KHUTBAH JUMAAT
29 0KTOBER 2009
PUSAT ISLAM UiTM PERAK
CAWANGAN SERI ISKANDAR
TAJUK: KEAJAIBAN DARI DITINJAU DARI PERSPEKTIF AKIDAH
OLEH: MUHAMMAD YUSRI BIN YUSOF @ SALLEH
Pusat Kefahaman dan Pemikiran Islam
UiTM Perak
الحمد لله القائل:
17|16|وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا
أشهد أن لا إله الا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك علي سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتققون.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan akhirat.
Berdasarkan fenomena yang menggemparkan masyarakat kita baru-baru ini, mimbar pada hari ini akan membincangkan persoalan berkaitan dengan isu keajaiban yang dianggap petanda daripada Allah S.W.T.
Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan apa yang kita boleh istilahkan sebagai fenomena sejadah berdiri seakan menunaikan solat yang mula-mula sekali di kesan di sebuah rumah di permatang pauh, kemudian kejadian yang hampir serupa dikesan di sebuah surau sekolah agama di kelantan dan seteruskan merebak ke surau di sebuah kampung di daerah Yan Kedah.
Fenomena yang hampir sama turut terjadi pada 28 Oktober 2009, apabila negara sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa kain pelikat yang di dakwa berdiri seakan bersolat di Kampung Bukit Choras, Pendang, Kedah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ingin menegaskan di sini bahawa dalam persoalan yang menimbulkan kegusaran masyarakat kini, marilah kita sama-sama memerhati, meneliti dan memahami al-Quran dengan sebenar-benarnya. Sedarilah bahawa al-QURAN adalah mukjizat agung kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 23:
وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ
Yang mafhumnya: “Dan jika kamu meragukan (al-Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatla satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yg benar”.
Dalam al-Quran dinyatakan dengan jelas galakan kepada manusia bagi merenung ciptaannya sebagai bukti dan tanda bagi kekuasaan dan keagungan Allah SWT, seperti firmannya di dalam ayat 164, surah al-Baqarah:
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلْفُلْكِ ٱلَّتِى تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلْمُسَخَّرِ بَيْنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Yang mafhumnya: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan dari langit yang berupa air hujan, lalu dengan itu dihidupkan bumi setelah mati (kering), dan dia tebarkan di dalamnya dengan bermacam binatang, dan perkisaran antara angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, semua itu sesungguhnya merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mengerti (berfikir)”
Al-Quran secara dasarnya ada menyebutkan tentang galakan dan suruhan kepada memerhatikan ciptaan Allah di muka bumi ini sebagai bukti kepada KEKUASAAN dan KEAGUNGAN ALLAH tetapi perlu kita ingat apa yang disebut ALLAH SWT itu adalah hasil CIPTAANNYA YG ESA bukan hasil CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH.
Kita kena sedar dan dapat membezakan antara HASIL CIPTAAN ALLAH dan HASIL CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH. Antara HASIL CIPTAAN ALLAH adalah manusia, pokok, batu, tanah, air, bukit, awan dan sebagainya.
Manakala HASIL MANUSIA pula seperti sejadah, tasbih, kopiah, songkok, buku, rehal, stapler dan banyak lagi yang mana ia dihasilkan dengan pemikiran yang diberikan ALLAH SWT kepada manusia.
Dalam al-Quran dinyatakan dengan jelas bahawa manusia perlu memberikan perhatian dan merenung sejenak ciptaan ALLAH SWT sebagai bukti wujudnya ALLAH sebagai pencipta yang Maha Agung bukan merenung kepada hasil daripada pemikiran manusia. Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah kita boleh mengambil iktibar jika yang berlaku itu daripada CIPTAAN ALLAH tetapi kita tidak sesekali boleh mengambil iktibar pada HASIL MANUSIA. Ini kerana jika hasil daripada manusia kebarangkalian ia diselewengkan adalah tinggi ditambah dengan pencapaian teknologi manusia pada hari ini.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah swt,
Jika CIPTAAN ALLAH sekalipun, dalam persoalan keajaiban ini juga memerlukan penelitian yang rapi, ingatkah kita apa yang terjadi pada tahun 1989? Negara digemparkan dengan objek yang terbentuk di langit menyerupai nama Allah, orang sedang bersolat dan sebagainya. Selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa, di dapati rupanya objek tersebut dibentuk melalui pencahayaan yang dipancarkan ke langit. Pada masa itu, tidak sedikit umat islam di Malaysia mempercayainya.
Keajaiban yang sama juga berlaku pada tahun 2001,yang mana heboh di Malaysia menyatakan bahawa terdapat kalimah Allah pada badan ikan flower horn. Apabila siasatan dilakukan, rupa-rupanya badan ikan tersebut di cat dengan cat merah. Sekali lagi umat islam tertipu dengan apa yang berlaku.
Juga pernah terjadi, kecoh di kalangan masyarakat tentang ayat quran hilang daripada mashaf, merebak dari satu tempat ke tempat lain, pada ketika itu, heboh diperkatakan tentang kiamat yang hampir berlaku, hasil siasatan yang dilakukan oleh JAKIM, mendapati bahawa kehilangan ayat tersebut adalah hasil daripada kesalahan pencetakan, dan akhirnya syarikat tersebut menarik balik semua quran cetakannya dari pasaran.
Dalam soal sejadah berdiri, berasaskan kepada logik akal mungkin sejadah tersebut boleh didirikan oleh manusia sebagai ‘daya penarik’ untuk melariskan apa-apa produknya atau tempatnya. Jika ia terjadi di merata tempat, itu persoalan yang sangat mudah dijawab dengan akal….dalam dunia moden ini, kecanggilan teknologi maklumat membolehkan manusia melakukan apa saja. Era globalisasi menyebabkan jarak sempadan menjadi kecil.
Selain daripada itu, kalaupun tidak dilakukan oleh manusia, mungkin dilakukan oleh syaitan bagi memesongkan akidah manusia. Lupakah kita pada janji syaitan kepada Allah SWT apabila dia enggan tunduk hormat kepada manusia sebagai khalifahnya?Justeru, mempercayai sejadah solat dan bertasbih lebih dari mempercayai Allah SWT boleh membawa kemudaratan kepada iman seseorang.
Justeru sebelum mengakhiri khutbah ini, ingin ditegaskan dua perkara:
1. Jika benar sekalipun ia sebagai petunjuk daripada ALLAH, cukupla ia menjadi muhasabah kepada individu yang melihatnya dan tak perlulah diperbesarkan perkara tersebut kerana ia akan menggemparkan masyarakat.
2. Ingatlah firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Yang Mafhumnya:
”Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik yang menceritakan sesuatu perkara, maka siasatlah terlebih dahulu, jika tidak kamu akan menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak baik, dan kamu akan menyesal dengan apa yang kamu telah lakukan.”
بارك الله لي ولكم في القران العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من القران العظيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم أقول قولي هذا واستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.
![]()
Monday, November 2, 2009
Keajaiban daripada Perspektif Akidah
Friday, October 23, 2009
SEJADAH BERDIRI: REALITI ATAU FANTASI?

SEJADAH BERDIRI: ANTARA REALITI DAN FANTASI
Oleh: Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
Pusat Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU)
UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar.
Saban hari kebelakangan ini kecoh di Malaysia dengan berita berkaitan dengan perihal sejadah yang di dakwa sedang solat, zikir, sujud dan sebagainya.
Sebenarnya, dalam YOU TUBE dah lama saya lihat sejadah yang di dakwa sedang solat. Mungkin bagi yang jarang atau tidak biasa dengan YOU TUBE, perkara itu dirasakan sangat janggal dan cukup menarik perhatian. Jika tuan-tuan berkelapangan sila ke YOU TUBE dan tuan-tuan taip pada YOU TUBE search engine entri KEBESARAN ALLAH, tuan-tuan akan dapat lihat hasil pencariannya antaranya video sejadah berdiri yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Arab, tak tahu dari Negara Arab yang mana.
Pada dasarnya, saya kurang berminat ambil tahu berkaitan dengan ‘keajaiban’- ‘keajaiban’ ini. Bagi saya cukuplah hanya dengan mengkaji al-QURAN dan al-HADIS kita dapat mengenal Allah SWT.
Tuan-tuan, saya mengingatkan diri saya sendiri dan tuan-tuan agar sedar akan kewujudan al-QURAN sebagai mukjizat agung kepada Nabi Muhammad SAW. Cukuplah kita berpegang pada al-QURAN sebagai antara buktinya agungnya Tuhan Yang Maha Esa.
Firman Allah SWT: al-Baqarah: 23 yang mafhumnya:
“Dan jika kamu meragukan (al-Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatla satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yg benar”.
Saya tidak menafikan dalam al-Quran ada menyebutkan tentang galakan dan suruhan kepada memerhatikan ciptaan Allah di muka bumi ini sebagai bukti kepada KEKUASAAN dan KEAGUNGAN ALLAH tetapi kita kena ingat apa yang disebut ALLAH SWT itu adalah hasil CIPTAANNYA YG ESA bukan hasil CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH.
Kita kena sedar dan dapat membezakan antara HASIL CIPTAAN ALLAH dan HASIL CIPTAAN MANUSIA DENGAN KUDRAT YG DIBERI OLEH ALLAH. Antara HASIL CIPTAAN ALLAH adalah manusia, pokok, batu, tanah, air, bukit, awan dan sebagainya.
Manakala HASIL MANUSIA pula seperti sejadah, tasbih, kopiah, songkok, buku, rehal, stapler dan banyak lagi yang mana ia dihasilkan dengan pemikiran yang diberikan ALLAH SWT kepada manusia.
Dalam al-Quran dinyatakan dengan jelas bahawa manusia perlu memberikan perhatian dan merenung sejenak ciptaan ALLAH SWT sebagai bukti wujudnya ALLAH sebagai pencipta yang Maha Agung bukan merenung kepada hasil daripada pemikiran manusia. Apa yang saya nak tegaskan di sini ialah kita boleh mengambil iktibar jika yang berlaku itu daripada CIPTAAN ALLAH tetapi tidak pada HASIL MANUSIA. Ini kerana jika hasil daripada manusia seperti sejadah, kebarangkalian ia dilakukan oleh manusia atau jin itu tinggi.
Dalam soal sejadah berdiri, berasaskan kepada logik akal mungkin sejadah tersebut boleh didirikan oleh manusia sebagai ‘daya penarik’ untuk melariskan apa-apa produknya atau tempatnya. Jika ia terjadi di merata tempat, itu persoalan yang sangat mudah dijawab dengan akal….dalam dunia moden ini, kecanggilan teknologi maklumat membolehkan manusia melakukan apa saja. Era globalisasi menyebabkan jarak sempadan menjadi kecil.
Selain daripada itu, kalaupun tidak dilakukan oleh manusia, mungkin dilakukan oleh jin atau syaitan bagi memesongkan akidah manusia. Lupakah kita pada janji syaitan kepada Allah SWT apabila dia enggan tunduk hormat kepada manusia sebagai khalifahnya?Ingatla saudaraku, mempercayai sejadah solat dan bertasbih lebih dari mempercayai Allah SWT boleh membawa kepada kesesatan yang nyata.
Jika CIPTAAN ALLAH sekalipun, dalam persoalan keajaiban ini juga memerlukan penelitian yang rapi, tuan-tuan ingat tak apa yang terjadi pada tahun 1989? Objek terbentuk di langit menyerupai nama Allah, orang sedang bersolat dan sebagainya. Selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa, di dapati rupanya objek tersebut dibentuk melalui pencahayaan yang dipancarkan ke langit. Bukan sedikit orang Melayu mempercayai cerita tersebut.
Tuan-tuan ingat, pada tahun 2001, heboh di Malaysia menyatakan bahawa ikan flower horn ada kalimah Allah pada badannya? Apabila siasatan dilakukan, rupa-rupanya badan ikan tersebut di cat dengan cat merah jenis spray!memalukan, berapa ramai orang melayu tertipu?
Pada tahun lepas, heboh pokok pinang berwajah manusia, kejadian ini berlaku di Sik, Kedah…apa yang terjadi? Orang melayu berpusu-pusu mengambil air dari pokok tersebut yang disifatkan boleh mengubati segala penyakit…syirik, tuan-tuan…ingatla syirik itu dosa besar.
Untuk mengukuhkan penghujahan ilmiah saya, saya datangkan Firman Allah: al-Baqarah ayat 164:
Mafhumya:
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan dari langit yang berupa air hujan, lalu dengan itu dihidupkan bumi setelah mati (kering), dan dia tebarkan di dalamnya dengan bermacam binatang, dan perkisaran antara angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, semua itu sesungguhnya merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mengerti (berfikir)”
Dalam ayat ini dinyatakan oleh Allah bahawa antara tanda Kebesaran NYA adalah dengan memikirkan kejadian dan ciptaannya yang berupa kejadian malam siang, laut sebagai khazanah bumi, hujan, angin dan awan. Ini adalah antara CIPTAAN ALLAH yang boleh difikirkan oleh manusia dan dikaji daripada perspektif sains.
Dalam ayat ini ada disebutkan ‘kapal’, semua daripada kita tahu bahawa kapal adalah ciptaan pemikiran manusia, saya nak nyatakan di sini, rujukan saya kepada beberapa kitab tafsir telah menyatakan bahawa subjek perbahasan dalam ayat ini bukannya kapal tetapi berkaitan dengan laut yang banyak memberikan manfaat kepada manusia. Boleh dilihat dalam;
1. Ahmad Mustafa al-Maraghi. T.th. Tafsir al-Maraghi. Jilid 1. Dar al-Fikr:Kaherah, hlm. 34.
2.Imam Abd al-Rahman Jalal al-Din al-Suyuti. 1983. Al-Dur al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur. Jilid 1. Dar al-Fikr: Kaherah, hlm 396.
3. Muhammad Jamaluddin al-Qasimi. 1914. Tafsir al-Qasimi al-Musamma Mahasin al-Ta’wil. Jilid 2. Dar al-Fikr: Kaherah, hlm. 15.
Ini membuktikan pemikiran yang dikemukakan oleh saya tidak bercanggah dengan mana-mana Ulama’ sama ada fuqaha’ terdahulu mahupun komtemporari.
Justeru, sebelum mengakhiri nukilan pada kali ini; ingin saya tegaskan beberapa perkara
1. Jika benar sekalipun ia sebagai petunjuk daripada ALLAH, cukupla ia menjadi muhasabah kepada individu yang melihatnya dan tak perlulah diperbesarkan perkara tersebut kerana ia akan menggemparkan masyarakat.
2. Ingat pesanan Rasulullah SAW, jika datang khabar berita daripada sumber fasik, berita tersebut perlu diteliti dengan sebaiknya.
3. Setiap manusia ada bentuk penghujahannya, justeru saya cukup merendah diri dan berlapang dada dengan golongan yang berbeza pendapat dengan saya. Terpulang kepada diri masing-masing, yang penting, ini hujah saya, saya berpegang kepada hujah ini dan menjadi tanggungjawab saya menyedarkan masyarakat atas ilmu yang saya miliki.
Sekian, Saya Yang Jujur:
Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
ADM 2075
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
Universiti Teknologi Mara
Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar
Tuesday, October 6, 2009
NOTA BUAT SAHABAT
.png)

PENGHARGAAN BUAT SAHABAT
Salam Sejahtera Rakan Bloggers yang sering mengunjungiku…Tiada penulisan ilmiah kali ini disebabkan Lebai terlalu sibuk dengan nota untuk pengajaran kelas-kelas Lebai di UiTM.
Lebai terpaksa banyak membaca bagi membuat pengisian kepada Mahasiswa di sini. Hampir setiap hari ada saja buku baru yang akan lebai baca. Sehari sebuah buku, Lebai ikut pesanan guru yang Lebai sgt sanjungi dan hormati PROFESOR MADYA DR. RAHIMIN AFFANDI ABD RAHIM.
Penulisan kali ini berkisar tentang dua insan yang Lebai anggap sebagai sahabat Lebai. Lebai nak ucapkan terima kasih atas pertolongan dua sahabat ini dalam membantu Lebai bagi memberikan yang terbaik di UiTM.
Kedua orang sahabat lebai ini ialah Saudara Adlan bin Mohd Ali, GPK HEM di SK Dusun Tua dan Mohd Hasaidi Hasan, Ketua Panitia Pendidikan Islam di SK Lankon, Kota Marudu, Sabah.
Saudara Adlan atau nama penanya amal ini adalah insan yang mula mengenalkan lebai dengan keadaan sosial dan jalan-jalan di ibu kota. Lebai ni orang kampung, walaupun lama hidup di KL tapi jarang sekali lebai explore semua tu. Perkenalan dengan saudara amal adalah satu rahmat buat lebai. Banyak ilmu dan input baru yang lebai dapat dari insan yang sedang lebai gambarkan.
Tn amal tidak pernah putus daripada mengirimkan email2 yang berguna buat lebai. Jujurnya, banyak email-email tersebut lebai gunakan sebagai bahan2 ceramah lebai di sekolah2 sekitar Kajang dan sekarang lebai banyak gunakannya untuk pengajaran lebai di UiTM. Terima kasih tn amal. Besar pahala yang saudara dapat.
Pada tanggal 2 september 2009, Tn. Amal sekali lagi membantu lebai dengan kesanggupannya untuk menemani lebai ke lowyat. Syurga bagi komputer di KL. Banyak jg yang lebai beli di lowyat pada hari tersebut sebagai gadjet untuk lebai meneruskan perjuangan di UiTM, cuma satu je lagi tn syeikh, speaker kat dewan dan beberapa bilik tutorial di UiTM tidak berfungsi dengan baik, jadi lebai cadang hujung minggu ni lebai nak ke lowyat dengan menaiki lrt untuk membeli speaker yang kita tgk tu…RM 59 he he he.
Saudara Mohd Hasaidi Hassan, insan ini ku kenal sejak dari Nilam Puri lagi. Tapi betul2 rapat ketika berada di Kolej Kediaman Menara Budi di UM ketika kedua-dua kita menyedari ada keserasian bersama. Betul tak Jedi?....ha ha ha…hang ingat lagi tak sapa yang bawa hang pi buat kat pengenalan gara-gara kopek hang (bahasa kedah kopek tu maknaya dompet) kena curi kat masjid?..ha ha ha…hang ingat lagi tak dengan ACC 3856?sapa yang ajar hang naik motor?ha ha ha…pertama kali hang gendong aku hang bawa motor atas line putih tgh2 jalan raya…ha ha ha..ingat lagi tak?
Insan ini juga banyak membantu, memberi semangat dan nasihat ketika lebai mula-mula minta UiTM, ketika lebai mengharungi dua sesi temuduga yang mencabar dan menghadiahkan lebai dengan kamera PC dan pendrive ketika mula-mula lebai melapor diri ke UiTM. Hang tau tak tiap2 hari aku guna pendrive tu….banyak betul ganjaran yang hang dapat Jedi. Setiap kali aku lihat pemberian hang, aku doakan hang juga satu hari nanti akan mendapat ruang sepertiku.
Tak pe jedi, aku percaya satu hari nanti hang juga akan berada di menara gading seperti aku. Doaku tidak pernah putus setiap kali aku berada di pintu bilik yang tercatat namaku. Yang penting kita kena tabah Jedi, kita tak de kabel macam orang lain, hidup susah…hang pun tahu susur galur kehidupan aku, tak de beza, Cuma rezeki aku sedikit cepat…dapat capai impian sedikit lebih cepat dari hang, tapi sebenarnya sudah cukup terlambat berbanding insan lain yang mempunyai kabel.
Jedi pegangla pada falsafah hidup aku.. “takdir itu tidak boleh diubah kecuali dengan doa dan usaha”. Allah Maha Mendengar…Berdoalah sahabatku.
Buat Akhirnya, terima kasih sahabat2ku, kalian dalam ingatan lebai hampir setiap masa. Assalamualaikum.
Saya Yang Jujur: Lebai Yusri…(6.10.2009: 10.05 PM)
Friday, September 18, 2009
TERIMA KASIH UiTM BUAH TANGAN PPDHL

Pada tanggal 15 September 2009 adalah hari yang bersejarah dalam hidup lebai. Lebai telah melapor diri sebagai Pensyarah Tamadun Islam di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)UiTM Perak, Cawangan Seri Iskandar.
Alhamdulillah di sini lebai dapat kawan-kawan baru yang kesemuanya bersifat freindly sama ada pensyarah senior ataupun junior. ada 16 semuanya. Terima kasih rakan-rakan CITU. Lebai harap lebai dapat bersama-sama dengan tuan-tuan untuk menyumbang kepada UiTM.
Lebai juga rasa suka sangat dengan suasana di sini...tenang dan jauh dari hiruk pikuk kota. Ya, ya..memang lebai sukakan 'life' begini.
Kat sini juga lebai kena banyak membaca dan membuat penyelidikan. Aktiviti yang sangat lebai suka. Kelas di sini tak banyak berbanding di sekolah. Lebai hanya mengajar lebih kurang 12 jam sahaja seminggu dengan purata 2 ke 4 jam sehari. Lebai mengajar Islamic Land Law dan Hubungan Etnik.
Yang lebihnya lebai akan gunakan untuk membaca dan membuat penyelidikan. Sekarang ni pun lebai tgh siapkan kertas kerja untuk Seminar Tamadun Islam di UiTM dan Seminar Muamalat Semasa di UKM. Seronok juga hidup dalam dunia akademik ni...dunia yang lebai impikan sejak sekian lama..syukur pada Allah dan terima kasih kepada UiTM kerana memberi peluang kepada lebai.
Semalam, selepas kelas lebai dapat panggilan telefon dari seorang rakan di SKDN yg menyatakan bahawa nama SKDN naik beberapa kali di PPDHL kerana lebai dikatakan tidak menghantar laporan LADAP ke unit Latihan PPDHL. Geram juga hati dibuatnya. Lebai dah di UiTM, tak ada pada ketika itu untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Tapi biasala, bila nama pegawai....kadang2 lebih suka mendedahkan kepada semua orang pada ketika itu, tanpa terlebih dahulu membuat tindakan susulan. Kalau betul laporan tu tidak dihantar...call la Lebai, tanya apa yang berlaku. nasihat saya "CUBA CARI KESALAHAN DIRI SENDIRI SEBELUM MENYALAHKAN ORANG LAIN"
Ini bukan kali pertama berlaku, dulu Lebai dah hantar laporan, naik juga dalam mesyuarat mengatakan lebai tak hantar, rupa-rupanya laporan yang telah lebai hantar itu tidak boleh dibuka akibat virus...
Kepada semua pegawai-pegawai di mana2 saja anda bertugas, buat tindakan susulan dahulu, buat peringatan dulu, barula dihebahkan di dalam mesyuarat sebagai jalan terakhir. Ingat tuan2, guru-guru pada hari ini terlalu banyak tugasan di sekolah...bukan satu kerja aja...jadi harap ada timbang rasa 'sedikit' dalam menyiapkan tugasan pengkeranian yang bukan 'hardcore' kami.
Kepada sahabat yang mengambil tempat lebai sebagai S/U LADAP, tabahla...lakukan yang terbaik sekadar kemampuan kita, ini adalah masalah kecil saja, lepas ni awak akan menghadapi banyak lagi dugaan. Lebai dah laluinya...ok..jangan risau, lebai percaya awak boleh lakukannya..be the best..salam perjuangan
Friday, September 11, 2009
HULURAN PERPISAHAN SALAM PERJUANGAN
SALAM PERPISAHAN SKDN
Saya tidak tahu bagaimana ingin mengungkapkan perasaan yang bermain di benak saya pada ketika ini. Ada rasa gembira,ada rasa sedih, ada rasa ‘hilang’ dan sebagainya.
GEMBIRA kerana berjaya dalam temuduga sebagai Pensyarah UiTM dan akan ditempatkan di UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar. GEMBIRA kerana setelah melalui 2 sesi temuduga yang cukup mencabar iaitu pada tanggal 29 dan 30 Julai 2009. Apa yang saya nak ceritakan ialah hampir semua temuduga itu dijalankan di dalam Bahasa Inggeris.
Bukan mudah bagi seorang LEBAI pondok seperti saya melaluinya. Tapi syukur, itu semua sudah menjadi ketentuan ALLAH untuk hambanya. Tidak ada perkataan yang dapat digambarkan apabila menerima panggilan telefon dari UiTM pada 23 Ogos 2009 dan disusuli dengan surat tawaran pada 26 0gos 2009 selain daripada perkataan ALHAMDULILLAH
GEMBIRA kerana setelah melalui tempoh sukar dipinggirkan oleh Universiti Malaya sebagai seorang mahasiswa yang mendapat PNGK akhir 3.89 dan dianugerahkan pelajar terbaik Matrikulasi APIUM pada tahun 2000, Anugerah Dekan hampir setiap sesi akademik dan Anugerah Universiti pada Konvokesyen 2005 tanpa sebarang tawaran sebagai Tutor, Tutor Sementara, SLAB atau SLAI, LEBAI melangkah juga walaupun kakinya terpasung luka, hatinya tercalar bisa, meminggirkan sayu yang merudum kalbu langkah kakinya diteruskan juga ke Medan Ilmu.
Dipinggir hanya kerana TIADA KABEL. Hatinya tabah, jari jemarinya tidak pernah leka dari mengesat airmata yang menitis dek kerana impian tidak tercapai.Sebelum ini juga LEBAI terpaksa melupakan impian belajar di University of Yarmouk, apabila KPM tiba2 membatalkan penajaannya kepada LEBAI akibat kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1998 dan menghantar pulang semua pelajar tajaannya...
“kerana cinta (ilmu), aku kembara…
Bagai camar, melintas laut,
Mencari pohon, untuk berteduh…
Sepasang ‘SAYAP’ tak terlihat..
Umpama mimpi yang tersimpan
Jadi rintik-rintik hujan
Menciptakan AWAN YG TERPILU”
Di saat sahabat2 LEBAI menyambung pengajiaan mereka dengan tajaan daripada UM, pencarian ilmu LEBAI diteruskan di Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan bekerja sebagai ‘waiter’ di Rimbun Klasik, LEBAI menyambung pengajiannya tanpa ada sebarang tajaan daripada mana-mana pihak. Pagi ke kelas, habis kelas LEBAI mengambil upah menyiapkan ‘tugasan’ orang lain. Sebelah malam LEBAI bekerja sebagai ‘waiter’ yang gajinya hanya RM 15 semalam. Balik jam 1 pagi LEBAI mengulangkaji sehingga ke subuh dan terus ke kuliah di sebelah pagi. Pada masa itu, LEBAI hidup dalam keadaan yang sangat sukar. Itulah rutin hidup LEBAI selama 2 semester sebelum LEBAI akhirnya diberi pinjaman oleh LEMBAGA BIASISWA NEGERI KEDAH.
Hidup LEBAI kemudian bertambah ‘lega’ apabila berjaya menempatkan diri sebagai RA kepada Ayahanda Profesor Madya DR HAILANI MUJI TAHIR. Ayahanda yang banyak membantu. Akhirnya LEBAI berjaya menyiapkan tesis MA yang bertajuk Usul dan Kaedah Fiqh dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam di Malaysia.
Dalam masa yang sama, LEBAI memohon untuk KPLI dan hati LEBAI lega apabila terpilih dan ditempatkan di MPIK dan sekolah praktikum pada ketika itu di SK DUSUN NANDING. Di sinilah kerjaya LEBAI sebagai guru j-QAF bermula.
SEDIH kerana terpaksa meninggalkan SKDN yang hampir 4 tahun LEBAI jatuh dan bangun bersamanya. Pentadbir yang cukup menyokong setiap aktiviti yang ingin LEBAI laksanakan. Syukran Tuan GB, Puan Nazirah, Barisan GPK Tuan Azman, Puan Normadiah dan Puan Ropitah.
SEDIH kerana terpaksa meninggalkan sahabat-sahabat seperti SIFU, AMAL, CHE MAN, CHIP BEN, JIJAN, PEJAL, AMIL,HISHAM,SIR, ABG AJAK, ITO, WAN, YASIR, NAZRI MPT dan NAZRI PERKASA. Kalian adalah insan yang menggembirakan LEBAI, betul….sungguh…
SEDIH kerana terpaksa meninggalkan ‘KAKAK –KAKAK’ yg selalu bagi LEBAI ‘MAKANAN & MINUMAN FREE’…he he he….KAK NORMAH, KAK LIZA, KAK HALI, KAK LILY, KAK YANI, KAK ZANA DAN KAK SAL. Hari-hari LEBAI ‘pau’ diaorang ni….ada ajelah…sushi,nasi lemak,limau,air kotak, kuih, biskut, kerepek dan sebagainya…LEBAI pinjam kata-kata AMAL pada tanggal 16 Ogos 2009…’LEBAI ni banyak kakak kat SKDN, jeles I’…he he he..jgn marah TN SYEIKH…LEBAI anak dan adik ‘bongsu’…he he paham-paham ajelah…
SEDIH kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan j-QAF yang menganggap diri LEBAI sebagai adik beradik sendiri…kepada LIA…your are great teacher, your are great friend…tak pernah marah aku walaupun kadang-kadang aku ‘mengular’ dek kerana tugasan lain untuk sekolah yang terlalu banyak terbeban atas bahuku. Terima kasih atas kesudian memahami diriku dan situasi yang perlu aku tempuhi.
NOR..awak pula tak pernah walau sedikitpun berkasar dengan saya. Tak pernah, ya.. tak pernah walaupun sekali…itu istimewanya awak. Apapun saya harapkan agar awak sentiasa success dalam tugasan yang diberi. NOR tolong bantu LIA dan MAS dalam apa jua keadaan.
MAS…hemmm, adik paling ‘kecil’ dalam j-QAF..rajin, bersemangat, gigih dan komited…bagus..kekalkan komitmen anda MAS..tolong bantu LIA dan NOR dalam apa saja tugasan j-QAF selepas ketiadaan LEBAI kelak..Tapi jangan buat keja sorang tau…nanti tension..ha ha ha…
BUAT INDIVIDU yang tidak LEBAI CORETKAN di sini…anda juga pada hakikatnya banyak membantu LEBAI, Cuma ruangan yang terbatas ini LEBAI tak mampu nak coretkan ke semuanya…Kalian semua tetap dalam ingatan LEBAI. LEBAI sentiasa doakan kalian.
Buat akhirnya….LEBAI menghulurkan salam perpisahan, semoga mendapat pengganti yang PASTINYA lebih baik dari LEBAI.
TERIMA KASIH PAK LAH
TERIMA KASIH KPM
TERIMA KASIH JPNS
TERIMA KASIH PPDHL
TERIMA KASIH SKDN
SALAM, SALAM KEMAAFAN
SALAM,SALAM PERPISAHAN
SALAM,SALAM PERSAHABATAN
SALAM,SALAM PERJUANGAN
Yang benar..
LEBAI YUSRI
11 SEPTEMBER 2009
4.02 AM
Monday, September 7, 2009
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PGSM
Kenyataan Media Presiden Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia
Tuan Musa Awang
http://peguamsyarie.org
27 Ogos 2009
Rentetan kekecohan yang berlaku dalam isu sebatan Kartika Sari Dewi Shukarno, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memandang serius perkara tersebut kerana ia telah menjejaskan reputasi Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam dan pihak-pihak berkaitan.
PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:
PGSM kesal dengan apa yang berlaku kerana akhir-akhir ini menampakkan unsur campur tangan pihak kerajaan dalam proses kehakiman di negara ini terutama kehakiman syariah semakin menjadi-jadi.
Bermula dengan unsur campur tangan kabinet dalam menentukan agama anak pasangan yang memeluk Islam dan terbaru dalam isu sebatan Kartika Sari. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam era 1Malaysia, Pencapaian Didahulukan, Rakyat Diutamakan.
Campur tangan kerajaan dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah perlu ditamatkan segera. Persoalan timbul, mengapa menteri-menteri kerajaan terlalu gemar memberikan komen terhadap kes-kes di Mahkamah Syariah sedangkan terdapat kes-kes di Mahkamah Sivil yang lagi teruk dan dangkal.
Sebelum ini terdapat kes di Mahkamah Sivil ada seorang hakim yang memutuskan bahawa dia sendiri yang akan menghukum pesalah, tetapi kes tersebut tidak pula dipolemikkan, dan tidak ada pula menteri yang memberikan komen.
Pihak kerajaan termasuk menteri-menteri wanita Islam tidak sepatutnya memberikan komen terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Syariah.
Ia suatu tindakan biadap mencabar, mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
Penghakiman yang dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sedia ada, dan atas dasar melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.
Kerajaan sepatutnya memberi perhatian dan menumpukan usaha ke arah memperbaiki infrastruktur, pentadbiran dan proses pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Syariah, seperti ketiadaan tukang sebat Syariah, ketiadaan penjara khusus untuk menempatkan pesalah Syariah, ketiadaan panel rayuan di beberapa buah negeri dan sebagainya.
Telah 52 tahun negara merdeka dan telah 52 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, namun perkara-perkara ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan Mahkamah Syariah adalah tempat di mana orang Islam yang sebahagiannya mengundi kerajaan semasa pilihanraya, berurusan dan mengadu masalah rumahtanga, harta dan lain-lain.
Masalah ketiadaan tukang sebat bukanlah suatu isu yang besar kerana kerajaan boleh melatih tukang sebat sivil untuk melaksanakan sebat menurut syariah.
Kartika Sari adalah sebahagian masyarakat Islam yang menjadi mangsa akibat sikap anak tiri dan sikap kerajaan yang tidak sensitif dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak dan keperluan masyarakat Islam di negara ini.
Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa:
Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat.
Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.
Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah?
Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil.
Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.
Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.
Artikel ini diterbitkan daripada kenyataan media Musa Awang, timbalan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
KENYATAAN PGSM BERHUBUNG KES KARTIKA SARI DEWI SHUKARNO
KENYATAAN BERSAMA PGSM DAN NGO-NGO ISLAM TERHADAP ISU SEBAT KARTIKA SARI DEWI SHUKARNO.
Aug 28th, 2009
Kami dengan ini sedar bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia mengamalkan dual sistem perundangan yang unik yang berjalan seiring dan harmoni antara satu sama lain sekian lama dan perkara ini hendaklah dihormati, dikekalkan dan diperkasakan.
Kami dengan ini menegaskan seperti berikut :-
1. Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah tentang titah baginda supaya semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk isu hukuman sebat ini.
2. Bahawa doktrin pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif mestilah dihormati dan dipertahankan sepanjang masa.
3. Kami menyeru agar jangan ada tekanan dan gangguan daripada mana-mana pihak mengenai undang-undang dan perlaksanaan undang-undang syariah lebih-lebih lagi dari golongan yang bukan Islam.
4. Semua pihak mematuhi dan menghormati keputusan yg dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
5. Hukuman dan pelaksanaan hukuman sebatan di mahkamah syariah hendaklah dikekalkan, diseragamkan dan dilaksanakan di seluruh negara.
6. Majlis Peguam atau sesiapa yang tidak berkenaan dengan Agama Islam hendaklah tidak mencampuri urusan Agama Islam dan serahkan urusan kepada pihak yang beraotoriti bagi Agama Islam .
7. Kami menegaskan hukuman sebatan dalam islam adalah untuk tujuan mendidik dan amat berbeza dengan hukuman yang dilaksanakan mengikut Kanun Kesiksaan yang diamalkan di Common Law dan Mahkamah Sivil.
8. Kami kecewa dan membantah kenyataan Menteri Dalam Negeri, kerana memang telah ada tukang sebat yang bertauliah yang sedia melaksanakan hukuman sebat.
9. Kami mengucapkan syabas kepada Kartika Sari Shukarno yang tabah dan sabar dalam menghadapi polemik ini dan sanggup menyerahkan nasibnya kepada pihak berkuasa agama Islam Pahang (JAIP).
MOHAMAD ISA BIN ABDUL RALIP
PRESIDEN PGSM BAGI PIHAK NGO-NGO ISLAM
27 OGOS 2009

