tidak mendapat nasihat bahawa beliau boleh mengambil jalan lain bagi mengelakkan hukuman itu.

Merujuk kepada perkembangan terkini kes itu, beliau berkata keputusan penangguhan hukuman oleh Mahkamah Syariah Pahang semalam merupakan satu langkah positif dan menunjukkan keprihatinan pihak terbabit.

"Kita tidak mahu sistem syariah di negara ini dikatakan zalim hanya kerana satu kes ini dan seterusnya mencemarkan imej negara di mata dunia," katanya.

beliau tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang meminta supaya hukuman tersebut diteruskan untuk melihat bagaimana sebenarnya hukuman rotan terhadap wanita dijalankan dalam hukum Syariah.

"Ini bukan isu bagaimana sebatan itu dijalankan, tetapi isu keadilan. Adakah hukuman itu dijatuhkan sebegitu rupa kerana Kartika seorang wanita," katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya tidak mempertikaikan kuasa hakim Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman itu tetapi terkilan kerana hakim telah menjatuhkan hukuman paling berat.

"Dalam Islam apabila menjatuhkan hukuman mesti bijaksana, adil, dan ada belas kasihan. Walaupun sebagai pengajaran kepada pesalah kita tak boleh aibkan seseorang, apatah lagi dia seorang wanita," katanya.”

Petikan Kedua
“Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati.
Beliau turut persoalkan kenapa wanita itu dikenakan hukuman maksimum sedangkan ini adalah kesalahan pertama wanita itu dan telah pun mengaku bersalah. Beliau yang juga aktif dalam Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI), badan NGO liberal ini turut dengan nada sinis menyatakan bahawa jika lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah seseorang itu.”

Keempat, lebai kagum dengan beberapa individu termasuklah Tengku Mahkota Pahang yang menasihati agar masyarakat membiarkan Mahkamah yang memutuskan hukuman tersebut. Terima kasih Tuanku atas nasihat yang diberikan.

Di sini dilampirkan berita berkaitan Titah Tengku Mahkota Pahang.

“Biar Mahkamah Selesaikan Isu Kartika, Titah Tengku Abdullah

MUADZAM SHAH, 25 Ogos (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu hukuman sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Baginda yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Pahang bertitah, keputusan menangguhkan hukuman tersebut perlu dihormati bagi membolehkan pihak mahkamah mencari penyelesaian sebaik mungkin dalam masa terdekat.

"Dengan berkat bulan Ramadan ini mungkin ia dapat diselesaikan," titah baginda selepas berbuka puasa bersama-sama penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam di sini, Selasa.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak termasuk pemimpin kerajaan berhubung penangguhan hukuman sebat tersebut.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.”

Kelima, Lebai juga tertarik dengan kenyataan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan bahawa hukuman sebat terhadap kartika ditangguhkan disebabkan Negara tidak mempunyai tukang sebat syariah. Ini adalah suatu perkembangan yang baik. Setidak-tidaknya Negara kita kearah perlaksanaan undang-undang Syariah dan marilah kita mohon kepada Allah semoga perlaksanaan hukuman sebat syariah pertama kali di Malaysia ini akan membuka ruang kepada perlaksanaan lebih menyeluruh undang-undang Islam di Malaysia. Rakan-rakanku, sesuatu yang sukar tidak akan terurai jika tiada yang memulakan langkah pertama. Semoga semua ini menjadi langkah pertama dalam melaksanakan undang-undang syariah di Malaysia. Malaysia berjaya menjadi Negara hub kepada perbankan Islam, semoga Malaysia juga menjadi hub bagi undang-undang jenayah syariah…ameen

Baca Selengkapnya......

Wednesday, August 19, 2009

Ilmu Falak Syar'ie: Suatu Sorotan

ILMU FALAK DAN PERKEMBANGANNYA DI MALAYSIA

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) U.M
Sarjana Pengajian Islam (Syariah /Muamalat) U.K.M
Diploma Pendidikan (Pend Islam, al-Quran & B.Arab) IPGM IK
Sijil Falak Syar’ie K.U.I.S
Email: ustazyusri@yahoo.com
Blog: http://lebaiyusri.blogspot.com/

DEFINISI ILMU FALAK

Ilmu Falak merupakan cabang kepada ilmu sains yang merang kumi pengkajian berdasarkan kepada pergerakan objek objek yang berada di galaksi dan bagaimana objek-objek tersebut mempengaruhi manusia. Kita juga sering dengar masyarakat kita mendefinisikan objek-objek yang berada di langit sebagai cakerawala. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji yang arif dalam bidang ini, cakerawala berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud sesuatu yang berputar. Ini menepati kajian yang dilakukan oleh pakar astronomi yang menyatakan bahawa kebanyakan objek yang dapat kita lihat berada di langit sama ada secara mata kasar atau menggunakan peralatan adalah sesuatu yang bergerak di atas satu landasan yang dinamakan sebagai paksi. Ini juga telahpun dijelaskan di dalam al-Quran dalam surah Ya Sin ayat 40 yang bermaksud:

“ Tidaklah mungkin matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak akan mendahului siang dan masing-masing beredar pada garis peredarannya”.

Kajian mengenai angkasa lepas ini dalam bahasa Arab disebut sebagai ilmu falak. Hasil rujukan yang dibuat oleh penulis mendapati bahawa perkataan falak bukan berasal daripada bahasa Arab tetapi telah dipinjam daripada perkataan sumerian iaitu pilak atau lebih tepat ia membawa maksud ilmu mengenai bintang.


Namun begitu, perkataan falak pada hakikatnya telah dinyatakan dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Anbiya’ ayat 33:
“Dan Dialah (Allah) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan masing-masing dari keduanya itu beredar pada garis peredarannya”.
Dalam ayat ini dengan jelas Allah menyebut perkataan ‘falak’ yan menunjukkan bahawa perkataan ini telahpun menjadi sebahagian daripada bahasa Arab dan dikenali serta disepakati penggunaannya di kalangan bangsa Arab.

Para ilmuan Islam silam mengemukakan beberapa takrif ilmu falak bersesuaian dengan kemahiran dan kecenderungan keilmuan mereka; antaranya al-Biruni mendefinisikan falak sebagai sesuatu yang saling bertukaran atau kajian ke atas objek yang bergerak di angkasa. Manakala Ihwan al-Safa mendefinisikan ilmu falak sebagai ilmu yang mengkaji tentang tatasuria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan-gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubungan dengannya.

Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Mukaddimah menyatakan bahawa ilmu falak ialah sebagai satu ilmu yang mengkaji dan mempelajari pergerakan tetap bintang-bintang sama ada yang bergerak atau yang berpusing. Gerakan-gerakan tersebut dapat diketahui samaada melalui cerapan atau perhitungan. Ilmu perhitungan pula adalah berdasarkan kepada keilmuan tentang pergerakan dan kedudukannya.

Manakala ilmu falak dalam konteks Masyarakat Malaysia ialah penggunaan kaedah-kaedah falak termasuk hasil pengiraannya serta segala maklumat yang diperolehinya yang digunakan untuk tujuan beribadat kepada Allah dan mengaitkan dengan keesaan Allah.

PERKEMBANGAN ILMU FALAK DI MALAYSIA

Kedatangan dan perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu jika di tinjau daripada sudut sejarah adalah serentak dengan kedatangan Islam. Catatan tarikh pada Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu dan kedatangan Syeikh Abd. Aziz al-Nayyiri ke Melaka telah membuktikan bagaimana ilmu falak di fahami oleh masyarakat Melayu melalui perkembangan Islam.

Namun begitu, ilmu falak ini bukanlah ilmu yang dominan, biasanya ilmu ini terangkum dalam ilmu-ilmu lain yang terdapat pada ulama’-ulama’ silam. Pada zaman ini, ilmu falak digunakan untuk tujuan penentuan peribadatan seperti penentuan masuk waktu solat, penentuan awal Ramadan dan awal zulhijjah. Para ulama’ pada ketika ini sudah dikenali sebagai seorang ahli hokum dan pada masa yang sama seorang ahli falak yang sangat cekap.

Selepas merdeka, ilmu falak mula berkembang dan terpisah daripada fiqh. Pada waktu ini, seorang ulama’ terkenal bernama Syeikh Tahir Jalaluddin telah menulis satu karya berkaitan ilmu falak yang dinamakan Pati Kiraan yang mengandungi formula-formula berkaitan pengiraan waktu solat, arah kibat dan sebagainya. Pada sekitar tahun 70an, ilmu falak ini terus berkembang pesat dengan penubuhan unit-unit falak syarie di Jabatan-jabatan Agama Negeri yang kemudiannya diletakkan di bawah Jabatan Mufti Negeri apabila berlaku penstrukturan semula Jabatan Agama dan Jabatan Mufti Negeri.

Institusi pertama yang menawarkan pengajian secara sistematik berkaitan ilmu falak ialah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)yang dikendalikan oleh Dr Baharuddin Ismail sekitar tahun 90an yang menyediakan program peringkat Sijil Falak Syar’ie. KUSZA telah berjaya menghasilkan graduan yang berkemahiran dalam ilmu falak. Hasilnya graduan-graduan ini ditempatkan di unit-unit falak, Jabatan-jabatan Mufti Negeri dan banyak menghasilkan penulisan falak dan menubuhkan persatuan-persatuan falak yang bergiat cergas bagi menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan astronomi dalam masyarakat.

Pada tahun 2006, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Falak), Sarjana Syariah (Falak) dan Ph.D (Falak) dengan kerjasama dengan Fakulti Sains Universiti Malaya. Sehingga kini Universiti Malaya menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Pada tahun 2008, pihak Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) juga membuka pengajian peringkat sijil kepada orang awam bagi memantapkan lagi pemahaman orang awam terhadap ilmu falak. Program ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Diharapkan agar ilmu falak terus berkembang luas dan pesat di Malaysia kerana ilmu ini sangat berguna kepada masyarakat awam.

Baca Selengkapnya......

Thursday, August 6, 2009

Polemik Bacaan Yaasin Malam Nisfu Sya'ban

KECEWA HATI SEORANG LEBAI

Salam sejahtera rakan bloggers yang selalu mengunjungi saya. Semalam adalah malam nisfu sya’aban. Dalam hadis ada disebut sebagai malam yang amalan manusia di angkat oleh Allah s.w.t . Saya tidak pasti kategori hadis ini sama ada ia sahih atau dha’if. Tapi dalam satu riwayat dalam Sahih Bukhari ada menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang kelebihan bulan sya’aban:

“aku lebih suka amalanku di angkat oleh Allah, dalam keadaan aku berpuasa”.

Pada kebiasaannya, pada malam nisfu syaa’ban masyarakat kita akan berkumpul beramai-ramai di masjid untuk menunaikan solat maghrib secara berjamaah dan seterusnya membaca yasin sebanyak tiga kali mengikut pengamalan ulama’ terdahulu.


Daripada sudut sosiologi, saya sangat gembira apabila melihat masyarakat kalangan saya rapat dengan masjid atas penganjuran aktiviti sebegini. Syukur Alhamdulillah, ada perubahan dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya masyarakat menyedari bahawa bulan sya’aban hampir ke penghujung dan bulan Ramadan akan menjelang tiba, bulan yang dinantikan oleh orang-orang yang dahagakan ganjaran daripada Allah.

Apa yang saya kesalkan ada sebilangan rakan sarjana di kalangan saya bertanya...boleh tolong nyatakan daripada kitab mana pengamalan bacaan yasin malam nisfu sya’aban ini diambil?

Menurut rakan sarjana saya lagi…amalan ini tidak menepati sunnah dan tidak diamalkan oleh Rasul.

Sebagai seorang yang terdidik dengan menghormati keilmuan yang dimiliki oleh orang lain, saya tersenyum, mengangguk dan terus berlalu pergi membiarkan rakan saya terpinga-pinga. Hati kecil saya terdetik:

“Ya Allah terangilah hatiku, permudahkanlah urusanku, rungkaikanlah kelu lidahku mudah-mudahan rakan sarjanaku memahami apa yang tengah aku ungkapkan”.

“ Ya Allah berikanlah petunjuk kepada masyarakat kalanganku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui, berilah keterbukaan hati dalam menerima Islam seadanya”.

Berlaku di sebuah masjid di daerah **** ******sedikit pertelingkahan berkaitan dengan pengamalan yang disebutkan tadi. Saya sangat terkejut pada ketika itu, saya dapat panggilan telefon,tn. Lebai boleh tolong datang…ada penghujahan dan pertelingkahan tentang bacaan Yasin malam nisfu Sya’ban.

Ya Allah..saya baru je habis solat di sebuah masjid di kawasan rumah saya. Saya terus bergegas ke masjid yang dinyatakan, sesampainya saya ke masjid tersebut…saya dapat lihat ahli jemaah kebingungan melihat perdebatan yang berlaku…

Saya memberikan salam, saya mohon secara baik supaya perdebatan ini dihentikan…alhamdulillah dengan rahmat Allah kedua-dua pihak menghormati permintaan saya.

Saya mohon kepada Tn. Imam agar membenarkan saya bercakap sedikit berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya ketika berada di salah sebuah pondok di Negeri Jelapang Padi.

Saya menyatakan:
Perkara yang tengah dibincangkan ini adalah perkara khilafiyyah….perkara yang sudah dibincangkan oleh ulama’ sejak sekian lama…takkan ada penyelesaiannya…pengalaman saya, saya telah meneliti hujah kedua-dua pihak..saya dapati kedua-dua pihak ada kekuatan dan kelemahannya sendiri…sebagai insan yang terdidik dengan tradisi menghormati pendapat orang lain, saya lebih suka mengambil pendekatan seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis: Rasul s.a.w bersabda:

“Perbezaan di kalangan umatku adalah rahmat”

Saya nyatakan dengan secara jujur, siapa yang rasa amalan itu sampai, silakan….jika siapa yang berpandangan amalan itu tidak sampai…tak perlu lakukan..

Selepas, saya selesai memberi pandangan, bangun seorang daripada jemaah tersebut menyatakan bahawa dia adalah lulusan pengajian Islam daripada salah sebuah universiti di timur tengah…dia bertanya…ustaz lulusan mana? Kalau ustaz orang berilmu nyatakan hujah..Individu itu mengungkapkan perkataan tersebut secara beremosi…

Sekali lagi kekuatan saya diuji… Saya melemparkan sekuntum senyuman…Saya menyatakan bahawa saya hanya lulusan agama dalam negara..Dengan nada yang rendah saya nyatakan bahawa pada hakikatnya ustaz telahpun tahu hujahnya…dan ustazpun tahu perkara ini adalah perkara khilafiyyah..dan di Negara timur tengah banyak perbahasan yg ustaz boleh dapat, siap dengan hujahnya sekali…

Terdiam ustaz muda tersebut apabila saya bercakap begitu..dengan nada sama saya nyatakan, “ustaz..perkara yang telah ustaz bahaskan adalah perkara khilafiyyah, kita sepatutnya berlapang dada dengan perkara yang sebegini, perkara khilafiyyah ini jika dilontarkan di dalam masyarakat akan menyebabkan masyarakat menjadi keliru, masyarakat bukanlah golongan yang berilmu seperti ustaz..jadi berbicarala dengan lebih terbuka sesuai dengan penerimaan masyarakat”.

Sekali lagi ustaz muda itu terdiam, bangun meninggalkan majlis…

Saya pernah ditanya berkaitan keharusan tahlil, bacaan talkin, bacaan yasin malam jumaat dan sebagainya. Saya berpandangan:

1. Perkara itu adalah perkara khilaf, tak perlu dibincangkan. Dah dibincangkan setelah sekian lama…umpama soalan ayam dan telur…mana yang wujud dulu? Ayam atau telur?.

2. Perkara ini termasuk dalam fadilat amal, Imam al-Ghazali telah nyatakan dalam ihya’ ulumuddin harus beramal dengan fadilat amal walaupun hadis tersebut dalam rangkaian hadis da’if.

3. Aktiviti sebegini dapat mendekatkan masyarakat kepada masjid dan menjadi penghubung kepada silaturrahim…jadi tidak salah jika kita bermatlamat begitu. Dalam keadaan masyarakat yang hanyut sekarang…apa salahnya aktiviti begitu dijalankan.

4. Sebagai contoh ada orang yang mempertikaikan amalan masyarakat berkaitan bacaan yasin pada malam jumaat…secara logiknya saya menjawab “lebih baik dia baca yasiin daripada menonton cerita keliwon, susuk dan sebagainya, sekurang2nya dia baca quran dalam seminggu sekali.”

5. Amalan ini adalah baik mengikut pandangan saya, Cuma jangan jadikan ia sebagai tradisi yg perlu dilakukan seolah-olah amalan tersebut sampai ke tahap wajib.

6. Nasihat saya kepada para sarjana...boleh kita dedahkan perbahasan2 ini kepada masyarakat, tapi pastikan masyarakat bersedia menerima dan fikirkan apa yang akan berlaku dalam masyarakat sedangkan perkara ini jelas sekali berbentuk khilafiyyah.

7. Saya rasa setiap daripada kita (org yg berilmu) tahu hujah bagi setiap pihak sama ada yg menyokong atau yang menentang, justeru tak perlu saya kemukakan hujah-hujah, kitab, hadis yang berkaitan. Secara peribadi saya malas nak berhujah dalam perkara ini. Tapi saya nyatakan dengan jujur, saya melakukan amalan-amalan tersebut, persoalan sampai atau tidak kita serahkan kepada Allah, tapi yang pastinya apabila kita membaca quran, pasti ada ganjarannya daripada Tuhan Semesta Alam…Wallahua’lam

Sekian, Luahan Rasa Al-Faqir ila afwi Rabbih…
Lebai Yusri
“Hamba Umpama Rumput di Bumi
Rendah Sekali Pada Yg Banyak”

Baca Selengkapnya......

Sunday, July 5, 2009

Rujuk Melalui Perbuatan

RUJUK MELALUI PERBUATAN: PERSPEKTIF SYARIAH

Oleh:
Nahar bin Alias
B.A (Syariah Jenayah Siasah)I.A.I.N Indonesia
DSLP (Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Guaman Syarie)
M.A (Syariah dan Undang-Undang) UKM
Peguam Syar'ie (Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak & Pahang)

&

Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A (Syariah (Fiqh & Usul))Universiti Malaya
M.A (Syariah (Muamalat)) UKM
Diploma Pend (PAI & Bahasa Arab)
Ijazah Perubatan Islam (Darussyifa')
Sijil Falak Syar'ie KUIS

Salam sejahtera rakan-rakan bloggers, ada yang bertanya kami tentang apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini berkaitan dengan seseorang yang masih menyetubuhi bekas isterinya setelah diceraikan dalam waktu iddah.Artikel ini pada hakikatnya ditulis khusus untuk penggulungan hujah satu kes yang dikemukakan di Mahkamah Syariah,namun begitu kami berpendapat ia adalah satu pandangan yang bersifat ilmiah yang wajar di utarakan ke dalam masyarakat. Kepada Tn. Amal, ini jawapan kepada pertanyaan saudara. Di sini kami kemukakan beberapa pandangan fuqaha' berkaitan dengan persoalan ini. Semoga pertanyaan tersebut terjawab. Wallahua'lam...Faqirayni ila afwi rabbih....

DEFINISI RUJUK

Rujuk adalah daripada bahasa Arab yang dipakai secara menyeluruh oleh umat Melayu Nusantara dengan pengertian penarikan balik sesuatu. Kamus Dewan pula mentakrifkan rujuk sebagai kembali (kahwin) dengan isteri yang sudah diceraikan mengikut syarat-syarat tertentu. Daripada sosiologi bahasa, rujuk adalah masdar atau kata terbitan raja'a yarji'u ruju'a marji'an yang memberi erti kembali atau balik. Adapun raj'ah atau rij'ah dari segi bahasa adalah masdar marrah dari ruju' ertinya satu nama untuk sekali rujuk atau sekali kembali.

Rujuk daripada sudut istilah syara' ialah mengembalikan isteri yang telah ditalak dengan talak raj'i (bukan bain) kepada perkahwinan asal sebagai tindakan untuk mempertahankan ikatan yang telah dibina. Rujuk tidak memerlukan wali, mas kawin dan tidak juga memerlukan kesediaan isteri yang telah diceraikan. Ini adalah berdasarkan firman Allah:




وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ
Yang bermaksud: Dan para suami berhak merujuk dalam masa iddah tersebut dengan tujuan yang baik. (al-Baqarah: 228)

Juga firman Allah berikut:
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ
Yang maksudnya: Dan apabila mereka mendekati akhir iddahnya, maka pertahankanlah mereka dengan cara makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara makruf (pula).

Daripada perbahasan ini, kita dapati bahawa apabila wanita yang diceraikan itu mendekati masa akhir iddah mereka, suami mempunyai hak untuk merujuk mereka semula.

Para ulama' mazhab sependapat bahawa wanita yang dirujuk itu hendaklah berada dalam masa iddah bagi talak raj'i. Dengan demikian wanita yang ditalak ba'in sekalipun belum dicampuri tidak boleh dirujuk kerana wanita tersebut tidak mempunyai iddah. Juga para suami tidak berhak merujuk wanita yang di talak tiga kerana Islam mensyaratkan untuk kembali kepada isteri yang ditalak tiga memerlukan seorang muhallil.

Ulama' juga telah sepakat menyatakan bahawa rujuk boleh dilakukan dengan ucapan (perkataan) namun kalimah yang digunakan mestilah jelas dan memberi maksud rujuk. Namun begitu para ulama' berbeza pandangan berkaitan perihal rujuk yang dilakukan dengan perbuatan seperti bersetubuh atau pendahuluan-pendahuluan ke arah persetubuhan seperti ciuman, cumbuan, pelukan, rabaan dan sebagainya yang menjurus ke arah persetubuhan tanpa di awali dengan ucapan atau lafaz yang menunjukkan kepada rujuk.

Para Ulama' Mazhab Shafie berpandangan bahawa rujuk mesti dilakukan dengan ucapan atau tulisan. Justeru itu, para ulama' mazhab shafie berpandangan bahawa rujuk yang dilakukan dengan perbuatan adalah tidak sah walaupun perbuatan itu diniatkan sebagai rujuk. Dalam soal ini, golongan ini menyatakan bahawa haram bagi suami mencampuri isterinya dalam iddah melainkan setelah merujuknya melalui lafaz. Jika suami mencampuri isterinya, ia harus membayar mahar mithil kerana percampuran tersebut tergolong dalam percampuran syubhat.

Fuqaha' Mazhab Maliki berpandangan bahawa rujuk sah dilakukan dengan perbuatan yang disertai dengan niat rujuk. Jika suami mencampuri isterinya tersebut tanpa niat, rujuk tidak akan terjadi. Namun percampuran tersebut tidak mengakibatkan adanya hukuman hadd ataupun tidak diwajibkan membayar mahar. Manakala anak yang dilahirkan hasil daripada pesetubuhan itu masih dikaitkan nasabnya kepada lelaki tersebut.

Fuqaha' Mazhab Hanbali pula berpandangan bahawa rujuk melalui perbuatan hanya boleh terjadi melalui persetubuhan. Oleh itu, rujuk akan terjadi sekalipun perkara tersebut tidak diniatkan oleh suami. Jika hanya perbuatan selain daripada persebubuhan seperti sentuhan, rabaan, ciuman, pelukan dan sebagainya tidak dianggap sebagai rujuk.

Fuqaha' Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi melalui persetubuhan, sentuhan dan ciuman dan perbuatan yang seumpamanya yang dilakukan oleh lelaki yang melafazkan talak terhadap isterinya dengan syarat semua yang dilakukan tersebut dengan nafsu syahwat. Dalam soal ini juga, fuqaha' Mazhab ini berpandangan bahawa rujuk juga sah dilakukan oleh orang yang tertidur, lupa, dipaksa dan gila. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menceraikan isterinya, selepas beberapa ketika dia gila , kemudian dia melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum habis waktu iddah, rujuk tersebut dikira sah.

Manakala fuqaha' Syiah Imammiyyah berpandangan bahawa rujuk boleh terjadi dengan persetubuhan, ciuman dan sentuhan sama ada dilakukan dengan syahwat atau pun tidak dan tidak memerlukan pendahuluan berupa ucapan. Perbuatan tersebut juga tidak memerlukan niat rujuk.

Baca Selengkapnya......

Wednesday, June 24, 2009

Warkah Buat Sahabat

Salam Sejahtera..buat rakan blogger yang sering mengunjungi ku...tak de bahan ilmiah pada post kali ini..kesibukanku membuatkan penulisan terhenti..buat Amal..saya mohon maaf..artikel saya tentang poligami hampir siap..tapi musnah angkara mother board komputer usang saya rosak..aduh..penat..banyak maklumat dan bahan ilmiah hasil nukilan saya musnah..takpela...ini semua ketentuan Allah buat saya..yang pastinya semangat saya akan terus membara untuk terus menghasilkan lebih banyak penulisan ilmiah pada masa-masa akan datang...Selamat membaca...

Buat Insan Yang Ku Anggap Sahabat...(Jedi, Azrin, Anyah, Sifu dan Amal)


Teringat ku kepada garapan bait indah lagu nasyid yang dinyanyikan oleh Kumpulan Hijjaz:

Telah tiba saat waktu
Kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang maha esa
Telah menetapkan
Pedih rasanya hati ini
bila mengenangkan kau sahabatku
Kau teman sejati...




Satu ketika diri ini mempunyai seorang sahabat yang bernama:

Hasaidi..
Insan yang istimewa...
Perhubungan melebihi batas sahabat..
Mungkin boleh ku gambarkan
Sebagai adik beradik
aku yang keenam...
Dia sering membantuku di saat aku
Dilanda kesedihan dan kesusahan..
Memahami dan mengerti
Keikhlasan yang berada di dalam dadaku ini..
Setiap langkahku dijadikan tauladan..
Setiap tutur kataku dijadikan sempadan..
Setiap gerak geriku dianggap sebagai motivasi..
Buat sahabat..
Diri ini tidak sesempurna
Seperti mana yang engkau gambarkan..
Kekadang aku juga tersasar...
Aku juga bukanlah seorang 'wali'
seperti yang kau agungkan..
Insan biasa,tiada kelebihan
Hamba umpama rumput dibumi
Rendah sekali pada yang banyak..

Azrin...
Kau juga terlalu istimewa buatku
Kita selalu tidak sehaluan bila bersama
Tetapi mempunyai hati dan naluri yang sama
Kau juga menganggap aku
Beruntung dilahirkan sebagai Yusri
Untung? Ya aku beruntung..sangat beruntung..
Di matamu akulah seorang sahabat...
Sehingga pernah keluar daripada
Bibirmu..aku umpama satu dalam sejuta..
Alhamdulillah..syukur..kalau itu yang kau rasa..
Aku pun begitu..engkau umpama bintang dilangit..
sentiasa bersinar..walaupun
Terkadang dirimu penuh dengan dugaan...
Aku tahu kau menyayangiku
Sebagai seorang sahabat..
Walaupun tanpa aku sedarinya..
Rin..maafkan aku atas kesilapan yang lalu..
Aku juga manusia biasa..
Slalu sangat menyakitimu...
Tapi percayala..
Aku tidak pernah lupa untuk mendoakanmu...
Mendoakanmu hampir setiap masa...

Anyah...
Kehadiranmu walaupun seketika..
Membuatkan hidupku ceria..
Banyak yang dipelajari daripada insan
Yang tengah ku gambarkan ini...
Sabar, berlembut dan kekadang amat tegas
Hinggakan aku menitiskan airmata..
Tapi aku amat menghormatimu...
Terima kasih atas huluran persahabatan
yang telah kita bina...
Di matamu aku seperti fahri...
Sudah tentu aku juga istimewa
di hatimu...sebagai seorang adik..
adik yang sangat manja..
Kekadang tak tertahan juga dengan perangai ku..
Buat insan yang ku panggil anyah..
aku juga insan biasa..
banyak melakukan kesilapan..
Aku mengharapkan agar kau
memahami dan mengerti apa yang tersirat
di dalam hati ini..
aku bukan seperti setengah insan lain..
cuba mengambil kesempatan atas kebaikanmu..
Aku tidak anyah..demi tuhan...
Tak terniat dihati ini selain daripada
menjadi insan yang membantumu
di saat kau perlukan
dan gembira dan bersyukur bila kau gembira..
Mendoakan mu menjelang pagi dan petang
Aku tidak mengharapkan apa2 daripada perhubungan ini
Sekadar mengharapkan redha dan balasan
Daripada tuhan yang esa..justeru..
panggillah diri ini 'ADIK'...
Panggilan yang cukup menggembirakan
Hati yang sangat lembut ini...


Sifu dan Amal..
Dua orang yang aku kenal di SKDN...
Pertemuan mulanya hanya teman biasa..
Lama kelamaan..hati mula terpaut
atas keikhlasan yang ada..
Hatiku terpaut atas pertolongan yang datang..
Kadang2 tanpa perlu aku pinta..
Sifu...
Aku tahu kau juga tidak lama di SKDN
walau apapun jejak langkahmu
ingatlah..masih ada hamba kecil
Berdoa untuk kebaikanmu
Berdoa untuk hasrat baikmu..
Berdoa semoga kau sihat selalu
Dan berjaya mencapai apa yang dihajatimu...
Sifu, jangan sekali kau
putus harapan dengan Allah
Minta, berdoalah
Allah pasti akan memperkenankannya...
Amal...
Sewaktu aku menerima panggilanmu
Aku tergamam seketika..
'GPK'...ah! aku akan kehilangan
teman berbual, teman bagi meluahkan perasaan
teman yang memahami setiap situasi
yang sedang aku tempuhi...
Aku kehilangan razali buat kali kedua..
Pada ketika itu, aku akan rasa seperti
hilangnya cikgu razali
Satu ketika dulu gara gara
penyakit yang sama 'GPK'..
Amal, pria prai, Chulan Chin, 4444, Mira dan Kail Usang
Aku mohon seribu kemaafan atas
Segala kesalahan yang tidak aku sengajakan..
Yang pasti aku tidak akan menyakitimu dalam keadaan sedar..
Terimala dariku..salam perpisahan
Semoga Rahmat Allah dan Redha Rasul mengiringimu..
Ameen...


Buat sahabatku..semoga kita dalam rahmat dan lindungan illahi...

Baca Selengkapnya......

Monday, March 9, 2009

Kiamat di Dalam Quran: Penelitian Ringkas Nama-nama Lain Bagi Kiamat

Nama-nama Lain Bagi Hari Kiamat: Perbahasan Ringkas

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Sarjana Syariah (Muamalat)UKM
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul) UM
Diploma Pendidikan (Pend Islam dan Bahasa Arab)
Ijazah Pengamalan Perubatan Islam Darussyifa'

Assalamualaikum Rakan Bloggers
Salam buat bloggers yang selalu bertandang ke blog saya...maafkan saya kerana lama tidak hasilkan buah tangan untuk anda semua. Kali ini saya menulis berkaitan dengan nama lain bagi hari kiamat. Saya berterima kasih kepada seorang sahabat saya yang bernama Normah Abd. Hamid rakan seperjuangan saya di Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding atas pertanyaannya yang akhirnya menghasilkan penulisan ringkas ini..t.kasih atas segalanya. Sepanjang pemerhatian saya..terdapat hampir 15 nama lain bagi kiamat..tapi keterbataan yang ada membuatkan saya hanya sempat menyenaraikan secara terperinci 6 sahaja nama lain bagi hari kiamat. Selamat berlayar sahabatku...Ilmu itu cahaya..cahaya tidak akn menerangi hati-hati yang penuh dengan maksiat.



Hari Kiamat ditakrifkan oleh Kamus Dewan sebagai hari kehidupan semula atau kebangkitan sekalian manusia daripada mati. Selain itu, kamus ini juga mendefinisikan kiamat sebagai hari penghabisan dunia iaitu hari hidupnya kembali sekalian manusia untuk menghadapi keadilan tuhan dan hari akhir zaman iaitu pada ketika ini dunia dan segala-galanya telah dimusnahkan oleh Allah s.w.t.

Menurut sosiologi bahasa Arab Kiamat berasal daripada perkataan قيام yang membawa maksud bangkit atau bangun. Terdapat banyak penggunaan al-Quran berkaitan dengan istilah 'yaumul qiyamah' antaranya ialah:
1. Surah Muhammad: ayat 18 yang mafhumnya:
" Maka tidaklah mereka tertunggu-tunggu melainkan hari kiamat (yaumul qiyamah) iaitu yang datang kepada mereka secara tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran itu apabila kiamat telah datang?".
2. Surah al-Hajj : ayat 85 yang mafhumnya:
" Dan sesungguhnya hari kiamat (yaumul qiyamah) itu pastilah datang dan tidak ada keraguan padanya".
3. Surah al-Nisa': ayat 159
" Tidak ada seorangpun dari ahli kitab kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya dan di hari kiamat (yaumul qiyamah) nanti Isa akan menjadi saksi kepada mereka."
4. Surah al-Zukhruf: ayat 10.
" Dan sesungguhnya Isa itu benar-benar memberikan pengetahuan tentang hari kiamat (yaumul qiyamah) kerana itu janganlah kamu ragu-ragu tentang kiamat dan ikutilah aku. Inilah jalan yang lurus."



Jawapan:
Nama-nama lain bagi hari kiamat ialah:
Pertama: Hari Akhir (Yaumul Akhir)
Hari akhir dalam bahasa Arab disebut sebagai yaumul akhir yang bererti hari terakhir dunia ini wujud dan akan musnah selepas itu dan semua manusia akan dibangkitkan selepas peristiwa itu. Dan alam pada ketika itu dinamakan sebagai akhirat.
Kamus Dewan mendifinisikan perkataan akhir adalah sebagai kemudian sekali atau penghabisan. Dari pentakrifan ini dapat kita fahami bahawa hari akhir adalah hari penghabisan bagi dunia dan seluruh alam ciptaan Allah ini.
Dalam al-Quran terdapat banyak penggunaan hari akhir sebagai nama lain bagi kiamat antaranya:
1. Surah al-Baqarah ayat: 126 yang mafhumnya:
" Dan ingatlah ketika nabi Ibrahim berdoa dan berkata "wahai tuhanku, jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir di antara mereka. Allah berfirman: permohonan itu diterima tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu sementara di dunia, kemudian aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab nereka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."
2. Surah al-Baqarah ayat: 232 yang mafhumnya:
" Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu lalu habis masa iddah mereka maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan bekas suami mereka, apabila mereka bersetuju secara sesama sendiri dengan cara baik yang dibenarkan oleh syarak. Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci.


3. Surah Ali-Imran ayat: 114 yang mafhumnya:
" Mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhir dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang buruk (salah dan keji) dan mereka pula bersegera mengerjakan berbagai-bagai kabajikan. Mereka yang demikian itu adalah dari orang-orang yang soleh."
4. Surah al-Nisa' ayat: 38 yang mafhumnya:
" Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjk-nunjuk kepada manusia (riak) dan mereka pula tidak beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhir. Dan sesiapa mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka seburuk-buruk teman adalah syaitan."
5. Surah al-Nisa' ayat: 59 yang mafhumnya:
" Wahai orang-orang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhir."
6. Surah al- Nisa' ayat: 136 yang mafhumnya:
" Wahai orang-orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasulnya dan kepada kitab Allah yang telah diturunkan kepada Rasulnya (Muhammad) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur dan ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikatnya dan kitab-kitabnya dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhir, maka ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya."
7. Surah al-Nisa' ayat: 162 yang mafhumnya:
" Tetapi orang-orang yang teguh dan mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang beriman, sekeliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhir; mereka itulah yang kami berikan kepadanya pahala balasan yang amat besar."
Kedua: Hari Agama (Yaumu al-Din)
Kamus Dewan edisi elektronik apabila dimasukkan pada entri perkataan al-din mentakrifkan al-din sebagai agama. Kamus dewan juga mentakrifkan perkataan yaumuddin sebagai hari kiamat. Manakala Tafsir Pimpinan al-Rahman terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang diketuai oleh Syeikh Abdullah Basmeih ketika mentafsirkan perkataan yaumuddin dalam kebanyakan tempat dalam al-Quran mendefinisikan yaumuddin sebagai hari pembalasan.
Hari ini dinamakan sebagai hari agama kerana pada hari ini semua manusia dikumpulkan di satu tempat dan akan dihitung dosa dan pahala yang dikumpul di dunia. Pada waktu ini beruntunglah hamba Allah yang menganggap bahawa Islam adalah agama yang syumul yang merangkumi cara hidup di dunia dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan sehariannya serta rugi bagi orang yang menganggap bahawa Islam adalah semata-mata agama yang dianuti tanpa ada kaitan dengan cara hidup seharian.
Terdapat lebih kurang 10 tempat di dalam al-Quran yang menggunakan yaumuddin sebagai gambaran atau nama lain kepada kiamat, antaranya:
1. Surah al-Fatihah ayat: 4
" Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan (hari kiamat) (yaumuddin)."
2. Surah al-Hijr ayat: 35
" Dan sesungguhnya engkau akan ditimpa laknat sehingga hari kiamat (yaumuddin)."
3. Surah al-Syu'ara' ayat: 82
" Dan (Dia-lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat (yaumuddin)."
4. Surah Shad ayat: 78
" Dan sesungguhnya engkau akan ditimpa laknatku secara terus menerus hingga hari kiamat (yaumuddin)."
5. Surah al-Saffat ayat: 20
" Dan pada saat itu mereka berkata: celakalah kami, hari ini adalah hari pembalasan (yaumuddin)."
6. Surah al-Zariyat: 6
" Dan sesungguhnya balasan amal (hari pembalasan) (yaumuddin) akan berlaku."
7. Surah al-Waqi'ah ayat: 56
" Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari pembalasan (yaumuddin)."
8. Surah al-Ma'arij ayat: 26
" Dan mereka percaya hari pembalasan (dengan mengerkan amal-amal soleh sebagai bukti)."
9. Surah al-Waqi'ah: 56
" Dan inilah azab yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari pembalasan (yaumuddin)."
10. Surah al-Mudassir: 46
" Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan (yaumuddin)."
11. Surah al-Infitar: 11
" Dan mereka sentiasa mendustakan hari pembalasan (yaumuddin)."
12. Surah al-Tiin: 2
" Dan dengan apa lagi mereka mendustakan hari pembalasan (yaumuddin)?."
13. Surah al-Ma'uun: 1
"Tidakkah kamu lihat orang-orang yang mendustakan hari pembalasan (yaumuddin)."
Ketiga: Hari Perhitungan ( Yaumul Hisab)
Perkataan hisab menurut Kamus Dewan ialah hitung, perkiraan atau kira mengira. Daripada maksud yang diberikan dapat kita fahami bahawa hari kiamat juga dianggap sebagai hari perhitungan iaitu hari yang amalan manusia ditimbang dan dikira di hadapan Allah s.w.t dan pada hari inilah ditentukan sama ada seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Pada hari ini semua amalan manusia yang dilakukan di dunia diambil kira dan dibentangkan dihadapan Allah s.w.t sebagai Hakim Yang Maha adil.
Kajian ini mendapati kalimah atau perkataan hari perhitungan atau yaumul hisab digunakan sebanyak 4 kali dalam al-Quran. Antaranya:
1. Surah Shad: 16 yang mafhumnya:
" Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ngejek): wahai tuhan kami, segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal."
2. Surah Shad: 26 yang mafhumnya:
" Wahai Daud, sesungguhnya kami Kami telah menjadikanmu khalifah dibumi, maka jalankanlah hokum di antara manusia dengan apa yang disyariatkan yang benar dan janganlah menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal (yaumul hisab), disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu."
3. Surah Shad: 53 yang mafhumnya:
" Dan inilah balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai perhitungan amal (yaumul hisab)."
4. Surah Ghafir: 27 yang mafhumnya:
" Dan setelah (mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: Sesungguhnya akau berlindung Tuhanku dan Tuhan kamu dari angkara tiap-tiap orang sombong dan takbur yang tidak beriman dengan hari hitungan amal (yaumul hisab)."
Keempat: Hari Berlakunya Peritiwa Besar (al-Waqi'ah)
Antara nama lain bagi kiamat ialah al-waqi'ah atau dalam bahasa melayu boleh ditakrifkan sebagai hari berlakunya peristiwa besar atau hari kiamat. Dalam al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan al-Waqiah iaitu surah yang menceritakan bagaimana kejadian kiamat berlaku. Kajian ini mendapati di dalam al-Quran disebut sebanyak 2 kali perkataan al-Waqi'ah yang mengambarkan kejadian kiamat yang cukup dahsyat. Antaranya ayat tersebut ialah:
1. Surah al-Waqi'ah: 1 yang mafhumnya:
" Dan apabila berlaku hari kiamat (kejadian besar) (waqi'ah)."
2. Surah al-Haqqah: 15 yang mafhumnya:
" Dan pada hari itu berlakunya kiamat (waqi'ah)."
Kelima: Saat yang akan berlaku (al-Haaqqah)
Nama kelima bagi kiamat ialah saat yang akan berlaku iaitu hari kiamat. Dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang dinamakan dengan nama ini. Jika diteliti kandungan surah tersebut dapat kita fahami bahawa surah tersebut menyatakan dengan jelas bagaimana kaum-kaum terdahulu dimusnahkan. Antara peristiwa yang diceritakan ialah bagaimana kaunm 'Ad dan Thamud dimusnahkan dengan rebut yang sangat kuat dan bagaimana kaum nabi Nuh dilenyapkan dari muka bumi ini dengan banjir yang sangat besar.
Dalam al-Quran disenaraikan beberapa ayat yang mendefinisikan kiamat dengan nama al-Haaqah antaranya dalam surah al-Haaqah ayat 1 hingga 3:
الْحَاقَّةُ (1) مَا الْحَاقَّةُ (2) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحَاقَّةُ (3)
Yang mafhumnya:
" Saat itu tetap berlaku. Apakah sifat dan keadaan saat yang berlaku itu. Dan apa jalannya dapat engkau mengetahui saat yang akan berlaku itu.
Keenam: Bencana yang menggemparkan (al-Qari'ah)
Nama lain bagi kiamat juga ialah al-Qari'ah yang membawa maksud hari atau bencana yang menggemparkan. Dalam surah ini dijelaskan dengan terperinci bagaimana keadaan manusia pada hari tersebut, bagaimana alam ini dimusnahkan dalam sekelip mata dan balasan yang setimpal bagi orang yang berbuat baik dan jahat ketika kehidupan mereka di dunia. Nama kiamat ini boleh di dapati dalam surah al-Qariah ayat 1-3:

Yang mafhumnya:
" Hari yang menggemparkan (al-Qari'ah). Apa dia hari yang menggemparkan itu (al-Qari'ah). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui hari yang menggemparkan itu (al-Qariah)?."

Baca Selengkapnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template