Tuesday, October 7, 2008

Pengurusan Wang yang tidak dituntut

PENGURUSAN HARTA DAN WANG ORANG ISLAM YANG TIDAK DITUNTUT DI AMANAH RAYA BERHAD

1.1 Pendahuluan

Al-Quran secara serius telah menetapkan bahawa amanah bukanlah satu keistimewaan tetapi sebagai satu tanggungjawab dan merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia. Justeru dalam soal ini Allah S.W.T telah befirman yang mafhumnya:
“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi sebaik-baik pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
(al-Quran, al-Nisa’, 4:58)
Berdasarkan pemahaman kepada ayat ini, Kerajaan Malaya (Malaysia) pada tanggal 1 Mei 1921 telah menubuhkan Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pentadbir Pusaka bagi menjalankan pentadbiran berkaitan amanah dan pusaka pada ketika itu. Selepas itu, Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pentadbir Pusaka ini telah berkembang maju hasil daripada inovasi pentadbirannya lebih 85 tahun dan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan selaras dengan nama korporatnya yang baru iaitu Amanah Raya Berhad (ARB) (Sukriah Binti Ismail 2006: hlm. 14).

2.1 Sejarah Penubuhan Amanah Raya Berhad

Jabatan Pemegang Amanah Raya telah diperkenalkan buat pertama kalinya di Negeri-negeri Selat melalui Ordinan No 111, tahun 1915, Kemudian jabatan ini diperkenalkan pula di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920 melalui Enakmen Pemegang Amanah Raya 1920. Jabatan ini telah digabungkan dengan jabatan pentadbir rasmi dan dipegang oleh seorang pegawai sahaja. Tujuan penubuhan jabatan ini ialah untuk mengatasi masalah penipuan dan pecah amanah.



Pada Januari 1942, R.C Lemmon iaitu akauntan di Jabatan Pemegang Amanah Raya telah memindahkan semua rekod pentadbiran ke Singapura. Pada bulan Mei 1942, pihak pentadbiran Jepun di Tanah Melayu telah membenarkan pegawai di Jabatan Pemegang Amanah Raya Kuala Lumpr untuk mendapatkan semula semua dokumen dan wasiat di Mahkamah Tinggi Singapura. Semasa pemerintahan Jepun, Jabatan Pemegang Amanah Raya telah diagihkan dari pusat ke negeri-negeri dimana pemerintah Jepun telah melantik seorang Pemegang Amanah Raya bagi setiap negeri di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Setelah Jepun dikalahkan, Jabatan Pemegang Amanah Raya dibuka semula di peringkat ousat pada Julai 1946 (Sukriah Binti Ismail 2006: hlm. 15).

Selepas Merdeka, sebuah kementerian yang dikenali dengan nama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan telah ditubuhkan. Bagaimanapun dalam tahun 1960, Kementerian Keadilan (Kehakiman) yang tersendiri telah diwujudkan. Jabatan-jabatan yang diletakkan di bawah kementerian pada masa itu ialah termasuklah Kehakiman, Undang-undang, Pemegang Amanah Raya dan Penyimpanan Harta Musuh. Pada bulan Jun 1964, bidang kuasa Kementerian ini telah diperluaskan dengan memasukkan Jabatan Pemegang Harta yang ketika itu dicantumkan dengan Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pentadbiran Pusaka.

Kementerian Kehakiman yang wujud pada tahun 1967/1968 itu bertanggungjawab ke atas Jabatan Kehakiman; iaitu di dalam hal ehwal pentadbiran dan urusan kewangan Mahkamah dan Jabatan Undang-Undang; iaitu memberi nasihat kepada Kerajaan, Jabatan-jabatan dan pelbagai Lembaga Pengampunan, menguruskan tuntutan-tuntutan awam bagi dan terhadap kerajaan, mewakili kerajaan di persidangan-persidangan antarabangsa dan persetujuan-persetujuan, menterjemah undang-undang. Tanggungjawab Kementerian Keadilan seterusnya ialah meliputi pentadbiran pusaka si mati melalui wasiat, mewakili orang yang belum dewasa dalam kes-kes tertentu, pegawai penerima dalam hal-hal penggulungan syarikat, pertubuhan dan kesatuan sekerja serta menyimpan harta musuh (Sukriah Binti Ismail 2006: hlm. 16).

Mulai awal tahun 1969, bidang tugas Kementerian bertambah meliputi Jabatan Kerajaan, Kimia, Perangkaan, Arkib Negara dan Pertahanan Awam. Walau bagaimanapun Kementerian ini telah dimansuhkan pada 23 September 1970 di mana Jabatan Kehakiman dan Jabatan Undang-undang dipisahkan.Dengan pemansuhan kementerian, melalui Pemberitahuan Undang-Undang (A) Bil. 25/70 bertarikh 23 September 1970 itu, Jabatan Kehakiman telah diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pentadbiran Pusaka, Jabatan Penyimpan Harta Musuh dan Muflis telah diletakkan di bawah seliaan Peguam Negara iaitu Y.B Tan Sri Abdul Kadir Yusoff. Bahagian Perkhidmatan Bantuan Guaman telah diwujudkan di bawah Jabatan Undang-Undang pada bulan Julai 1970. Bahagian ini sekarang dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman.

Setelah Jabatan Kehakiman diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam tahun 1970, terdapat masalah dan kesukaran untuk mendapatkan kakitangan, peruntukan kewangan, pembangunan dan sebagainya kerana Jabatan tersebut mempunyai banyak jabatan-jabatan yang memerlukan pengawasan. Dari setahun ke setahun bekas Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Negara pada masa itu, telah mencadangkan supaya Kerajaan mewujudkan semula Kementerian Kehakiman dan akhirnya kementerian ini ditubuhkan semula dan jabatan-jabatan yang diletakkan di bawah seliannya ialah Jabatan Kehakiman, Jabatan Pemegang Amanah Raya, Jabatan Pemegang Harta dan Biro Bantuan Guaman.
Pada 8 Mei 1995, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan apabila Kementerian Undang-Undang Dimansuhkan berikutan susunan portfolio baru Menteri-menteri Kabinet selepas Pilihanraya Umum dalam tahun tersebut. Bahagian ini diletakkan di bawah susunan Jabatan Perdana Menteri bagi mengendalikan fungsi Kementerian Undang-undang yang lama iaitu menyelia Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan, Jabatan Pemegang Harta, Biro Bantuan Guaman dan Jabatan Pemegang Amanah Raya serta Pegawai Pentadbir Pusaka.

Berikutnya pada 29 Mei 1996, Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka telah diperbadankan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) dan dikorporatkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan pada 1 Ogos 1995 telah memulakan operasi sebagai Amanah Raya Berhad. ARB adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia dengan saham-sahamnya dipegang oleh Menteri Kewangan dan ia terletak di bawah kawalan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri (Sukriah Binti Ismail 2006: hlm. 15).






3.1 Visi, Misi dan Falsafah Korporat ARB

3.1.1 V isi

Untuk terus unggul sebagai satu institusi yang menawarkan perkhidmatan profesional dalam bidang peramanahan dan pengurusan pewarisan yang memenuhi kepuasan pelanggan dan tanggungjawab sosial.

3.1.2 Misi

Amanah Raya Berhad berusaha ke arah misi berikut:
1. Memastikan kecekapan dan keuntungan adalah setanding dengan syarikat peramanahan swasta yang lain.
2. Memastikan tahap perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada semua pelanggan.
3. Mewujudkan suasana kerja yang mesra, warga kerja yang cekap, terlatih, bersemangat tinggi dan berdaya saing semasa melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan dalam masa yang ditetapkan.
4. Berusaha untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan baru selaras dengan perubahan kehendak pelanggan.
5. Ke arah memantapkan keupayaan, meningkatkan imej dan seterusnya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam pentadbiran peramanahan dan pengurusan perwarisan (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.41) .

3.1.3 Falsafah Korporat

Falsafah korporat Amanah Raya Berhad ialah menekankan sifat tanggungjawab dan ketelusan sebagai Perbadanan Perkhidmatan Awam dengan cara mengimbangi tanggungjawab sosial dengan fungsi statutori dan komersial secara berterusan.

4.1 Produk dan Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Amanah Raya Berhad

Berdasarkan kemahiran dan kepakaran yang ada, ARB menawarkan perkhidmatan dalam pelbagai bidang utama iaitu pentadbiran akaun amanah, akaun pendidikan (ARB-EDUCARE), penulisan, penyimpanan dan perlaksanaan wasiat, pengamanahan korporat, pentadbiran harta pusaka dan pengurusan dana.

4.1.1 Pentadbiran Akaun Amanah

Dalam pentadbiran amanah, ARB dilantik untuk menjadi pemegang amanah bagi faedah seseorang yang akan menikmati manfaat daripada peramanahan tersebut. Untuk perlaksanaannya, ARB mendapat bidang kuasa melalui peruntukan seksyen 2 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Sebagai pemegang Amanah, ARB akan menguruskan aset yang diamanahkan mengikut hasrat dan kehendak penderma selagi tidak bertentangan dengan syara’.

Akaun amanah adalah dana yang dibentuk oleh penderma sama ada individu atau badan korporat. Penderma boleh mengamanahkan sama ada wang tunai, saham, polisi insuran nyawa dan juga hartanah. Perlantikan ARB sebagai pemegang amanah dibuat melalui suratikatan amanah yang ditandatangani antara ARB sebagai pemegang amanah dan penderma (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.42).

4.1.2 Amanah Pendidikan ARB EDUCARE

Dalam menyediakan perkhidmatan pentadbiran harta, ARB turut menawarkan produk berbentuk skim seperti insurans untuk jaminan pendidikan anak-anak. Skim ini dinamakan EDUCARE. EDUCARE adalah gabungan antara skim insuran, amanah dan simpanan yang bertujuan bagi membantu masyarakat menabung untuk keperluan pendidikan anak-anak mereka. Skim ini melibatkan ARB sebagai pemegang amanah dan pihak yang ingim membuka akaun amanah sebagai penderma.

Penderma hendaklah berumur antara 18 hingga 50 tahun dan berpendapatan tetap sekurang-kurangnya RM 700 sebulan. Hanya anak yang mempunyai sijil kelahiran layak dinamakan sebagai benefisiari untuk akaun amanah ini. Penderma hendaklah menentukan sendiri sasaran maksimum hingga ke RM 100 000. Wang yang dimasukkan oleh penderma ke dalam akaun ini akan ditadbir di bawah wang amanah yang dibenarkan oleh undang-undang dan diluluskan syariah (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.36).

4.1.3 Perkhidmatan Pengamanahan Korporat

ARB telah menyediakan perkhidmatan pengamanahan korporat sejak tahun 1966 dengan menjadi pemegang amanah kepada tabung unit amanah yang pertama dilancarkan iaitu Asia Trust. Kuasa untuk memberikan perkhidmatan ini diperuntukkan oleh seksyen 2 Akta 532. Perlantikan ARB sebagai pemegang amanah boleh dibuat melalui suratikatan amanah yang dimetrai antara pengurus dana, ARB dan pemegang unit-unit dalam dana saham amanah tersebut.

Dana saham amanah merupakan satu amanah yang dipegang oleh ARB sebagai pemegang amanah bagi pihak pemegang saham unit dalam sesebuah syarikat induk. Syarikat ini merupakan syarikat yang melaburkan wang yang dikumpul dalam suatu tabung amanah dan setiap ahli mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu unit saham. Sebagai pemegang amanah, ARB akan mengawasi urusniaga yang dibuat oleh pengurus dana, memastikan pengagihan dividen yang adil dan tepat serta memantau syarikat pengurusan bertindak sejajar dengan kepentingan pemegang amanah dan terma-terma yang dimetrai dengan suratikatan (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.37).
4.1.4 Penulisan, Penyimpanan dan Perlaksanaan Wasiat

Bagi melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh seksyen 11 Akta 532 menyediakan perkhidmatan pengurusan dan pentadbiran wasiat. Menurut seksyen ini, ARB boleh dilantik sebagai wasi atau pentadbir wasiat oleh sesiapa sahaja yang membuat permohonan. Sebagai wasi, ARB boleh menulis dan menyediakan wasiat dengan mengenakan sedikit fee. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya pemalsuan ke atas wasiat atau pengubahan yang tidak sah.

Sebagai wasi, ARB akan menyelesaikan isu harta dan pengagihan aset menurut wasiat yang telah dibuat. Bagi orang Islam, ARB akan memastikan wasiat yang hendak disediakan selaras dengan syarat-syarat hukum syarak. Bagi wasiat secara sivil pula, petisyen akan difailkan ke Mahkamah Tinggi untuk memohon probet (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.37).

4.1.5 Pentadbiran Harta Pusaka

Menurut Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995, ARB merupakan satu badan yang berfungsi sebagai pentadbir harta pusaka. Ia berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam akta tersebut. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, ARB telah mengguna pakai undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995.

ARB mempunyai kuasa untuk mentadbir harta pusaka biasa, harta pusaka kecil dan harta pusaka ringkas. Pentadbiran bagi ketiga-tiga harta pusaka tersebut adalah berbeza di mana setiap harta pusaka menggunakan surat kuasa yang berbeza(Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.38).

4.1.6 Pengurusan Dana
Dalam mentadbir dana, pengurusan terbaik perlu dilaksanakan, oleh itu ARB menggunakan cara-cara berikut:
1. Menuntut supaya pihak pengurus dana mengemaskini rekod dan polisi mengenai pelaburan.
2. Menuntut pihak pengurus dana memberitahu ARB tentang apa-apa pelaburan yang dibuat tidak lewat daripada satu hari selepas pelaburan tersebut dilaksanakan.
3. Memastikan pengagihan yang adil kepada pemegang-pemegang unit hasil keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.
4. Memastikan pihak pengurus dana mengurus dengan jujur untuk kepentingan pemegang-pemegang unit.
5. Memastikan rekod-rekod berkenaan urusan jual beli, pelaburan, dividen, faedah dan keuntungan disimpan sebaik-baiknya.
6. Memastikan bahawa pelaburan yang dibuat adalah dalam aset-aset yang dibenarkan.
7. Memastikan pengurus dana mematuhi peraturan dan had mengenai pelaburan dana.
8. Menentukan bahawa segala fee yang dikenakan di atas pengurusan dana adalah berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan(Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.39).

5.1 Pengurusan Harta Dan Wang Orang Islam Yang Tidak Dituntut Di Amanah Raya Berhad

Secara dasarnya ARB merupakan pemegang amanah kepada lebih daripada 20,000 akaun amanah persendirian. Akaun amanah adalah dana yang dibentuk oleh individu atau badan korporat dengan pemegang amanah. Pemegang amanah akan mentadbir segala aset yang diamanahkan (aset alih atau tak alih) yang dibayar kepada benefisiari melalui penjaga yang dilantik untuk manfaat benefisiari. Pemegang amanah juga perlu menghalang mana-mana perbelanjaan harta amanah yang boros dan melindungi daripada penghamburan harta amanah.

Sebilangan kes amanah yang ditadbir oleh ARB adalah dibawah Ordinan Sakit Otak 1952 (Mental Health Ordinance 1952). Penderma (dalam istilah undang-undang) boleh mengamanahkan aset seperti wang tunai dan senilainya, saham, polisi insurans nyawa dan juga hartanah. Akaun amanah ini boleh dibuka semasa hayat penderma atau mengikut wasiat apabila berlaku kematian. Suratikatan Amanah akan ditandatangani diantara pemegang amanah dan penderma bagi memperuntukkan syarat dan terma amanah. Wang amanah yang disimpan oleh ARB adalah berpunca daripada sebab-sebab berikut:
1. Penerima harta tersebut telah meninggal dunia.
2. Penerima belum cukup umur.
3. Penerima cacat daya pemikiran
4. Penerima tidak dapat dikesan.

Dalam soal ini, bagi wang atau harta yang tidak dituntut berpunca daripada sebab-sebab yang dinyatakan di atas, ARB sebagai pemegang amanah akan membuka akaun amanah bagi setiap kes di atas dan akan mengumpulkan di dalam satu tabung yang dinamakan Kumpulan Wang Bersama Amanah Raya Berhad dan akan dilaburkan kepada instrumen-instrumen yang diluluskan syariah. Setiap tahun ARB akan mengeluarkan dividen dan dikreditkan ke dalam akaun-akaun yang telah dibuka. Jika dalam masa tersebut terdapat tuntutan daripada waris bagi keempat-empat sebab di atas ARB akan mengeluarkan wang ini mengikut seksyen 37, Akta Pemegang Amanah (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.44).

Selain daripada empat sebab di atas terdapat beberapa sebab lagi tambahan yang pengurusan wang yang tidak dituntut sama dengan kes-kes di atas iaitu:
1. Perintah Pegawai Buruh: Apabila seseorang pekerja meninggal dunia atau apa-apa kecelakaan yang menimpa dirinya, Pesuruhjaya Pampasan Pekerja iaitu Pegawai Buruh akan mengeluarkan perintah di bawah Ordinan Pampasan Pekerja 1952 supaya wang pampasan dibahagikan kepada si mati. Bahagian kanak-kanak akan dibayar kepada ARB untuk dipegang secara amanah. Wang ini juga akan dilaburkan seperti kes-kes di atas dan dividennya akan dikreditkan ke dalam akaun yang telah dibuka.
2. Perintah Mahkamah: Wang yang diamanahkan daripada punca ini ialah; pertama, wang gantirugi untuk kanak-kanak yang mengalami sendiri kecederaan atau; kedua, wang bahagian kanak-kanak yang menjadi tanggungan si mati. Baki wang ini akan diserahkan kepada mereka apabila mereka mencapai umur 18 tahun. Sekiranya kanak-kanak mengalami kederaan itu hilang daya pemikiran, wang itu akan dipegang oleh ARB secara berterusan. Nafkah akan dibayar kepada penjaganya. Amaun yang dibayar adalah tertakluk kepada umur, tempat tinggal dan jumlah wang yang diamanahkan.
3. Perintah Pentadbir Tanah: apabila si mati meninggalkan harta alih dan tak alih bernilai kurang daripada RM 600,000, maka kuasa mentadbir tersebut telah diberikan kepada Pentadbir Tanah kerana ia melibatkan kes Pusaka Kecil. Kuasa yang digunakan ialah seksyen 16 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Perintah Pembahagian di dalam Borang E dan akan melantik ARB sebagai pemegang amanah untuk bahagian kanak-kanak atau orang tua yang telah nyanyuk.
4. Wang Pusaka: Selain daripada wang yang diterima berikutan daripada Perintah Pentadbir Tanah, wang daripada harta pusaka yang diserahkan kepada ARB juga akan ditadbir mengikut seksyen 86 Akta Probet dan Pentadbiran atau seksyen 20 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Satu Suratcara Amanah diperlukan. Dalam soal ini, harta-harta si mati yang diserahkan kepada ARB akan disimpan secara amanah sehinggalah waris memperolehi Surat Kuasa Mentadbir Pusaka. Ke semua wang yang dikumpulkan ini akan ditabungkan ke dalam Kumpulan Wang Bersama Amanah Raya Berhad dan dilaburkan. Apabila ada permohonan untuk membiayai perbelanjaan waris seperti belanja persekolahan, perayaan dan lain-lain bayaran yang bermanfaat, ARB akan mengeluarkan wang ini mengikut seksyen 37, Akta Pemegang Amanah 1949 (Hamidah Mohamad Hassan 2007: hlm.46).

RUJUKAN

Hamidah binti Mohamad Hasan. 2007. Amalan Peramanahan Harta: Kajian di Amanah Raya Berhad. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sukriah binti Ismail. 2006. Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam di Amanah Raya Berhad. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.

1 comment:

nur ikaa said...

tq ustaz untuk info nie...mudahkan saya nk buat asgment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template