Tuesday, October 21, 2008

Pengenalan Insurans dan Takaful

ISLAM DAN PERSOALAN EKONOMI SEMASA: INSURANS DAN TAKAFUL

Oleh: Ustaz Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh
B.A Syariah (U.M), M.A Syariah (Muamalat) (U.K.M)
Dip. Pendidikan (I.P.G.I.K)

1. PENDAHULUAN

Perbankan dan insurans merupakan dua kumpulans industri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan negara. Tanpa penglibatan yang mantap daripada kedua-duanya, kegiatan perniagaan dan perdagangan dunia akan terasa kesannya dan boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara. Gelombang kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia pada awal tahun 70an mendesak supaya penubuhan syarikat insurans secara Islam, hasilnya lahir beberapa syarikat takaful yang prinsip-prinsipnya selari dengan tuntutan syariah.Penulisan ini akan memfokuskan isu-isu syariah yang timbul daripada perbincangan fuqaha’ semasa berkaitan kedua-dua instrumen pengurusan risiko ekonomi ini.



2. PENGENALAN INSURANS

Bank Negara Malaysia mentakrifkan insurans sebagai pemindahan risiko oleh seseorang individu atau sesebuah organisasi (dikenali sebagai pemegang polisi) kepada syarikat insurans. Sebagai balasan, syarikat insurans menerima bayaran di dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi menanggung kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan terhadap kerugian atau kerosakan tersebut. Insurans juga ditakrifkan sebagai satu instrumen yang diguna bagi mengurangkan risiko melalui gabungan sejumlah nilai yang mencukupi agar kerugian individu yang dijangka dapat ditanggung bersama. Dalam proses insurans ini ketidaktentuan ini dapat dikurangkan dan jika berlaku kerugian ia akan ditanggung bersama.

Insurans terbahagi kepada dua jenis; insurans am dan insurans nyawa. Insurans am meliputi perlindungan daripada risiko terhadap kemungkinan kehilangan harta benda atau pendapatan akibat kemalangan, rompakan, kebakaran atau kejadian yang tidak dijangka. Skim yang disediakan oleh insurans am ini termasuklah insurans kebakaran, marin, pengangkutan udara, kenderaan bermotor serta insurans untuk pekerja. Konsep insurans am ini adalah untuk mengurangkan risiko yang ditanggung oleh seseorang dengan memindahkannya kepada syarikat insurans melalui pembayaran premium. Pengambil insurans akan dibayar sejumlah yang telah dipersetujui jika berlaku perkara yang menyebabkabkan beliau mengalami kerugian. Tetapi premium itu akan hangus jika tiada kerugian yang dialaminya dalam tempoh perjanjian insurans itu.

Insurans nyawa pula menyediakan perlindungan kewangan kepada seseorang terhadap perkara luar jangkaan seperti kematian, kecederaan dan ketidakupayaan. Insurans nyawa merupakan satu kontrak antara pengambil insurans dengan syarikat insurans sebagai penanggung, untuk membayar sejumlah wang tertentu bersama-sama dengan bonusnya, apabila polisi insurans ini cukup tempohnya atau pengambil insurans meninggal dunia. Dalam insurans nyawa ini, pembayaran wangnya adalah terjamin.

Terdapat dua jenis polisi utama dalam insurans nyawa; pertama, polisi nyawa dan kedua, polisi tempoh tetap. Dalam polisi nyawa, pembayaran jumlah modal dan sebarang bonus yang terakru akan dibuat kepada benefisiari yang dinamakan dalam polisi apabila pengambil insurans itu meninggal dunia. Sepanjang tempoh kontrak ini, pengambil insurans akan membayar premium berkala kepada syarikat insurans. Manakala polisi tempoh tetap pula, memperuntukkan pembayaran jumlah modal dan sebarang bonus terakru kepada benifisiari apabila polisi itu matang atau pengambil insurans meninggal dunia, bergantung kepada mana situasi yang berlaku dahulu. Sepanjang kontrak ini, pengambil insurans akan membayar premium berkala kepada syarikat insurans sehingga sampai tempohnya atau sehingga beliau meninggal dunia.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh BNM, industri insurans telah mencapai pertumbuhan yang ketara pada tahun 90 an. Jumlah modal berbayar penanggung-penanggung insurans yang diperbadankan di Malaysia telah meningkat lebih daripada lima kali ganda daripada RM 0.6 bilion pada akhir tahun 1988 kepada RM 3.4 bilion pada akhir tahun 1998. Aset kumpulan wang insurans dan jumlah pendapatan premium bagi sektor insurans hayat dan am juga turut meningkat pada kadar yang serupa daripada hanya RM 7 bilion dan RM 2.1 bilion masing-masing kepada RM 38.7 bilion dan RM 10.9 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu melebihi kadar pertumbuhan purata Keluaran Negara Kasar ( KNK).

Ini menyebabkan aset kumpulan wang insurans dan pendapatan premium industri sebagai sebahagian daripada KNK meningkat dengan ketara daripada hanya 8.1% dan 2.4 % masing-masing pada akhir tahun 1988 kepada 14.4% dan 4% pada akhir tahun 1998. Dari segi penembusan pasaran, hanya 11.4% daripada jumlah penduduk Malaysia mempunyai pelindungan insurans dalam tahun 1988. Pada tahun 1998, sebanyak 28.4% daripada penduduk Malaysia memiliki polisi insurans hayat.

2.1 PANDANGAN FUQAHA’

Dalam membahaskan hukum berkaitan dengan insurans, fuqaha’ semasa pada hakikatnya terbahagi kepada tiga kumpulan; kumpulan pertama, fuqaha’ yang mengharuskan semua jenis insurans. Antara fuqaha’ tersebut ialah Dr. Mustafa al-Zarqa’, Shaykh ʿAbd. al-Rahman ʿIsa, Dr. Muhammad al-Bahi, Shaykh Muhammad Yusuf Musa dan Shaykh ʿAli al-Khafif. Kumpulan kedua, fuqaha’ yang mengharamkan semua bentuk insurans. Antara fuqaha’ tersebut ialah Shaykh Muhammad Bakhit al-Mutiʿi, Shaykh Muhammad ʿAli al-Bulaqi, Shaykh Muhammad Najib al-Mutiʿi, Shaykh Abd. al-Rahman Qaraʿah, Muhammad Nejatullah Siddiqi dan beberapa fuqaha’ lagi.

Kumpulan ketiga, Fuqaha’ yang mengharuskan sebahagian dan mengharamkan sebahagian yang lain. Antara fuqaha’ tersebut ialah Shaykh Najmuddin al-ʿIraqi, Shaykh Muhammad Mabruk, Shaykh Muhammad Farraj al-Sanhuri, Al-Shaykh Muhammad al-Madani, al-Shaykh Muhammad Abu Zahrah, al-Shaykh Ahmad al-Sharbasi dan al-Shaykh Abd. Allah bin Zayd ʿAli Mahmud. Kebanyakan mereka mengharamkan insurans dari bentuk insurans nyawa. Keputusan ini juga diambil oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-16 pada 1-2 Oktober 1970 dan 15-16 Februari 1979.

Kumpulan fuqaha’ yang mengharuskan semua bentuk insurans berhujahkan dengan beberapa hujah; pertamanya, bersandarkan kaedah fiqh yang bermaksud ‘asal pada sesuatu perkara adalah harus’. Ini kerana akad insurans sebagaimana akad muʿamalah lain di mana dalam akad insurans terdapat manfaat dan kebaikan kepada manusia dan tidak ada nas yang mengharamkannya. Maka hukumnya kekal selagimana tidak ada dalil yang mengharamkannya. Kedua, bersandarkan kepada prinsip masalih al-mursalah. Golongan ini berpendapat bahawa menerusi insurans mampu menarik manfaat dan menolak kemudaratan.

Ini adalah kerana insurans mampu memberikan kebaikan dan ruang kepada manusia memperolehi manfaat daripada tabungan dan himpunan dana harta yang telah dibuat. Bahkan melalui insurans juga, ketenteraman seseorang akan mampu dibendung daripada kerisauan terhadap musibah dan kerugian yang teruk sekiranya berlaku kemalangan. Justeru berdasarkan kaedah masalih al-mursalah di mana kebaikan yang diperolehi menjadikan sesuatu perkara yang tiada nas yang menegah, maka perkara tersebut adalah selaras dengan syariat.

Ketiga, golongan ini juga turut berhujah dengan menggunakan kaedah ʿuruf di mana sesuatu yang telah diketahui di kalangan manusia dan manusia berhajat kepada perkara tersebut maka perkara tersebut menjadi harus di sisi syara’. Keempat, insurans juga adalah menjadi perkara daruri ( penting ) di kalangan manusia. Justeru, golongan yang mengharuskan insurans ini menggunakan kaedah fiqh yang bermaksud ‘ keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang’. Keenam, operasi insurans yang wujud pada masa sekarang adalah perkara yang menjadi keperluan dan kemestian bagi manusia sehingga termasuk dalam perkara yang disebut sebagai ‘ʿumum balwa’. Maka ia diharuskan bagi memudahkan urusan seharian manusia.

Di samping hujjah ilmiah berkaitan dengan insurans, Muhammad Nejatullah Siddiqi menolak pendapat sebahagian fuqaha’ yang menyatakan bahawa insurans membawa kepada perjudian. Antara hujjahnya; pertama, keburukan berjudi terletak pada tindakan seseorang penjudi yang akan mencuba nasibnya, melalui pertaruhan dan seumpamanya tanpa memikirkan risiko yang wujud. Perbuatan ini seolah-olah tidak kena mengena dengan diri mereka. Misalnya membeli tiket loteri, bertaruh di dalam perlumbaan atau perlawanan bola sepak, permainan terup atau catur. Segala bentuk perjudian dan amalan semasa mempunyai satu persoalan yang sama iaitu risiko kerugian kewangan boleh dielakkan jika penjudi tidak cuba bertaruh dan mengamalkan apa jua unsur perjudian.

Pada dasarnya, kes mengenai insurans adalah berbeza. Terjadinya risiko dan kesan yang menyebabkan pembeli insurans cuba mendapatkan perlindungan tidaklah bergantung kepada keadaan sama ada terjamin ataupun tidak. Kebanyakan usaha kehidupan tidak boleh diatasi kecuali dengan menggunakan kaedah insurans. Kesemua risiko ini membawa kerugian kewangan. Dan risiko ini tetap berlaku sama ada seseorang itu mempunyai perlindungan insurans ataupun tidak.

Kedua, dasar perjudian dan insurans ialah berkaitan dengan harapan untuk mendapatkan untung. Motivasi kewangan bagi amalan berjudi adalah didorong daripada keuntungan daripada sesuatu kemenangan. Manakala dalam kes insurans hal ini dikaitkan dengan keinginan untuk mendapatkan perlindungan daripada menanggung kerugian berpunca daripada kebimbangan berlakunya bahaya. Justeru itu, dalam hal ini, jumlah tuntutan yang diperolehi pembeli tidak boleh dianggap sebagai keuntungan. Insurans hanya menyediakan bantuan kepada mereka yang mengambil polisi daripada menanggung beban. Hal ini tidaklah pula menolong menambah kekayaan.

Ketiga, seorang penjudi akan mengalami kerugian kewangan sekiranya kalah dalam sesuatu permainan. Pelaburan terhadap tiket loteri telah dibazirkan dan kerana bertaruh mereka terpaksa membayar kepada pemenang sejumlah wang yang telah dipersetujui. Ini menciptakan kerugian yang nyata kepada penjudi kerana tidak dipampas sesudah itu. Seperkara lagi yang boleh diperkatakan ialah peluang kemenangan yang wujud secara berterusan, menghidupkan harapan penjudi untuk mendapatkan untung. Tetapi harapan ini tidak secara objektif melibatkan kerugian penjudi kerana hal ini wujud agak berasingan.

Bagi seseorang pembeli insurans, setelah membayar premium berkenaan, mereka dijamin dengan bayaran pampasan ke atas kerugian kewangan mengikut kejadian sesuatu bahaya yang dilindungi oleh insurans ini. Jaminan ini diberikan kepadanya ketika menandatangani kontrak dengan syarikat insurans, tanpa mengira sama ada kejadian kemalangan itu berlaku ataupun tidak. Dengan itu, premium ini menjadi pelaburan yang berbentuk sekuriti. Premium yang dibayar bukannya satu kerugian tetapi ia sebagai kos. Sebaliknya, wang yang lenyap di dalam perjudian adalah kerugian yang nyata. Selain itu, pembayaran premium didesak oleh keadaan dengan tidak ada jalan lain lagi bagi mengelakkan kebimbangan bahaya yang boleh membawa kerugian. Sementara itu, tidak pula diwajibkan seseorang membayar harga tiket loteri ataupun membuat pembayaran tertentu kepada pemenang di dalam pertaruhan. Penjudi mengalami kerugian ini di atas kehendaknya sendiri.

Muhammad Nejatullah Siddiqi juga menolak pendapat sebilangan fuqaha’ yang menyatakan bahawa kontrak insurans mengandungi riba. Hal ini disebabkan, pembeli insurans dijanjikan dengan jumlah yang jauh berlebih daripada apa yang didepositkan sebagai insurans. Pendapat ini berasaskan andaian bahawa setiap pertambahan bayaran adalah riba. Andaian ini menurutnya adalah andaian yang tidak berasas kerana syariah tidak pernah menganggap setiap pertambahan adalah riba. Wang yang dibayar sebagai premium bukanlah sebagai pinjaman. Pada hakikatnya, bayaran premium adalah satu bentuk sumbangan koperatif dalam menyediakan perkhidmatan sosial yang berfaedah. semangat ini dimanifestasikan secara bersama melalui insurans.

Selain itu, pendapat Muhammad Nejatullah Siddiqi disokong oleh beberapa fuqaha dengan memperincikan lagi aspek-aspek yang meragukan dalam insurans; pertama, isu ketidakpastian dalam insurans. Ketidakpastian dalam urusniaga sememangya dilarang oleh Islam kerana amalan ini menimbulkan perselisihan. Terdapat larangan Rasulullah yang jelas melarang kontrak jualan sekiranya pihak penjual tidak dapat menyerahkan benda yang dijanjikan kepada pembeli.

Oleh kerana ketidaktentuan amat sukar untuk dielakkan daripada berlaku dalam urusan transaksi dalam kehidupan moden kini, maka larangan ini ditafsirkan hanya bagi keadaan ketidakpastian yang bersangatan umpamanya dalam aktiviti berjudi. Berdasarkan tafsiran tersebut dapatlah dikatakan bahawa insurans adalah sesuatu yang pasti, lebih-lebih lagi disertai dengan pampasan yang ditentukan. Sesungguhnya, pampasan dalam insurans adalah jaminan keselamatan yang diperolehi oleh pencarum sebagai pulangan bagi setiap ansuran bulanannya.

Selain itu, tentangan berkaitan dengan unsur kekaburan dalam insurans nyawa iaitu pihak pencarum tidak mengetahui berapa kali bayaran caruman ansuran yang dapat dilakukannya sehingga ia mati adalah suatu pandangan yang tidak beralasan. Menurut pandangan fuqaha’ hanafiyyah, perlu dibezakan antara perkara-perkara yang boleh menjejaskan keutuhan kontrak dengan perkara yang tidak. Kekaburan pengetahuan terhadap bayaran ansuran dalam insurans nyawa tidak sedikitpun menjejaskan keutuhan kontrak tersebut dan tidak menimbulkan prasangka pada mana-mana pihak kerana jumlah bagi setiap kali bayaran ansuran dan jumlah setelah kesemua bayaran ansuran diselesaikan akan diberi tahu.

Akhirnya, insurans nyawa bukanlah satu rancangan untuk mengatasi Qudrat Allah atau mencabar Iradat-Nya, kerana pihak insurans tidak menentukan bahawa sesuatu perkara yang belum terjadi itu pasti akan terjadi, tetapi ia hanya membayar gantirugi kepada pencarum yang menghadapi kemalangan atau kerugian yang tertentu. Ini adalah satu gerakan kerjasama untuk meringankan beban kerugian akibat sesuatu kemalangan dan kenyataan ini disokong dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
‘ Dan tolong menolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan ke arah ketakwaan tetapi janganlah kamu tolong menolong dalam membuat dosa dan permusuhan’.

Bagi golongan fuqaha’ yang mengharamkan insurans, mereka berdalilkan dengan beberapa hujjah; pertama, gharar (kekaburan) dan jihalah (kejahilan) yang terdapat pada kontrak insurans. Akad insurans yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat insurans terdapat padanya unsur gharar yang jelas dan jihalah yang melampau. Situasi ini boleh dijelaskan dengan melihat keadaan di mana pemegang polisi yang mengambil insurans terpaksa membayar bayaran premium yang telah ditentukan oleh syarikat terhadapnya, sedangkan apabila tidak berlaku musibah atau kemalangan individu tersebut tidak ada hak untuk mendapat pampasan. Ini terbukti apabila akad dilakukan pengambil insurans langsung tidak tahu apa yang bakal diperolehinya sebagai pampasan pada masa hadapan. Begitu juga situasi yang lain apabila seorang pengambil insurans yang hanya baru membayar sekali premium dan ditimpa musibah, maka dia diberikan pampasan insurans oleh syarikat tersebut.

Dalam hal kejahilan yang melampau pula, semasa akad tidak diketahui apakah musibah yang bakal menimpa pengambil insurans dan berapakah nilai pampasan yang perlu dijelaskan oleh syarikat sekiranya berlaku musibah yang tidak dapat dipastikan itu. Tiga unsur gharar yang terdapat dalam akad insurans ialah; pertama, gharar pada penghasilan tukaran iaitu ketika akad dibuat, pemegang polisi tidak pasti sama ada akan memperolehi bayaran pampasan atau tidak, cotohnya: kemalangan yang tidak dapat dipastikan akan berlaku atau tidak.

Kedua, gharar pada kadar iaitu ketika akad, pemegang polisi tidak boleh memastikan kadar bayaran yang akan diterimanya. Kadar tersebut hanya akan diketahui selepas berlakunya kemalangan dan dinilai pada kecederaan yang dialami sedangkan apa jua bentuk kecederaan yang bakal dialami sudah pasti tidak dapat diketahui semasa akad dilakukan. Ketiga, gharar pada waktu iaitu tidak pasti bilakah tukaran berlaku (bila akan berlaku kemalangan) sedangkan para fuqaha’ telah mensyaratkan dalam jual beli bertangguh seperti bayʿ al-Salam (tempahan) mesti diketahui waktu penyerahan barang.

Hujjah kedua golongan yang mengharamkan insurans adalah perniagaan insurans terlibat dengan riba. Akad insurans terdapat unsur riba al-fadl dan al-nasi’ah yang mana kedua-duanya diharamkan di sisi syarikat Islam. Seperti apa yang dibayar oleh syarikat insurans kepada pembeli insurans atau kepada waris yang menerima faedah sekalipun sedikit nilai atau banyak kadarnya atau sama daripada pertukaran. Pembayaran ini tidak berlaku kecuali setelah berlangsungnya tempoh masa penerimaan syarikat terhadap premium caruman. Maka sekiranya berlaku pertambahan nilai pampasan yang diterima berbanding nilai caruman jadilah penerimaan ini sebagai riba al-fadl. Manakala sekiranya tidak bertambah atau sama maka ia akan menjadi riba al-nasi’ah. Maka sahlah kontrak ini haram di sisi syariah.

Hujjah ketiga golongan ini ialah akad insurans mengandungi al-maysir dan al-muqamarah (perjudian). Insurans mengandungi unsur ini kerana pihak pencarum tidak mengetahui apa yang akan diterimanya daripada pampasan (sekiranya berlaku kemalangan) atau langsung tidak memperolehi apa-apa dan syarikat pula tidak mengetahui apa yang perlu dibayar kepada pencarum sebagai pampasan. Maka ia mengambil hukum judi itu sendiri. Selain itu, insurans juga sebagaimana judi apabila pemegang polisi terpaksa membayar premium sebagai pertaruhan untuk mendapat untung yang tidak dapat dipastikan dan syarikat juga berharap (bertaruh) supaya pencarum tidak ditimpa apa-apa musibah agar premium menjadi keuntungannya.

Hujjah keempat, akad insurans termasuk dalam bayʿ al-dayn bi al-dayn (jual beli hutang dengan hutang) sedangkan jual beli bentuk ini diharamkan oleh Islam. Situasi ini berlaku apabila premium yang dibayar oleh pemegang polisi kepada syarikat insurans pada tanggungannya dan pampasan yang dibayar oleh syarikat kepada pembeli insurans yang ditimpa musibah adalah hutang syarikat terhadap pemegang polisi yang lain. Maka situasi ini seperti bayʿ al-dayn bi al-dayn, maka hukumnya adalah haram.

Hujjah kelima, akad insurans termasuk dalam kategori memakan harta individu lain dengan jalan batil (salah). Ini terbukti di dalam pelaksanaan insurans apabila wang caruman pengambil-pengambil insurans diberikan kepada orang yang ditimpa kemalangan sedangkan kaedah pengambilan bukanlah dari aspek prinsip tabarruʿ. Ada pihak yang mendakwa bahawa cabutan wang caruman untuk dijadikan pampasan kepada mereka yang ditimpa musibah adalah menyerupai prinsip taʿawun dan ijtimaʿi, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya iaitu untuk mendapat keuntungan daripada caruman tersebut baik di pihak pembeli mahupun syarikat insurans itu sendiri.




KESIMPULAN

Dalam membincangkan insurans, ulama’ berselisih pendapat dalam soal adakah insurans harus atau haram. Daripada penelitian kajian ini, perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dan fuqaha’ ini menguntungkan umat Islam apabila hasil daripada perbezaan pendapat ini timbul desakan supaya diwujudkan syarikat-syarikat insurans yang lebih berbentuk Islamik. Kemunculan takaful pada hakikatnya mendamaikan perbezaan pendapat yang wujud kerana takaful adalah seratus peratus aktiviti, perniagaan dan pengamalannya berlandaskan syariah. Kewujudan takaful juga memberi alternatif kepada umat Islam dalam memilih syarikat yang benar-benar berwibawa dan memenuhi tuntutan syarak.

4. PENGENALAN TAKAFUL

Takaful bermaksud satu perjanjian bersama di kalangan ahli-ahli satu kumpulan untuk sama-sama membantu ahli-ahli lain yang ditimpa kesusahan atau musibah. Definisi ini selari dengan definisi yang terdapat dalam Akta Takaful 1984, di mana dalam akta itu dinyatakan bahawa:
‘ Takaful means a scheme based on brotherhood, solidarity and mutual assistance which provides for mutual financial aid and assistance to the participants in case of need whereby the participants mutually agree to contribute for that purpose’

Sebagai perincian kepada maksud takaful yang dinyatakan di atas, tulisan Dr. Mohd Ma’sum Billah yang bertajuk ‘Takaful (Islamic Insurance): An Economic Paradigm telah menjelaskan dengan terperinci lima aspek penting yang terkandung dalam definasi tersebut iaitu; pertama, persepakatan peserta untuk kebaikan bersama. Kedua, setiap peserta menyumbang untuk menolong peserta yang memerlukan bantuan. Ketiga, ada unsur ‘tabarru’’ yang bertujuan untuk membahagikan kerugian dan mengagihkan liabiliti melalui sistem tabungan komuniti. Keempat, elemen ketidaktentuan tidak wujud terutamanya yang berkaitan dengan langganan dan pampasan. Kelima, skim ini tidak bermaksud untuk meraih kesempatan atas kos yang terpaksa ditanggung oleh individu/peserta lain.
Sejarah penubuhan Takaful di Malaysia dimulakan dengan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) pada tahun 1984. Secara tepatnya STMB ditubuhkan pada 29 November 1984 dengan modal yang dibenarkan sebanyak RM 500 juta. Syarikat ini merupakan anak syarikat BIMB Holding Berhad. Seterusnya pada 7 Jun 1993 Takaful Nasional Sdn. Bhd. (TNSB) ditubuhkan dan beroperasi pada 15 Oktober 1993. Syarikat ini sebelum ditukar namanya kepada TNSB dikenali sebagai MNI Takaful hasil daripada persepakatan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YPEIM) dan Malaysian National Insurance (MNI). Seterusnya sektor Takaful di Malaysia semakin meningkat dengan penubuhan Mayban Takaful Berhad (MTB) pada 1 Julai 2002. Terbaru sekali ialah penubuhan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. pada 2003. Syarikat ini adalah subsidiari kepada Malaysian Nasional Reinsurance Berhad (MNRB).

5. ISU-ISU SEMASA BERKAITAN DENGAN TAKAFUL

Sebagai satu industri baru dalam komponen sistem kewangan konvensional yang telah lama bertapak kukuh di Malaysia, sudah semestinya perlaksanaan industri takaful akan disertai dengan beberapa halangan yang menghalang perkembangan industri takaful. Halangan dan kekerangan yang terdapat dalam industri ini perlu dihapuskan bagi memastikan industri takaful berjalan dengan baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Isu-isu yang timbul akan dijelaskan di dalam sub-topik di bawah.

5.1.1 Bidangkuasa Mahkamah ke atas industri Takaful

Dalam Seksyen 63, Akta Takaful 1984, jelas dinyatakan bahawa sebarang pertikaian yang berlaku berkaitan dengan industri ini hendaklah dibicarakan di Mahkamah Majistret Kelas Satu. Dalam soal ini, kita dapati Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan takaful. Selanjutnya untuk melaksanakan perbicaraan undang-undang yang digunakan ialah Akta Takaful 1984, Akta Bank Islam 1983 dan undang-undang kontrak dan prosedur yang banyak bertentangan dengan Islam. Ini adalah cabaran besar dalam melaksanakan undang-undang muamalat Islam di Malaysia.

Dua alasan diberi apabila diajukan persoalan kenapakah perkara-perkara yang melibatkan pertikaian yang melibatkan perbankan Islam dan Takaful diselesaikan di Mahkamah Sivil; pertama, sistem perbankan Islam dan Takaful adalah satu sistem alternatif kepada sistem yang sedia ada dan masih terlalu baru dan memerlukan masa untuk memastikan perlaksanaannya sempurna. Kedua, oleh kerana ramai pelanggan perbankan Islam dan Takaful terdiri dari orang bukan Islam sama ada dari dalam atau luar negara, golongan ini sentiasa menitikberatkan soal perundangan, jika diletakkan di Mahkamah Syariah, perkara ini berkemungkinan akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap perbankan Islam kerana kelemahan dan kekurangan yang terlalu menonjol di Mahkamah Syariah.

Dalam soal ini, Profesor Dr. Abdullah @ Alwi bersetuju untuk undang-undang muamalat diadili di Mahkamah Sivil, tetapi beliau mencadangkan supaya undang-undang ini dikemaskini secara sistematik dan dibuat perancangan rapi sebelum dilaksanakan. Antara perancangan yang sepatutnya dibuat ialah Hakim-hakim Islam dan bukan Islam dilantik bersama panel penasihat syariah yang ditubuhkan di Mahkamah Tinggi, Panel ini mestilah bertanggungjawab menasihati hakim dalam memutuskan keputusan berkaitan dengan undang-undang muamalat Islam. Hakim-hakim juga perlu mengikuti kursus berkala dalam bidang undang-undang muamalat Islam. Hanya dengan perancangan seperti ini sistem muamalat Islam berjalan lancar.


5.1.2 Beberapa kekurangan yang terdapat dalam Akta Takaful 1984


Profesor Dr. Abdullah @ Alwi seterusnya menganalisis Akta Takaful 1984 dan seterusnya menyimpulkan bahawa terdapat beberapa kekurangan antaranya; pertama, beberapa prinsip dalam Akta tersebut tidak diperincikan, sebagai contoh, seksyen 2 mentakrifkan perniagaan takaful adalah sebagai perniagaan yang tidak terlibat dengan unsur-unsur yang tidak diharuskan oleh syariah. Tetapi unsur-unsur ini tidak diperincikan.

Kedua, dalam Akta ini tidak terdapat peruntukan berkaitan pendedahan (duty of disclosure) berhubung dengan fakta matan, doktrin niat baik (utmost good faith) atau ikhlas. Akta ini juga tidak menjelaskan bagaimana cara untuk menguji bagi membuktikan kejujuran atau niat baik itu wujud. Sedangkan perkara ini diperuntukan dalam Akta Insurans 1996. Malah dalam amalan insurans, ada beberapa prinsip atau metod ujian yang jelas terhadap perkara tersebut.

Antara kekurangan dalam Akta ini lagi ialah peruntukan yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Takaful membatalkan keseluruhan atau sebahagian pendaftaran pengendali takaful, sama ada sebagai agen, broker atau adjuster.Walau bagaimanapun, Akta ini tidak memperuntukkan hak bagi pengendali berkenaan membuat rayuan terhadap pembatalan itu. Keadaan ini berbeza dengan Akta Insurans 1996 yang membenarkan perkara tersebut.

Akhir sekali, disebabkan akta ini bersifat peraturan dan tidak statutori, ia dikehendaki membuat rujukan kepada akta-akta statutori sekiranya berlaku lacuna di dalam perlaksanaannya. Antara akta-akta yang perlu dirujuk ialah Akta Insurans 1996, Akta Kontrak 1950 dan Akta Syarikat 1965 untuk menyempurnakan pengamalannya. Bagi pelaburan pula, ia hendaklah merujuk kepada Akta Bank Islam 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983. bagi melengkapkan lagi Akta ini, sebagaimana yang diperuntukan oleh Akta Sivil 1956, semua pertikaian berhubung dengan insurans nyawa, kebakaran, undang-undang perdagangan am dan undang-undang yang diamalkan di England hendaklah diguna pakai. Apa yang perlu dipersoalkan di sini ialah di dalam undang-undang sivil terdapat beberapa percanggahan dengan undang-undang Islam. Ini akan menyukarkan lagi perlaksanaan undang-undang muamalat di Malaysia.

5.1.3 Isu berkaitan dengan perlaksanaan retakaful

Pada hakikatnya, takaful semula tidak boleh lari daripada apa yang dimaksudkan dengan insurans semula. Insurans semula ialah urusniaga antara dua buah syarikat insurans iaitu syarikat pertama membeli perlindungan daripada syarikat kedua. Syarikat yang memindahkan risiko dikenali sebagai syarikat utama dan syarikat yang menerima risiko yang dipindahkan dikenali sebagai syarikat insurans semula. Apa yang membezakan takaful semula dengan insurans semula ialah takaful semula menggunakan prinsip yang selaras dengan syariah.

Apa yang menjadi isu pada ketika ini, kewujudan syarikat takaful semula tidak mencukupi. Kewujudan pengendali takaful sebenarnya memerlukan syarikat takaful semula yang mencukupi dalam usaha untuk mengagihkan risiko yang dihadapi oleh pengendali takaful. Setelah wujudnya Asean Retakaful Malaysia ( ARIL ) maka keperluan ini dapat dipenuhi walaupun bukan secara menyeluruh. Justeru itu, memaksa pengendali takaful untuk menggunakan perkhidmatan insurans semula secara konvensional. Walaupun tindakan ini dibolehkan berasaskan prinsip darurah tetapi sampai bila perkara ini akan dibiarkan berterusan. Ini merupakan satu isu yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat. Sanggupkah kita melihat industri takaful bergantung harap kepada industri insurans. Ini serba sedikit melonjakkan industri insurans berbanding industri takaful.




6. RUMUSAN

Statistik terbaru Bank Negara ( BNM ) menunjukkan bahawa industri takaful di Malaysia sedang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan yang bukan sahaja terdiri daripada orang islam bahkan merangkumi juga masyarakat bukan muslim. Isu-isu yang dibangkitkan ini memerlukan tindakan dan penyelesaian segera demi memastikan industri takaful berkembang dengan pesat walaupun berada di dalam kerangka sistem kewangan konvensional yang bertapak di negara ini lebih dahulu selama 500 tahun berbanding dengan sistem kewangan Islam yang hanya bertapak kira-kira 20 tahun yang lalu.



























BIBLIOGRAFI


Ab. Mumin Ab. Ghani. 1999. Sistem Kewangan Islam dan perlaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

ʿAbd. Allah bin Zayd Ali Mahmud. 1982. Ahkam ʿuqud al-ta’min wa makanatuha min shariʿah al-din. Qatar: Dar al-Shuruq.

ʿAbd. al-Latif Mahmud Ali Mahmud.1994. al-Ta’min al-ijtimaʿi fi daw’ al-shariʿah al-islamiyyah. Beyrut : Dar al-Nafa’is.

ʿAbd. Samiʿ Masri. 1980. al-Ta’min al-islami bayn al-nazariyyah wa basariyyah. al-Qahirah: Maktabah al-Wahbah.

Abdullah @ Alwi Hassan. 2005. Akta Takaful 1984: satu analisis. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.

Abu Jayb, Saʿdi. 1983. al-Ta’min bayn al-hazr wa al-ibahah. Beyrut: Dar al-Fikr.

Ahmad Tarmizi Ismail. 2004. Insurans menurut perspektif Islam. Alor Star: Pustaka Darus Salam Sdn. Bhd.

Akta Takaful 1984, http://www.lawnet.com.my (22 Julai 2005) .

Al-Bahi, Muhammad. t.th. Nizam al-ta’min fi huda ahkam al-islam wa darurat al-mujtamaʿ al-mahadir. t.tp: al-Maktabah al-Sharikah al-Jaza’iyyah.

Al-Jammal, Muhammad Abd. al-Munʿim. t.th. Mawsuʿah al-iqtisadi al-islami. Beyrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.

Al-Salus, ʿAli Ahmad. 2001. al-Iqtisad al-Islami wa al-qadaya al-fiqhiyyah al-muʿasarah, jilid 1. Qatar: Dar al-Thaqafah.

Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad. 1980. al-Iqtisad al-Islami buhuth mukhtarah min al-mu’tamar al-ʿalami li duwal al-iqtisadi al-islami. al-Mamlakah al-Saʿudiyyah al-ʿArabiyyah: al-Markaz al-ʿAlami li Ibhath al-Iqtisad al-Islami.

Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad. 2003. Nizam al-ta’min haqiqatuh wa al-ra’y al-sharʿi fih. Beyrut: Muassasah al-Risalah.
Bank Negara Malaysia (BNM), Insurance info, http://www.insurance info.com.my (12 Julai 2005)

Bank Negara Malaysia. 1999. Bank Negara Malaysia dan sistem kewangan di Malaysia perubahan sedekad 1989-1999. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia.

Cheah Kooi Guan & Loke Yiing Jia. 2000. Sistem perbankan dan kewangan Malaysia. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 1999. Glosari insurans. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Faysal Mawlawi. 1988. Nizam al-ta’min fi al-shariʿah al-islamiyyah wa al-qanun. Beyrut Dar al-Fikr al-ʿArabi.

Gharib Jammal. 1975. al-Ta’min fi al-shariʿat al-islamiyyah wa al-qanun. Beyrut: Dar al-Fikr al-ʿArabi.

http;//islamic-finance.net/islamic-insurance/articles/t-paradigm.html (23 Julai 2005).

Jaafar Mohd, Hendon Redzuan & Rasidah Md. Said. 1995. Insurans untuk anda. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Lee Kam Kuan. 1986. Insurans nyawa di Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Nyawa Malaysia.

Maffuza Salleh. 2005. Takaful dari prospek syariah dan perundangan mengikut amalan di Malaysia. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Masnooraini Hj. Mohidin. 2000. Takaful dan Insurans Islam di Negara Brunei Darussalam perbandingannya dengan insurans konvensional. Disertasi Sarjana: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohammad Muslehuddin. 1989. Insurans dan hukum Islam, terj.. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Mohd Yahya Mohd Hussin. 2005. Konsep dan operasi retakaful dalam industri insurans. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.

Mohd. Ma’sum Billah. 2003. Islamic and modern insurance principles and practices. Petaling Jaya: Ilmiah Publisher Sdn. Bhd.

Mohd. Ma’sum Billah. 2003. Islamic insurans (takaful). Petaling Jaya: Ilmiah Publisher Sdn. Bhd.
Muhammad Hisyam Mohamad. 2005. Perbandingan kontrak insurans Islam dan konvensional. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.

Muhammad Nejatullah Siddiqi. 1981. Muslim economic thinking a survey of contemporary literature. United Kingdom: The Islamic Foundation.

Muhammad Nejatullah Siddiqi. 1990. Insurans dalam ekonomi Islam, terj., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Nor Aini Ali dan Asmak Ab. Rahman. 2005 Penerimaan dan sambutan mahasiswa Universiti Malaya terhadap produk takaful kenderaan. Kertas Kerja Seminar Peranan Industri Takaful dalam Pembangunan Ekonomi di Malaysia. Jabatan Syariah dan Ekonomi APIUM, Kuala Lumpur, 29 Februari-1 Mac.

Othman Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Rosli Mahmood. 1997. Konsep asas perbankan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Siti Rohani Yahya. Konsep asas ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sulayman bin Ibrahim bin Thunyan. 2003. al-Ta’min wa ahkamuh. Beyrut: Dar Ibn Hazm.

3 comments:

CIKGU YUSRI JEREK said...

akum..
saya baru nak belajar buat blog...
macam mana nak buat macam saudara nie?

www.yusrifizik.blogspot.com

The Red Apron said...

Assalamualaikum,
saya telah membaca mengenai perbandingan insurance act dan Takaful act yang tuan tulis di dalam blog nie. saya sekadar ingin berkongsi beberapa maklumat. Walaupun Akta Takaful tidak spt Insurance act yg mengandungi related section for non-disclosure n d concept of utmost good faith, BNM has set up a guideline that all proposal form for takaful should have the basis clause- caution to proposer of the issue of non-disclosure and d effect of non-compliance to the same. Utk pengetahuan tuan, berdasarkan kepada beberapa case law antaranya Diana Cheng di mana Mahkamah telah memutuskan bahawa BNM guidelines had the effect of enforcement by law. jadi ketiadaan section on non disclosure dan d concept of uberimaifide dlm takaful act, the same had been rectified by BNM guideline. terima kasih.

Students Takaful said...

assalamualaikum,
saya seorg pelajar yg mengambil jurusan mengenai takaful. saya ingin bertanya kpd tuan, apakah perbezaan antara insurans dan takaful di negara-negara oic seperti mesir,brunei,turki,iran, nigeria dan lain-lain? adakah perbezaan antara insurans dan takaful di negara-negara oic sama dengan negara malaysia? saya berharap tuan dapat membantu menyelesaikan persoalan ini...terima kasih.

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template