USUL FIQH DALAM PEMBANGUNAN PASARAN MODAL ISLAM
Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (Fiqh dan Usul) (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip Pendidikan (Pend. Islam & B.Arab) (I.P.G.I.K)
2.1 Pengertian Usul Fiqh
Telah menjadi kebiasaan ulama’ mentakrifkan usul fiqh dengan dua pendapat; pendapat pertama, ialah sebelum ia dijadikan satu ilmu pengetahuan dan pendapat kedua ialah setelah ia menjadi ilmu pengetahuan.
Perkataan usul fiqh dikaji sebelum dijadikan satu ilmu pengetahuan adalah tersusun daripada dua perkataan iaitu usul dan fiqh. Perkataan usul berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud asas dan daripada sudut istilah ia membawa pelbagai maksud; antaranya ialah dalil, kaedah, rujhan ( dalil yang berat sebelah) dan maqis ‘alayh (perkara yang diqiyaskan ke atasnya). Manakala makna fiqh daripada sudut bahasa ialah memahami dan daripada sudut istilah ialah mengetahui hukum-hukum yang berkaitan syara’ yang berbentuk amali yang diambil daripada dalil-dalil yang berbentuk tafsili (detail) (Zaydan 1993: hlm. 8).
Manakala pentakrifan usul fiqh setelah dijadikan ilmu pengetahuan ialah satu ilmu yang membolehkan seseorang mengetahui dalil-dalil fiqh secara detail dalam proses mengeluarkan hukum daripada nas-nas hukum yang bersifat umum. Dalam pengungkapan lain, usul fiqh ialah satu metodologi istinbat hukum yang dengannya dapat dikeluarkan hukum –hukum syara’ yang praktikal daripada dalil-dalil yang terperinci.
Justeru itu, usul fiqh dalam bahasa yang mudah boleh ditakrifkan sebagai metodologi istinbat hukum syara’ yang perlu dipatuhi oleh fuqaha’ dalam menetapkan hukum atau mencari penyelesaian sesuatu hukum. Metodologi ini menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh seorang fuqaha’ dalam menentukan keabsahan sesuatu hukum. Selain daripada itu, ilmu usul fiqh juga mengandungi syarat-syarat keilmuan yang perlu dipenuhi oleh seorang fuqaha’ sebelum digelar mujtahid dan layak untuk mengeluarkan hukum secara sendiri (Abu Zahrah t.th.: hlm 6).
2.2 Skop Perbahasan Usul Fiqh
Perbahasan ilmu ini tidak lari daripada skop yang telah digariskan oleh takrif di atas. Ilmu ini membincangkan berkaitan status sesuatu hukum yang ditinjau berasaskan dalil-dalil yang ada. Selain daripada itu, ilmu ini juga membincangkan bagaimana ulama’- ulama’ mujtahid pada zaman keemasan Islam mengeluarkan hukum sebagai panduan ulama’ kemudian untuk mengeluarkan hukum-hukum baru yang berkisar tentang persoalan syariah. Akhir sekali ilmu ini juga membincangkan berkaitan syarat-syarat seseorang fuqaha’ (mujtahid) dan syarat-syarat seseorang muqallid (pengikut) yang dibincangkan dalam tajuk ijtihad dan taqlid yang biasanya dibincangkan dipenghujung penulisan buku-buku usul fiqh (Abu Zahrah t.th.: hlm 8).
2.3 Faedah Mempelajari Usul Fiqh
Antara faedah yang telah digariskan oleh ulama’ silam ialah:
1. Dapat benar-benar memahami hukum-hukum yang diistinbatkan oleh para fuqaha’ terdahulu daripada aspek dalil-dalil yang digunakan.
2. Dapat mengetahui hukum mengenai masalah-masalah syariah yang tidak diputuskan oleh mujtahid atau masalah-masalah baru yang memerlukan penyelesaian syariah dengan menggunakan metodologi yang disusun oleh para mujtahid terdahulu.
3. Sebagai ulama’ muta’akhirin, para fuqaha semasa dapat membuat perbandingan di antara mazhab-mazhab fiqh dan membuat pentarjihan terhadap mazhab-mazhab tersebut. Pentarjihan tidak dapat dilakukan jika fuqaha’ semasa tidak mengetahui metodologi istinbat hukum yang terkandung dalam ilmu usul fiqh (Abu Zahrah t.th.: hlm 10).
2.4 Usul Fiqh sebagai Metodologi Kritis dalam Menilai Hukum
Dalam tradisi pengajian syariah, usul fiqh dianggap sebagai satu metodologi istinbat hukum. Usul fiqh dalam skop yang luas boleh ditakrifkan sebagai metodologi yang membincangkan dalil-dalil syara’ secara menyeluruh serta cara menganalisis dan mengistinbatkan hukum syara’. Selain daripada itu usul fiqh juga sinonim sebagai ilmu yang membincangkan sumber, kaedah pengambilan hukum dan ciri-ciri yang diperlukan oleh mereka yang menganalisis hukum syara’. Pendekatan usul fiqh adalah berbentuk mementingkan kebenaran sesuatu fakta yang dikemukakan. Seorang fuqaha’ telah diajar mengamalkan sikap skeptik dan prihatin dalam sesuatu fakta. Untuk tujuan pengesahan, sesuatu fakta itu mestilah dikritik daripada sudut sanad dan matan ( al-Qardhawi 1998: hlm. 108).
Justeru dalam ilmu usul fiqh terkandung perkara-perkara yang berkait dengan al-Quran sebagai rujukan utama pengajian syariah. Dalam soal ini usul fiqh akan menjelaskan secara terperinci mengenai al-Quran dan al-Sunnah yang merangkumi pengertian al-Quran dan al-Sunnah, dalil kehujahan al-Quran dan al-Sunnah, pendalilan al-Quran dan al-Sunnah terhadap hukum dan cara-cara mengistinbatkan hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Selain daripada itu, ilmu usul fiqh juga membincangkan secara kritis dalil-dalil melalui dua kaedah; pertama ialah kaedah al-usuliyyah al-asasiyyah yang merangkumi ijma’, qiyas, istihsan, istishab, masalih mursalah, qawl sahabi dan uruf (al-Qudari 1969: hlm. 122). Manakala kaedah kedua ialah kaedah yang dinamakan sebagai kaedah al-usuliyyah al-lughawiyyah yang pada dasarnya dinamakan kaedah semantik iaitu kaedah bahasa Arab yang digunakan bagi menentukan hukum-hukum daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah (Nur Naimah Abdul Rahman 2002: hlm. 3). Kaedah ini terbahagi kepada tiga iaitu pertama; kaedah penentuan hukum yang bersifat penentuan pada makna lafaz yang terdiri daripada perbahasan berkaitan al-mushtarak, al-am dan al-khas. Kaedah kedua ialah Kaedah bersifat mengkaji dalalah pada makna lafaz yang mengandungi perbahasan berkaitan al-zahir, al-nas, al-mufassar, al-muhkam, al-khafi, al-mushkil, al-mujmal dan al-mutashabih. Kaedah ketiga ialah kaedah yang bersifat mengkaji bagaimana menentukan hukum berdasarkan dalalah lafaz yang mengandungi perbahasan berkaitan ibarah al-nas, isyarah al-nas, dalalah al-nas dan iqtida’ al-nas (al-Bugha 2000: hlm. 333).
2.5 Aplikasi Semasa Usul Fiqh dalam Mu’amalat
2.5.1 Penggunaan Prinsip Istihsan Dalam Mengharuskan Instrumen Pinjam Meminjam Sekuriti (SBL)
Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SS)
MPS SS dalam mesyuarat ke 13 pada 19 Mac 1998 telah memutuskan untuk menerima prinsip pinjam meminjam sekuriti (SBL) yang wujud dalam industri sekuriti. Bagi menepati prinsip Syariah, SBL dipadankan dengan prinsip ijarah. Namun begitu kaedah istihsan digunakan sebagai pengecualian kepada prinsip am ijarah. Ini bermakna hubungan ijarah antara penyewa dengan pemilik saham tidak terputus walaupun dalam SBL, penyewa perlu membuat penyerahan saham yang disewanya.
Hujah Mengharuskan SBL
Oleh Kerana SBL ialah satu kaedah baru dalam pasaran modal, MPS SS telah menjalankan kajian untuk menentukan prinsip Syariah yang boleh dijadikan sandaran dalam menilai status SBL, didapati prinsip berikut boleh dijadikan asas dalam mengharuskan SBL:
Prinsip Istihsan
MPS SS dalam beberapa mesyuaratnya telah cuba mencari kaedah Syariah yang boleh dijadikan asas kepada perlaksanaan SBL. Hasil daripada kajian dan perbincangan yang dilakukan, MPS SS mendapati prinsip istihsan perlu diterapkan dalam kaedah ijarah untuk dijadikan asas kepada SBL setelah menilai bahawa kaedah lain seperti i’arah (peminjaman aset), hawalah (pemindahan hutang) dan bai wafa’ (penjualan dan pembelian semula) tidak selaras dengan konsep dan perlaksanaan SBL. Pada hakikatnya, dengan menerima pakai kaedah Istihsan banyak masalah yang berhubung dengan isu semasa dapat diatasi. Ini selaras dengan keperluan sistem muamalat yang sentiasa berkembang dan berubah dari semasa ke semasa.
Istihsan dengan Maslahah
Keputusan yang diambil oleh MPS SS bahawa penjualan saham yang disewa kepada pihak ketiga sebagai tidak menamatkan akad ijarah adalah merupakan istihsan dengan maslahah. Ini memberikan kebaikan yang nyata kepada pemilik asal saham dan dapat memberikan kecairan kepada pasaran saham.
Istihsan dengan ‘urf khas
Manakala ‘urf iqtisadi khas (kebiasaan yang diterima pakai dalam aktiviti ekonomi) yang berlaku dalam SBL adalah urf sahih (kebiasaan yang selaras dengan syarak). Oleh yang demikian hujah menggunakan Istihsan dengan ‘urf juga boleh memperkuatkan dalil.
Penerimaan Konsep Ijarah dengan Izin Jual
Dengan penggunaan kaedah istihsan maka konsep ijarah dengan izin jual dapat diterima dan dijadikan asas kepada perlaksanaan SBL. Menurut konsep asal ijarah, hubungan antara pemilik dan penyewa akan terputus apabila berlaku urus niaga jual beli aset. Ini kerana akad ijarah, seperti mana yang ditakrifkan oleh ulama’ ialah akad atas penggunaan manfaat dengan dikenakan bayaran. Dengan berlakunya penjualan aset bermakna akad ijarah akan tamat dengan sendirinya. Namun oleh kerana kontrak SBL hampir menyerupai ciri-ciri akad ijarah dalam banyak hal, seperti kuasa pemilik memanggil semula aset, membuat penilaian aset mengikut nilai semasa dan sebagainya, maka ahli MPS SS mengambil keputusan bahawa konsep ijarah dengan izin jual boleh diaplikasikan dalam pasaran modal Islam (MPS SS 2002: hlm. 56 ).
Analisis Keputusan MPS SS
MPS SS dalam memutuskan asas bagi mengharuskan SBL telah menggunakan prinsip Istihsan dalam hujah yang dikemukakan. MPS SS dalam keputusannya menggunakan dua jenis Istihsan; pertama, Istihsan dengan Maslahah dan kedua, Istihsan dengan ʿurf khas.
Istihsan dengan maslahah ialah pengecualian hukum daripada kaedah ʿam yang diambil daripada al-qiyas berasaskan pertimbangan maslahah kerana keperluan atau bertujuan mengelakkan kesusahan. Dalam isu penjualan saham yang disewa kepada pihak ketiga, MPS SS telah menggunakan konsep Istihsan dengan Maslahah sebagai pengecualian bagi konsep ijarah. Walaupun pada hakikatnya, perlaksanaan SBL dalam pasaran modal Islam berasaskan kepada prinsip ijarah, tetapi prinsip ini perlu sedikit pengubahsuaian agar menepati perlaksanaan sebenar SBL. Antara ciri utama SBL ialah membolehkan penjualan saham yang sewa kepada pihak ketiga.
Ciri ini pada hakikatnya bertentangan dengan prinsip asas ijarah yang menyatakan bahawa akad ijarah akan terputus apabila berlaku urusniaga aset. Justeru itu dalam hal ini MPS SS memutuskan menggunakan pendekatan Istihsan dengan maslahah, iaitu pengecualian kepada konsep ijarah berasaskan pertimbangan maslahah bagi melicinkan perjalanan pasaran modal Islam iaitu dari sudut kecairan kepada pasaran saham dan memberi kebaikan kepada pemilik asal saham. Dengan menggunakan pendekatan Istihsan dengan maslahah, SBL dalam pasaran modal Islam berasaskan kepada prinsip ijarah dengan izin jual.
Secara lebih detailnya, SBL diperlukan dalam pasaran modal berasaskan kepada beberapa maslahah; pertama, pasaran modal Islam di Malaysia baru berkembang dan wujud selari dengan sistem konvensional yang sudah bertapak beratus tahun lebih awal dengan modal yang besar dan instrumen yang banyak. Justeru, dalam keadaan ini, pasaran modal Islam yang baru ditubuhkan memerlukan instrumen yang banyak bagi mewujudkan persaingan yang kompetitif dengan pasaran modal konvensional yang sudah lama bertapak. Kewujudan SBL sebagai instrumen Lulus Syariah mampu meningkatkan lagi sambutan bukan saja di kalangan pelabur muslim bahkan pelabur bukan muslim.
Kedua, kewujudan SBL bukan saja meningkatkan sambutan kepada pasaran modal Islam bahkan ia memberi kelebihan kepada pelabur kerana SBL adalah satu instrumen yang memberikan kebaikan kepada pemilik saham asal kerana mendapat bayaran perkhidmatan daripada saham yang dipinjamnya dan perlaksanaan SBL juga mampu memberi perlindungan kepada pemilik asal saham yang disewa kerana SBL memerlukan cagaran dalam perlaksanaannya. Maslahah yang wujud di sini ialah apabila SBL diluluskan oleh MPS SS sebagai instrumen Lulus Syariah ia akan dapat memberikan kecairan yang banyak dalam pasaran modal Islam dan seterusnya dapat meningkatkan jumlah dana bagi membiayai projek-projek pembangunan sama ada swasta atau kerajaan. Kewujudan SBL akan memudahkan pelabur memenuhi keperluan sementara dalam menyelesaikan urusan jual beli saham mereka menurut garis panduan yang ditetapkan. Ini seterusnya akan menyebabkan pasaran modal Islam di Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur.
Bagi mengukuhkan lagi penggunaan SBL dalam pasaran modal Islam di Malaysia, prinsip istihsan dengan ʿurf khas juga digunakan. Prinsip ini bermaksud pengecualian sesuatu hukum daripada hukum asal yang di ambil daripada al-qiyas berdasarkan pertimbangan ʿurf yang dipraktikkan. Dalam pasaran modal Islam di Malaysia, penggunaan SBL sudah menjadi kebiasaan dalam urusniaga pasaran modal tambahan pula perlaksanaan SBL juga tidak bertentangan dengan landasan Syariah. Justeru, berasaskan kepada pertimbangan tersebut SBL diluluskan penggunaannya dalam pasaran modal Islam.
Pendekatan yang digunakan MPS SS dalam memperkukuhkan lagi hujah dengan menggunakan prinsip istihsan dengan ʿurf khas adalah satu langkah yang baik. Selain daripada maslahah, istihsan dalam bentuk ini juga bertepatan dengan teori penulisan klasik. Jika di tinjau daripada sejarah perundangan Islam, Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang menjadi kebiasaan masyarakat sebelum kehadirannya kecuali yang tidak selari dengan prinsip-prinsip perundangan Islam. SBL merupakan aktiviti yang menjadi ʿurf dalam masyarakat pelabur walaupun SBL kurang difahami oleh masyarakat awam. Walaupun tidak difahami oleh masyarakat awam, perkara yang harus diambil kira ialah kefahaman pelabur dan pengamal industri tentang SBL. Ini kerana dalam konteks pengamalan pasaran modal Islam, hanya pelabur dan pengamal industri terlibat dalam urusniaga yang dilakukan. Justeru, SBL boleh dianggap sebagai ʿurf bagi masyarakat pelabur dan pengamal industri.
Pendekatan yang digunakan oleh MPS SS ke terhadap SBL adalah sesuatu yang amat baik bagi memastikan pasaran modal Islam Malaysia berkembang dengan pesat. Selain itu, penggunaan kaedah Istihsan bagi mengharuskan instrumen SBL adalah sesuatu yang perlu mendapat pujian daripada sarjana hukum Islam di nusantara. Ini kerana MPS SS melalui pendekatan ijtihadnya berjaya mengaplikasikan teori-teori yang terdapat dalam usul fiqh kepada pengamalan secara praktikal. Pada hakikatnya, sukar untuk melihat contoh prinsip istihsan dalam bentuk pengamalan realiti moden. Apa yang ada hanya contoh pengamalan istihsan dalam konteks masyarakat dahulu yang semestinya contoh yang diberikan kadangkala sukar difahami kerana perkara tersebut mungkin tidak lagi wujud pada masa sekarang (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 99).
2.5.2 Penggunaan Al-Qur’an, Al-Sunnah Dan Al-Ijmaʿ Dalam Pembentukan Kriteria Syariah Sekuriti Tersenarai
Kriteria Aktiviti Utama
Setelah menjalankan penyelidikan sekian lama dan juga perbincangan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri, MPS SS mendapati kriteria berikut dapat digariskan dalam menilai sesuatu sekuriti itu sebagai diluluskan menurut prinsip Syariah atau sebaliknya. Penggunaan kriteria tersebut dapat mengasingkan sekuriti lulus prinsip Syariah daripada keseluruhan sekuriti yang tersenarai. KPII, dalam mesyuarat kelima pada 23 Ogos 1995, telah memutuskan empat kriteria asas utama bagi menilai sesuatu sekuriti yang tersenarai.
Kriteria Pertama
Aktiviti utama syarikat berteraskan riba seperti yang dijalankan oleh institusi kewangan konvensional termasuk bank perdagangan, bank saudagar, syarikat kewangan dan lain-lain:
Hujah Kriteria Pertama:
i. Dalil al-Quran berdasarkan ayat 275-276 daripada Surah al-Baqarah:
• •
Maksudnya:
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
ii. Dalil Ijmak
Fuqaha’ dalam semua mazhab telah sepakat bahawa riba adalah sesuatu yang haram. Oleh kerana persepakatan ini maka pengharaman riba adalah menjadi sesuatu yang diijmakkan.
Kriteria Kedua
Aktiviti utama syarikat adalah kegiatan judi seperti kasino, nombor ekor dan sebagainya.
Hujah Kriteria Kedua
Pengharaman judi adalah jelas dalam al-Quran. Allah S.W.T telah memerintahkan orang-orang yang beriman meninggalkannya sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Kriteria Ketiga
Aktiviti utama syarikat adalah pengeluaran dan penjualan barangan dan perkhidmatan yang diharamkan di dalam Islam dan ia merangkumi:
i. memproses, mengeluar dan memasarkan minuman keras;
ii. membekalkan daging yang tidak halal seperti daging babi dan sebagainya
iii. memberi perkhidmatan tidak bermoral seperti pelacuran, pub, disko dan seumpamanya.
Hujah Kriteria Ketiga
i. Dalil al-Quran tentang makanan
Islam menggesa manusia seluruhnya memakan makanan yang halal dan baik. Gesaan tersebut dapat dilihat berasaskan firman Allah S.W.T dalam ayat:
••
Maksudnya:
Wahai sekalian manusia, Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Dalam ayat lain disebutkan secara terperinci perkara yang diharamkan seperti berikut:
• • •
Maksudnya:
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (selah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda- benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
ii. Dalil pengharaman arak
Firman Allah S.W.T
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Dalam satu hadis diriwayatkan:
إن الله تعالى لعن الخمر وعاصرها معتصرها وشاربها وساقيها وحاملها والمحمولة اليه وبائعها ومشتريها وأكل ثمنها
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T melaknat arak, pemerah anggur untuk dijadikan arak, pembeli air perahan anggur untuk dijadikan arak, peminumnya, pemberi minuman arak, pembawa hidangan arak, penuang yang menuangkan arak ke dalam gelas untuk peminum, penjual arak, pembelinya dan orang yang memakan wang hasil jualan arak.
iii. Larangan kepada aktiviti tidak bermoral
Dalam hal zina, Islam melarang umatnya mendekati perbuatan terkutuk itu, sehingga pelakunya layak menerima hukuman yang amat berat sekiranya sabit kesalahan. Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya:
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Begitu juga syarikat yang menjalankan aktiviti tidak bermoral seperti menjual minuman keras, pub, disko, pelacuran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut menggalakkan wujudnya maksiat.
Kriteria Keempat
Aktiviti utama syarikat bersifat gharar (ketidakpastian) seperti perniagaan insurans konvensional.
Asas larangan gharar ialah hadis Nabi s.a.w:
أن النبى عليه االصلاة والسلام قد نهى عن بيع الغرر
Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi s.a.w menegah jual beli gharar. (MPS SS 2002: hlm. 116 )
Analisis Keputusan MPS SS
Penetapan Kriteria Syariah Sekuriti Syariah pada hakikatnya berasaskan kepada 3 sumber yang telah disepakati kehujahannya dalam Usul fiqh, pertama; berasaskan kepada al-Quran. Kedua; berasaskan al-Sunnah dan ketiga; berasaskan kepada al-Ijmaʿ. Kriteria Pertama diasaskan berdasarkan firman Allah S.W.T dalam ayat 275 dan 276 yang membincangkan berkaitan pengharaman riba, pengharusan jual beli dan ancaman bagi pengamal riba. Hukum tersebut dapat diambil secara ʿibarah al-nas pada perbahasan ulama’ hanafiyyah dan secara mantuq pada perbahasan ulama’ al-mutakallimin (jumhur) dari sudut perbahasan berkaitan dengan lafaz yang dibincangkan dalamʿilm usul al-fiqh . Selain itu, hukum haram riba daripada ayat ini juga boleh diistinbatkan dengan melihat kepada jenis sighah; adakah ia jenis al-amr atau al-nahy. Jika diteliti, perkataan حرم yang berada dalam ayat tersebut termasuk dalam sighah al-nahy yang menunjukkan secara jelas bahawa ia perlu ditinggalkan pengamalannya.
Sumber ini seterusnya diperkukuhkan lagi dengan ijmaʿ fuqaha’ semua madhhab bahawa riba adalah diharamkan. Dalam menyatakan bahawa berlaku ijmaʿ dalam persoalan riba MPS SS telah merujuk kepada al-Mughni karangan Ibn Qudamah, al-Muhadhdhab karangan al-Shirazi, Bidayah al-Mujtahid karangan Ibn Rushd dan al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan al-Zuhayli, Al-Ijmaʿ yang kemukakan oleh MPS SS adalah al-ijmaʿ yang dapat dijadikan sumber dalam perbahasan fiqh. Ini kerana dalam perbahasan ‘usuliyyun, al-ijmaʿ mestilah mempunyai sandaran yang berupa al-Quran, al-Sunnah atau al-Qiyas. Al-Ijmaʿ berasaskan al-Qiyas terdapat khilaf tentang penerimaannya. Jelas bahawa al-Ijmaʿ yang dikemukakan oleh MPS SS adalah bersandarkan yang boleh dijadikan sumber dalam perbahasan fiqh yang bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Kriteria Kedua juga diasaskan kepada al-Quran iaitu berasaskan ayat 90, surah al-Ma’idah yang juga menyatakan dengan jelas pengharaman berjudi. Perintah ini juga diambil berasaskan ʿibarah al-nas pada perbahasan ulama’ Hanafiyyah dan secara mantuq pada perbahasan ulama’ al-Mutakallimin dari sudut perbahasan berkaitan dengan lafaz yang dibincangkan dalamʿilm usul al-fiqh . Selain itu, jika diteliti ayat tersebut juga mengandungi perkataan فاجتنبوه yang menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli dan Dr. Ibrahim Ahmad bin Sulayman al-Kindi termasuk dalam kategori al-nahy (tegahan) yang perlu ditinggalkan.
Kriteria Ketiga dibentuk oleh MPS SS berdasarkan pemahaman daripada 3 ayat al-Quran iaitu ayat 168 Surah al- Baqarah, ayat 3 Surah al-Maidah dan ayat 32 Surah al-Isra’. Ayat 168 Surah al-Baqarah adalah berkaitan dengan seruan kepada orang mukmin tentang makanan halal, ayat 3 Surah al-Maidah berkaitan dengan pengharaman arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib dan ayat 32 Surah al-Isra’ adalah berkaitan dengan larangan terhadap zina. Semua suruhan dan larangan tersebut adalah boleh diambil berasaskan ʿibarah al-nas pada perbahasan ulama’ Hanafiyyah dan secara mantuq pada perbahasan ulama’ al-Mutakallimin dari sudut perbahasan berkaitan dengan lafaz yang dibincangkan dalamʿilm usul al-fiqh.
Dalam perbahasan berkaitan dengan al-amr wa al-nahyu; ayat ayat 168 Surah al- Baqarah mengandungi sighah al-amr iaitu perkataan كلوا yang berasal dari fiʿl al-amr yang menunjukkan setiap muslim wajib memakan makanan yang halal. Di samping itu, ayat 3 Surah al-Maidah dan ayat 32 Surah al-Isra’ mempunyai sighah al-nahy iaitu perkataan حرمت dan فاجتنبوه yang menunjukkan perbuatan-perbuatan tersebut perlu ditinggalkan.
Selain itu, MPS SS membentuk Kriteria Ketiga berdasarkan kepada al-Sunnah yang melaknat arak, pemerah anggur untuk dijadikan arak, pembeli air perahan anggur untuk dijadikan arak, peminumnya, pemberi minuman arak, pembawa hidangan arak, penuang yang menuangkan arak ke dalam gelas untuk peminum, penjual arak, pembelinya dan orang yang memakan wang hasil jualan arak. Menurut perbahasan usul al-fiqh, hadith tersebut mengandungi sighah al-nahy iaitu perkataan لعن yang membawa maksud Allah telah melaknat. Justeru, sembilan perbuatan yang dinyatakan di dalam hadis tersebut wajib ditinggalkan. Selain itu, hadith ini adalah berada dalam kategori hadith sahih yang terdapat dalam Sunan Abi Dawud yang telah disahkan kesahihanya oleh Muhammad Nasir al-Din al-Albani dalam kitabnya yang berjudul Sahih Sunan Abi Dawud bi Ikhtisar Sanad. Selain itu, Ibn Balban al-Farisi juga menyatakan bahawa hadis tersebut berada dalam kategori ‘isnad jayyid’.
Kriteria Keempat juga dibentuk berdasarkan al-Sunnah yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w melarang jual beli yang mengandungi gharar. Hadith ini juga mengandungi sighah al-nahy iaitu perkataan نهى yang bermaksud telah melarang yang membawa implikasi perbuatan bayʿ al-gharar perlu ditinggalkan. Hadith ini juga adalah termasuk dalam kategori Hadith Sahih yang terdapat dalam Sahih Muslim. Walaupun begitu, terdapat kesilapan teknikal dalam menukilkan hadith ini apabila pihak MPS SS menyatakan hadith ini adalah riwayat Muslim, tetapi apabila dirujuk kepada kitab asal Keputusan MPS SS tertinggal beberapa perkataan pada matn al-hadith. Hadith asal adalah seperti di bawah:
حدثنا ابو بكر بن أبى شيبة حدثنا عبدالله بن إدريس ويحي بن سعيد وأبو أسامة عن عبيدالله وحدثني زهير بن حرب واللفظ له حدثنا يحي بن سعيد عن عبيدالله حدثنى أبو الزناد عن الأعراج عن أبى هريرة قال نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الحصاة وعن بيع الغرر.
Sanad Hadith ini jika ditinjau dari sudut ʿIlm al-Jarh wa al-Taʿdil juga berada dalam kategori hadith yang mempunyai ke semua perawi yang thiqah; bermula dari Abu Bakr bin Abi Shaybah (thiqah hafiz), Abd Allah bin Idris (thiqah), Yahya bin Saʿid (thiqah mutqin), Abu ‘Usamah (thiqah thabit), Ubayd Allah (thiqah thabit), Zuhayr bin Harb (thiqah sabit), Yahya bin Saʿid (thiqah mutqin), Ubayd Allah (thabit), Abu Zinad (thiqah), al-Aʿraj (thiqah thabit) dan Abu Hurayrah (Awthaq al-Nas).
Kesimpulannya, pembentukan kriteria-kriteria tersebut mempunyai asas-asas yang kukuh daripada sudut perbahasan usul al-fiqh. MPS SS dalam membentuk kriteria ini telah menggunakan sumber-sumber hukum yang telah disepakati oleh fuqaha’ dan usuliyyun iaitu al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmaʿ. Penggunaan sumber-sumber ini menjadikan kriteria yang dibentuk oleh MPS SS menjadi ukur rujuk yang berkesan dan diyakini bagi membezakan antara sekuriti lulus syariah dan sebaliknya. Walaupun begitu, penghujahan terhadap tiap-tiap kriteria tersebut memerlukan perincian menurut teori-teori yang terdapat dalam usul al-fiqh bagi memantapkan lagi penghujahan yang dibuat oleh MPS SS (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.94).
2.5.3 Penggunaan al-Sunnah dalam mengharuskan Bayʿ Muzayadah
Keputusan
MPS, dalam mesyuarat ke-10 pada 16 – 17 Oktober 1997, telah membincangkan kaedah bai’ muzayadah dan telah memutuskan bahawa kaedah ini diharuskan menurut perspektif perundangan Islam. Dengan keputusan tersebut, kaedah ini boleh dijadikan sebagai satu rujukan untuk membentuk sesuatu instrumen dalam pasaran modal Islam di Malaysia.
Hujah Mengharuskan Bai’ Muzayadah
Sandaran Athar
Terdapat bukti amalan mengharuskan bai’ muzayadah seperti berikut :
i. Imam Bukhari telah meletakkan satu topik khusus berkenaan bai’ muzayadah dan telah meriwayatkan pandangan Ata’ yang menyatakan bai’ muzayadah diterima pakai oleh masyarakat dalam penjualan harta rampasan perang.
ii. Anas r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w menjual hamparan dan bekas air dengan bertanya siapa yang ingin membelinya. Seorang lelaki sanggup membelinya dengan harga satu dirham lalu Nabi s.a.w bertanya sesiapa yang sanggup menawarkan harga yang lebih tinggi. Seorang lelaki sanggup membayar sebanyak dua dirham lalu Nabi s.a.w menjual kedua-dua barang tadi kepada lelaki tersebut (MPS SS 2002: hlm. 30 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Pada hakikatnya Keputusan MPS SS berdasarkan dua sumber; pertama, al-Sunnah dan qawl tabiʿin dan kedua, pandangan fuqaha’. Kajian ini hanya akan memfokuskan berkaitan sumber pertama iaitu al-Sunnah dan Qawl Tabiʿin. MPS SS telah mengemukakan satu pandangan ʿAta’ yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang diklasifikasikan sebagai Athar bersama-sama hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Nasa’i. ʿAta’ dalam hadith ini ialah seorang tabiʿin peringkat pertengahan (wusta al-tabiʿin) yang bernama ʿAta bin Abi Rabah Aslam, berketurunan Quraysh dan memakai gelaran Abu Muhammad. Beliau wafat pada 114 hijrah.
Sebaliknya pada halaman 43, MPS SS dengan jelasnya telah mendefinisikan athar sebagai merujuk kepada sesuatu amalan yang disandarkan kepada sahabat-sahabat Rasulullah. Tetapi dalam topik ini (bayʿ muzayadah), MPS SS seolah-olah memasukkan juga qawl tabiʿin sebagai athar. Walaupun ulama’ hadith memberikan definisi yang berbeza berkaitan athar, sepatutnya MPS SS lebih konsisten dalam penggunaan istilah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Selain itu, ketika mengemukakan qawl tabiʿin ini sebagai hujah MPS SS hanya menyatakan terjemahan dan tidak membawa teks sebenar dalam bahasa Arab. Ini menyukarkan penyelidikan lanjutan dilakukan. Teks asalnya ialah:
باب بيع المزايدة وقال العطاء ادركت الناس لا يرون بأسا ببيع المغانم فيمن يزيد.
MPS SS juga ketika menggunakan hadith yang diriwayatkan daripada al-Tirmizi dan al-Nasa’i dalam mengharuskan bayʿ muzayadah juga hanya menyatakan terjemahan bagi hadith tanpa menyertakannya dengan teks asal. Keadaan ini menyukarkan penyelidikan lanjutan dilakukan dan ini akan menjejaskan reputasi MPS SS sebagai badan yang bertanggungjawab dalam isu syariah yang timbul dalam pasaran modal Islam. Ini kerana Keputusan yang dikeluarkan oleh MPS SS bukan sahaja menjadi rujukan pelabur dan pengamal industri di Malaysia bahkan di dunia kerana Malaysia adalah antara negara Islam yang terkedepan dalam soal pembangunan sistem kewangan Islam.
Ini adalah teks asal bagi terjemahan hadith yang di kemukakan oleh MPS SS berkaitan dengan bayʿ muzayadah;
حدثنا حميد بن مسعدة أخبرنا عبدالله بن شميط بن عجلان حدثنا الأخضر بن عجلان عن عبدالله الحنفي عن أنس بن مالك أن رسول الله الله صلى الله عليه وسلم باع حلسا وقدحا وقال من يشتري هذا الحلس و القدح فقال رجل أخذتهما بدرهم فقال النبي صلى الله عليه وسلم من يزيد علي درهم فأعطاه رجل درهمين فباعها منه.
Hadith ini adalah al-Sunnah al-Fiʿliyyah berkaitan dengan bayʿ muzayadah. Dalam teks tersebut, secara jelas dapat dilihat bahawa Rasulullah mempraktikkan jual beli jenis ini. Hadith ini menurut penilaian al-Imam al-Tirmizi termasuk dalam kategori hasan. Jika ditinjau dari sudut ʿilm al-Jarh wa al-Taʿdil ialah Humayd bin Masʿadah dalam kategori saduq, Abd Allah bin Shumayd bin ʿAjlan dalam kategori thiqah, Al-Akhdar bin ʿAjlan dalam kategori thiqah, dan Abd Allah al-Hanafi dalam kategori la yuʿraf haluh dan ‘Anas bin Malik dalam kategori Awshaq al-Nas atau al-Sahabah.
Walaupun hadith yang digunakan oleh MPS SS dalam kategori hasan, tetapi tidak ada perbezaan pendapat fuqaha’ tentang hadith hasan boleh dijadikan sumber fiqh. Ini kerana hadith hasan adalah hadith yang tidak mencapai syarat hadith sahih; umpamanya ingatan seorang perawi kurang namun keadaan tersebut bukanlah mencacatkan hadith tersebut. Imam Ahmad bin Hanbal tidak membezakan antara hadith sahih, hasan dan daʿif. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal ketiga-tiga hadis ini boleh dijadikan sumber fiqh. Beliau berpendapat lagi, menggunakan hadith daʿif yang bukan mawduʿ lebih baik daripada qiyas. Namun dalam bidang akidah Imam Ahmad tidak menggunakan hadith daʿif (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 103).
2.5.4 Penggunaan al-Sunnah dan Qawl al-Sahabi dalam mengharuskan Daʿ wa Taʿajjal
Keputusan
MPS SS telah membincangkan isu Dha’ wa Ta’ajjal dalam beberapa siri mesyuaratnya. Pada mesyuarat ke 10 bertarikh 16-17 Oktober 1997, MPS SS telah bersetuju untuk menerima pakai kaedah Dha’ wa Ta’ajjal bagi memajukan instrumen pasaran modal Islam.
Kaedah Dha’ wa Ta’ajjal
Hasil daripada kajian yang dijalankan, MPS SS berpendapat bahawa konsep Dha’ wa Ta’ajjal adalah diharuskan. Ini adalah bersandarkan kepada dalil berikut:
Hadis Nabi S.a.w
عن ابن عباس قال أمر النبي صلى الله عليه وسلم بإخراج بني نضير من المدينة جاءه ناس منهم فقالوا يا رسول الله إنك أمرت بإخراجهم ولهم على الناس ديون لم تحل فقال النبي صلى الله عليه وسلم ضعوا وتعجلوا
Maksudnya:
Diriwayatkan daripada Ibn ʿAbbas bahawa Nabi s.a.w telah mengarahkan bani nadir keluar dari kota Madinah lalu ada di kalangan mereka yang memberitahu Baginda: ‘ wahai Rasulullah, kamu mengarahkan mereka keluar, sedangkan masih ramai orang yang berhutang dengan mereka’. Maka Nabi bersabda: ‘ berikan pengurangan hutang dan percepatkan bayaran’.
عن كعب أنه تقاضي ابن أبى حدرد دينا كان له عليه فى المسجد فارتفعت أصواتهما حتى سمعها رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو في بيته فخرج إليهما حتى كشف سجف حجرته فنادى ياكعب قال لبيك يا رسول الله قال ضع من دينك هذا وأومأ إليه أى الشطر قال لقد فعلت يا رسول الله قال قم فاقضه.
Maksudnya:
Kaʿab meriwayatkan bahawa beliau mempunyai hutang yang mesti ditunaikan oleh Ibnu Abi Hadrat ; mereka telah berbincang tentang hutang tersebut di masjid dan mereka telah mengangkat suara mereka hingga didengari oleh Rasulullah s.a.w yang sedang berada di rumahnya. Lalu baginda s.a.w telah keluar menemui kedua-duanya hingga kelihatan langsir biliknya. Baginda berseru: ‘ wahai Kaʿab!’ lalu Kaʿab menjawab: ‘ ya, wahai Rasulullah.’ Baginda berkata: ‘kurangkanlah hutang kamu ini.’ (dengan memberi isyarat sebahagian daripadanya). Jawab Kaʿab: ‘saya telah melaksanakannya wahai Rasulullah.’ Rasulullah lantas berkata ( kepada Ibnu Abi Hadrat): ‘Bangunlah dan tunaikan hutang kamu.’
Pandangan Ibnu ʿAbbas r.a.
Ibnu ʿAbbas berpandangan bahawa Dha’ wa Ta’ajjal diharuskan dengan hujah berikut:
أنه جائز لأنه من باب آخذ لبعد حقه وتارك لبعضه
Maksudnya:
Ia (Dha’ wa Ta’ajjal ) diharuskan kerana termasuk dalam perkara mengambil sebahagian daripada haknya dan melepaskan sebahagian yang lain (MPS SS 2002: hlm. 105 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Keputusan yang dibuat oleh MPS SS dalam mengharuskan Daʿ wa Taʿajjal adalah berasaskan kepada interpretasi kepada dua hadith Rasulullah s.a.w; pertamanya, hadith riwayat al-Bayhaqi yang mengisahkan tentang pengusiran keluar golongan Yahudi Bani Nadir di mana golongan ini mengadu kepada Rasulullah s.a.w bahawa ramai di kalangan penduduk Madinah masih berhutang dengan mereka. Sebagai penyelesaikan kepada masalah tersebut, mereka (Bani Nadir) diarahkan mengurangkan jumlah hutang dan sebagai balasan golongan yang berhutang perlu mempercepatkan bayaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w mengharuskan Daʿ wa Taʿajjal.
Hadith ini jika ditinjau daripada sudut sanad ia termasuk di dalam kategori hadith yang mempunyai sanad yang lemah (daʿif). Ini kerana menurut al-Haythami (al-Hafiz Nur al-Din ʿAli bin Abi Bakr) pengarang Majmaʿ al-Zawa’id wa Manbaʿ al-Fawa’id kesemua perawi bagi hadith ini ( Abu ʿAbd Allah al-Hafiz, Abu Nasr Ahmad bin Sahl, Saleh bin Muhammad al-Hafiz Jazrah, Muhammad bin ʿAli, Yazid bin Rukanah, Dawud bin Husayn, ʿIkramah dan Ibn ʿAbbas) adalah thiqah kecuali Muslim bin Khalid al-Zinji al-Makki yang berada dalam kategori daʿif. Dr. Wahbah al-Zuhayli juga dalam al-Fatawa al-Muʿasarah menyatakan pandangan yang sama.
Kedua, MPS SS menetapkan pengharusan Daʿ wa Taʿajjal berasaskan hadith Muttafaq ʿAlayh (riwayat Bukhari dan Muslim) yang sememangnya berada dalam kategori Hadith Sahih. Hadith ini pada hakikatnya mengisahkan Ibn Abi Hadrat meminjam wang daripada Kaʿab bin Malik. Oleh kerana sebab tertentu Ibn Abi Hadrat tidak mampu membayar balik sejumlah hutang tersebut. Justeru itu, berlaku sedikit pertengkaran dan pertengkaran itu didengari oleh Rasulullah s.a.w dan Baginda mengarahkan Kaʿab mengurangkan hutangnya. Kaʿab menjelaskan bahawa beliau telahpun mengurangkan jumlah tersebut dan Rasulullah s.a.w seterusnya mengarahkan Ibn Abi Hadrat melunaskan hutang tersebut.
Berasaskan kepada hadith yang dinyatakan MPS SS telah mengambil keputusan untuk mengharuskan prinsip Daʿ wa Taʿajjal . Prinsip ini penting dalam usaha membangunkan bon korporat Islam di pasaran Sekunder. Bon Islam yang dikeluarkan kini di Malaysia adalah berasaskan konsep ijarah, istisnaʿ, murabahah, musharakah dan mudarabah. Bagi membolehkan bon didagangkan di pasaran sekunder, pemegang sekuriti ini akan menjualnya dengan harga yang lebih rendah berasaskan konsep Daʿ wa Taʿajjal.
Jika ditinjau daripada sanad, Hadith ini mempunyai empat sanad yang berbeza perawinya. Sanad pertama seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Solat dalam Bab Rafʿ al-Sawt fi al-Masjid, perawinya ialah Ahmad (thiqah hafiz), Ibn Wahab (thiqah hafiz), Yunus bin Yazid (thiqah), Ibn Shihab (muttafaq ʿala jalalih wa ‘itqanih), Abd Allah bin Kaʿab (thiqah) dan Kaʿab bin Malik (Awshaq al-Nas atau al-Sahabah). Sanad kedua seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Khusumat Bab Kalam al-Khusum Baʿduhum fi Baʿd perawinya ialah Harmalah bin Yahya (saduq), ʿAbd Allah bin Wahab (thiqah hafiz), Yunus bin Yazid (thiqah), Ibn Shihab al-Zuhri (muttafaq ʿala jalalih wa ‘itqanih), Abd Allah bin Kaʿab (thiqah) dan Kaʿab bin Malik (Awshaq al-Nas atau al-Sahabah).
Sanad yang ketiga pula seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Sulh Bab al-Sulh bi al-Dayn wa al-ʿAyn, perawinya ialah Ishaq bin Ibrahim (thiqah hafiz), Muslim bin ʿUmar (thiqah hafiz), Yunus bin Yazid (thiqah), Ibn Shihab al-Zuhri (muttafaq ʿala jalalih wa ‘itqanih), Abd Allah bin Kaʿab (thiqah) dan Kaʿab bin Malik (Awshaq al-Nas atau al-Sahabah). Sanad keempat seperti yang diriwayatkan oleh al-Muslim dalam Kitab al-Musaqat Bab Istijab al-Wadʿ min al-Dayn perawinya ialah Alya (thiqah sabit), Jaʿfar bin Rabiʿah (thiqah), Abd. al-Rahman bin Hurmuz (thiqah sabit), Abd Allah bin Kaʿab (thiqah) dan Kaʿab bin Malik (Awshaq al-Nas atau al-Sahabah).
Berasaskan kepada penilaian sanad yang telah dilakukan, hadith ini mempunyai sanad yang baik dan tidak ada sifat para perawinya yang mencacatkan hadith tersebut. Selain daripada dua hadith ini MPS SS juga dalam soal ini menggunakan Qawl Sahabi sebagai sumber sokongan bagi mengharuskan prinsip Daʿ wa Taʿajjal. Qawl Sahabi yang dipilih ialah daripada pendapat Ibn ʿAbbas yang dikutip oleh Ibn Qudamah yang mengharuskan Daʿ wa Taʿajjal. Dalam fatwa tersebut, Ibn ʿAbbas menyatakan bahawa Daʿ wa Taʿajjal diharuskan kerana ia termasuk dalam perkara mengambil sebahagian hak dan menggugurkan sebahagian yang lain (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.107).
2.5.5 Penggunaan Qawl Sahabi Dan ʿUrf dalam mengharuskan Bayʿ ʿUrbun
Keputusan
MPS SS dalam mesyuarat ke 13 pada Mac 1998, ketika membincangkan isu kontrak niaga hadapan indeks komposit telah memutuskan bahawa bai’ ‘urbun diharuskan menurut perspektif perundangan Islam.
Hujah Mengharuskan Bai’ ‘Urbun
Fuqaha’ silam tidak sependapat dalam menentukan hukum bai’ ‘urbun . Berikut adalah kesimpulan pendapat mereka:
Sebahagian besar fuqaha’ berpandangan bahawa bai’ ‘urbun tidak diharuskan kerana mengandungi unsur-unsur gharar, judi dan mengambil harta secara tidak sah. Mereka berhujah dengan larangan Nabi s.a.w terhadap bai’ ‘urbun.
Sebahagian tabiʿin antaranya Mujahid, Ibn Sirin, Nafi’ bin Haris, Zayd bin Aslam dan Mazhab Hanbali berpandangan, bai’ ‘urbun diharuskan bersandarkan kepada amalan Sayyidina Umar al-Khattab r.a.. Beliau pernah mewakilkan Nafi’ untuk membeli sebuah rumah daripada Safwan bin Umayyah di Mekah untuk dijadikan penjara. Safwan telah meminta Umar membayar wang pendahuluan dan mensyaratkan wang tersebut akan menjadi miliknya, jika Umar membatalkan akad tersebut. Syarat ini dipersetujui oleh Umar. Pendapat ini diperkuatkan dengan pendapat Qadi Shuraih yang menyebut sesiapa yang menyebabkan ta’attul (tergendala) dan intizar (menunggu) perlu membayar ganti rugi kepada pihak yang terjejas.
Walaupun ada dua pandangan bagi kaedah jual beli ini, MPS SS memutuskan bahawa konsep bai’ ‘urbun diharuskan dan boleh dimajukan dalam membentuk sesuatu instrumen dalam pasaran modal Islam di Malaysia. Adalah menjadi amalan masyarakat dalam berurus niaga, mereka membayar wang pendahuluan sebagai suatu bayaran. Perkara ini tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah kerana ia merupakan ‘urf sahih, untuk memastikan muamalat berjalan dengan lancar. Hadis yang menunjukkan larangan Nabi s.a.w terhadap bai’ ‘urbun adalah hadis yang lemah (MPS SS 2002: hlm. 36).
Analisis Keputusan MPS SS
MPS SS dalam mengharuskan bayʿ ʿurbun menggunakan tiga mekanisme usul fiqh; pertama, Qawl Sahabi iaitu MPS SS bersandarkan kepada amalan Sayyidina ʿUmar al-Khattab ketika melakukan pembelian sebuah rumah untuk dijadikan penjara yang telah disebutkan oleh Ibn Qudamah dalam penulisannya yang terkenal al-Mughni dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Iʿlam Muwaqqiʿin. Dalam Iʿlam Muwaqqiʿin dinyatakan bahawa harga rumah tersebut ialah 4000 dirham dan bayaran pendahuluan (bayʿ ʿurbun) yang diterima oleh Safwan ialah 400 dirham. Bayaran pendahuluan ini akan menjadi milik Safwan jika ʿUmar al-Khattab membatalkan pembelian tersebut. Dalam al-Mughni dinyatakan bahawa tujuan bayaran pendahuluan itu dibuat sebagai jaminan supaya rumah itu tidak dijual kepada orang lain. Amalan ini menunjukkan keharusan pengamalan bayʿ ʿurbun.
Mekanisme usul fiqh yang kedua ialah berasaskan ʿurf yang berlaku dalam pasaran modal khususnya dan aktiviti muʿamalat di Malaysia dan di dunia umumnya. Pengamalan bayaran pendahuluan (bayʿ ʿurbun) telah diamalkan oleh masyarakat Malaysia dan Dunia dalam aktiviti urusniaga harian. Bayaran pendahuluan (bayʿ ʿurbun) sudah menjadi keperluan dan kelaziman pada hari ini kerana ia menjadi cagaran dan jaminan bagi memastikan barang yang ditempah diambil oleh pihak yang menempahnya. ʿUrf ini adalah ʿurf ʿam yang sahih dalam perbahasan usul fiqh kerana ia merangkumi aktiviti muʿamalat masyarakat di dunia tanpa mengkhusus kepada penduduk sesuatu sempadan geografi.
Mekanisme usul fiqh yang ketiga ialah metodologi kritikan terhadap hadith-hadith yang dijadikan sandaran oleh pihak yang tidak mengharuskan bayʿ ʿurbun. Menurut kajian yang dilakukan oleh MPS SS, hadith-hadith tersebut berada dalam kategori hadith yang lemah (daʿif). Terdapat dua hadith yang berkaitan dengan larangan terhadap bayʿ ʿurbun. Hadith pertama ialah hadith yang terdapat dalam Sunan Abi Dawud:
حدثنا عبد الله بن مسلمة قال قرأت على مالك بن أنس أنه بلغه عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أنه قال نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع العربان
Dalam ʿAwn al-Maʿbud, penulisan terkenal yang merupakan sharah kepada Sunan Abi Dawud, terdapat pandangan al-Zarqani terhadap hadith ini. Menurut al-Zarqani, hadith ini bukan termasuk dalam kategori hadith daʿif dan munqatiʿ. Cuma hadith ini mengandungi perawi yang tidak disebut namanya oleh al-Imam Malik dengan jelas. Tetapi perawi tersebut bertaraf thiqah.
Al-Imam al-Hafiz Ibn ʿAbd al-Bar menyebut dua kemungkinan perawi tersebut; pertama mungkin al-Imam Malik mengambil daripada al-Zuhri daripada Lahiʿah. Kedua, daripada Ibn Wahab daripada Ibn Lahiʿah. Perawi-perawi lain adalah dalam kategori thiqah iaitu ʿAbd Allah bin Maslamah (thiqah), Malik bin Anas (thiqah hafiz/Ra’su al-Mutqinin), ʿAmr bin Suʿayb (Saduq), Suʿayb bin Muhammad bin ʿAbd Allah bin ʿAmr bin al-ʿAs (Saduq) dan ʿAbd Allah bin ʿAmr bin al-ʿAs (al-Sahabah). Walaupun begitu, kegagalan untuk memastikan perawi sebenar menyebabkan kebanyakan fuqaha’ meninggalkan hadith ini tambahan di dalam ʿAwn Maʿbud juga ada menyatakan bahawa hadith ini juga dikatakan diriwayatkan daripada Habib bin Abi Habib Abu Muhammad (Katib al-Imam Malik) yang menurut penilaian Abu Dawud dan beberapa orang ahli hadith berada dalam kategori matruk.
Hadith kedua pula ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah . Hadith tersebut ialah:
حدثنا الفضل بن يعقوب الرخامى حدثنا أبي حبيب أبو محمد كاتب مالك بن أنس حدثنا عبد الله بن عامر الأسلمي عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع العربان
Jika ditinjau daripada sudut sanad, hadith ini termasuk dalam kategori hadith daʿif kerana mempunyai dua perawi dalam kategori daʿif iaitu Abi Habib Abu Muhammad (Katib al-Imam Malik) (Matruk kadhdhabuhu Abu Dawud wa jamaʿh) dan ʿAbd Allah bin ʿAmir al-Aslami (daʿif). Manakala perawi-perawi lain adalah thiqah seperti al-Fadl bin Yaʿqub al-Zaqqami (thiqah hafiz), Malik bin Anas (thiqah hafiz/Ra’su al-Mutqinin), ʿAmr bin Suʿayb (Saduq), Suʿayb bin Muhammad bin ʿAbd Allah bin ʿAmr bin al-ʿAs (Saduq) dan ʿAbd Allah bin ʿAmr bin al-ʿAs (al-Sahabah) (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 112).
2.5.6 Penggunaan al-Sunnah Dan al-Qiyas Dalam Mengharuskan Taʿwid
Keputusan
MPS SS dalam mesyuarat ke 20 pada 14 Julai 1999, telah bersetuju untuk mengharuskan pengenaan bayaran ta’widh (ganti rugi) atas kelewatan membayar balik sesuatu pembiayaan Islam.
Hujah Mengharuskan Ta’widh
Hadis
Rasulullah menempelak orang yang melengahkan pembayaran hutang:
مطل الغنى ظلم
Maksudnya: “Seorang kaya (mampu) yang melengahkan pembayaran hutang adalah melakukan kezaliman.”
Qiyas
Kelewatan penghutang membayar hutang boleh dikiaskan dengan ghasb (merampas) sesuatu barangan yang bernilai. Ini kerana wujudnya persamaan ‘illah antara keduanya iaitu menghalang penggunaan harta dan manfaatnya secara zalim. Menurut madhhab Shafie dan Hanbali , dalam kes ghasb manfaat barangan yang dirampas adalah dalam jaminan dan perlu dibayar gantirugi. Manakala dalam kes kelewatan membayar hutang, pemiutang juga menampung kerugian kehilangan peluang untuk menggunakan dana bagi tujuan perniagaan lain, yang sepatutnya dijelaskan mengikut masanya. Oleh yang demikian, kerugian ini perlu dibayar ganti rugi oleh pihak penghutang berasaskan qiyas(MPS SS 2002: hlm.111 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Dalam mengharuskan taʿwid (ganti rugi) atas kelewatan membayar balik sesuatu pembiayaan Islam MPS SS menggunakan dua mekanisme usul fiqh ; pertama, Hadith Sahih Muttafaq ʿAlayh. Kedua, al-Qiyas.
MPS SS mengambil interpretasi daripada hadith yang menyatakan bahawa seorang yang kaya dan mampu untuk membayar hutang tetapi sengaja melewatkannya adalah termasuk dalam kategori orang yang zalim. Begitu juga dalam kes-kes pembiayaan Islam, kelewatan penghutang membayar semula pembiayaan yang diberikan terhadapnya akan menyebabkan pemiutang (institusi yang mengeluarkan pembiayaan) akan kehilangan peluang pelaburan dan menyebabkannya mengalami kerugian. Atas dasar itu, MPS SS mengharuskan penggenaan bayaran taʿwid (ganti rugi).
Hadith ini adalah tergolong dalam Hadith Sahih Muttafaq ʿAlayh yang jika dikaji daripada sudut sanadnya diriwayatkan daripada perawi-perawi yang thiqah. Perawi-perawi tersebut ialah Musaddad bin Musrihad bin Musrabil (thiqah hafiz), ʿAbd. al-‘Aʿla bin ʿAbd. al-‘Aʿla (thiqah), Maʿmar bin Rashid (thiqah thabit), Hisham bin Munabbih (thiqah) dan Abu Hurayrah (Awshaq al-Nas/al-Sahabah).
Mekanisme kedua ialah melalui metodologi al-qiyas. Dalam mengharuskan taʿwid (ganti rugi), MPS SS mengqiyaskan kelewatan penghutang membayar balik hutang dengan al-ghasb (merampas) sesuatu barangan yang bernilai seperti perbahasan yang terdapat dalam penulisan-penulisan fiqh. Ini kerana menurut MPS SS, wujud persamaan ʿillah iaitu menghalang penggunaan harta dan manfaat. Dalam disiplin pengajian usul fiqh, al-Qiyas mempunyai empat rukun; pertama, al-Asl (perkara atau perbuatan yang terdapat nas), kedua, al-Farʿ (perkara atau perbuatan baru yang tidak terdapat nas), ketiga, Hukm al-Asl (Hukum asal yang telah dinaskan) dan keempat, ʿillah (sebab atau perkara yang menjadi punca hukum asal yang telah dinaskan).
Dalam keputusan MPS SS, didapati qiyas yang dilakukan menepati teori-teori al-qiyas yang terdapat dalam penulisan usul fiqh. Al-Asl dalam qiyas tersebut ialah al-ghasb yang telah sabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmaʿ. Perbuatan al-ghasb adalah haram berasaskan;
1. Al-Quran, firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 188:
••
Maksudnya:
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat 10:
•
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api kedalam perut menelan; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
2. Al-Sunnah, Rasulullah s.a.w bersabda:
إن دماءكم وأموالكم وأعراضكم عليكم حرام
Maksudnya:
Sesungguhnya darah, harta dan maruah kamu adalah haram (dizalimi) di antara kamu.
Rasulullah s.a.w bersabda:
لا يحل مال امرىء إلا بطيب نفس منه
Maksudnya:
Harta seseorang tidak halal melainkan diberi dengan rela hati.
Rasulullah s.a.w bersabda:
من أخذ شبرا من الأرض ظلما فإنه يطوقه يوم القيامة من سبعين أرضين
Maksudnya:
Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah orang lain dengan cara yang salah, di hari akhirat dia akan ditambat dari tujuh petala bumi.
3. Ijmaʿ, iaitu seluruh ulama’ Islam pada sepanjang zaman telah sependapat mengharamkan sebarang bentuk rampasan.
Seterusnya al-Farʿ dalam qiyas tersebut ialah perbuatan melewatkan pembayaran hutang. Manakala Hukm al-Asl pula adalah hukum haram bagi perbuatan al-ghasb dan ʿillah terhadap qiyas yang dilakukan ialah menghalang penggunaan harta dan manfaat secara zalim yang terdapat pada al-Asl dan al-Farʿ.
Dalam perbahasan al-ghasb menurut fuqaha’ Shafiʿi dan Hanbali, manfaat barangan yang dirampas adalah dalam jaminan perampas dan perlu dibayar gantirugi. Ini kerana manfaat juga disifatkan sebagai harta pada pandangan fuqaha’ Shafiʿi dan Hanbali. Justeru itu, MPS SS memutuskan bahawa menurut pandangan fuqaha’ Shafiʿi dan Hanbali berdasarkan teori manfaat adalah harta, kelewatan membayar hutang (yang berlaku dalam pasaran modal Islam) dikenakan taʿwid atas asas kelewatan tersebut menyebabkan pemiutang kehilangan manfaat untuk menggunakan dana yang dipinjam bagi tujuan pelaburan dan perniagaan lain. Justeru itu, kehilangan manfaat tersebut selayaknya dikenakan gantirugi yang perlu dibayar oleh penghutang akibat kelewatan yang berpunca darinya (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.116 ).
2.5.7 Penggunaan Maslahah Dan ʿUrf Dalam Pengharusan Kontrak Niaga Hadapan Indeks Komposit
Keputusan
MPS SS dalam mesyuarat ke 13 pada 19 Mac 1998, telah memutuskan bahawa mekanisme kontrak niaga hadapan indeks saham adalah tidak bertentangan dengan prinsip Syariah. Oleh itu, urus niaga indeks saham dibenarkan selagi mana ia mematuhi kehendak Syariah iaitu dengan memastikan komponen indeks terdiri daripada sekuriti yang diluluskan Syariah.
Hujah Mengharuskan Kontrak Niaga Hadapan Indeks Komposit
Ta’wil berasaskan Hikmah Tashri’iyyah
Ta’wil (penafsiran) berasaskan hikmah tashri’iyyah (rahsia dan tujuan sesuatu hukum) adalah amat penting. Prof. Fathi Durayni menegaskan bahawa ta’wil yang berteraskan hikmah tashri’iyyah merupakan dalil yang lebih kukuh dan tepat kerana mujtahid menggunakan kefahamannya untuk mengaplikasi rahsia dan kehendak yang ingin dicapai oleh sesuatu nas dalam mengimplementasi sesuatu hukum. Menurutnya lagi, ini bukan bermakna kita lari daripada sesuatu dalil tetapi sebenarnya kita memahami apakah kehendak sebenar nas itu dan apa yang ingin dicapai oleh nas tersebut secara menyeluruh.
Dalam konteks pasaran, jika dilihat dari sudut hikmah tashri’iyyah, secara khususnya kontrak niaga hadapan indeks saham akan memberi maslahat kepada peniaga (pelabur) dan juga kepada sistem ekonomi secara keseluruhannya kerana ia bertindak sebagai instrumen pelindung nilai.
‘Urf Iqtisadi Khas
‘Urf merupakan kebiasaan yang diiktiraf oleh masyarakat setempat dalam urusan harian mereka sama ada bersifat perbuatan atau perkataan. Dagangan kontrak niaga hadapan indeks komposit ialah suatu cara yang boleh digunakan oleh pengurus dana, penaja jamin dan peserta pasaran untuk memindahkan risiko harga pasaran. Secara prinsipnya ia merupakan ‘urf iqtisadi khas (adat kebiasaan khusus dalam aktiviti ekonomi) yang sahih iaitu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syariah. Perkara yang perlu diperbaiki ialah dari sudut komponen indeks yang mestilah terdiri daripada sekuriti yang diluluskan mengikut prinsip syariah. Hal ini dapat diatasi dengan wujudnya indeks syariah (MPS SS 2002: hlm. 64 ).
Analisis Keputusan MPS SS
MPS SS dalam memutuskan bahawa kontrak hadapan indeks komposit harus selagimana indeks tersebut mematuhi kehendak syariah iaitu dengan memastikan komponen indeks terdiri daripada sekuriti yang diluluskan Syariah berasaskan dua teori usul fiqh iaitu pertama berasaskan ta’wil (penafsiran) berasaskan hikmah tashriʿiyyah dan kedua berasaskan ʿurf.
Penggunaan Ta’wil (penafsiran) berasaskan hikmah tashriʿiyyah dalam persoalan ini kelihatan agak kabur dan tidak tepat. Ini kerana taʿwil jenis ini memerlukan nas untuk difahami hikmahnya sedangkan persoalan kontrak niaga hadapan indeks komposit ini adalah contoh pengamalan muʿamalat zaman moden yang tidak pernah wujud pada zaman silam. Namun begitu, MPS SS dalam keputusan yang dibuat telah menggariskan kontrak ini memberi maslahah kepada pelabur kerana ia merupakan instrumen yang dikenali sebagai instrumen pelindung nilai. Justeru itu, MPS SS seharusnya mengetengahkan maslahah sebagai asas kepada pengharusannya.
Maslahah yang dimaksudkan ialah perlaksanaan dan pengharusan kontrak niaga hadapan indeks komposit dengan syarat-syarat tertentu dalam pasaran modal Islam dapat menambahkan daya saing pasaran modal Islam di Malaysia kerana sememangnya pasaran modal Islam khususnya di Malaysia memerlukan instrumen-instrumen baru untuk bersaing dengan pasaran modal konvensional yang telah lama bertapak di Malaysia. Kewujudannya sebagai instrumen lulus syariah akan terus menyemarakkan lagi perkembangan pasaran modal Islam bagi mengantikan sistem konvensional yang pastinya mempunyai unsur-unsur yang tidak selari dengan kehendak Syariah.
Selain itu, kontrak ini yang didefinisikan sebagai satu perjanjian antara pembeli dan penjual untuk sama-sama menerima dan menyerahkan saham tertentu yang terdiri daripada komponen saham syarikat terpilih pada harga yang telah dipersetujui pada masa hadapan yang ditetapkan. Namun, harga yang ditetapkan tidak dibayar sepenuhnya, pembayaran cuma dibuat atas nilai margin sehinggalah penyelesaian dibuat. Tujuan kontrak ini dibuat untuk mengelakkan risiko perubahan mendadak harga saham yang akan menjejaskan kedudukan kewangan para pelabur. Justeru itu, sebagai instrumen lindung nilai ia akan memberikan kebaikan kepada pelabur khususnya dan pasaran amnya.
Mekanisme kedua usul fiqh ialah berasaskan teori ʿurf iqtisadi khas. ʿUrf jenis ini termasuk dalam ʿurf sahih yang tidak bercanggah dengan Syariah. Dalam persoalan muʿamalat dalam konteks zaman kini, sewajarnya ʿurf atau kebiasaan yang berlaku diambil kira sebagai ʿurf khas dan kontrak ini pada hakikatnya telah menjadi kebiasaan dan telah diketahui oleh para pengamal industri yang menjadi satu intrumen lindung nilai untuk melindungi daripada risiko perubahan harga saham di pasaran. Justeru itu, ia boleh dianggap sebagai ʿurf sahih yang tidak bercanggah dengan syariah walaupun pengamalannya tidak diketahui oleh masyarakat awam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.121).
2.5.8 Penggunaan Siyasah Iqtisadiyyah (Siyasah Sharʿiyyah) dalam pengharusan Bon Ukur Rujuk Islam
Keputusan
MPS SS telah membencangkan isu ini dalam beberapa siri mesyuaratnya, dan dalam mesyuarat kelapan pada 9 Jun 1997, MPS SS telah bersetuju terhadap pengstrukturan bon ukur rujuk Islam yang juga dikenali sebagai Bon Khazanah.
Hujah Mengharuskan Bon Ukur Rujuk Islam
Prinsip Siasah Iqtisadiyyah
MPS SS memutuskan bahawa kewujudan suatu ukur rujuk sebagai panduan dalam menentukan harga adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan syariah berasaskan kepada Siasah Iqtisadiyyah iaitu siasah ekonomi. Ia dapat berfungsi sebagai rujukan kepada penentuan paras harga yang lebih bersistematik dan selaras dengan kedudukan pasaran semasa. Suatu paras harga yang sesuai sangat penting kerana ia merupakan ciri penting dalam Islam yang telah menggariskan prinsip istiqrar ta’ammul. Prinsip ini secara amnya bermaksud perlunya sebuah pasaran yang berjalan lancar atas dasar reda meredai hasil daripada suatu sistem yang telus, adil, cekap serta wujudnya kepercayaan pasaran. Individu yang terlibat dalam pasaran tidak terdedah kepada kejahilan pasaran untuk membolehkan urusniaga yang berlaku dapat memuaskan peserta pasaran. Demi mencapai tujuan ini, Islam menetapkan prinsip ghalat dan mencegah berlakunya gharar. Dengan adanya ukur rujuk, soal kejahilan harga dapat diminimumkan dan menjadikan pasaran lebih telus dan cekap (MPS SS 2002: hlm. 69 ).
Analisis Keputusan MPS SS
Dalam mengharuskan Bon Ukur Rujuk Islam, MPS SS meletakkan prinsip Siyasah Iqtisadiyyah atau Siyasah Sharʿiyyah dalam pengajian ʿilm usul fiqh sebagai prinsip pertama. Siyasah Sharʿiyyah pada pengertian penulisan pemikiran politik sebagai ilmu yang menghuraikan tentang sistem dan undang-undang pentadbiran negara Islam bertepatan dengan dasar Islam. Namun begitu, dalam tradisi pengajian Syariah, Siyasah Sharʿiyyah diertikan dengan pengertian yang berbeza. Ia bererti kelonggaran bagi para pemerintah untuk melakukan apa saja yang membawa kebaikan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip agama, walaupun tidak ada dalil khusus yang membolehkan ia dilakukan.
Dalam pembentukan Bon Ukur Rujuk Islam, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti cuba menerbitkan sebuah bon bagi menjadi panduan kepada pasaran dalam penentuan harga-harga bagi bon-bon baru yang akan diterbitkan. Bon ini akan menjadi ukur rujuk bagi bon-bon Islam dan konvensional. Penerbitan bon ini juga bukanlah untuk memenuhi keperluan seperti kelaziman penerbitan bon tetapi bertujuan khusus untuk menentukan harga sekuriti hutang di pasaran utama dan sekunder. Dengan adanya Bon Ukur Rujuk ini soal kejahilan harga dapat diminimakan. Ini dapat menjadikan pasaran lebih telus dan cekap. Ini bermakna kesukaran yang dihadapi selama ini di dalam menentukan harga bagi bon korporat juga dapat diatasi dan kos bagi mendapatkan modal daripada pasaran bon dapat diminimakan.
Justeru itu, penetapan Siyasah Sharʿiyyah sebagai metodologi bagi pengharusan bon ini adalah tepat kerana bon ini adalah persoalan muʿamalat kini yang tidak ada nas khusus berkaitan dengan pengharusan atau pengharamannya. Terpulang kepada kebijaksanaan pemerintah memutuskannya selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah dan prinsip-prinsip muʿamalat Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 124).
2.5.9 Penggunaan Maslahah (Al-Daruriyyah Al-Khamsah) Dalam Mengharuskan Kemasukan Syarikat Bercampur Dalam Senarai Sekuriti Yang Diluluskan Syariah
Rasional Mengharuskan Kemasukan Syarikat Bercampur Dalam Senarai Sekuriti Yang Diluluskan Syariah
Prinsip al-Daruriyyah al-Khamsah
Merujuk kepada masalih daruriyyah, Syara’ telah menyenaraikan hifz al-Mal sebagai salah satu masalih daruriyyah yang mesti diambil perhatian secara serius. Soal keutuhan dan kekuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan dan kemajuan umat Islam.
Syarikat besar yang aktiviti utamanya adalah halal tidak sepatutnya ditinggalkan oleh umat Islam hanya kerana terdapat beberapa kegiatan yang tidak bertepatan dengan kehendak syariah. Jika umat Islam terlibat sama dalam aktiviti ini sudah tentu mereka akan dapat menggembleng modal mereka pada aktiviti halal yang merupakan aktiviti lebih besar berbanding aktiviti haram. Di samping itu, ia dapat memberi manfaat kepada penyertaan umat dalam ekonomi khususnya dalam syarikat-syarikat penting dan strategik.
Analisis Keputusan MPS SS
Prinsip al-daruriyyah al-khamsah pada hakikatnya terdapat dalam perbahasan teori Maslahah dalam usul fiqh. Prinsip ini termasuk dalam perbahasan berkaitan dengan maslahah (kepentingan) yang dijaga oleh Syariah yang dibahagikan kepada tiga jenis; pertama, maslahah yang bersifat kepentingan bagi hidup manusia iaitu distilahkan sebagai al-daruriyyat. Kedua, maslahah yang bersifat keperluan bagi hidup manusia, iaitu yang diistilahkan sebagai al-hajiyat dan ketiga maslahah yang bersifat kemewahan bagi hidup manusia iaitu yang diistilahkan sebagai tahsiniyyat.
Dalam membincangkan berkaitan dengan mengharuskan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti yang diluluskan Syariah, MPS SS melihat bahawa syarikat besar yang aktiviti utamanya adalah halal tidak patut ditinggalkan oleh umat Islam semata-mata wujud sebilangan kecil aktiviti yang diharamkan oleh Syariʿat Islam di dalamnya. Ini kerana menurut penilaian yang dibuat oleh MPS SS, umat Islam tidak boleh meninggalkan aktiviti ekonomi khususnya dalam pasaran modal kerana ia adalah merupakan satu faktor penting kepada kemajuan ekonomi umat Islam pada hari ini. Menurut teori daruriyyat, penjagaan harta juga termasuk dalam kepentingan yang dijaga oleh Syariah. Ia berada ditangga keempat kepentingan yang perlu dijaga selepas agama, nyawa, dan keturunan. Ini kerana kekuatan ekonomi antara faktor yang boleh menyemarakkan kebangkitan Islam pada masa kini dan hadapan.
Justeru, pengharusan kemasukan syarikat bercampur dalam senarai sekuriti yang diluluskan Syariah menerusi teori maslahah umumnya dan teori al-daruriyyah al-khamsah khususnya memberikan banyak kelebihan dan pilihan bagi umat Islam dalam memilih pelaburan yang benar-benar memberikan pulangan yang baik dan seterusnya menyumbang kearah kebangkitan dan kekukuhan ekonomi umat Islam (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm.127 ).
2.5.10 Penggunaan Talfiq dalam dalam Masalah al-Buyuʿ
Masalah Pertama: Bai’ Inah
Keputusan
MPS SS, dalam mesyuarat kelima pada 29 Januari 1997, telah memutuskan bahawa bai’ ‘inah ialah satu kaedah yang diharuskan dalam pasaran modal Islam di Malaysia.
Hujah Mengharuskan Bayʿ Inah
Pendapat Fuqaha’ silam
Fuqaha’ silam tidak sepakat dalam menentukan hukum bai’ ‘inah. Berikut ialah pendapat-pendapat tersebut:
Sebahagian besar fuqaha’ berpandangan, bai’ ‘inah tidak sah kerana ia merupakan sebahagian daripada zariʿah (jalan) atau helah menghalalkan riba. Mazhab Hanafi berpandangan, bai’ ‘inah hanya sah sekiranya melibatkan pihak ketiga yang menjadi orang tengah antara penjual (pemiutang) dan pembeli (penghutang).
Manakala Mazhab Maliki dan Hanbali menolak bai’ ‘inah dan menganggapnya tidak sah. Ini adalah berasaskan kepada prinsip sad zari’ah iaitu bertujuan menyekat amalan berlakunya perkara yang diharamkan dalam konteks riba. Mazhab Shafiʿi dan Zahiri berpandangan, bai’ ‘inah adalah diharuskan. Sesuatu akad itu hanya akan dinilai dari sudut zahirnya sahaja dan perkara yang berkaitan dengan niat diserahkan kepada Allah. Mereka telah mengkritik hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh sebahagian besar fuqaha’ yang dianggap lemah.
Hasil daripada kajian terhadap pandangan fuqaha’ silam dalam isu bai’ ‘inah, MPS SS telah memutuskan untuk menerima pakai pendapat Mazhab Shafie dan Zahiri yang mengharuskan bai’ ‘inah. Oleh itu, ia boleh dimajukan untuk membentuk sesuatu produk dalam pasaran modal Islam di Malaysia.
Masalah Kedua: Bayʿ Maʿdum
Keputusan
KPII dan MPS SS telah membincangkan isu bai’ ma’dum dalam beberapa siri mesyuaratnya pada tahun 1995 dan 1997 berhubung isu waran dan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah dan telah memutuskan bahawa bai’ ma’dum diharuskan.
Hujah Mengharuskan Bai’ ma’dum
Pandangan Fuqaha’ Silam
Mazhab Hanafi dan Shafie telah mensyaratkan objek jual beli mesti wujud semasa berlakunya akad. Jika tidak, akad tersebut akan dianggap tidak sah kerana sesuatu yang ma’dum tidak boleh dimiliki. Ini berasaskan larangan Nabi s.a.w atas penjualan anak unta yang masih dalam kandungan dan penjualan sesuatu objek yang tidak wujud pada penjualan. Namun mereka telah memberi pengecualian kepada akad Salam, Ijarah, Musaqah dan Istisna’ berdasarkan kaedah Istihsan.
Mazhab Maliki sependapat dengan Mazhhab Hanafi dan Shafiie dalam mu’awadat maliyyah (akad pertukaran), manakala dalam ‘akad tabarru’at (akad pemilikan secara sukarela) seperti hibah, mereka tidak meletakkan syarat kewujudan objek akad. Yang penting, ia dijangka wujud pada masa akan datang. Mazhab Hanbali pula tidak meletakkan syarat ini. Yang penting ialah sesuatu akad tidak mengandungi unsur gharar yang ditegah syariah.
Justeru, hasil daripada kajian yang buat, ‘illah (sebab) larangan bai’ ma’dum adalah gharar bukan disebabkan ketidakwujudan objek. Gharar berlaku apabila penjual tidak berupaya menyerahkan objek yang dijual.
Masalah ketiga: Bayʿ Dayn
Keputusan
MPS SS, dalam mesyuarat kedua pada 21 Ogos 1996 telah bersetuju untuk menerima prinsip Bai’ Dayn iaitu jual beli hitang sebagai salah satu kaedah membentuk instrumen dalam pasaran modal Islam. Ini bersandarkan kepada pandangan sebahagian besar fuqaha’ yang mengharuskan konsep ini dengan beberapa syarat. Dalam konteks pasaran modal, syarat-syarat ini akan dapat dipenuhi apabila terdapat suatu sistem pengawalseliaan yang telus yang memastikan maslahat (kepentingan) peserta pasaran terpelihara.
Hujah Mengharuskan Bai’ Dayn
Pendapat Fuqaha’ Silam
Mazhab Hanafi melihat dari sudut risiko yang bakal diterima oleh pembeli, penghutang dan sifat hutang itu sendiri. Mereka berpendapat untuk tidak membenarkan instrumen ini dilaksanakan kerana risiko tersebut tidak boleh diatasi dalam konteks penjualan hutang. Ini kerana hutang itu berbentuk mal hukmi (suatu bentuk harta yang tidak nampak); pembeli hutang akan menanggung risiko yang besar kerana ia tidak memperolehi perkara yang dibeli dan penjual tidak dapat menyerahkan perkara yang dijual.
Mazhab Maliki telah membenarkan penjualan hutang kepada pihak ketiga dengan meletakkan beberapa syarat untuk memperkemaskan lagi perjalanan kaedah ini di pasaran. Syarat yang digariskan Mazhab Maliki dapat dibahagikan kepada tiga kategori:
i. Bagi memelihara hak pembeli hutang
ii. Mengelakkan menjual hutang sebelum qabadh
iii. Mengelak berlakunya riba
Mazhab Shafie berpendapat menjual hutang kepada pihak ketiga dibenarkan sekiranya dayn mustaqir dan ia dijual dengan ‘ayn (barang) tanpa bertangguh, iaitu hutang itu apabila dijual mestilah dibayar secara tunai, dengan harga tukarannya berupa ‘ayn seperti wang tunai atau benda yang nyata mengikut persetujuan.
Masalah Keempat: Bayʿ Wafa’
Keputusan
MPS SS, dalam mesyuarat ke 11 pada 26 November 1997, memutuskan bahawa Bai wafa’ diharuskan menurut perspektif perundangan Islam dan boleh dimajukan sebagai satu kaedah untuk membentuk produk dalam pasaran modal Islam.
Hujah Mengharuskan Bayʿ Wafa’
Fuqaha’ Silam tidak sependapat dalam menentukan hukum Bai’ wafa’. Mazhab Maliki, Hanbali dan mutaqaddimun (generasi awal) Mazhab Hanafi dan Shafie berpandangan, bai wafa’ tidak diharuskan kerana jual beli bukanlah menjadi maksud utama dalam akad bai’ wafa’. Sebaliknya, tujuan utama adalah sebagai menghalalkan riba yang dilarang.
Generasi muta’akhirun (terkemudian) Mazhab Hanafi dan Shafie telah mengharuskan bai’ wafa’ dengan alasan ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan riba. Mereka mengharuskannya kerana keperluan masyarakat yang mendesak dan telah menjadi ‘urf masyarakat pada kebanyakan tempat.
Sesetengah fuqaha’ Mazhab Hanafi berpendapat kedua-dua penjual dan pembeli boleh menjual barang wafa’ kepada pihak ketiga dengan syarat kedua-dua pihak bersetuju dengan pihak yang satu lagi. Malah ada di kalangan fuqaha’ seperti al-Ba’lawi dari Mazhab Shafie dan al-Sadr al-Shahid Umar Abd al-Aziz dan al-Marghinani dari Madhhab Hanafi membenarkan pembeli menjual barang wafa’ kepada pihak ketiga tanpa dirujuk kepada penjual wafa’.
Analisis Keputusan MPS SS
Talfiq dalam perbahasan ʿilm usul fiqh ialah Ia adalah satu pendekatan penetapan hukum dengan menggabungkan dua pandangan mazhab atau lebih dan seterusnya daripada penggabungan pandangan tersebut menghasilkan pandangan lain yang tidak pernah diperkatakan oleh madhhab-madhhab tersebut. Dalam usaha memajukan instrumen pasaran modal Islam di Malaysia, MPS SS sebagai badan pengawalselia Syariah dilihat menggunakan pendekatan talfiq.
Dalam masalah prinsip-prinsip al-buyu’ yang diterapkan dalam produk pasaran modal Islam di Malaysia didapati MPS SS menggunakan pendekatan yang telah dinyatakan. Dalam persoalan bayʿ inah, MPS SS mengharuskannya berasaskan pandangan fuqaha’ Shafiʿi dan Zahiri. Manakala dalam isu bayʿ maʿdum pula, MPS SS dilihat lebih mengambil pendekatan Madhhab Hanbali yang mengharuskan bayʿ maʿdum dengan syarat tidak berlaku gharar. Dalam menangani isu perundangan berkaitan dengan bayʿ dayn, MPS SS dilihat lebih selesa menggunakan pendapat Madhhab Maliki yang mengharuskan prinsip tersebut berasaskan beberapa syarat tertentu. Akhir sekali dalam mengharuskan bayʿ wafa’, MPS SS menggunakan pendapat Generasi awal Madhhab Hanafi dan Shafiʿi yang mengharuskannya.
Pendekatan yang digunakan oleh MPS SS ini adalah sesuatu yang baik, kerana jika MPS SS memilih untuk terikat dengan sesuatu mazhab ia akan membantutkan perkembangan pasaran modal Islam di Malaysia. Keterbukaan dalam soal mazhab inilah yang menjadikan pasaran modal Islam di Malaysia terus berkembang pesat dari semasa ke semasa (Muhammad Yusri bin Yusof 2006: hlm. 127 ).
Rujukan
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2002. Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti:Kuala Lumpur.
Muhammad Yusri bin Yusof. 2006. Aplikasi Usul dan Kaedah Fiqh dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia. Disertasi Sarjana. UKM: Bangi.
Muhammad al-Qudari Beq. 1969. Usul al-fiqh. Mesir: Maktabah al-Tijariyyah.
Mustafa al-Bugha. 2000. Athar al-adillah al-Muktalaf fiha fi Fiqh al-Islami. Mesir: Dar al-Qalam.
Nur Naimah Abdul Rahman. 2002. Nazariyyah al-Mafhum ‘inda Usuliyyin. Jordan: Dar ‘Ammar.
Yusof al-Qardhawi. 1998. Ijtihad al-Mu’asir bayna al-Indibat wa al-Infirad. Beyrut: al-Maktab al-Islami.
Muhammad Abu Zahrah. T.th. Usul al-Fiqh. Beyrut: Dar al-Fikr al-‘Arabi.
SENARAI GRADUAN SESI 2016
-
*SENARAI PELAJAR YANG AKAN DIIJAZAHKAN DI MAJLIS PENGIJAZAHAN DARUSSYIFA'
PADA 25-DIS-2016 (AHAD).*
Kepada pelajar Pengubatan Islam Darussyifa' Bangi Kumpu...
8 years ago
1 comment:
Dalil tak kuar ngan betol, petak-petak takde faham la bro...
Post a Comment