Tuesday, October 14, 2008

Kaedah Fiqh dalam Pasaran Modal Islam Malaysia

KAEDAH FIQH DALAM PEMBANGUNAN PASARAN MODAL ISLAM DI MALAYSIA

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (Fiqh dan Usul) (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip Pendidikan (Pend. Islam & B.Arab) (I.P.G.I.K)

1.1 Pengertian Bahasa

Kaedah fiqh menurut pengertian bahasa ia mengandungi dua kalimah; kalimah pertama berasal daripada bahasa Arab iaitu qa’idah yang membawa maksud asas sesuatu dan asalnya. Manakala kalimah kedua ialah perkataan fiqhiyyah berasal daripada perkataan fiqh yang mana ia membawa maksud al-fahmu iaitu suatu kefahaman (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 1).

1.2 Pengertian Istilah

Para ulama’ mentakrifkan kaedah fiqh dengan pelbagai takrif namun para penyelidik mendapati bahawa ia mengandungi maksud yang sama namun diungkapkan dalam pelbagai susunan bahasa.Antara takrif yang kerap diutarakan dalam memahami kaedah fiqh ialah prinsip-prinsip fiqh yang bersifat umum dalam bentuk nas pendek yang berbentuk hukum umum yang sesuai dengan bahagian-bahagiannya (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 106).

Selain daripada itu, kaedah fiqh juga ditakrifkan sebagai asas-asas atau prinsip-prinsip fiqh yang bersifat menyeluruh dalam bentuk nas-nas dan teks-teks perundangan yang ringkas yang merangkumi hukum-hukum yang disyariatkan secara umum mengenai atau tentang perkara-perkara yang tergolong di dalam lingkungannya.



Sebahagian ulama’ pula mentakrifkan kaedah fiqh sebagai kaedah-kaedah hukum yang bersifat umum yang diambil daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang mana ia menjadi asas kepada kaedah-kaedah yang sekaligus dapat disesuaikan dengan banyak juziyyah atau cabang-cabang perbahasan dalam ilmu fiqh. Sebagai kesimpulannya, kaedah fiqh ialah suatu kaedah dalam undang-undang Islam yang disusun oleh para ulama’ untuk menjadi asas untuk memahami dan mengembangkan fiqh Islam tentang kaedah-kaedah hukum (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 107).
Dalam istilah undang-undang, kaedah fiqh ini dikenali sebagai principal. Keistimewaan kaedah fiqh ini ialah teksnya dibentuk dalam beberapa kalimah yang ringkas dan padat dalam bentuk lafaz yang umum, tetapi maknanya luas dan mencakupi cabang-cabang masalah yang terperinci. Walaubagaimanapun, kaedah fiqh tidak merangkumi semua masalah, dalam situasi tertentu kaedah fiqh ini tidak sesuai dipakai. Justeru itu, para ulama’ mentakrifkan kaedah fiqh ini sebagai kaedah yang bersifat majoriti atau aglabiyyah. Atas dasar itulah, para fuqaha’ tidak mengharuskan para hakim ketika membuat penghakiman bergantung atau berpegang sepenuhnya kepada kaedah-kaedah yang dinyatakan tanpa merujuk kepada nas lain yang bersifat khas atau ‘am yang mencakupi kes itu, ini kerana kaedah fiqh ini walaubagaimana bernilai dan diambil pakai dalam perlaksanaan hukum sekalipun, ia tetap mempunyai masalah-masalah yang dikecualikan. Dalam erti kata lain, kaedah fiqh ini mestilah disokong dengan nas-nas lain bagi menentukan sesuatu perkara itu, sama ada ia dibolehkan atau tidak (al-Dariy 1997: hlm.81).

1.3 Kedudukan Kaedah Fiqh dalam Perundangan Islam

Sungguhpun kaedah fiqh ini sifatnya tidak menyeluruh, namun ia tidak bererti akan mengurangkan nilai ilmiyahnya. Ini kerana terdapat di dalam kaedah-kaedah itu suatu gambaran-gambaran yang menarik berkaitan prinsip-prinsip fiqh yang umum yang membuka landasan-landasan prinsip itu daripada segi teorinya, seterusnya kaedah fiqh ini memantapkan hukum-hukum cabang yang amali dengan beberapa kaedah yang menjelaskan kesatuan al-manat (illah / sebab hukum) pada setiap kelompok hukum furu’ ini. Kaedah ini juga mengumpulkan hukum-hukum cabang di bawah satu kaedah walaupun berlainan tajuk dan babnya.

Kalau tidak wujud kaedah ini, maka hukum-hukum fiqh akan merupakan hukum-hukum furu’ yang terpisah-pisah dan kadang-kadang pada zahirnya boleh menimbulkan pertentangan antara satu sama lain tanpa dasar-dasar yang dipegang dalam pemikiran, yang menerangkan alasan-alasan konkrit, yang menentukan arah perundangan dan menyediakan cara-cara mengukur dan membandingkannya.

Oleh kerana itu, Imam al-Qarafi menyatakan dengan tegas dalam pendahuluan kitabnya, al-Furuq:
“Sesungguhnya syariat Muhammad s.a.w mengandungi usul dan furu’. Usul itu ada dua bahagian, pertama Usul al-Fiqh, kebanyakan perbahasannya ialah berkaitan dengan kaedah-kaedah hukum yang timbul daripada lafaz-lafaz seperti al-Amr yang menunjuk kepada wajib dan al-nahyu yang menunjuk ke atas larangan, lafaz-lafaz khusus dan umum dan yang berkaitan dengan demikian itu seperti nasakh dan mansukh serta tarjih. Sementara kedua pula ialah qawaid al-fiqhiyyah yang mempunyai hukum-hukum furu’ yang banyak. Kaedah-kaedah ini sangat penting dalam pengajian ilmu fiqh dan besar manfaatnya. Seorang faqih dapat diukur kemampuannya melalui sejauh mana penguasaannya ke atas qawaid fiqhiyyah ini, kerana dengan ini dia dapat memahami metodologi atau cara mengeluarkan fatwa. Sesiapa yang hanya merujuk kepada furu’ juziyyah sahaja tanpa berpandu kepada kaedah fiqh, pasti akan timbul pertentangan antara furu’ dan memerlukan dia menghafaz masalah-masalah furu’ secara terperinci yang terlalu banyak” (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 10).

1.4 Kepentingan Kaedah Fiqh

Para fuqaha’ menyenaraikan beberapa kaedah fiqh antaranya ialah:
1. Kaedah fiqh merupakan suatu ilmu yang penting sebagai panduan dan dasar untuk mengeluarkan hukum-hukum pecahan atau cabang.
2. Membantu untuk mengetahui hukum-hukum terperinci serta menjelaskan berkaitan fiqh Islam.
3. Pecahan dan cabang masalah fiqh akan dapat dikuasai dan diketahui melalui kaedah fiqh sahaja.
4. Ilmu kaedah fiqh menjadikan seseorang itu lebih faham terhadap penghayatan fiqh dan mampu menghbungkan dan mengeluarkan hukum-hukum dan mengetahui hukum daripada masalah-masalah yang tidak termaktub serta hukum masalah yang sentiasa wujud sepanjang masa.
5. Para fuqaha’ tidak perlu menghafal masalah-masalah fiqh yang banyak jumlahnya kerana masalah juz’iyyah tercangkup dalam kaedah-kaedah kulliyyah (Md. Saleh bin Hj. Ahmad 1998: hlm. 14).

1.5 Kaedah Asas dan Pecahan dalam Kaedah Fiqh

Terdapat lima kaedah asas yang terdapat dalam penulisan-penulisan fuqaha’ silam. Daripada setiap lima kaedah asas ini dipecahkan menjadi kaedah kecil yang banyak. Disebabkan keterbatasan ruang perbahasan, penulisan ini hanya menyenaraikan lima kaedah asas dan beberapa kaedah pecahan sahaja. Lima kaedah asas itu ialah:
1. (الأمور بمقاصدها) yang bermaksud: segala urusan berdasarkan niat.
2. ( اليقين لا يزال بالشك) yang bermaksud: keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan.
3. ( المشقة تجلب التيسير) yang bermaksud: kesukaran memberi ruang kepada kemudahan.
4. ( الضرر يزال) yang bermaksud: kemudaratan mesti dihapuskan.
5. ( العادة محكمة) yang bermaksud: adat digunapakai dalam memutuskan hukum (dalam kes yang tiada hukum asal) (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 107).

Antara kaedah pecahan daripada kaedah asas yang pertama iaitu (الأمور بمقاصدها) ialah:
1. (عدم اشتراط النية في عبادة لا تكون عادة او لا تتلبس) iaitu tidak disyaratkan niat dalam mana-mana ibadah yang ia bukan jenis adat atau ia tidak akan ada kesamaran dengan yang lain.
2. (ما لا يشترط التعرض له جملة وتفصيلا اذا عينه وأخطأ لم يضر) iaitu sesuatu amalan yang tidak disyaratkan ta’arrud baginya sama ada secara ringkas mahupun terperinci, apabila dita’yinkan itu, maka ia tidak memudaratkan (tidak batal).
3. (الإشتغال بغير مقصود إعراض عن المقصود) iaitu melakukan apa yang tidak dimaksudkan bererti berpaling daripada yang dimaksudkan.
4. (النية في اليمين تخصص اللفظ العام ولا تعمم الخاص) iaitu niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan lafaz umum.
5. (مقاصد اللفظ علي نية اللافظ) iaitu sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37).

Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( اليقين لا يزال بالشك) ialah:
1. (الأصل بقاء ما كان على ماكان ) iaitu asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya.
2. ( القديم يترك على قدمه) iaitu apa yang ada semenjak dulu dibiarkan atas kedahuluannya.
3. (الأصل براءة الذمة) iaitu asal seseorang adalah bebas daripada tanggungjawab.
4. (الأصل العدم) iaitu asal segala sesuatu ialah tiada.
5. (الأصل في الصفات أو الأمور العارضة العدم) iaitu asal pada sifat atau perkara baru mendatang ialah tiada.

Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( المشقة تجلب التيسير) ialah:
1. (الأمر إذا ضاق إتسع) iaitu sesuatu perkara jika menjadi sempit (susah), hukumnya menjadi luas.
2. (الضرورات تبيح المحظورات) iaitu kemudaratan membolehkan tegahan.
3. (الضرورات تقدر بقدرها) iaitu perkara-perkara darurat ditentukan mengikut kadarnya.
4. (ما جاز لعذربطل بزواله) iaitu apa yang diharuskan kepada orang yang uzur terbatal dengan hilang keuzuran tersebut.
5. (الاضطرار لايبطل حق الغير) iaitu keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain

Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( الضرر يزال) ialah:
1. (الضرر لايزال بالضرر) iaitu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.
2. (الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف) iaitu kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan.
3. (يختار أهون الشرين) iaitu dipilih yang paling ringan antara dua keburukan.
4. (درء المفاسد مقدم علي جلب المصالح) iaitu membendung kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan
5. (الضرر يدفع بقدر الامكان) iaitu kemudaratan dibendung semungkin yang dapat.
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( العادة محكمة) ialah:
1. (كل ما شهد به العاده قضى به) iaitu apa yang telah diktiraf adat (sebagai harus atau haram) dihukum dengannya.
2. (انما تعتبر العادة إذا إطردت او غلبت) iaitu sesungguhnya adat yang diterima pakai ialah apabila ia berlaku berterusan atau secara kebiasaan.
3. (العلم بالرضا ينفي الحرمة) iaitu Pengetahuan dengan keredaan menafikan pengharaman.
4. (الحقيقة تترك بدلالة العادة) iaitu hakikat ditinggalkan dengan adanya petunjuk adat.
5. (الممتنع عادة كالممتنع حقيقة) iaitu perkara yang dilarang adat hukumnya diterima pakai (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37-44).

1.6 Aplikasi Semasa Kaedah Fiqh dalam Mu’amalat

Kajian ini telah menggunakan keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SS) sebagai rujukan utama dalam mendedahkan penggunaan kaedah fiqh yang telah digunapakai bagi mengharuskan instrumen-instrumen Pasaran Modal Islam di Malaysia. Penggunaan ini keputusan MPS SS berdasarkan kepada dua sebab; pertama, sukar untuk mencari penggunaan kaedah fiqh dalam pengharusan instrumen sama ada di Malaysia atau di dunia Islam yang lain kerana kaedah fiqh ini hanya akan digunakan sebagai sumber sokongan kepada pengharusan instrumen kerana sifat kaedah fiqh ialah aglabiyyah atau kaedah yang hanya terpakai secara majoriti dan bukan keseluruhan. Kedua, kajian ini mendapati bahawa sangat sukar untuk mendapat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah industri perbankan lain kerana kebiasaannya keputusan-keputusan ini adalah sulit dan tidak didedahkan kepada umum. Berlainan dengan keputusan MPS SS yang boleh didapati dalam bentuk buku dan kertas kerja yang diedarkan untuk tujuan kefahaman orang ramai.




1.6.1 Penggunaan Prinsip al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir, al-Amr Idha Daqa Ittasaʿa dan Ma ʿAmmat Baliyyatuh Khaffat Qadiyyatuh dalam persoalan ʿUmum Balwa

Keputusan
MPS SS, dalam mesyuarat kedua pada 21 Ogos 1996, ketika membincangkan isu ukur rujuk elemen haram dalam syarikat bercampur, telah memutuskan bahawa situasi ‘umum balwa perlu diambil kira dalam menentukan status syarikat bercampur.

Kemaafan Syarak Dalam Situasi Umum Balwa
Terdapat beberapa kaedah fikah yang memberi kemaafan kepada orang Islam bagi situasi ‘umum balwa. Tujuan kemaafan tersebut adalah untuk memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan aktiviti harian. Sekiranya kemudahan tidak diberi maka maslahat umum akan terjejas terutamanya dalam bidang ekonomi yang melibatkan penguasaan mal dan perdagangan serta pemantapan umat. Antara kaedah fikah yang menyentuh situasi ‘umum balwa adalah seperti berikut:
المشقة تجلب التيسير
Maksudnya: Kesusahan mengharuskan kemudahan
ما عمت بليته خفت قضيته
Maksudnya:
Sesuatu perkara yang dilarang berlaku secara meluas (dan sukar dielakkan) Syarak mengizinkan keringanan kepada yang terkena.
الأمر إذا ضاق اتسع
Maksudnya:
Sesuatu perkara apabila ada kesukaran maka Syarak mengizinkan kelapangan sebagai jalan keluar.

Imam al-Suyuti dalam menghuraikan kaedah fikah (المشقة تجلب التيسير), telah memasukkan perkara ‘umum balwa dalam perkara yang membolehkan prinsip “taisir” iaitu keringanan diaplikasikan. Ini bermakna jika sesuatu perkara dikategorikan sebagai ‘umum balwa, Syarak memberikan keringanan supaya tidak menimbulkan kesusahan kepada umat Islam (MPS SS 2002: hlm. 109 ).

Analisis Keputusan MPS SS

Syarikat bercampur didefinisikan oleh MPS SS sebagai sebuah syarikat yang aktiviti utamanya terdiri daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga aktiviti sampingan yang haram tetapi nisbahnya kecil. Dalam mengharuskan syarikat bercampur dimasukkan dalam senarai Sekuriti Yang Diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, MPS SS memutuskan beberapa kaedah fiqh sebagai sumber sokongan kepada beberapa penghujahan lain seperti ʿurf, maslahah dan berasaskan kepada pandangan fuqaha’ silam dan semasa.

Kaedah Fiqh yang digunakan ialah al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir, al-Amr Idha Daqa Ittasaʿa dan Ma ʿAmmat Baliyyatuh Khaffat Qadiyyatuh . Kaedah-kaedah ini pada dasarnya mengandungi maksud yang hampir sama dan menyokong antara satu sama lain. Dalam kes syarikat bercampur yang aktiviti utamanya halal, MPS SS memutuskan beberapa kriteria dan ukur rujuk sebelum memasukkannya dalam senarai Lulus Syariah. Perlu disedari bahawa Pasaran Modal dan Kewangan Islam yang ada di Malaysia pada hari ini dibangunkan dalam kerangka Sistem Konvensional yang berasaskan riba yang telah menapak kukuh lebih daripada 500 tahun lalu. Sudah semestinya unsur-unsur riba, gharar, ghabn fahish dan beberapa lagi unsur yang diharamkan oleh Syariah wujud dan tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Berasaskan kepada situasi sedia ada, bagi memastikan perkembangan Pasaran Modal Islam Malaysia setanding dengan Pasaran Modal Konvensional yang sedia ada, MPS SS menyifatkannya perkara tersebut sebagai ʿumum balwa iaitu situasi yang tidak baik yang meluas yang terkena pada kebanyakan orang yang sukar untuk menghindarkan diri.

Justeru, kaedah-kaedah fiqh tersebut digunakan sebagai pengukuh kepada prinsip ʿumum balwa yang membuktikan bahawa Syariʿat Islam adalah Syariʿat yang bersifat anjal dan mudah yang tidak menyusahkan umatnya dalam kehidupan seharian. Tindakan MPS SS membolehkan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti Lulus Syariah adalah satu tindakan yang baik untuk terus mengembangkan lagi Pasaran Modal Islam dan seterusnya dapat meningkatkan pegangan ekuiti di kalangan bumiputera Islam dan menjana pertumbuhan ekonomi di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Dengan penguasaan ekonomi, umat Islam akan mampu meningkatkan pengamalan Islam di Malaysia (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 133 ).

1.6.2 Penggunaan Prinsip La Darar wa La Dirar dan al-Darar Yuzal sebagai Sumber Sokongan Pengharusan Taʿwid.

Keputusan
MPS SS dalam mesyuarat ke 20 pada 14 Julai 1999, telah bersetuju untuk mengharuskan pengenaan bayaran ta’widh (ganti rugi) atas kelewatan membayar balik sesuatu pembiayaan Islam.

Hujah Mengharuskan Ta’widh

Kaedah Perundangan Islam
Terdapat kaedah perundangan Islam yang menyentuh hal ini iaitu:
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya:
Tiada mudharat dan memudaratkan (dalam Islam)
Berdasarkan Kaedah ini, tindakan penghutang melewatkan bayaran adalah sesuatu yang memudaratkan pemiutang. Hal ini perlu dielakkan supaya urusniaga yang berjalan memenuhi prinsip istiqrar ta’amul iaitu kelancaran perjalanan pasaran. Ia disokong oleh kaedah perundangan Islam yang lain iaitu:
الضرر يزال
Maksudnya:
Sebarang kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Dalam konteks perbincangan ini, kemudaratan yang ditanggung oleh pemiutang mesti dihilangkan dengan menyediakan pendekatan yang sesuai bagi menanggung kemudaratan yang dialami oleh pemiutang dan menggalakkan penghutang untuk menjelaskan bayaran mengikut jadual yang ditetapkan (MPS SS 2002: hlm. 111 ).

Analisis Keputusan MPS SS

Dua kaedah fiqh iaitu La Darar wa La Dirar dan al-Darar Yuzal digunakan sebagai sumber ketiga selepas al-Sunnah dan al-Qiyas dalam pengharusan taʿwid. Kedua-dua kaedah ini memfokuskan kepada prinsip darar. Kaedah pertama menerangkan Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perkara yang boleh membawa mudarat dan memudaratkan orang lain. Kaedah kedua pula menyatakan bahawa kemudaratan mestilah dihilangkan selaras dengan matlamat Syariah yang mementingkan kemaslahatan hambanya.

Dalam konteks taʿwid, iaitu sejenis denda yang telah dipersetujui bersama oleh pihak yang melakukan akad sebagai ganti rugi yang layak dituntut oleh pemiutang akibat kegagalan atau kelewatan penghutang membayar balik hutangnya, darar atau kemudaratan pastinya wujud dengan kegagalan penghutang membayar balik hutang tepat pada masa perjanjian. Pihak pemiutang akan kehilangan peluang menggunakan dana yang dipinjam untuk melakukan pelaburan dan perniagaan lain. Dalam perniagaan dan pelaburan, aspek ketepatan masa cukup penting. Sesebuah syarikat mungkin akan kehilangan peluang pelaburan atau perniagaan akibat kelewatan melunaskan hutangnya. Justeru pengenaan denda seperti ini dapat menghilangkan kemudaratan yang ditanggung oleh pemiutang.

Selain itu, pengenaan taʿwid ini dapat menggalakkan pelunasan hutang mengikut jadual yang ditetapkan dan seterusnya dapat menjamin kelancaran Pasaran Modal Islam di Malaysia dan menggalakkan pengamal industri untuk terus memberikan pembiayaan berteraskan prinsip-prinsip Syariah kerana yakin dan optimis dengan pengawalseliaan yang baik Pasaran Modal Islam yang memastikan bahawa golongan pemiutang terhindar daripada kesusahan yang terhasil daripada penyertaan mereka dalam Pasaran Modal Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 136 ).

1.6.3 Penggunaan Prinsip La Yunkar Taghayyur Al-Ahkam Bi Taghayyur Al- Azman Sebagai Sumber Sokongan Dalam Rasional Mengharuskan Kemasukan Syarikat Bercampur Dalam Senarai Sekuriti Yang Diluluskan Syariah.

Perubahan Hukum kerana Perubahan Tabie Manusia
Perubahan suasana dan tempat memberi kesan besar kepada ketetapan hukum sepanjang masa. Ini kerana Islam merupakan agama yang sesuai untuk memenuhi keperluan manusia pada setiap masa dan tempat. Bagi memenuhi tuntutan tersebut maka berlakulah perubahan hukum. Ini kerana setiap hukum yang disyariatkan mempunyai tujuannya yang tersendiri bagi memenuhi tuntutan keadilan, maslahat dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan. Selain faktor masa, tempat dan suasana, perubahan hukum juga berkaitan dengan perubahan akhlak umat. Berdasarkan sejarah perundangan Islam, terdapat banyak hukum yang telah berubah kerana berlaku perubahan masa, tempat dan suasana. Dengan sebab itu perundangan Islam telah menyatakan satu kaedah fikah:
لاينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان
Maksudnya:
Tidak dinafikan perubahan hukum, disebabkan perubahan masa


Sungguhpun begitu, perubahan itu terhenti setakat hukum yang bersifat ijtihadi. Sesuatu hukum itu boleh berubah akibat berkurangnya sifat warak dan lemahnya pematuhan terhadap suruhan agama secara menyeluruh pada sesuatu tempat yang dikenali sebagai fasaduz zaman. Selain itu, hukum juga boleh bertukar dengan berlakunya perubahan sistem ekonomi atau dikenali sebagai asalib iqtisadiyyah kerana jika hukum tidak berubah selaras dengan keperluan semasa maka ia dianggap tidak praktikal lagi. Implikasinya, ini akan menjadikan Syariah itu seolah-olah statik dan jumud kerana tidak dapat menangani keperluan semasa, sedangkan menurut Imam al-Syatibi tiada yang sia-sia dalam Syariah (MPS SS 2002: hlm. 116 ).

Analisis Keputusan MPS SS

Pada hakikatnya, penggunaan kaedah ini adalah sebagai lanjutan daripada perbahasan fuqaha’ silam berkaitan dengan syarikat mufawadah. MPS SS dalam kes syarikat bercampur dilihat menyokong pendapat fuqaha’ yang mengharuskan syarikat mufawadah. Dalam menyokong pendapat mengharuskan syarikat jenis ini, MPS SS mengemukakan kaedah La Yunkar Taghayyur al-Ahkam bi Taghayyur al-Azman sebagai sumber sokongan di samping sumber-sumber lain seperti ʿumum balwa, pendapat-pendapat fuqaha’ dan prinsip al-daruriyyah al-khamsah.

Kaedah ini dikemukakan bagi membuktikan bahawa hukum ijtihadi boleh berubah dengan berlalunya zaman. Dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang pendapat minoriti fuqaha’ yang tidak mengharuskan syarikat bercampur jika digunapakai akan menyebabkan pertumbuhan Pasaran Modal Islam terhalang. Ditambah pula dengan hukum tersebut terbina atas asas suasana dan realiti silam. Justeru, dengan mengemukakan kaedah ini dan beberapa sumber lagi, MPS SS mengharuskan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti Lulus Syariah (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 138 ).

1.6.4 Penggunaan Prinsip Al-Haram La Yuharrim Al-Halal Dalam Jawapan Terhadap Pandangan Yang Mempertikaikan Keharusan Syarikat Bercampur

Terdapat pihak yang mempertikaikan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai Lulus Syariah sedangkan ia bertentangan dengan kaedah (إذا اجتمع الحلال و الحرام غلب الحرام ) yang bermaksud sekiranya bercampur sesuatu yang halal dan haram, maka ia dihukumkan sebagai haram. Mereka beranggapan bahawa syarikat ini tidak sepatutnya dimasukkan sama sekali di dalam senarai sekuriti yang diluluskan Syariah.

Namun perlu difahami bahawa terdapat hujah-hujah yang kuat untuk menolak hujah tersebut seperti berikut:
i. Kelemahan kaedah (إذا اجتمع الحلال و غلب الحرام )
Kaedah yang disebutkan di atas juga dipertikaikan kesahihannya. Tidak dinafikan bahawa kaedah ini sesuai bagi kes-kes tertentu seperti percampuran sembelihan orang Islam dan Majusi, namun ia tidak sesuai untuk kes syarikat bercampur. Al-Suyuti menyebut bahawa kaedah tersebut adalah berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w:
ما اجتمع الحلال و الحرام إلا غلب الحرام الحلال
Maksudnya:
Apabila bercampur perkara halal dan haram maka perkara tersebut dihukumkan sebagai haram.

Namun ulama’ telah membahaskan status hadith ini. Menurut al-Hafiz Abu al-Fadl al-‘Iraqi, hadith ini tidak diketahui asalnya. Manakala al-Subki menukilkan daripada al-Bayhaqi, bahawa hadith tersebut diriwayatkan oleh Jabir al-Ja’fiy seorang yang bertaraf lemah dan telah meriwayatkan daripada al-Sya’biy daripada Ibn Masʿud dalam bentuk munqati’ (hadis yang terputus sanadnya).
ii. Wujudnya kaedah berlawanan
Terdapat kaedah berlawanan bagi kaedah tersebut yang disebutkan dalam al-Asybah pada akhir perbincangan kaedah إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام. Kaedah tersebut adalah الحرام لا يحرم الحلال yang bermaksud : “ perkara haram tidak mengharamkan yang halal”. Kaedah ini terbentuk berdasarkan hadis warid yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah dan al-Dar al-Qutni yang meriwayatkan daripada Ibn Majah (MPS SS 2002: hlm. 122 ).

Analisis Keputusan MPS SS

MPS SS dalam mengemukakan hujah kepada pihak yang mengemukakan kaedah fiqh Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram sebagai mempertikaikan tindakan MPS SS mengharuskan syarikat bercampur telah mengemukakan kaedah fiqh yang lain yang disifatkan oleh MPS SS bersandarkan hadis iaitu al-Haram La Yuharrim al-Halal. Kaedah Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram menurut MPS SS bersandarkan kepada hadis yang tidak jelas kesahihannya.

Justeru itu, MPS SS dalam soal ini lebih selesa menggunakan kaedah al-Haram La Yuharrim al-Halal. Ini kerana menurut MPS SS, kaedah ini berasaskan hadis warid yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah dan Dar al-Qutni yang diriwayatkan daripada Ibn ʿUmar. Hadis yang menjadi sandaran kaedah fiqh al-Haram La Yuharrim al-Halal ialah:
حدثنا يحي بن معلى بن منصور حدثنا اسحاق بن محمد الفروي حدثنا عبد الله بن عمر عن نافع ابن عمر أن النبى صلى الله عليه وسلم قال لا يحرم الحرام الحلال
Hadis ini jika ditinjau daripada sudut sanad diriwayatkan daripada perawi-perawi yang bertaraf thiqah iaitu Yahya bin Muʿlla bin Mansur (saduq sahib al-hadith), Ishaq bin Muhammad bin Ismaʿil bin ʿAbd Allah (saduq), Nafiʿ Mawla Ibn ʿUmar (thiqah sabit) dan Ibn ʿUmar (sahabah) kecuali ʿAbd. Allah bin ʿUmar yang berada dalam kategori daʿif. Walaupun begitu, banyak pendapat di kalangan ulama’ hadith berkaitan dengan taraf ʿAbd. Allah bin ʿUmar; al-Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa dia termasuk dalam kategori salih, Yaʿqub bin Shaybah menyatakannya dalam kategori thiqah sabit, Ibn ʿAdi dalam kategori saduq dan ʿAli bin al-Madinah dalam kategori daʿif.

Kesimpulannya, walaupun pada hakikatnya kedua-dua kaedah yang bersandarkan kepada hadith ini kelihatan bertentangan tetapi mengikut Ibn Subki kedua-dua kaedah tersebut tidak bertentangan kerana apa yang dimaksudkan dengan kaedah fiqh Idha Ijtamaʿa al-Halal wa al-Haram Ghulliba al-Haram, bukanlah mengharamkan yang halal tetapi sebagai langkah ihtiyat. Dalam hal ini, masih ada ruang yang luas untuk MPS SS sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan kelancaran Pasaran Modal Islam di Malaysia untuk menggunakan sumber-sumber yang lebih berautoriti daripada kaedah fiqh dalam mengharuskan syarikat bercampur. Oleh yang demikian, MPS SS telah memutuskan untuk mengharuskan syarikat bercampur bersandarkan kepada sumber-sumber lain seperti maslahah, ʿumum balwa, ʿurf, asalib iqtisadiyyah dan hak-hak orang Islam yang diiktiraf oleh Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 142 ).

1.6.5 Penggunaan Prinsip La Yaqaʿ Ism Al-Mal Illa ʿAla Ma Lahu Al-Qiymah Yubaʿ Biha Wa Yulzam Mutlifuh Sebagai Sumber Sokongan Dalam Mengharuskan Waran Panggilan

Prinsip Mal
Menurut sebahagian besar fuqaha’, sesuatu itu dapat diiktiraf sebagai mal apabila ia boleh dikuasai dan dimanfaatkan:
كل ما يمكن حيازته والانتفاع على وجه المعتاد
Mazhab Shafie turut menggariskan bentuk yang dapat diiktiraf sebagai harta bagi sesuatu perkara baru sebagai satu garis panduan umum. Prinsip ini menguatkan lagi pemberian status waran panggilan sebagai mal menurut perspektif perundangan Islam sebagaimana yang digariskan oleh Imam al-Suyuti:
لا يقع اسم المال إلا على ما له قيمة يباع بها ويلزم متلفه
Maksudnya: Sesuatu itu dikategorikan sebagai mal jika ia mempunyai nilai. Dengan sebab itu, ia dijual beli dan bayaran ganti rugi akan dikenakan kepada sesiapa yang merosakkannya (MPS SS 2002: hlm. 42).

Analisis Keputusan MPS SS


MPS SS dalam mengharuskan Waran Panggilan menggunakan beberapa sumber antaranya Qawl Sahabi, Pandangan fuqaha’ silam dan Prinsip haq mali selain daripada menggunakan kaedah fiqh yang berkaitan dengan teori harta yang digariskan oleh al-Suyuti iaitu La Yaqaʿ Ism al-Mal Illa ʿAla Ma Lahu al-Qiymah Yubaʿ Biha wa Yulzam Mutlifuh.

Daripada kaedah fiqh tersebut, kita dapati bahawa setiap sesuatu yang mempunyai nilai yang boleh dijual beli dan dikenakan bayaran ganti rugi boleh disifatkan sebagai harta. Pada dasarnya kaedah ini menjadi panduan bagi MPS SS untuk menetapkan sesuatu produk dan instrumen pasaran modal sama ada ia termasuk dalam kategori harta atau tidak. Oleh itu, ternyata Waran Panggilan mempunyai ciri-ciri yang digariskan oleh al-Suyuti dan juga memenuhi definisi yang digariskan oleh sebahagian besar fuqaha’ apabila ia boleh dikuasai dan dimanfaatkan. Antara ciri Waran Panggilan yang membuktikan bahawa ia bernilai dan bermanfaat ialah waran ini memberi pemegangnya hak untuk membeli sebilangan saham tertentu dalam syarikat pendasar dengan harga yang dipersetujui.

Manakala ciri yang menunjukkan bahawa Waran Panggilan ini boleh dijual beli ialah ia mempunyai harga guna hak iaitu apabila pemilik waran tersebut ingin menggunakan hak yang terkandung dalam waran tersebut ia perlu melunaskan bayaran tertentu (yang telah ditetapkan pada masa waran tersebut diterbitkan) sebelum beliau layak untuk membeli saham pendasar syarikat yang mengeluarkan waran tersebut. Bayaran yang dilunaskan itu menunjukkan bahawa waran panggilan juga memerlukan proses jual beli untuk memilikinya.

Kesimpulannya, tindakan MPS SS menggariskan teori harta menerusi kaedah fiqh yang digariskan oleh al-Suyuti memudahkan penentuan adakah sesuatu instrumen pasaran modal termasuk dalam kategori harta atau tidak. Ini kerana prinsip harta yang digariskan oleh al-Suyuti dilihat lebih merangkumi maksud harta dan bersifat menyeluruh(Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.145 ).

Rujukan

Md. Saleh bin Hj. Ahmad. 1998. Qawaid al-Fiqhiyyah. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2002. Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti:Kuala Lumpur.

Muhammad al-Ruki. 1998. Qawaid al-fiqh al-islami. Damshiq: Dar al-Qalam

Mohd Saleh bin Hj. Ahmad. 1999. Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Ab. Latif bin Muda. 2000. Kaedah-kaedah Fiqh. Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise.

Muhammad Yusri bin Yusof. 2006. Aplikasi Usul dan Kaedah Fiqh dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia. Disertasi Sarjana. UKM: Bangi.

1 comment:

Nabila Kamarudin said...

Boleh cerita tentang kaedah fiqh dlm pnntuan status halal secara umum?..

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template