Wednesday, October 8, 2008

Koperasi Islam di Malaysia

SISTEM KEWANGAN ISLAM: TUNTUTAN DAN CABARAN KEPADA GERAKAN KOPERASI

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah Muamalat (U.K.M)

1. PENDAHULUAN

Saranan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Ke-II dan antara arkitek Sistem Kewangan Islam di Malaysia, Tan Sri Nor Mohd Yakcob pada 2 Mac 2004 supaya Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI) untuk menjadi tonggak penting dalam Sistem Kewangan Islam di dalam Gelombang Ketiga perkembangan Sistem Kewangan Islam di Malaysia seharusnya disahut dengan usaha dan semangat yang jitu oleh institusi-institusi terbabit. Antara NBFI yang bercorak Islam yang ada di Malaysia ialah seperti Lembaga Tabung Haji, Institusi Zakat dan Wakaf dan Koperasi Islam. Justeru, menurut Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Koperasi di Malaysia yang pada hakikatnya mempunyai nilai aset berjuta-juta ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia. Kajian ini seterusnya akan menelusuri Definisi dan sejarah koperasi, penubuhan Koperasi Islam dan tuntutan dan cabaran bagi gerakan koperasi.




2. DEFINISI KOPERASI

Koperasi menurut pentakrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ialah : i) Syarikat Kerjasama ii) kerja-sama, perihal bantu membantu; berkoperasi ialah berusaha dengan cara bekerjasama (bantu membantu). Pada hakikatnya, perkataan koperasi merupakan terjemahan daripada perkataan Inggeris co-operation yang bermaksud bekerja bersama-sama. Dalam Bahasa Arab, perkataan koperasi diterjemahkan kepada Jamʿiyyah Taʿawuniyyah atau Shirkah Taʿawuniyyah.
Beberapa sarjana pada hakikatnya memberikan pentakrifan berbeza berkaitan koperasi antaranya; Zainal Abidin Hashim mentakrifkannya sebagai sesebuah organisasi perniagaan atau perusahaan yang ditubuh, di modali dan diuruskan oleh ahli-ahlinya untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan kearah meningkatkan dan memajukan taraf sosioekonomi mereka dan masyarakat amnya. Ia merupakan gabungan usaha dan tujuan sekumpulan individu secara bersama-sama, sukarela, cara kawalan yang tidak berat sebelah dan menerima ganjaran berasaskan sejauh mana mereka terlibat dalam organisasi tersebut.
Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid mentakrifkannya sebagai satu pertubuhan manusia, biasanya kurang berpendapatan, yang telah dengan sukarelanya bermuafakat menghasilkan kehendak ekonomi yang sama menerusi penubuhan badan perniagaan yang dikawal secara demokrasi, membuat caruman adil untuk modal yang dikehendaki dan menerima tanggungan-tanggungan dan faedah yang berpadanan bagi perusahaan. Ungku Aziz pula menyatakan bahawa koperasi ialah suatu kaedah gotong royong mengurus kegiatan ekonomi dengan cara tolong menolong, bergotong royong atau bekerjasama.
Ordinan Koperasi 1948 mendefinisikan koperasi sebagai “ sebuah syarikat (pertubuhan) yang mempunyai tujuan menggalakkan kepentingan ekonomi ahli-ahlinya mengikut prinsip bekerjasama (prinsip-prinsip koperasi)”. G Mladenaz dilihat memberikan pentakrifan yang lebih tersusun dan lengkap berkaitan koperasi iaitu dengan menyatakan koperasi ialah sekumpulan orang yang terdiri daripada sebilangan kecil pengeluar dan pengguna, yang bekerjasama dengan sukarela untuk mencapai maksud-maksud yang biasanya didapati melalui perkhidmatan pertukaran timbal balik (salingan) secara perusahaan berkumpulan yang menguntungkan di mana mereka bekerja dengan risiko yang sama dengan sumber disumbangkan semua.
Walaupun diberi pentakrifan berbeza, hakikatnya pentakrifan-pentakrifan tersebut mengandungi maksud dan makna yang sama. Apa yang membezakan antara satu sama lain ialah bentuk pengungkapan bahasa. Justeru, dapat dibuat kesimpulan daripada definisi yang telah dikemukakan di atas bahawa koperasi mesti mengandungi beberapa ciri; pertama, satu kumpulan yang membentuk persatuan. Kedua, mereka terdiri daripada pembekal dan pengguna. Ketiga, bersama-sama secara sukarela. Keempat, terdapat perusahaan yang menguntungkan secara berkumpulan. Kelima, risiko perniagaan dikongsi bersama dan keenam semua anggota bersepakat memberikan bekerjasama untuk memberikan sumbangan, membuat penjualan dan pembelian melalui koperasi dan sebagainya.

3. SEJARAH PERKEMBANGAN KOPERASI DI MALAYSIA

Perkembangan gerakan koperasi jika ditinjau daripada sudut sejarah boleh dibahagikan kepada empat bahagian; pertama, peringkat awal penubuhan koperasi di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sekitar tahun 1922 hingga 1945. Kedua, peringkat perkembangan gerakan koperasi bermula tahun 1945 hingga 1982. Ketiga, era baru gerakan koperasi, 1982-2004. Keempat, 2004 hingga kini, era koperasi bakal dibangunkan sebagai instrumen Sistem Kewangan Islam.
Idea penubuhan koperasi di Malaysia dibawa masuk oleh penjajah British. Idea ini dicetuskan memandangkan keadaan masyarakat yang mundur di Tanah Melayu pada ketika itu. Melihatkan keadaan itu, pada tahun 1911, Sir Arthur Young telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji tentang baik buruknya menubuhkan koperasi. Tetapi apabila Perang Dunia Pertama (1914-1918) meletus, segala usaha beliau untuk menubuhkan koperasi gagal. Pegawai British pada masa itu merasakan masyarakat di Tanah Melayu sedang mengalami masalah ekonomi dan sosial yang teruk terutamanya masalah hutang sehingga menjejaskan keharmonian hidup mereka. Hal ini ditambah dengan bentuk pengamalan adat dan budaya yang menuntut kepada lebihan perbelanjaan yang secara langsung tidak menggalakkan mereka untuk berjimat cermat.
Kerajaan British pada masa itu memandang berat keadaan yang sedang melanda masyarakat Melayu. Maka kerajaan telah menubuhkan Bank Simpanan Kerajaan Khas untuk masyarakat petani. Walaubagaimanapun, program ini tidak berjaya dan tidak mendapat sambutan, khususnya daripada masyarakat luar bandar. Berikutan itu, pegawai-pegawai British mula memikirkan satu cara lain untuk mengatasi masalah orang Melayu. Dengan daya usaha Sir Carvendish, satu bil perlembagaan dan penguatkuasaan koperasi telah diluluskan pada 1922 yang dinamakan “Co-operative Enactment”. Ia merupakan undang-undang yang ditiru daripada undang-undang koperasi yang diluluskan dan digunapakai di India semenjak 1912. Hasil daripada kewujudan enakmen tersebut, kerajaan telah menubuhkan sebuah badan yang mengawalselia urusan koperasi iaitu Jabatan Kemajuan Kerjasama dan kemudiannya ditukar nama sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) pada tahun 1922.
Gerakan koperasi di Malaysia umumnya dan di Tanah Melayu khususnya bermula dengan penubuhan Syarikat Kerjasama Jimat Cermat dan Pinjaman Pekerja-pekerja Jabatan Telekom dan Pos yang didaftarkan pada 21 Julai 1922. Koperasi ini ditubuhkan di Perak dengan jumlah ahlinya seramai 547 orang dan modal asas sebanyak RM 14 239.00. Selepas penubuhan koperasi pertama, banyak sekali syarikat koperasi ditubuhkan dalam tempoh 1922 hingga 1925. Dan kebanyakan koperasi yang ditubuhkan ialah Syarikat kerjasama kredit luar bandar. Syarikat kerjasama kredit luar bandar pertama dalam sejarah ialah Syarikat Kampung Tebuk Haji Musa Bekerjasama-bekerjasama dengan Tanggungan Terhad yang ditubuhkan di Parit Buntar, Perak pada 12.1.1923.
Dalam jangkamasa 1923 hingga 1939, perkembangan syarikat kerjasama Tanah Melayu dianggap perlahan dan tidak menyeluruh. Ini disebabkan terdapatnya beberapa masalah seperti urusan pentadbiran, sikap dan sambutan penduduk tempatan, keadaan ekonomi yang tidak stabil serta terdapat masyarakat Melayu yang tidak faham tentang selok belok berkoperasi serta berperanan sebagai badan penasihat. Untuk memenuhi keperluan tersebut kerajaan telah menubuhkan Lembaga Kerjasama pada tahun 1926.
Di antara tahun 1928 hingga 1931, koperasi tidak dapat berkembang kerana keadaan ekonomi yang buruk. Ini disebabkan harga komoditi utama negara khususnya harga getah dan kelapa jatuh yang menyebabkan 19 buah syarikat kerjasama kredit luar bandar terpaksa ditutup. Selepas tahun 1934, keadaan ekonomi mulai pulih dan beberapa koperasi untuk orang Melayu dan India ditubuhkan. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua (1941-1945), Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sudah mempunyai undang-undang koperasi sendiri. Semasa pemerintahan Jepun, semua gerakan koperasi terhenti kecuali di Kedah dan Selangor.
Gerakan koperasi memasuki fasa kedua apabila British kembali memerintah. Gerakan koperasi pada ketika ini dikemaskini dan disusun semula. Pada tahun 1948, satu undang-undang syarikat kerjasama yang dikenali sebagai ‘ The Co-operative Societies Ordinance 1948’ telah diluluskan dan telah berkuatkuasa sehingga kini dengan beberapa pindaan dibuat. Ternyata penyusunan semula gerakan koperasi mencapai hasil yang memberangsangkan. Dekad 1950an dan 1960an memperlihatkan gerakan koperasi bertumbuh dengan pesat, khasnya di kawasan luar bandar. Tetapi prestasi koperasi di luar bandar kurang memberangsangkan. Ini disebabkan kelemahan pengurusan, kurangnya sokongan dan kefahaman ahli serta sikap ahli lembaga pengarahnya yang suka menyelewengkan wang koperasi.
Walaupun begitu, perkembangan koperasi yang begitu banyak menyebabkan timbul desakan kepada koperasi-koperasi terutamanya koperasi kecil untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menjalankan aktiviti mereka. Justeru itu, pada tahun 1967, Bank Rakyat, yang juga pernah dikenali sebagai Bank Kerjasama Rakyat ditubuhkan. Bank ini adalah Bank pertama di Malaysia yang memberikan pinjaman kepada koperasi. Pada peringkat awal penubuhannya, Bank Rakyat menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kemudahan kredit untuk badan-badan koperasi kecil dan sederhana di kawasan luar bandar. Hingga sekarang Bank Rakyat masih menjalankan fungsi tersebut. Oleh itu, Bank Rakyat dianggap sebagai bank utama bagi gerakan koperasi di Malaysia.
Dalam fasa kedua ini juga gerakan koperasi diperkenalkan di Malaysia Timur. Gerakan koperasi di Sarawak hanya bermula pada 3 Mei 1949 manakala di Sabah ianya diperkenalkan mulai tahun 1959. Pada asalnya undang-undang koperasi yang berkuatkuasa di sana ialah ‘ Ordinan Koperasi 1949 (Cap. 66 of The Laws of Sarawak)’ dan ‘Ordinan Koperasi No. 3/1958 of Sabah’ dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya. Perkembangan koperasi terus memberangsangkan pada tahun 1970 hingga 1981 selaras dengan pembangunan sosioekonnomi pada ketika itu.
Dalam tempoh itu, gerakan koperasi terus diperkemaskan dengan pewujudan beberapa agensi khusus selain daripada Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Ogos 1973 dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM ) pada 1 November 1971. Dengan itu, tanggungjawab penyeliaan terhadap koperasi asas tani telah diserahkan kepada LPP dan LKIM pada tahun 1974. Koperasi-koperasi lain di bandar-bandar dan bukan berasaskan pertanian dan perikanan masih dibawah pengawalseliaan JPK, tetapi di Sabah dan Sarawak JPK masih mengawalselia semua koperasi.
Selain itu, dalam fasa ini juga tertubuhnya Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA) hasil daripada refleks keinginan untuk mengintegrasikan koperasi di Malaysia. ANGKASA dianggap payung kepada koperasi untuk membela nasib koperasi sama ada di peringkat kawasan, negeri ataupun kebangsaan. ANGKASA ditubuhkan pada bulan Mei 1971 yang manifestonya berbunyi: ‘ Lebih menumpukan terhadap pengembangan secara meluas, bekerjasama di kalangan koperasi dan menghubungkan ikatan kerjasama dengan kerajaan selaras dengan DPN’. Selain itu, Maktab Kerjasama Malaysia juga ditubuhkan pada 1956 dan diperbadankan pada 1968 yang berfungsi khusus kepada pengajian dalam bidang koperasi. Maktab ini adalah badan berkanun yang diletakkan dibawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi pada ketika itu.
Dalam fasa kedua ini juga Koperasi Islam ditubuhkan di Malaysia. Koperasi Islam yang pertama ditubuhkan ialah Koperasi Belia Islam Berhad (KBI) yang digagaskan penubuhannya oleh Angkatan Belia Islam Malaysia pada 31 Mei 1977. Sepanjang operasinya, KBI telah menerima anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi bagi kategori ‘Koperasi Model’ pada tahun 1985 dan ‘Anugerah Kualiti’ pada 1993. Selepas kejayaan penubuhan Koperasi Islam pertama, hasil daripada usaha yang jitu daripada Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), maka pada 22 November 1980 tertubuhlah Koperasi Muslimin Berhad (Koperasi Muslimin).
Melihatkan kepada perkembangan dan sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat, kerajaan telah menganjurkan satu rombongan ke Pakistan dan negara-negara timur tengah pada April 1985 untuk mengkaji perlaksanaan koperasi Islam di sana. Pakistan dipilih sebagai model pada ketika itu kerana negara itu berjaya melaksanakan koperasi Islam yang tersusun dan pentadbiran yang mengikut landasan Syariah. Setelah membuat penelitian dan perbincangan dengan pihak koperasi Islam di Pakistan, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi menggubal penubuhan syarikat koperasi belandaskan Islam yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim. Selaras dengan usaha itu koperasi Islam terus meningkat dari semasa ke semasa.
Idris Ismail pada 1994 menyenaraikan 42 koperasi yang menjalankan prinsip Islam antaranya; Koperasi Pegawai-pegawai Majlis Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Koperasi Pegawai-pegawai Agama Kedah, Koperasi Kebajikan Ummah, Koperasi Serbaguna Guru-guru Agama Kerajaan Negeri Perak, Koperasi Cahaya Malaysia, Koperasi Kebangsaan Belia islam Malaysia, Koperasi Serbaguna Imam Malaysia, Koperasi Perwira Malaysia Berhad, Koperasi UTM, Koperasi UKM, Koperasi UPM, Koperasi UIA, KOSWIP, KKUM, Koperasi MARDI, Koperasi Penjara Malaysia, MOCCIS dan Bank Rakyat.
Seterusnya, dengan perkembangan pesat koperasi, kerajaan mengistiharkan Era Baru Koperasi 1982 yang merupakan fasa ketiga perkembangan koperasi. Era Baru Koperasi ini wujud hasil daripada kesedaran kerajaan perlunya dialih fokus masyarakat terhadap peranan koperasi. Kalau dahulu masyarakat hanya menganggap koperasi hanya berfungsi dalam hal-hal yang berhubung dengan kredit dan bantuan sahaja, tetapi dengan adanya Era Baru Koperasi ini diharapkan masyarakat menerima koperasi sebagai satu alat pembangunan. Dengan itu Era Baru Koperasi dilancarkan pada 1982. Era Baru Koperasi 1982 ini adalah sebagai usaha berterusan kerajaan memajukan gerakan koperasi di Malaysia. Hasil daripada perencanaan Era Baru Koperasi 1982, wujud enam jenis koperasi baru iaitu; Koperasi Pembangunan Daerah, Koperasi Industri Kampung, Koperasi Pembangunan Negara, Koperasi Pembangunan Kampung, Koperasi Pelaburan Pekerja dan Institut Juruaudit Koperasi.
Fasa keempat perkembangan koperasi ialah saranan para ilmuan supaya koperasi turut serta sebagai komponen Sistem Kewangan dan Perbankan Islam di Malaysia. Saranan ini telah disambut baik oleh Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dengan menyatakan bahawa koperasi di Malaysia yang pada hakikatnya mempunyai nilai aset berjuta-juta ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia dan bersedia berada bersama NBFI lain dalam Gelombang Ketiga pembangunan Sistem Kewangan dan Pebankan Islam di Malaysia. Perkembangan ini adalah sesuatu yang menarik dan diharapkan usaha berterusan bagi membangunkan gerakan koperasi bersama-sama NBFI yang lain.


4. KOPERASI ISLAM: TINJAUAN KE ATAS KOPERASI BELIA ISLAM BERHAD (KBI) DAN KOPERASI MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD (KOPERASI MUSLIMIN)

Didapati tiada pembahagian atau penjenisan di antara koperasi Islam dan koperasi-koperasi biasa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Oleh itu, sukar untuk mengetahui jumlah sebenar koperasi Islam atau koperasi yang mengamalkan muamalat Islam. Kajian ini hanya menumpukan kepada dua koperasi di mana visi penubuhannya adalah untuk mempergiatkan kegiatan ekonomi Islam di dalam pertubuhan koperasi mereka.

4.1 KOPERASI BELIA ISLAM BERHAD (KBI)
4.1.1 Latar Belakang KBI
Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI) ditubuhkan pada 31 Mei 1977 dan berdaftar dibawah Akta Koperasi (1993) dengan No. Pendaftaran:16/31.5.77. Penubuhan KBI dicetuskan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). KBI ditadbir berdasarkan Akta Koperasi 1993 dan undang-undang Kecil KBI. Sepanjang operasinya KBI telah mendapat anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah Dan Koperasi bagi kategori "Koperasi Model" pada tahun 1985 dan "Anugerah Kualiti" pada tahun 1993.
KBI bermatlamatkan untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota mengikut prinsip koperasi dengan menjalankan aktiviti berlandaskan sistem muamalat Islam; menjadi penggerak dan pemangkin utama ekonomi umat. Konsep KBI adalah bekerjasama untuk manfaat anggota khususnya dan ummah amnya, melalui semangat tolong-menolong atas dasar al-bir dan al-taqwa (al-ta'awun) dan mengajak umat Islam mengumpul harta dengan cara menabung secara istiqamah dan dengan hasil tabungan tersebut KBI dapat mengerakkan aktiviti muamalat Islam (memerangi riba) dan memperkasa ekonomi ummah.
4.1.2 Produk dan Aktiviti KBI
Bersesuaian dengan konsep yang digalas bersempena dengan penubuhan KBI: ‘ Harta Muslim Untuk Islam’, maka produk-produk yang dihasilkan oleh KBI juga selari dengan kehendak muamalah dan keadaan semasa, pr oduk-produk tersebut ialah:
i. Skim Pembiayaan Peribadi: ia adalah kemudahan pembiayaan yang fleksibel: bagaimana wang pinjaman boleh didunakan untuk hak peribadi. Had pinjaman RM 3000.
ii. Tabung Kebajikan: ia merupakan caruman wajib untuk tujuan sumbangan kepada anggota jika berlaku kematian atau musibah. Caruman yang dikenakan adalah RM 5 sebulan.
iii. Insentif anak cemerlang: Ia adalah sumbangan kepada anak anggota yang cemerlang dalam PMR, SPM, STPM.
iv. Saham: Ia merupakan caruman wajib pada kadar minima RM 10 sebulan. Anggota perlu mempunyai saham sekurang-kurangnya RM 200 bagi melayakkan diri ke Mesyuarat Agung Kawasan dan menikmati kemudahan-kemudahan lain.
v. al-Qard al-Hasan: Peruntukan ini hanya khusus kepada tujuan tertentu sahaja seperti membiayai perubatan, kemalangan, perkahwinan dan melanjutkan pelajaran.
vi. Skim Pembiayaan membeli tapak rumah, membaiki dan membina rumah. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
vii. Skim pembiayaan membeli alat kelengkapan rumah seperti peralatan elektrik, perabut dan komputer. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
viii. Skim pembiayaan membeli kereta. Skim ini diasaskan atas kaedah al-Murabahah.
ix. Skim pendahuluan kebajikan. Kewangan diberikan kepada ahli yang layak untuk meminta bantuan dan di dalam kesempitan berdasarkan kes-kes tertentu seperti berkahwin, kemalangan dan sakit. Tiada riba atau faedah dan dibayar dalam tempoh 20 bulan.

Selain daripada mengemukakan produk-produk berasaskan muamalah Islam, KBI juga banyak terlibat dalam aktiviti memajukan ahlinya, iaitu dengan caramemberikan galakan dan kemudahan bagi pembangunan ekonomi koperasi ini. Aktiviti-aktivi tersebut ialah:
i. Menjalankan aktiviti perdagangan termasuk fungsi pengguna, agensi dan lain-lain lagi.
ii. Menjalankan aktiviti perindustrian.
iii. Memproses dan memasarkan, menyediakan gudang dan kemudahan lain untuk menjalankan perniagaan eksport, import dan membina kilang.
iv. Memiliki tanah dan mendirikan bangunan atau rumah kediaman untuk ahli atau membeli rumah dan tapak rumah serta menjual, memajak, mencagar, memindahkan tanah dan rumah kepada ahli.
v. Mendapatkan tanah untuk membuka dan memajukan ladang bagi menanam getah, kelapa sawit dan tanaman lain serta membeli ladang yang sedia dimajukan.
vi. Menjalankan perkhidmatan kenderaan dan pengangkutan seperti perkhidmatan teksi, bas dan lori.
vii. Menyediakan kemudahan untuk membolehkan ahli menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka dan memberikan pinjaman kepada mereka bagi maksud yang berfaedah.
viii. Menggalakkan jimat cermat, menyimpan wang, menolong diri sendiri, membantu antara satu sama lain dan memajukan pelajaran di kalangan ahli.
ix. Menubuhkan dan menyelenggara serta membantu perjalanan sekolah, kolej, institusi, surau, madrasah untuk ahli dan masyarakat.
x. Melaburkan modal dalam saham swasta dan awam dengan kebenaran Ketua Pendaftar.
xi. Menjalankan kegiatan percetakan, penerbitann buku, majalah dan lain-lain.
xii. Menjalankan kegiatan perladangan dan penternakan.
xiii. Menjalankan projek atau aktiviti lain dengan kebenaran ketua pendaftar.
4.2 KOPERASI MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD (KOPERASI MUSLIMIN)

4.2.1 Latar belakang Koperasi Muslimin

Koperasi Muslimin Malaysia Berhad atau nama ringkasnya Koperasi Muslimin telah ditubuhkan pada 22 November 1980 atas daya usaha Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM). Penubuhan ini atas kesedaran betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem kewangan yang ada. Idea penubuhannya digagaskan oleh Ustaz Nik Mohd mahyuddin selaku YDP PUM pada ketika itu dan Dr. Mohd hamid Othman pada ketika itu diberi tanggungjawab sebagai jawatankuasa pengasas penubuhan koperasi ini.
Selaras dengan aspirasi pernubuhannya dan cita-cita Islamiah yang didokongnya Koperasi Muslimin bermatlamatkan empat perkara; pertama, menjalankan kegiatan perekonomian, pendidikan dan perkhidmatan kebajikan demi meningkatkan sosio ekonomi, moral dan rohani anggotanya. Kedua, menyediakan kemudahan simpanan (al-wadiah) untuk ahli-ahli dan membantu mereka memperolehi barang-barang keperluan asas tanpa terlibat atau bersyubahat dalam sebarang amalan riba'. Ketiga, menyediakan skim kebajikan yang dapat memberi pembelaan kepada ahli-ahli dan sumbangan kepada kegiatan-kegiatan Islamiyah. Dan keempat, menyediakan program pendidikan (tarbiyah) bagi meningkatkan kefahaman ahli dalam bidang muamalat Islam.
4.3.2 Aktiviti Koperasi Muslimin
Koperasi Muslimin Menjalankan tiga aktiviti utama iaitu; perniagaan, pendidikan dan kebajikan. Antara aktiviti perniagaan yang dilakukannya ialah;
i. Skim Jualan dengan Harga Tangguh (al-Bayʿ bi Thaman ‘Ajil): Antara jenis skim yang ditawarkan ialah Jualan Tanah/Rumah (Beli tanah/ rumah atau pakej membina/ ubah suai rumah), Jualan kenderaan (kereta, van, motorsikal dan lori), Jualan peralatan ( elektrik, perabot, komputer, buku, aksesori dll.) dan Pakej Umrah dan Ziarah ( Pakej Muslimin Travel dan Tours Sdn. Bhd.).
ii. Pelaburan: Koperasi Muslimin hanya membuat pelaburan terhadap instrumen yang lulus Syariah sahaja. Antara pelaburan yang dilakukan ialah melanggan Saham Terbitan, pelaburan di bidang hartanah seperti mendapatkan, membuka, memaju, menjual, memajak, mencagar tanah, ladang atau rumah dan pelancongan melalui anak syarikatnya iaitu Muslimin Travel dan Tours Sdn. Bhd..
iii. Skim Perkhidmatan Agensi/ al-Wakalah: Dalam hal ini, Koperasi Muslimin akan menjadi pihak ketiga dalam menyalurkan bantuan pihak pertama (ahli) kepada pihak kedua (penerima sumbangan). Pihak ketiga ini merupakan sebarang institusi atau pertubuhan atau jabatan yang mengendalikan urusan sosial dan ekonomi ummah. Bentuk bantuan ahli boleh dikategorikan kepada yuran, sedekah, wakaf, qurban dan seumpamanya.
Dalam menjalankan fungsinya yang berbentuk pendidikan, Koperasi Muslimin telah berusaha mendidik anggotanya dan masyarakat umum untuk memahami sistem perekonomian Islam melalui program-program :
i. Usrah
ii. Daurah Tarbiyyah
iii. Kelas Fiqh Muʿamalat
iv. Seminar dan Forum
Semua kegiatan ini akan dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Perhubungan Negeri, Yayasan Muslimin dan Persatuan Ulama’ Malaysia.
Bagi menjalankan fungsinya yang bersifat kebajikan, Koperasi Muslimin telah menjalankan beberapa skim. Skim-skim tesebut ialah:
i. Skim Hutang al-Qard al-Hasan: di mana koperasi akan memberi bantuan kepada anggotanya yang mempunyai hajat tertentu dengan memberikan hutang dalam bentuk kewangan dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran keuntungan.
ii. Skim Bantuan/ Sumbangan Kebajikan: di mana koperasi akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada anggotanya berkaitan dengan khairat kematian dan sumbangan anugerah pendidikan cemerlang.
iii. Perkhidmatan Simpanan al-Wadiʿah: di mana koperasi menyediakan ruang untuk anggotanya menabung secara bulanan dan mereka boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa.
Sebagai kesimpulannya, Koperasi Islam di Malaysia pada haikatnya telah berjaya memberikan satu bentuk lain daripada pengamalan koperasi pada kebiasaannya. Kewujudan Koperasi Islam di Malaysia memberikan pilihan kepada umat Islam untuk menyertai koperasi yang selaras dengan prinsip Islam. Di harapkan pada masa hadapan akan wujud lebih banyak koperasi Islam yang menawarkan lebih banyak produk untuk pembangunan umat Islam di Malaysia. Kewujudan kedua-dua koperasi ini sewajarnya dijadikan contoh oleh koperasi-koperasi lain yang berhajat untuk menjalankan aktiviti yang berteraskan syariah. Walaupun begitu, dengan kewujudan koperasi Islam tidak menafikan koperasi selain daripada koperasi Islam tidak menepati prinsip Syariah. Apa yang perlu bagi memastikan koperasi ‘lulus syariah’ ialah aktivitinya mestilah berlandaskan syariah dan menjauhi aktiviti yang diharamkan oleh Syariah. Tidak semestinya koperasi ‘lulus syariah’ mesti memakai nama koperasi Islam.



5. TUNTUTAN DAN CABARAN KEPADA GERAKAN KOPERASI
Pada 2 Mac 2004, Menteri Kewangan ke-II, Tan Sri Nor Mohd Yakcop telah menyarankan agar institusi kewangan bukan bank (NBFI) dibangunkan dalam gelombang ketiga perkembangan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. NBFI yang di maksudkan oleh beliau sudah semestinya berkisar kepada institusi-institusi bukan bank yang menjalankan muamalat Islam seperti Lembaga Tabung Haji, Syarikat Pajak Gadai Islam, Institusi Zakat Negeri dan Koperasi Islam dan koperasi yang menjadikan Islam sebagai asas muamalahnya. Selain daripada empat institusi yang sedia ada, masih ada beberapa institusi yang belum dibangunkan dengan sebaiknya seperti dalam hal wakaf dan pengurusan harta pusaka.
Aset-aset yang dipunyai oleh NBFI yang menjalankan urusan muamalahnya berteraskan Syariah jika dikaji dengan teliti cukup besar dan sewajarnya pada era ini dibangunkan bagi menyokong sistem kewangan Islam yang wujud di negara ini. Dengan kewujudan NBFI yang bersifat Islam akan melengkapkan komponen Sistem Kewangan Islam di Malaysia yang akan merangkumi institusi perbankan, takaful, pasaran modal Islam dan NBFI.
Justeru itu, Koperasi Islam perlu dibangunkan dan dikemaskini perjalanannya bagi menyokong hasrat murni kerajaan ini. Ini kerana menurut Tan Sri Mohd Yusof Nor, terdapat banyak koperasi di negara ini mempunyai aset melebihi 1 bilion dan dengan wujudnya koperasi sebegini mampu menjadi penyokong bagi sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia. Beliau dalam penghuraiannya memberikan contoh Koperasi Peneroka Felda sahaja mempunyai nilai aset sebanyak RM 500 juta. Jika koperasi dibangunkan dengan komprehensif, jumlah aset kewangan dan perbankan Islam secara keseluruhannya akan meningkat dengan mendadak. Ini akan meningkatkan reputasi sistem kewangan Islam di Malaysia.
Melihatkan kepada kepada keperluan di atas, gerakan koperasi Islam perlu dibangunkan secara komprehensif, ini kerana koperasi Islam bukan lagi sebagai alternatif bagi umat Islam memilih landasan berkoperasi dan saling bantu membantu secara Islam bahkan ia bakal menjadi tulang belakang kepada sistem kewangan Islam di Malaysia. Gerakan koperasi Islam diperlukan bagi mengimbangi aktiviti sosial yang tidak mampu dipenuhi oleh perbankan, takaful dan pasaran modal Islam. Ini kerana gerakan koperasi adalah gerakan yang meletakkan kebajikan ahli sebagai perkara pertama yang diutamakan berbanding dengan aktiviti perbankan, takaful dan pasaran modal Islam yang lebih menjurus kearah perniagaan dan keuntungan.
Selain itu, gerakan ini juga mempunyai banyak keistimewaan yang tidak dimiliki oleh perbankan, takaful dan pasaran modal Islam. Antara keistimewaannya yang lain ia mementingkan dan memusatkan aktivitinya kepada ahli-ahlinya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Sebagai contohnya, gerakan koperasi mampu memberi bantuan pinjaman segera dalam jumlah yang sederhana untuk tujuan pembiayaan peribadi seperti perkahwinan, pembelian motorsikal, kecemasan, alatan rumah dan melanjutkan pengajian. Ini sudah tentu tidak mampu dipenuhi oleh institusi lain. Gerakan koperasi juga yang dibina di atas semangat tolong menolong pada hakikatnya memberikan banyak keistimewaan kepada ahlinya daripada segi kebajikan seperti menyediakan tabung khairat kematian, hadiah pelajaran cemerlang, bantuan kemalangan dan menyediakan aktiviti pendidikan seperti kelas-kelas pengajian kewangan Islam, usrah, perniagaan dan asas-asas mengenai koperasi.
Cabaran yang perlu ditempuh bagi membangunkan gerakan koperasi sebagai tulang belakang kepada gelombang ketiga terbahagi kepada dua; pertama cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan. Kedua, cabaran yang perlu dihadapi oleh gerakan koperasi sendiri. Cabaran pertama ialah kerajaan perlu menubuhkan unit khas yang berfungsi mengawalselia aktiviti koperasi Islam di bawah Jabatan Pembangunan Koperasi. Unit ini bertanggungjawab penuh dalam menyelia dan memastikan perjalanan koperasi-koperasi Islam selaras dengan Syariah. Selain itu, unit ini juga akan menjawab persoalan yang timbul berkaitan dengan isu Syariah yang timbul berkaitan perlaksanaan koperasi Islam. Unit khas ini juga berperanan sebagai unit yang membezakan antara koperasi yang berciri Islamik dan koperasi yang bercirikan pengamalan konvensional.
Pencirian koperasi Islam adalah perlu kerana Malaysia mempunyai banyak koperasi dan sukar untuk membezakan antara koperasi Islam dan konvensional. Jika koperasi adalah antara tulang belakang gelombang ketiga pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia, pastinya perlu dibezakan antara koperasi Islam dan konvensional bagi memastikan hanya gerakan koperasi yang bebas daripada unsur-unsur haram dan selaras dengan Syariah sahaja diiktiraf sebagai ‘Koperasi Lulus Syariah’ yang dianggap sebahagian daripada sistem kewangan Islam di Malaysia.
Selain itu, cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah kerajaan perlu memperkenalkan prinsip koperasi Islam secara meluas. Peranan ini mungkin boleh dimainkan oleh beberapa agensi yang terlibat dalam pembangunan koperasi contohnya Jabatan Pembangunan Koperasi dan Maktab Kerjasama Koperasi yang menjadi pusat pengajian utama dalam koperasi. Peranan yang harus dimainkan ialah terus menerus mempromosikan prinsip koperasi Islam dan mengadakan seminar khusus bagi menerangkan prinsip-prinsip Syariah yang dipraktikkan dalam koperasi Islam dan seterusnya menyakinkan gerakan koperasi berkaitan dengan pengamalan koperasi Islam. Gerakan koperasi perlu diyakinkan dengan pengamalan koperasi Islam. Pihak yang terlibat mungkin boleh mengambil pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan ketika mula memperkenalkan SPTF dan SPI di kalangan bank-bank konvensional.
Cabaran kedua pula adalah berkaitan dengan gerakan koperasi sendiri. Perkara pertama yang perlu dititik beratkan dalam gerakan koperasi Islam adalah membina kerjasama di kalangan koperasi Islam. Pada ketika ini, pertemuan dan perkongsian maklumat di antara koperasi Islam memang berlaku. Tetapi ia berada ditahap yang minimum. Cadangan untuk mewujudkan kerjasama di kalangan koperasi Islam sememangnya wujud, namun tidak ada tindakan susulan daripada pihak terbabit. Koperasi Islam bukan sahaja memerlukan platform untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bahkan perlu membina kerjasama yang kukuh yang melibatkan aktiviti dan projek yang dilakukan.
Sikap keterbukaan dan kesedaran tentang faedah-faedah kerjasama serta kesan daripada itu perlu ada di kalangan pemimpin koperasi, kalau kita inginkan hasrat ini menjadi kenyataan. Syarikat-syarikat dan bank-bank memilih lebih dari sekadar bekerjasama iaitu mereka bergabung antara satu sama lain. Ternyata tindakan ini memberi kesan yang besar kepada peningkatan kecekapan dan keuntungan yang diperolehi. Sudah tentu kerjasama antara koperasi Islam akan memberikan kesan yang mungkin lebih besar terutamanya dalam mewujudkan longgokan dana yang lebih besar, pasaran yang lebih luas dan kuasa tawar menawar lebih kuat.
Cabaran paling besar bagi koperasi Islam ialah bilangan koperasi Islam dan koperasi yang berteraskan Islam banyak (seperti yang dinyatakan dalam sejarah perkembangan koperasi) sehingga melangkau 42 koperasi pada tahun 1994 (Statistik terkini tidak diperolehi) tetapi penyertaan daripada umat Islam adalah berkurangan. Di negara-negara barat, anggota-anggota koperasi yang besar jumlahnya mampu membentuk kuasa pengguna yang efektif hingga boleh mempengaruhi harga pasaran dan mempertahankan diri dari menjadi mangsa manipulasi para pengeluar dan penjual. Hal ini dapat dilakukan kerana kesatuan yang tercipta daripada koperasi.
Masyarakat Islam juga perlu disedarkan bahawa penyertaan mereka dalam koperasi Islam bukan sekadar mampu menyelesaikan masalah secara kolektif , malahan mendekati kaedah muamalat yang lebih Islamik sifatnya dan dengan demikian kita memperolehi barakah daripadaNya. Sekiranya penyertaan umat Islam dapat digembleng melalui koperasi, umat Islam mampu mempengaruhi pasaran, pengeluaran dan perdagangan bahkan mampu membina kekuatan para pengguna Islam di peringkat antarabangsa. Selain itu, gerakan koperasi Islam meneroka jaringan global antara koperasi-koperasi Islam yang terdapat di negara-negara Islam bagi membina kekuatan pengguna muslim yang berkesan.
Gerakan koperasi Islam juga perlu membuka cawangan-cawangan mereka dengan lebih banyak dan menawarkan produk-produk baru bagi mempertingkatkan sambutan pengguna terhadap gerakan koperasi. Dalam hal ini, gerakan koperasi Islam boleh mencontohi Bank Rakyat iaitu bank utama bagi gerakan koperasi yang mampu menjana keuntungan walaupun di zaman kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai matawang.
Selain itu, koperasi juga hendaklah berperanan lebih jauh, tidak hanya pada anggotanya dan masyarakat setempat malah perlu mengembangkan faedah dan manfaatnya kepada umat Islam sejagat di tempat dan negara lain. Syarikat-syarikat biasanya meletakkan keutamaan kepada matlamat mendapatkan keuntungan maksimum. Kalau adapun usaha-usaha kebajikan dilakukan sekadar ‘window dressing’ dan menjadi sesuatu yang tidak penting pada syarikat. Berbeza dengan koperasi, oleh kerana asasnya adalah tolong menolong, koperasi Islam sewajarnya mengatur agenda menolong dan membantu umat Islam yang tertindas di negara-negara lain.

6. KESIMPULAN
Gerakan koperasi khususnya koperasi Islam khasnya dan keseluruhan NBFI umumnya sewajarnya dibangunkan bagi menyokong perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. NBFI mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang tidak dimiliki oleh institusi perbankan. Justeru, keistimewaan ini digunakan bagi menampung kekurangan yang terdapat dalam sistem kewangan Islam yang rancak terbina di Malaysia. Semoga sistem kewangan Islam di Malaysia menapak kukuh dengan wujudnya sokongan daripada NBFI.

BIBLIOGRAFI
Abd. Rashid Dali. 1978. Konsep koperasi (ta’awun) dalam konteks ekonomi umat Islam, Kertas Kerja Seminar Koperasi dalam Masyarakat Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Pembangunan Koperasi. 27 Februari hingga 2 Mac.

Ainol Hidayah Abdul Rauof. 2004. Koperasi menurut perspektif Islam dan tinjauan terhadap koperasi Islam di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia: Disertasi Sarjana.

Amir bin Nanyan. 2001. Al-Qardhul hasan: teori dan perlaksanaannya di koperasi belia Islam Malaysia berhad (1992 hingga 1999). Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Azma Che Seman. 2000. Koperasi: dasar dan perlaksanaannya dalam sistem ekonomi Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Berita Harian, Draf koperasi Islam sudah sedia, 9 Oktober 1995.

Berita Harian, Koperasi ikut lunas Islam berkembang, 6 Januari 1987.

Berita Harian, Sistem koperasi Islam di Pakistan akan ditinjau, 12 Mac 1985.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 1989. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Idris Ismail. 1994. Perkembangan koperasi Islam. Dalam Sistem Ekonomi Islam. Kuala Lumpur: Maktab Kerjasama Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Shirkah Ta’awuniyyah (atas talian), http://alislam.or.id/fiqh/arsip/.html. (18 November 2005).
Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, Peranan koperasi dalam proses globalisasi ekonomi. t.th.. Dalam Bicara Koperasi. Kuala Lumpur: Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia.

Jabatan Pembangunan Koperasi, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan ANGKASA. t.th.. Koperasi di Malaysia. Kuala Lumpur: Unit Pengeluaran Majalah PELANCAR.

Kadir Ahmad. 1994. 40 tahun bersama bank rakyat, Usahawan Malaysia, Usahawan Malaysia, September – Oktober 1994.

Khairul Anuar bin Ramlan. 1999. Urusniaga di koperasi siswazah berhad: satu penilaian dari perspektif Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.
Koperasi Muslimin Berhad, http://www.koperasimuslimin.com.my/(18 NOVEMBER 2005)
Koperasi Muslimin Malaysia Berhad. t.th., Buku panduan. Kuala Lumpur: Koperasi Muslimin Malaysia Berhad.

Mahsin Hj. Mansor & Mustafa Abdul Rahman. Faktor kejayaan dan kelemahan koperasi ditinjau dari perspektif Islam, Kertas Kerja Seminar Koperasi dalam Masyarakat Islam. Petaling Jaya: ANGKASA. 27 Februari- 2 Mac.

Margaret Digby. 1960. The world co-operative movement. London: Hutchinson University Library.

Mohd Faizal b. Mohd Nor. 2003. Peranan koperasi dalam menawarkan instrumen pelaburan Syariah: kajian di koperasi muslimin malaysia berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Nik Nurul Azlina Nik Mat Daud. 2002. Perlaksanaan instrumen muamalah Islam: satu kajian di koperasi guru melayu kelantan nerhad (KGMKB). Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Nor Masrina bt Osman. 2002. Perlaksanaan sistem kredit Islam di Malaysia: kajian di koperasi muslimin berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Roshaida Kamaruddin. 1996. Sistem koperasi Islam: perlaksanaan dan implikasinya: kajian kes di koperasi belia Islam (M) berhad. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Ruzana bt. Ariffin. 2000. Pendekatan koperasi dalam sistem perbankan Islam: kajian di bank rakyat. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Salwana bt. Ahmad Dahlan. 1993. Koperasi belia Islam dan peranannya dalam aktiviti ekonomi di Malaysia. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Siti Azura bt. Nasruddin, Koperasi muslimin malaysia berhad: satu penilaian menurut perspektif Islam. Universiti Malaya: Latihan Ilmiah.

Siti Rohani Yahya. 1988. Konsep asas ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid. 1983. Pengurusan Koperasi. Kuala Lumpur: Bahagian Penerbitan Angkasa.

Ungku Abdul Aziz. 1985. Prinsip-prinsip koperasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Utusan Malaysia, Jawatankuasa penubuhan koperasi Islam ditubuh, 10 Julai 1986.
Utusan Malaysia. Gelombang ketiga perkembangan Sistem Kewangan Islam di Malaysia. 2 Mac 2004.

Utusan Malaysia. Koperasi perlu dibangunkan sokong perbankan Islam. 3 Mac 2004.

Utusan Melayu, Koperasi dan kewangan Islam, 11 Julai 1986.

Utusan Melayu, Semakin banyak koperasi berniaga cara Islam, 6 Januari 1987.

William R. Roff. 1984. Kerjasama dan koperasi di semenanjung 1910-1941 petikan dari bahan-bahan terbitan sezaman. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Zainal Abidin Hashim. 1997. Koperasi di Malaysia asas dan pergerakan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1 comment:

Widya Okta said...

Saya Widya Okta, saya ingin memberi keterangan kerja yang baik dari Allah dalam hidup saya kepada bangsaku yang sedang mencari untuk pinjaman di Asia dan bahagian lain perkataan, kerana ekonomi yang buruk di beberapa negara. Adakah mereka sesiapa yang mencari pinjaman di antara kamu? Kemudian, anda perlu berhati-hati kerana banyak syarikat pinjaman penipuan di sini di internet, tetapi mereka masih tulen sekali dalam syarikat pinjaman palsu. Saya telah menjadi mangsa yang 6 kredit peminjam penipuan, saya hilang begitu banyak wang kerana saya mendapatkan pinjaman daripada syarikat mereka. Saya hampir mati dalam proses kerana saya ditahan oleh rakyat hutang saya sendiri, sebelum i adalah pembebasan dari penjara dan seorang kawan saya yang saya menerangkan keadaan saya kemudian memperkenalkan saya kepada sebuah syarikat pinjaman reliabl yang SANDRAOVIALOANFIRM. Saya mendapat pinjaman saya Rp900,000,000 dari SANDRAOVIALOANFIRM sangat mudah dalam tempoh 24 jam yang i digunakan, Jadi saya membuat keputusan untuk berkongsi kerja yang baik dari Allah melalui SANDRAOVIALOANFIRM dalam kehidupan keluarga saya. Saya meminta nasihat anda jika anda memerlukan pinjaman anda lebih baik hubungan SANDRAOVIALOANFIRM. menghubungi mereka melalui e-mel:. (Sandraovialoanfirm@gmail.com)
Anda juga boleh menghubungi saya melalui e-mel saya di (widyaokta750@gmail.com) jika anda mendapati sukar atau mahu prosedur untuk mendapatkan pinjaman.

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template